jump to navigation

Perginya empat pejuang kenalan Mei 29, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Syed Husin AliDalam masa sembilan hari pada penghujung bulan April 2006, empat orang pejuang yang saya kenali meninggal dunia. Mereka berjuang dalam bidang masing-masing dengan cara tersendiri. Ada yang berubah dan ada yang tetap dengan pendirian. Saya ingin membuat hanya catatan peribadi mengenai mereka.

Pada 22 April Abu Bakar Nyak Hashim (69 tahun) meninggal dunia di Pulau Pinang, tetapi saya mendapat berita hanya dua hari kemudian. Sehari selepas itu, kembali pula Tun Ghafar Baba (81 tahun), di Kuala Lumpur. Pada 28 April MGG Pillai (67 tahun) menghembus nafas terakhir di Kuala Lumpur juga. Dan pada 30 April pula Pramoedya Ananta Toer (81 tahun) kembali ke Rahmatullah.

Abu Bakar Hashim

Antara empat tokoh ini, Abu Bakar rasanya paling sedikit dikenali orang. Beliau pernah menjadi seorang pemimpin aktif Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan menyandang jawatan sebagai Ketua PRM Pulau Pinang. Komitmennya kepada perjuangan sangat tinggi.

Semasa Konfrontasi Indonesia, beliau ditahan di bawah ISA selama enam tahun. Apabila keluar daripada tahanan, dengan tidak disangka-sangka, sebab semangatnya masih berkobar, Bakar secara senyap memasuki UMNO.

Khabarnya, dalam keadaan terumbang-ambing tanpa kerja beliau dapat dipujuk oleh seorang keluarganya, Tan Sri Sanusi Junid, masa itu menteri. Sebagaimana yang diakuinya sendiri, tanpa kesal, tidak apa sangat keuntungan yang diperolehinya daripada tindakan ini.

Setahu saya, Abu Bakar tidak bergerak cergas dalam organisasi UMNO sebagai seorang individu. Sebaliknya, darah Acheh yang agak pekat dalam tubuhnya mendorongkan beliau menyokong perjuangan pembebasan Acheh. Mungkin nasionalisme Achehnya lebih kuat daripada semangat Melayu-UMNO, yang memang tidak begitu disenanginya.

Setiap kali saya secara kebetulan berjumpa Abu Bakar (dan ini jarang-jarang benar) beliau bercerita tentang Acheh sambil cuba meyakinkan saya bahawa perjuangan rakyat yang terpupuk semasa menganggotai PRM masih membara dalam dadanya.

Katanya itulah barangkali yang mendorongkannya menyokong perjuangan Acheh. Sering saya bergurau dengannya, “Bila nak jadi Gabenor Acheh, Bakar?” Dia hanya berdekah-dekah ketawa dan berkata, “You ni, Syed”.

Tun Ghafar Baba

Saya mengenali Ghafar agak lama juga semasa masih mahasiswa. Selepas UMNO Melaka di bawah beliau menyambut Rombongan Merdeka pimpinan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1956, saya dibawa Abdullah Majid, bekas Timbalan Menteri dalam kabinet Tun Razak Hussein, untuk mengunjungi Ghafar.

Masa itu beliau sudah menjadi Ketua Menteri Melaka. Kami ke pejabat Ketua Menteri. Saya terpesona melihat seorang yang simpel, berkemeja putih tanpa tali leher, dalam sebuah bilik pejabat yang sangat sederhana. Selepas berbual kami makan tengah hari.

Ghafar terkenal sebagai seorang yang simpel dan rendah diri. Tetapi beliau tidak diketahui sebagai terlibat dengan API (Angkatan Pemuda Insaf) dan PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya). Saya pernah mendengar cerita ini, tetapi Memoir Abdullah CD yang terbit baru-baru ini mencatatkan Ghafar salah seorang anggota Jawatankuasa Pusat PKMM ketika ditubuhkan di Ipoh pada 16-17 Oktober 1945.

Satu perkara lagi, orang yang sebenarnya mula-mula menjadi perantara untuk menjayakan rundingan perdamaian PKM (Parti Komunis Malaya) dengan Kerajaan Malaysia ialah Ghafar. Abu Samah Mohd Kassim, seorang pemimpin PKM, menceritakan dalam bukunya Sejarah dan Perjuangan Kemerdekaan, hubungan peringkat rendah dirintisi oleh Hj Mokhtar Mahmud Baginda.

Akan tetapi selepas itu PKM berhubung langsung dengan Ghafar Baba, Timbalan Perdana Menteri. Pengerusi PKM waktu itu Abdulah CD. Berikutan beberapa surat-menyurat di antara mereka, akhirnya perundingan dilaksanakan. Mengikut anak-anaknya yang saya temui semasa menziarah, Ghafar tidak pernah bercerita tentang hal ini.

Semasa beliau masih di Melaka saya sempat lagi mengunjungi Ghafar. Tetapi, selepas beliau menjadi Menteri dan saya aktif dalam PRM, saya tidak lagi menemuinya. Sebagai pemimpin PRM waktu itu saya banyak berceramah tentang kemiskinan. Satu ketika, Ghafar menjawab bahawa hanya komunis saja yang bercakap tentang kemiskinan.

Akan tetapi, selepas DEB (Dasar Ekonomi Baru) diperkenalkan, Ghafar giat berkempen dan berusha untuk menghapuskan kemiskinan, kerana ini telah menjadi salah satu serampang dua mata DEB. Sehubungan ini semasa saya ditahan di bawah ISA, beliau menjemput saya menulis sebuah kertas kerja mengenai Bank Tanah. Saya penuhi.

Ghafar pernah memberitahu seorang doktor yang bergerak dalam Fron Sosialis bahawa dalam hatinya dia seorang sosialis. Katanya, selepas pemerintahan Tunku, mereka boleh bergerak bersama untuk membina satu masyarakat baru. Malangnya, hajat ini tidak kesampaian sebab beliau semakin dalam tersedut ke dalam pasir jerlus UMNO.

MGG Pillai

Saya mula berkenalan dengan MGG Pillai pada tahun 1954, semasa kami belajar di English College, Johor Bahru. Saya ke kolej itu selepas tamat Kelas 9 (dikenali sebagai Senior Cambridge – semacam SPM sekarang) di Batu Pahat, untuk menyertai kelas PSC (Post School Certificate) selama setahun setengah, sebagai persediaan mengambil peperiksaaan masuk ke Universiti Malaya (UM – waktu itu di Singapura).

Semasa saya dalam kelas PSC, Pillai di darjah 7. Kami dipilih untuk menganggotai School Representative Committee (Jawatankuasa Perwakilan Sekolah), sebagai wakil kelas masing-masing. Masa itu lagi dia sudah bulat montel. Walaupun baru berumur sekitar14 tahun, beliau berani dan petah bercakap.

Tiga tahun selepas saya memasuki UM, beliau mengikuti jurusan Undang-undang di universiti sama. Tetapi kami jarang sekali berjumpa. Bahkan setelah masing-masing bekerja pun kami boleh dikatakan tidak berpeluang berjumpa. Hanya selepas saya aktif dalam politik, terutama selepas 1990, barulah kami bertemu – itu pun sekali sekala saja.

Tetapi, kira-kira 7-8 tahun lalu kami sering berjumpa untuk makan tengah hari bersama seorang teman. Kami bertiga banyak berbincang tentang soal-soal politik. Pillai sentiasa sarat dengan bermacam-macam cerita tentang perkembangan serta “rahsia-rahsia” terbaru yang melibatkan UMNO-BN, khusus beberpa orang pemimpin utamanya.

Jelas kepada saya MGG sangat jijik dengan korupsi dan salah guna kuasa yang berlaku dalam pemerintahan. Beliau tidak bercerita hanya di meja makan. Bahkan banyak sekali menulis artikel-artikel pedas mengkritik pemerintah dan kadang-kadang parti luar pemerintah juga.

Saya lihat MGG berpegang teguh kepada apa yang dianggapnya sebagai benar, walaupun beberapa kali saya tegur tidak semua maklumatnya tepat. Beliau tidak takut mengkritik siapa saja, walau apa pangkat atau kuasa mereka. Beliau gigih mempertahankan kebebasan akhbar dan sanggup merintasi “duri dan api” untuk melakukannya.

Kali terakhir saya berjumpa MGG tiga bulan lalu; kami sama-sama menghadiri pertemuan Anwar dengan wartawan di sebuah hotel. Kami duduk bersebelahan dan banyak juga bersembang. Lepas itu kami menumpang pulang dengan kereta peguam Sivarasa Rasiah, Naib Presiden keADILan. Sepanjang perjalanan tidak habis-habis MGG mengobrol tentang bermacam-macam hal. Kami mendengar saja.

MGG Pillai sesungguhnya seorang wartawan profesional mithali. Di negeri ini, di mana kebebasan akhbar dikongkong kuat dan budaya takut meluas di semua golongan masyarakat, termasuk wartawan, tokoh seperti ini memang susah dicari ganti.

Pramoedya Ananta Toer

Saya mula mengenali, meminati, mengkagumi dan menyanjungi Pramoedya sebagai tokoh sasterawan dan pejuang nasionalis setelah membaca beberapa karyanya. Akan tetapi saya berpeluang menemuinya hanya dua tahun selepas beliau bebas dari tahanan. Kebetulan masa itu saya di Jakarta menghadiri persidangan Asia Perspective anjuran United Nations University.

Selaku Presiden Persatuan Sains Sosial saya pernah mengundangnya untuk menghadiri sebuah persidangan antarabangsa di Kuala Lumpur pada awal 1980-an. Beliau hendak sangat hadir, tetapi tidak dapat kerana pergerakannya disekat. Beliau menghantar Joesoef Ishak, seorang wartawan dan bekas Setiausaha Pertubuhan Wartawan Asia-Afrika.

Pada tahun 1996 saya ke Jakarta bersama isteri untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Palestin, di bawah naungan PBB. Semasa sampai di airport, ada percubaan untuk menyekat saya masuk. Walaupun akhirnya dibenarkan, pasport saya dirampas. Tiada apa-apa berlaku ke atas isteri saya. Esoknya, bersama Sabariah, kami pergi mengunjungi Pak Pram.

Dari Kuala Lumpur saya membuat janji untuk bertemu dengan Pak Pram dan Abdul Rahman Wahid serta Megawati Soekarnoputri. Ada juga undangan untuk memberi ceramah mengenai Masyarakat Madani kepada golongan muda dalam Nahdatul Ulamak.

Semasa kami sampai di rumah Pak Pram, beliau sedang menyusun batu bata di laman rumah. Beliau nampak sihat. Walaupun tidak menerima surat saya, namun beliau menyambut kami dengan hangat serta mesra sekali. Duduk saja di ruang tengah rumah, kami terus berbual (sebenarnya saya serta Sabariah lebih banyak mendengar). Beliau rancak bercerita tetapi pendengarannya agak teruk.

Kebetulan isterinya baru sehari saja pulang dari menunaikan ibadah haji. Ada wakil dari surau/ masjid yang datang untuk berbincang tentang mengadakan kenduri kesyukuran. Kami sempat memakan buah tamar dan dua tiga jenis kacang yang dihidang oleh Ibu Pram. Sabariah menghadiahkannya buah tangan yang dibawa.

Pada kunjungan kali ini saya lihat rumah Pak Pram lebih baru dan cantik daripada dulu. Lantas saya bertanya dan beliau menjawab dengan tegas, ringkas dan penuh makna, “Saya mahu buktikan saya masih boleh hidup.”

Pak Pram pernah ditahan oleh penjajah Belanda, oleh tentera di zaman Soekarno dan akhirnya paling lama – 14 tahun di Pulau Buru – oleh regim Presiden Suharto. Ketika ditahan, perpustakaannya dibakar. Di pulau penuh paya dan nyamuk malaria yang tidak pernah didiami manusia itu, beliau bersama tahanan lain membina rumah dengan tenaga dan peluh sendiri. Telinganya rosak akibat hentaman buntut senapang oleh tentera.

Sepanjang tempoh tahanan di Pulau Buru, beliau tidak diberi qalam dan kertas. Betapa sedihnya ini bagi seorang penulis. Namun beliau menghasilkan empat novel yang terkenal dengan hanya mengarang dalam otaknya dan menceritakan kepada tahanan lain bersamanya berulang-ulang kali. Hanya selepas bebas pada tahun 1979 baru novel-novel ini dapat ditaip dan dicetak. Walaupun diterjemah ke dalam 37 bahasa, novel-novel ini, seperti tulisan-tulisannya yang lain, diharamkan di negara sendiri.

Pak Pram tidak berdendam. Bahkan kadang-kadang dia ketawa bila menceritakan sesetengah pengalaman pahitnya. Tetapi, sehingga akhir hayatnya beliau menentang kezaliman dan korupsi dengan suara lantang, berani, tegas dan tanpa kompromi. Begitulah kentalnya semangat Pak Pram.

Tiga jam selepas menemui Pak Pram, beberapa orang pegawai tentera dan imigresen memasuki bilik hotel kami. Kami disuruh berkemas dan dengan segera dihantar pulang ke Kuala Lumpur kerana saya dianggap sebagai persona non grata (orang tidak diingini). Tiga minggu kemudian regim Suharto berakhir.

Kita sering diingatkan tentang Pramoedya dengan Lekra. Masih belum jelas sama ada semua tindakan keras Lekra ke atas sesetengah budayawan dan sastrawan waktu itu atas arahan beliau sendiri. Namun, saya anggap ini sebagai satu kecacatan dalam sejarah gemilangnya.

Saya pernah bertanya seorang teman rapat Pak Pram tentang hal ini. Beliau menjawab, “Ya, bapak. Bagaimana jika dibanding dengan Suharto yang bertanggunjawab menyembelih hampir sejuta rakyat Indonesia, majoritas tidak berdosa, semata-mata kerana dituduh komunis? Pak Pram tidak membunuh sesiapa!” Saya terdiam.

Nota: Tulisan ini merupakan catatan peribadi mengenai Abu Bakar Hashim, Tun Ghafar Baba, MGG Pillai dan Pramoedya Ananta Toer yang meninggal pada penghujung bulan April 2006. Ia pernah terbit di dalam Suara Keadilan.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: