jump to navigation

Masa depan Masjid al-Aqsa di era Olmert Mei 29, 2006

Posted by ummahonline in Intifadha, Kolum.
trackback

Oleh: Maszlee Malik

Kemenangan Olmert dan parti Kadima di dalam pilihanraya umum rejim Zionis yang lepas bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Walaupun Kadima tidak memenangi bilangan yang terlalu besar seperti kejayaan Likud di bawah pimpinan Sharon pada pilihanraya 2001, namun mereka tetap menjadi pilihan utama rakyat.

28 kerusi (21.8%) yang dimenangi oleh Kadima daripada 120 kerusi di knesset Zionis telah melayakkan mereka untuk mendahului parti-parti lain, terutamanya parti Likud yang merupakan pencabar utama mereka (Likud hanya memenangi 11, berbanding 38 kerusi pada pilihanraya 2001). Kadima terpaksa melakukan koalisi dengan parti-parti berhaluan kanan dan juga radikal untuk mendapatkan majoriti bagi membentuk kerajaan di knesset rejim Zionis.

Koalisi tersebut bukanlah sesuatu yang pelik bagi pengamat politik timur tengah. Sewaktu beliau menjadi datuk bandar Baitul Maqdis bagi pihak Zionis, beliau memang dikenali sebagai rakan baik kumpulan radikal Yahudi. Sebagai seorang yang berhaluan kanan dan juga seorang nasionalis dan idealis Zionis, beliau mempunyai cita-cita seperti sesiapa sahaja yang sehaluan dengannya.

Cita-cita utama golongan Zionis adalah untuk menjadikan Baitul Maqdis sebagai ibu negara rejim Zionis sehingga hari kiamat. Mereka juga inginkan Baitul Maqdis (yang mereka gelar Urshalem) dipenuhi dengan kaum Yahudi dan bebas dari bangsa lain. Mereka juga mengimpikan pembinaan semula kuil (Haychal) di atas tapak masjid al-Aqsa. Begitu jugalah cita-cita Olmert yang pada hari ini menjadi Perdana Menteri Zionis!

Beliau memulakan usaha liciknya itu dengan mengadakan hubungan yang intim dengan pihak Ultra Ortodoks Yahudi yang mendiami Baitul Maqdis. Ucapan-ucapan beliau semenjak tarikh tersebut amat berbau perkauman, kebencian dan juga kekerasan. Beliau telah berjanji dengan kumpulan pengganas Ultra Ortodoks Yahudi di sana untuk mendapatkan Baitul Maqdis untuk mereka.

Beliau mula mengotakan janji-janjinya dengan meluaskan penempatan Yahudi Ortodoks di kawasan timur Baitul Maqdis. Kawasan tersebut pada asalnya didiami oleh rakyat Palestin. Mereka kemudiannya telah diusir dan tempat tersebut ditukarkan menjadi milik kerajaan Zionis. Ratusan rumah rakyat palestin telah dirobohkan di atas arahan Olmert. Beliau kemudiannya membina penempatan Yahudi di sana.

Al-Aqsa dan Olmert

Penggalian terowong di bawah Masjid al-Aqsa menjadi semakin rancak di zamannya. Beliau jugalah yang telah memaksa Benjamin Netanyahu, PM Zionis pada tahun 1996 untuk merasmikan terowong tersebut. Perasmian itu telah mengundang reaksi dari kaum Muslimin yang membantah tindakan Zionis menjadikan kawasan bawah Masjid itu sebagai muzium dan kuil sementara mereka.

Beliau juga telah berjaya mendapatkan dana daripada hartawan Yahudi dari AS untuk membiayai usaha-usaha tersebut. Dana yang disalurkan juga kebanyakannya digunakan oleh Olmert untuk membina penempatan Yahudi di tengah-tengah kawasan penempatan rakyat Palestin dengan tujuan menguasainya.

Keganasan Olmert jelas terserlah lewat isu bukit Abu Ghneim. Bukit Abu Ghneim merupakan bukit yang dimiliki oleh umat Islam. Di zaman Olmert, beliau telah meratakan bukit tersebut, merampasnya dari kaum muslimin dan membina penempatan warga Yahudi. Kini kawasan tersebut dikenali sebagai penempatan Yahudi yang dinamakan sebagai “Har-Homa”.

Keganasan beliau juga semakin menjadi-jadi selepas beliau menyerahkan kunci kota lama Baitul Maqdis kepada golongan Ultra Ortodoks menandakan kekuasaan kumpulan tersebut di kota lama berkenaan. Beliau jugalah yang telah memerintahkan agar tembok pemisah di antara penempatan Yahudi dan penempatan rakyat Palestin dibina.

“Tuah” Olmert

Sharon bertanggung jawab mengambil Olmert menjadi timbalannya. Hal ini sungguh memeranjatkan ramai pihak. Olmert bukanlah seorang yang begitu popular untuk dipilih menjadi TPM mahupun PM. Beliau menjadi pengikut dan orang kanan Sharon yang setia.

Selain daripada menyokong tindakan-tindakan kejam Sharon lewat Intifadah 2000 sehingga 2005, beliau juga turut menyokong usaha pengunduran dari Gaza. Beliau juga bersetuju untuk berundur dari Tebing Barat, dengan syarat kawasan penempatan Yahudi dikekalkan di Tebing Barat dan pembinaan tembok pemisah diteruskan. Ini bermakna, kawasan Tebing Barat yang ingin diberikan kepada rakyat Palestin hanyalah 70% sahaja daripada Tebing Barat yang telah dijajah oleh Zionis pada tahun 1967. Beliau juga dijangkakan akan memperhebatkan lagi usaha untuk mengYahudikan Baitul Maqdis.

Kesemua cita-cita beliau ini semakin menjadi kenyataan. Selepas mengikuti jejak Sharon meninggalkan Likud dan menubuhkan parti baru yang bernama Kadima, Sharon pula diserang strok dan koma sehingga kini. Situasi tersebut telah memberikan Olmert peluang untuk menyandang jawatan PM untuk beberapa tempoh. Tanggal Mac pula telah menyaksikan beliau dan Kadima telah memenangi pilihanraya pemilihan knesset Zionis. Kini, beliau telah diberikan mandat untuk menjadi Perdana Menteri Zionis yang baru. Apa yang dilalui oleh Olmert ini adalah “tuah” seperti yang telah diungkapkan oleh Uri Avnery, aktivis Gush Shalom.

Kini persoalan yang bermain di fikiran pengamat politik, apakah yang akan dilakukan oleh Olmert selepas menjadi PM?, apa yang dapat disaksikan hari ini, beliau semakin menekan kerajaan baru Palestin dan rakyat Palestin. Beliau juga telah melakukan koalisi dengan Avigdor Lieberman yang terkenal dengan sikap perkauman dan anti-Islam.

Beliau juga telah meluluskan usaha Menteri Pertahanan Zionis, Shaul Mofaz untuk menyekat makanan dan juga ubat-ubatan ke atas rakyat Palestin. Beliau juga telah bersetuju dengan pelan penerusan pembinaan tembok pemisah di Tebing Barat dan juga Baitul Maqdis. Beliau juga dikatakan telah membuat persefahaman dengan kumpulan Yahudi ultra ortodoks untuk menyegerakan pembinaan kuil di tapak masjid al-Aqsa. Fenomena ini telah diakui oleh Carter Foundation yang telah menjalankan kajian tentang masa depan isu Palestin di era Olmert.

Persoalannya lagi, apakah nasib masjid al-Aqsa di zaman Olmert?, apakah al-Aqsa akan segera diruntuhkan oleh Olmert dengan bantuan golongan Ultra-Ortodoks Yahudi yang merupakan sekutu lamanya?

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: