jump to navigation

Mahmoud Ahmadi-Nejad: Kembali Kepada Revolusi Mei 20, 2006

Posted by ummahonline in Tokoh.
trackback

Oleh: Abu Muhammad

Mahmoud Ahmadi-Nejad dilahirkan pada 28 Oktober 1956, di desa Aradan berdekatan Garmsar. Ayahnya adalah seorang tukang besi. Manakala Ahmadi-Nejad adalah anak keempat dari tujuh bersaudara. Sejak umur setahun, Ahmadi-Nejad bersama keluarganya telah berpindah ke kota Teheran. Di sana, Ahmadi-Nejad menyelesaikan pendidikan menengah di sekolah Sa’adi dan Danesymand.

Dalam peperiksaan akhir peringkat kebangsaan, Ahmadi-Nejad berjaya mendapat kedudukan kebangsaan pada tangga 130. Justeru, pada tahun 1975, Ahmadi-Nejad akhirnya diterima sebagai mahasiswa di Fakulti Kejuruteraan Awam, di Universiti Sains dan Industri (Elm o San’at) Teheran.

Kemudian, pada tahun 1986, Ahmadi-Nejad diterima untuk program pasca-sarjana di fakulti yang sama dan tiga tahun kemudian menjadi anggota dewan akademik fakulti tersebut. Ahmadi-Nejad mendapat gelar PhD dalam bidang pengurusan pengangkutan bandar pada tahun 1997. Di samping mengajar, Ahmadi-Nejad turut menjadi penyelia bagi puluhan tesis dalam beragam disiplin sains teknikal.

Sebelum Revolusi Islam Iran, Ahmadi-Nejad sudah memulai aktiviti politiknya dengan mengikuti acara-acara religius. Malah, Ahmadi-Nejad tidak ketinggalan dari terlibat dalam kegiatan subversif yang menebarkan pesan-pesan serta propaganda yang menentang regim Shah yang dispotik itu.

Setelah kemenangan Revolusi Islam Iran, Ahmadi-Nejad menjadi pengasas Himpunan Mahasiswa Islam (Anjoman e Eslami ye Danesyjuyan). Dan, semenjak Ogos 1979, Ahmadi-Nejad telah mendekati Ruhollah Khomeini dengan menghadiri pertemuan-pertemuan dengan pemimpin revolusi itu atas kapasitinya sebagai wakil dari Universiti Sains dan Industri.

Begitu juga di susuli pertemuannya dengan Ali Khamenei, sehingga daripada hubungannya tersebut akhirnya membentuk Dewan Pemantapan Persatuan (Dafter e Tahkim e Vahdat).

Sementara, ketika penguasaan regim Baath di bawah Saddam Hussein yang mulai melakukan pencerobohan terhadap Iran, Ahmadi-Nejad turut terjun ke front barat wilayah Iran dan berjuang di skuad logistik sampai tahun 1985. Setahun kemudian, Ahmadi-Nejad secara sukarela bergabung dengan Pasukan Pengawal Revolusi (Sepah-e Pasdaran-e Enqelab-e Eslami).

Dalam kesempatan tersebut, Ahmadi-Nejad ikut serta dalam operasi ketenteraan ‘Ramadhan’ di wilayah Kirkuk Iraq sehinggalah dilantik menjadi komandan bahagian tempur wilayah Barat Iran. Pada dekad 80-an, Ahmadi-Nejad pernah menjadi menjadi penasihat gabernor wilayah berpenduduk Kurdistan dan Azerbaijan.

Semenjak tahun 1994, Ahmadi-Nejad telah menjadi penasihat dalam bidang kebudayaan bagi Menteri Kebudayaan dan Pendidikan Tinggi. Selanjutnya Ahmadi-Nejad diangkat sebagai gabernor pertama wilayah baru, Ardabil. Berkat kejayaannya dalam menstruktur dan melakukan reformasi terhadap sistem sumber manusia di wilayah tersebut, Ahmadi-Nejad terpilih untuk tiga tahun berturut-turut sebagai gabernor teladan.

Meski secara geografiknya Ardabil memiliki waktu pembangunan yang terbatas akoran iklim yang dingin, namun wilayah di bawah kepemimpinan Ahmadi-Nejad telah mendapat yang teratas dalam aktiviti pembangunan, berdasarkan data statistik Badan Perencanaan dan Anggaran.

Ekoran itu, Ahmadi-Nejad mendapat penghargaan setelah berhasil melakukan rekonstruksi 7500 unit rumah yang hancur akibat gempa dalam rentang waktu yang relatif singkat, iaitu tujuh bulan. Kedudukan Ahmadi-Nejad sebagai gabenor Ardabil bertahan sehingga Oktober 1996.

Kemudian, Ahmadi-Nejad memilih untuk kembali menjadi akademia, sambil terlibat dalam aktiviti-aktiviti intelektual, sosial dan politik. Namun, pada 3 Mei 2003, Ahmadi-Nejad telah terpilih pula sebagai Gabernor Teheran dan memulai pengalaman barunya untuk berbakti di kota besar tersebut.

Tempoh perkhidmatannya sebagai Gabernor Teheran berakhir pada hari 28 Jun 2005, setelah terpilih sebagai Presiden Republik Islam Iran. Dalam Plihanraya Umum pusingan kedua tersebut, Ahmadi-Nejad tanpa diduga telah berjaya menewaskan bekas Presiden yang berpengaruh, Hashemi Rafsanjani.

Sebagai seorang yang dikenali pengikut khattul Imam, Ahmadi-Nejad telah memperlihatkan komitmennya kepada perjuangan revolusi serta tidak menggunakan pelbagai jawatannya yang di sandangnya untuk menimbun kekayaan.

Kerana itu, kekayaan peribadinya pernah diistiyarkan hanya memiliki sebuah rumah yang berusia 40 tahun, sebuah kereta Peugeot tahun 1977 di samping akaun Bank Mellat dan Bank Melli yang digunakan untuk urusan penerimaan gajinya di Universiti Sains dan Industri dan Gabernor Ardabil.

Kini, Ahmadi-Nejad adalah sebagai Presiden Republik Islam, dan merupakan satu nama besar dalam pentas global mekipun baru dikenali. Padanan komitmen agama serta retorika politik berjaya diadunnya untuk satu laungan baru bagi belahan dunia muslim sehingga mengundang rasa gerun adikuasa dunia.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: