jump to navigation

Sempitnya wacana kebudayaan kita! Mei 24, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Clarissa LeePerdebatan mengenai filem Sepet dan Gubra karya Yasmin Ahmad, dan terkini dengan dokumentari Amir Muhammad bergelar The Last Communist oleh mereka yang menggelar diri mereka pengkritik dan pembikin wacana kebangsaan telah berjalan hangat sekali. Sekarang, ingin saya merakamkan sepatah dua persepsi saya mengenai isu hangat ini.

Pada hemat saya, ada beberapa sebab mengapa kedua-dua pengarah filem ini dan filem mereka telah dikecam. Pertama, mereka merupakan pembikin filem etnik (saya tidak mahu menggunakan perkataan ‘bangsa’ di sini atas sebab yang akan jelas kemudian) Melayu yang telah berani keluar daripada rangka yang biasa menyelubungi filem Melayu/Malaysia yang dibikin pengarah filem Melayu yang lain.

Kalau kita perhatikan, kebanyakan filem di negara termasuk filem Cina dan Tamil yang dibuat oleh kaum-kaum yang berbeza akan cuba menonjolkan sebuah Malaysia yang bagaikan hanya didiami oleh satu kaum sahaja. Biasanya hanya satu bahasa digunakian dan Malaysia dicerminkan sebagai tanah Melayu, tanah Cina atau tanah India, bergantung kepada siapa yang membikin filem tersebut.

Mungkin ada yang mengkritik bahawa Yasmin telah menggunakan bahasa Inggeris atau ‘Manglish’ dalam filemnya, tetapi itulah hakikatnya, di negara ini kita biasa berkomunikasi dalam bahasa yang mempunyai bauran Melayu, Inggeris dan mungkin juga ada pengaruh dialek-dialek lain.

Kita janganlah cuba lagi menghidupkan pandangan steril yang cuba menbandingkan diri dengan negara Thai dan Indonesia, sebab mereka sememangnya mempunyai sejarah yang berbeza dari kita sejak tanah kita dijajah.

Kalaulah kita dapat melihat kepada yang lebih positif, kita akan sedar bahawa filem seperti Sepet dan Gubra akan membuka kembali diskusi penggunaan bahasa dan identiti bangsa Malaysia yang pernah dimulakan semasa Konvensyen Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada awal 1970an.

Hegemoni kaum

Kita juga perlu melihat apakah maksud tersirat di sebalik filem itu (walaupun jika maksud itu dianggap cetek oleh mereka yang rasa diri mereka lebih “dalam”) dan adakah ia memulakan wacana yang telah mula dihindar semenjak 13 Mei 1969?

Satu lagi masalah yang saya lihat dari kritikan yang telah ditujukan kepada filem Yasmin dan dokumentari Amir Muhammad, ialah perasaan goyah sekumpulan orang yang merasakan “hegemoni” kaum mereka diancam oleh kemahuan sebilangan orang yang tidak mahu menyamakan maksud bangsa dengan hanya satu-satu kaum dengan membelakangkan kaum lain.

Bagi mereka, bangsa sewajarnya bermaksud bangsa Malaysia, tanpa mengambil kira asal keturunan yang telah ditentukan oleh pergerakan manusia semenjak awal tamadun. Inilah tanggapan yang saya terima daripada kritikan ke atas dua-dua filem, apatah lagi, satu daripadanya belum lagi benar-benar ditayangkan kepada khalayak ramai.

Kumpulan yang bagaikan pro-ketuanan sesuatu kaum itu tidak mahu melihat bangsa sebagai amalgamasi kepelbagaian penduduk yang telah lama menetap sebagai rakyat di Malaysia, tetapi mahu melihat tanah Malaysia sebagai tanah mono-kaum semata-mata.

Maka, mereka akan mengkritik sesiapa yang cuba keluar daripada wacana sempit ‘bangsa’. Adakah hanya kaum Melayu yang telah menyumbang kepada kedaulatan negara ini? Memang tidak dapat dinafikan bahawa kaum Melayu merupakan majoriti di negara ini, atas sebab demografi dan adat kekeluargaan, tetapi adakah wajar untuk tidak mempedulikan kaum-kaum lain yang juga pernah menyumbang dan menyokong pembentukan negara tercinta?

Maka, saya amat menyokong adanya filem yang dapat memaparkan pahlawan-pahlawan dan tokoh-tokoh yang menyumbang kepada pembentukan bangsa. Saya yakin bahawa semestinya ada saling-kaitan dan perhubungan sesama tokoh-tokoh berbilang bangsa, apatah lagi mereka yang kontemporari.

Mungkin dengan itu, kaum-kaum lain yang selama ini terasa diketepikan akan dapat merasakan bahawa mereka tidak diseterukan. Ini sedikit-sebanyak akan menyumbang kepada penghapusan sikap fascisme dan chauvinisme dalam setiap kaum.

Mengenai kritikan bahawa filem Amir Muhammad akan membawa kembali kenangan pahit adalah tidak wajar. Tiada tamadun manusia yang tidak mempunyai kenangan pahit untuk mengiringi kegemilangan mereka. Kalau kita ingin mengatakan Chin Peng dan konco-konconya telah membunuh ramai rakyat Malaya, kita boleh juga katakan serangan Jepun juga telah menyebabkan kehilangan banyak nyawa, yang saya rasa lebih dahsyat daripada kemaharajalelaan Parti Komunis pada masa darurat.

Mungkin ada yang menyanggah hujah saya dengan mengatakan sebagai warga Tanah Melayu, Chin Peng dan konco-konconya tidak wajar bertindak sedemikian. Kalau begitu, kita memang buta dengan penindasan secara halus yang berlaku di negara kita pada setiap hari, walaupun tidak dengan cara terbuka seperti aksi-aksi komunis ini.

Kita tidak patut memikirkan yang hanya kita berhak untuk bersungut mengenai pengalaman pahit kita, sebab pengalaman yang kita lalui sebenarnya tidaklah seteruk yang dilalui di negara-negara lain pada zaman yang sama, misalnya di Cina, Korea, Russia, dan Eropah. Tidak lupa juga perjuangan dan peperangan yang berlaku dengan banyaknya di negara-negara benua Africa di sekitar waktu itu juga.

Ini tidak bermaksud saya ingin meremehkan penderitaan rakyat kita. Saya juga amat memahami penderitaan ini kerana moyang saya pun pernah melaluinya sebagai warga negara ini pada zaman itu. Tetapi, adakah dengan itu, kita tidak lagi mahu membincangkan lagi bahagian-bahagian sejarah yang dianggap kejam dan belajar darinya?

Keganasan Jepun

Kalau begitu, mungkin kita patut hapuskan pembelajaran sejarah dalam sukatan pendidikan kebangsaan, kalau kita begitu sensitif dengan segala yang bakal menyentuh peribadi kita?

Kita juga terlupa bahawa mereka yang terlibat dalam parti komunis turut menyumbang kepada kejatuhan Jepun di negara kita. Kalau tidak, masakan ahli-ahli parti itu terdiri dari berbilang kaum? Saya tidak bermaksud untuk membenarkan tindakan ganas mereka, tetapi ini adalah hakikat sejarah.

Kita juga jangan lupa pada zaman global ini, adalah sangat mudah untuk seorang anak muda memperolehi bahan-bahan bacaan falsafah Marxism dan Komunism. Adakah kita dapat mengawal mereka dari menganuti falsafah-falsafah berkenaan? Tidak semua manusia tidak dapat membezakan antara sesuatu yang intelektual dengan yang emosi.

Juga, adakah dengan menunjukkan filem itu, Amir adalah seorang propagandis? Kalau kita mahu berkata demikian, banyak medium selain dari filem yang mempunyai potensi sebagai propaganda, termasuk akhbar itu sendiri serta kritikan-kritikan terhadap dokumentari itu.

Pada pendapat saya, propaganda hanya berlaku apabila hanya suara sesetengah dibenarkan dan suara-suara lain dibenamkan. Ia berlaku apabila fakta-fakta sengaja diubah atau disimpangkan untuk meneruskan ‘perjuangan’ propagandis itu, dan tiada sesiapa yang dibenarkan membangkangnya.

Kalau dirasakan Amir itu seorang propagandis, biarkanlah filem itu ditayangkan dan biarkan orang ramai memberikan pandangan masing-masing mengenainya. Kalau filem itu buruk atau teruk, ia akan mati dengan sendirinya. Atau ia boleh dijadikan satu bentuk pengajaran kepada bakal pembikin filem dan dokumentari lain.

Penayangan secara terbuka sebenarnya lebih selamat dari kepelbagaian mesej halus yang disampaikan dengan cara-cara lain misalnya oleh ekstremis agama atau ideologi yang mengelar diri sebagai penegak kedaulatan agama atau sesuatu ideologi.

Akhirnya, saya telah terbaca di akhbar The Star yang bertarikh 7 Mei bahawa Malaysia mahu mendirikan sebuah ‘Universal Studio’ ala Amerika Syarikat di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan. Maka, adalah ironis kalau kita terus mempunyai undang-undang samar yang terus menyekat kreativiti mereka yang terlibat dalam bidang-bidang sebegini.

Adakah Malaysia mahu terus menjadi negara ‘kilang’ di mana kita hanya ‘mengilangkan’ produk-produk asing tetapi tidak mahu membangunkan dan mempelbagaikan produk kreatif kita pada tahap yang bermutu?

Pada masa sekarang, wacana kebudayaan kita dari segi sastera, filem dan seni masih tersangat sempit. Kita masih dibelenggu oleh keinginan untuk menentukan ‘identiti’, dan perjuangan fasis masing-masing melalui cara yang menekan identiti individu lain dan bukan dengan cara interogasi yang akan menjanakan kreativiti yang lebih refleksif dan menjurus kepada kecemerlangan.

Mungkin sebab itulah kita masih terperangkap dalam wacana pasca-kolonial dalam bentuk yang sempit yang menyembunyikan ketidakyakinan diri kita.

Nota: Clarissa Lee merupakan seorang ‘copywriter’ di sebuah syarikat periklanan di Kuala Lumpur. Untuk maklumat lanjut tentangnya, bolehlah mengunjungi blognya, Archive of Learning.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: