jump to navigation

Lutfi gagal pertahan kebebasan bersuara Mei 25, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Lee Ban ChenSelepas membaca rencana Ahmad Lutfi Othman – “IFC: Jangan dijolok sarang tebuan“, (Forum Harakah, 17 Mei, 06), Lutfi yang saya kenali sebagai individu yang begitu gigih memperjuangkan hak kebebasan bersuara, rasanya telah terpesong daripada pendiriannya.

Tidak dapat dinafikan bahawa bantahan Badan Bertindak Anti-IFC (Badai) telah mengakibatkan forum terbuka anjuran Kumpulan Artikel 11 dan Aliran yang bertajuk “Federal Constitution: Protection For All” di Hotel Cititel Pulau Pinang pada 14 Mei yang lalu terpaksa ditamatkan.

Menurut Harris Ibrahim, ahli jawatankuasa penganjur (New Sunday Times, May 21), pada jam 9.40 pagi hari tersebut, beliau dan Rama dari Aliran, telah diberitahu OCPD tentang percubaan pembantah merempuh sekatan polis untuk memporak-perandakan forum terbabit.

Mereka dinasihatkan agar menghentikan forum terbabit kerana pihak polis mungkin tidak dapat menjamin keselamatan peserta forum. Pihak polis telah memberi masa 15 hingga 30 minit untuk pihak penganjur menghentikan forum terbabit.

Pihak penganjur tidak menerima nasihat OCPD. Namun bila forum terbabit dimulakan, seperti diakui jurucakap Badai, Haji Ismail Wan Teh sendiri: “ Bila saya naik ke tingkat tiga, saya dapati majlis tersebut diteruskan. Apa lagi, saya terus dapatkan mikrofon dan berhujah.” Beliau tidak menyembunyikan tujuan Badai untuk memporak-peranda dan menghentikan forum tersebut.

Kira-kira 20 minit kemudian, forum terbabit pun dihentikan oleh polis dengan arahan yang tegas sebelum panelis forum berpeluang untuk berucap. Jelas sekali, tujuan Balai untuk memporak-peranda dan menghentikan forum terbabit telah tercapai.

Akan tetapi, Lutfi masih cuba mempertahankan bantahan kumpulan Badai tersebut dengan mengatakan ia “dijalankan secara aman”, kerana ia tidak melibatkan kecederaan fizikal dan pihak polis langsung tidak membuat tangkapan.

Rempuh sekatan polis

Bolehkah percubaan merempuh sekatan polis untuk memporak-perandakan forum terbabit, mengancam keselamatan peserta forum (seperti anggapan OCPD), serta merampas mikrofon untuk memporak-perandakan forum terbabit, dianggap sebagai tindakan “aman” semata-mata kerana ia belum meneybabakan kecederaan fizikal dan polis tidak membuat tangkapan?

Di samping itu, saya amat kesal dengan hujah Lutfi yang berbau gertakan dan hasutan yang amat tidak rasional.

Saya petik: “Tapi saya juga tidak terkejut jika maruah dan kedaulatan Islam dipermainkan sebegitu rupa, pertumpahan darah boleh berlaku! Kalau tragedi 13 Mei 1969 tercetus kerana ‘masalah antara kaum’, maka hal yang lebih buruk boleh dirakamkan jika ‘masalah antara agama’ cuba diremehkan.”

Adakah jika Kumpulan Artikel 11 dan Aliran atau mana-mana pihak yang lain, termasuk intelektual-intelektual Muslim, ingin meneruskan forum berkaitan, atau meneruskan kempen mengutip tandatangan, atau cuba memujuk kerajaan untuk menubuhkan IFC (mungkin tiada orang yang berani menyentuh IFC lagi), maka mereka akan menghadapi risiko pertumpahan darah yang lebih buruk daripada tragedi 13 Mei 1969?

Sukar untuk mempercayai hujah yang tidak bertanggungjawab termuat dalam rencana seorang pejuang kebebasan bersuara selama ini. Semoga-moga pemahaman atau tafsiran saya itu adalah salah dan dinafikan oleh Lutfi.

Namun kesal sekali hujah Lutfi itu seolah-olah diperkuatkan oleh hujah selanjutnya, saya petik lagi:

“Penganjur IFC harus faham, mereka sudah melewati wilayah sensitif dan harus bersedia menerima padah susulannya. Tidak bermakna jika mereka berseminar atau berforum secara beradab, menurut peraturan, dan tidak mengeluarkan kecaman kepada mana-mana pihak, maka mereka mengharapkan pihak lain yang begitu sensitif dengan isu yang mereka bawa akan menghadapinya dengan tenang juga.”

Minta bantuan polis

Oleh kerana sikap terlalu sensitif kumpulan Badai, maka segala forum atau seminar mengenai hak Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi negara kita, walaupun mendapat kebenaran pihak polis dan kerajaan, terpaksa dibatalkan juga. Jika tidak, mereka perlu bersedia menerima padah susulannya seperti amaran Lutfi. Benarkah begini?

Menurut Harris , Forum Artikel 11 akan diadakan semula pada masa yang akan ditetapkan dan beberapa tindakan akan diambil untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku, termasuk membuat aduan polis sehari sebelum forum terbabit diadakan, dan meminta bantuan polis untuk menjaga keselamatan peserta.

Ditegaskan lagi bahawa tujuan forum yang akan diadakan ialah untuk membincang pertindihan bidangkuasa antara mahkamah sivil dengan mahkamah Syariah, seperti yang didedahkan dalam kes Nyonya Tahir dan kes M. Moorthy.

Berasaskan ukuran kebebasan bersuara Lutfi, apakah jika forum tersebut diadakan, mereka akan menerima padah susulan? Atau ini hanya helah untuk menafikan kebebasan bersuara pihak lain?

Rasanya Lutfi terlalu berat sebelah dan menekankan sensitif Muslim jenis kumpulan Badai, dan langsung tidak mengindahkan kebebasan bersuara Kumpulan Artikel 11 dan Aliran yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Lontaran pendapat penulis ini tidak bertujuan berani menjolok sarang tebuan, tetapi hanya sekadar ingin membela prinsip kebebasan bersuara yang diperjuangkan bersama Lutfi selama ini.

Bagaimanapun, yang patut ditekankan ialah semangat perundangan serta prinsip toleransi dan muafakat, bukan sensitif agama yang berat sebelah dan diada-adakan, jauh sekali gertakan pertumpahan darah yang sepatutnya menjadi pantang larang semua kaum jika tragedi 13 Mei tidak dilupakan!

Nota: Lee Ban Chen, yang dilahirkan di Johor, pernah diusir dari Singapura oleh Lee Kuan Yew pada tahun 1966. Pasa masa itu, Ban Chen sedang melanjutkan pelajarannya di Universiti Nanyang. Beliau juga pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tujuh tahun dari 1967 kerana terlibat dalam pemogokan petani di Ladang Bukit Asahan, Melaka and Ladang Triang, Pahang. Ban Chen juga pernah bertugas sebagai editor di akhbar Sin Chew Jit Poh selama satu tahun pada 1976. Manakala artikel ini pertama kali tersiar dalam kolumnya di Malaysiakini, Bumi Dipijak pada 24 Mei 2006.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: