jump to navigation

Niat sebenar 'Lelaki Komunis Terakhir' Jun 7, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Pub.
trackback

Oleh: Fathi Aris OmarAmir Muhammad, sesuai dengan watak dan minat peribadinya, memang ada niat khusus sewaktu membikin Lelaki Komunis Terakhir, filem yang sebelum ini dilaporkan kontroversi tetapi disangkal Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan selepas menontonnya.

Rais yang menganjurkan tayangan filem 90 minit itu — berlatarkan beberapa fakta sejarah kehidupan Chin Peng, pemimpin utama Parti Komunis Malaya (PKM) — tidak menganggap filem ini sepenuhnya kuat dan menarik. 

“Tidak dibuat secara sepenuhnya profesional,” katanya kepada media selepas sesi tayangan tersebut di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) hujung minggu lepas. “Filem ini kelihatan amatur.”

Walau diselang-seli dengan gelak ketawa penonton, termasuk dari barisan anggota-anggota Parlimen dan wartawan, untuk babak-babak tertentu, Rais melihat dari perspektif lain.

Filem ini mengutamakan teks atau sari kata yang memerlukan perhatian khusus penonton tetapi tidak menumpukan pada pengukuhan jalan cerita (naration), katanya.

Amir, 34, menjelaskan memang hasratnya mencipta kesan sedemikian kepada penonton. Pengarah dan penerbit filem ini berkata beliau berniat “mengganggu” penonton melalui teknik-teknik persembahan seumpama itu, termasuk sengaja melanggar beberapa hukum konvensional filem dokumentari.

Baginya, kaedah dokumentari biasa, seumpama National Geographic atau Discovery hanya menjadikan penonton pasif dan selesa.

“Saya mahu penonton rasa tidak selesa, tidak pasif,” katanya dalam wawancara dengan mStar Online hujung minggu lalu, beberapa jam selepas tayangan tersebut.

“Saya mahu penonton participate (turut serta berfikir), biar mereka membaca teks (sari kata) dan menafsirkannya.”

‘Menterbalikkan’ tanggapan umum

Menjawab kritikan bahawa filem ini tidak mewawancara beberapa pihak lain, misalnya bekas perajurit atau pejuang nasionalis era tersebut, Amir berkata: “(Filem) ini bukan hasil kerja kewartawanan (yang harus adil dan berimbang). Ia sebuah filem (dokumentari) dan (hukum-hukumnya) sebahagian dunia sinema, bukan dunia kewartawanan.”

“Saya sengaja meninggalkan isi-isi utama (sejarah itu)… supaya penonton yang ingin tahu (cerita lengkap) mencari lagi, sendiri, fakta-fakta sejarah tersebut.”

Untuk mengganggu penonton, filem ini sengaja “menterbalikkan” tanggapan umum. Ia dimulakan dengan wawancara bersama seorang pemuda India, yang menjawabnya dalam bahasa Tamil di Sitiawan, sebuah pekan yang dikenali umum sebagai komuniti Cina dan tempat kelahiran Chin Peng.

Di Taiping, sebuah lagi pekan yang dekat perkaitannya dengan sejarah komuniti Cina tetapi Amir memilih menemubual pemuda Melayu yang fasih menggunakan loghat Hakka. Lelaki bujang ini menceritakan kegagalan alam persekolahannya dan hingga kini belum berkahwin kerana belum cukup wang.

Siri-siri wawancara dalam filem ini tidak memuatkan imej atau suara Chin Peng, atau nama asalnya Ong Boon Hua. Jika ada, hanya satu babak tentang Rundingan Baling 1955. Imej lelaki 82 tahun ini dimunculkan dalam bentuk lakaran kartun sahaja, yang dilukis kembali daripada foto sebenar peristiwa bersejarah pada 28-29 Disember tahun itu.

Sementara suara Chin Peng dan Tunku Abdul Rahman meminjam suara-suara pelakon tambahan tetapi dialognya diambil daripada transkrip sebenar rundingan tersebut. Imej-imej ini, tiga tokoh bagi pihak PKM dan tiga bagi pihak Inggeris sengaja digerak-gerakkan dengan agak tidak tentu arah sehingga menimbulkan rasa kurang senang penonton.

Amir berkata, ketiadaan wawancara dengan setiausaha agung PKM ini akan mencetuskan rasa kekosongan dan misteri yang berlarutan.

“Lagipun, saya tidak pernah berminat menemubual ahli-ahli politik,” katanya, mengulangi sikapnya seperti pernah diutarakan di laman web rasmi Red Films (www.redfilms.com.my), penerbit bersama dokumentari ini.

Pemujaan tokoh

Sewaktu ditanya sama ada dia bersimpati atau bersetuju dengan ideologi komunisme sehingga mendorong penerbitan dokumentari ini, Amir menjawab: “Dari segi teori, komunisme itu paling indah tetapi dari amalannya, ideologi ini membawa manusia ke arah (pemerintahan) kediktatoran.”

Dia juga berasa tidak selesa dengan komunisme kerana, baginya, ideologi ini terlalu mengagung-agungkan tokoh besar mereka. “Saya tidak suka pada pemujaan tokoh.”

Hasilnya, daripada lebih 80 wawancara sewaktu pembikinan filem ini, orang-orang kecil diangkat sebagai sumber utama, bukan tokoh atau orang besar, untuk menjelaskan landskap budaya dan perubahan sejarah negara ini.

“Tokoh tidak semestinya pemimpin negara atau orang terkenal,” katanya, sambil menegaskan beliau tertarik dengan semangat awal perfileman dokumentari yang merakamkan kisah hidup manusia pekerja di kilang-kilang.

Orang biasa, atau golongan terpinggir, diberikan perhatian dalam nada asli mereka sendiri kerana skrip untuk filem ini tidak disediakan dan wawancara tersebut semuanya secara impromptu, tanpa perancangan awal.

“Saya lebih suka mendengar (apa yang mereka ingin sampaikan). Saya tidak mahu menilai (pandangan) mereka,” katanya. “Saya cuba tidak menampakkan diri saya dalam wawancara. Biar ia (wawancara) membentuk dirinya sendiri. Saya tidak memaksa mereka bercakap mengikut idea saya. Suara (dan idea) mereka memang asli dari mereka.”

Amir menemui seorang pemuda Orang Asli, satu kumpulan minoriti yang tersisih, sewaktu mengait petai dan dalam lori kecilnya, pemuda itu menceritakan pengalaman suka-duka bekerja dengan taukeh yang mengaut keuntungan atas keperitan tenaga pekerja.

“Jika ekonomi baik, saya boleh dapat RM200-300 sehari,” kata pemuda ini dalam filem tersebut, menceritakan pengalamannya berniaga sendiri sehingga membolehkannya membeli lori kecil tersebut.

Tiga jenis petai

Untuk imej dan simbolisme saat-saat kemerdekaan negara pada 1957 pula, di penghujung filem ini, dua petugas jam besar di bangunan Sultan Abdul Samad diwawancara. Mereka menjelaskan kepentingan dan disiplin menjaga jam ini agar ia menunjukkan waktu dengan tepat, khususnya menjelang pukul 12 tengah malam 31 Ogos setiap tahun.

“Filem ini bukan sahaja tentang Chin Peng. Dia (watak sejarah ini) sekadar ‘benang merah’ sahaja,” katanya, sambil menambah karya ini sebenarnya tentang kelahiran bangsa dan negara Malaysia. “Saya ingin tunjukkan, orang-orang biasa inilah yang sebenarnya menyumbangkan kepada kelahiran bangsa ini.”

“Saya mahu menggambarkan ‘histroy in present tense’… Sejarah silam yang (dianggap) belum lepas daripada kita,” katanya, sambil menegaskan Lelaki Komunis Terakhir bertujuan mencapai matlamat ini.

Landskap negara zaman sekarang diberikan penekanan, bukan footage sejarah, bagi mencipta pertentangan dua realiti perjalanan sejarah negara: Malaya dalam era pra-1957 sebagai latar penceritaan tetapi gambarannya tentang perjalanan Malaysia sepanjang kira-kira setengah abad kemudiannya.

“Orang selalu membayangkan era komunisme atau zaman darurat itu banyak kekacauan, banyak intrig politik tetapi filem ini menggambarkan keselesaan hidup zaman sekarang,” katanya.

Namun, tambahnya, keselesaan zaman sekarang tidak pula bermakna semua kepahitan lampau sudah hilang. “Secara halus masih ada, dan saya tunjukkan itu dalam babak penjual petai di Bidor,” katanya. “Politik perkauman dan semangat perkauman masih ada sampai sekarang (sampai mempengaruhi selera pembeli petai).”

Penjual-penjual itu, masih muda, menjelaskan terdapat tiga jenis petai yang digemari oleh tiga etnik, setiap jenis untuk kaum tertentu!

Menurut pengamat sejarah, dasar perkauman ini berkembang bermula daripada dasar ”pecah dan perintah” penjajah Inggeris melalui identifikasi kaum berasaskan jenis perkerjaan dan geografi.

Seni aliran Brecht

Dengan sumber kewangan yang terhad, kira-kira RM80,000 termasuk promosi, Amir mengakui produksinya tidak mampu membeli footage yang baik seperti sering dilihat pada dokumentari sejarah yang lazim.

Dia pada awalnya cuba juga mendekati sebuah syarikat yang pernah menghasilkan dokumentari untuk Discovery Channel tetapi mereka mensyaratkan agar Chin Peng diwawancara. Syarat ini tidak disukai oleh Amir. “Jadi saya batalkan,” katanya.

Pendekatan dan teknik persembahan filem ini, jelasnya lagi, mengambil aliran “Brechtian”, satu ungkapan yang dikaitkan dengan teori dan teknik seni lakon yang dimajukan oleh Bertolt Brecht, seorang pengarah pentas, pelakon dan penyajak besar Jerman pada separuh pertama abad ke-20.

Brecht, dalam kegiatan seninya, bergelut dengan persoalan “bagaimana dan apakah cara memahami (belajar)?”, suatu persoalan yang asalnya dimunculkan oleh Vladimir Lenin.

Dari sini, pengarah yang terkenal dengan The Threepenny Opera membangunkan teori lakonan yang berpengaruh besar di serata dunia seni — penonton bukan hanya menikmati bahan kreatif di depan matanya dengan emosi, tetapi karya seni mestilah menggerakkan daya renungan rasional lagi kritikal.

Bagi Brecht, kelegaan emosi sewaktu berdepan dengan karya seni menyebabkan penonton terlalu santai dan ambil mudah.

Pengarah ini mahu penonton menggunakan akal dengan kritikal untuk mengenali penyakit-penyakit sosial yang dipersembahkan melalui karya seni, kemudian beralih daripada tontonan kepada tindakan mereformasikan masyarakat.

Juga dikenali “teater epik”, aliran Brecht melihat karya seni bukan sekadar persembahan atau peniruan realiti tetapi lebih mengutamakan idea dan mempelawa khalayak membuat penafsiran secara aktif.

‘Big Durian’ yang sinis

Watak-watak dicipta bukan dengan niat menyalin semula dunia sebenar tetapi sebagai mewakili sisi-sisi bertentangan sesuatu perbahasan, stereotaip (kelaziman) atau arketaip (model asal yang menjadi ikutan).

Menurut aliran ini, penonton harus sedar bahawa dia sekadar menonton lakonan (satu ciptaan) dan dengan itu harus menjarakkan emosinya daripada persembahan. Konsep ini secara ilmiah disebut “kesan keasingan” atau “kesan kejanggalan” — Verfremdungseffekt, istilah asal Brecht.

Teknik yang pernah dipakai Brecht untuk mencapai kesan-kesan ini disebut “historification”, penyakit-penyakit sosial hari ini disampaikan serta dikritik melalui penceritaan bahan-bahan sejarah, bukan diambil daripada kejadian sebenar zaman sekarang.

Brecht banyak mencerekakan cerita yang diangkat daripada latar peristiwa atau tokoh sebenar dalam sejarah yang dianggap sejajar dengan kritik sosial yang beliau mahu penonton fikirkan.

Satu persoalan besar di kalangan penggiat seni: Apakah karya seni atau filem yang mengajak penonton berfikir, bukan berhibur semata-mata, akan mendapat sambutan di negara kita?

Amir sedar gejala ini dan menggambarkannya sebagai “fear of complexity” atau ketakutan pada sesuatu yang rumit dan membingungkan. “(Orang kita anggap) sesuatu yang tidak boleh difahami dengan mudah tidak perlu diketahui dan dipelajari lagi,” katanya, sambil menambah sikap mereka terhadap komunisme atau ideologi politik kiri masih sangat dangkal.

Sewaktu mengikuti program zamalah Cendekiawan Awam Asia (API) di Tokyo pada 2003, Amir selama enam bulan sempat menelaah dokumentari di pejabat yang menganjurkan Festival Antarabangsa Filem Dokumentari Yamagata. Di sini beliau mendapat pendedahan beberapa jenis dan gaya persembahan dokumentari.

Di acara ini, dokumentarinya Big Durian menerima ‘special mention’ (sebutan istimewa) bagi kategori ‘New Asian Currents’ yang mencalonkan 30 filem hasil sentuhan pengarah-pengarah baru dari Asia.

“Tidak, saya tidak terlalu sinis. Big Durian lebih sinis,” katanya, apabila dipersoalkan unsur-unsur sinis dan komik yang diolah dalam Lelaki Komunis Terakhir itu seakan-akan menyerupai stail penulisannya di kolum-kolum akhbar.

Big Durian — mengisahkan peristiwa politik yang tegang di Kuala Lumpur pada 1987 susulan amukan seorang tentera yang dikenal “prebet Adam” — bagaimanapun tidak menimbulkan kontoversi seperti sekarang kerana ia tidak pernah melalui penilaian Lembaga Penapisan Filem (LPF). Filem ini pula ditayangkan secara tertutup di kalangan tertentu sahaja, bukan untuk khalayak umum.

Munshi Abdullah ke Peru

Dengan pendekatan aliran Brecht itu, Lelaki Komunis Terakhir sengaja mengabaikan dua sumber penting sejarah, wawancara dengan seorang bekas anggota Force 136 dan seorang lagi ahli jawatankuasa Persatuan Bekas Perajurit Malaysia (PBPM) di Pahang.

“Penampilan mereka terlalu selesa, mereka bercakap perlahan-lahan, tidak dinamik,” jelasnya. “Kerusi (di rumah mereka) macam ‘mak datin’, (imej begini) terlalu mainstream. Saya tidak masukkan kerana tidak sesuai dengan keseluruhan (komposisi) filem ini.”

Wawancara dengan tiga ahli akademik dan juga aktivis dari sebuah institut pengajian tinggi awam turut dibuang. “Membosankan (wawancara ini),” katanya.

Dengan niat “mengganggu” penonton agar mereka berfikir, sekarang nampaknya pihak berkuasa benar-benar “terganggu”, termasuk judul filem ini dianggap tidak peka pada beberapa pihak. Jadual tayangannya pada 18 Mei pula dianggap tidak sensitif dengan sambutan ulang tahun Umno ke-60 pada 11 Mei baru-baru ini.

Tetapi Amir belum berasa serik. “Orang masuk penjara pun tidak serik,” katanya, apabila ditanya sama ada beliau rasa tertekan sekarang atau berhasrat mencari pendekatan lain untuk filem berikutnya ekoran kontroversi ini sejak larangan filemnya pada 5 Mei.

Dia sekarang sedang berfikir untuk mendokumentasikan Kisah Pelayaran Abdullah (siap 1849), olahan kembali karya besar Munshi Abdullah, khususnya perjalanan tokoh ini ke Kelantan dan Terengganu pada tahun 1838. Walaupun diolah daripada catatan perjalanan sebenar dan dianggap satu fakta sejarah, rakaman ini tidak dirancang diadakan di dua negeri di Pantai Timur ini.

Filem yang diilhamkan daripada Kisah Pelayaran Abdullah akan dirakam di Peru selama kira-kira sebulan pada Disember tahun ini. Kenapa Peru?

“Kalau kita gali bumi (lurus) dari Kelantan atau Terengganu, (kalau tembus) kita akan sampai ke Peru,” katanya. Peru dipilih kerana negara ini antipode (jarak terjauh yang bertentangan di atas muka bumi) dengan dua negeri ini.

Katanya, ilham untuk meneroka karya Munshi Abdullah datang sewaktu beliau membikin Lelaki Komunis Terakhir. Apakah mungkin kontroversi sekali lagi apabila Munshi Abdullah ditafsir belayar ke Peru? Jawapannya kini di tangan Amir…

Nota: Fathi Aris Omar, penulis kolum, juga seorang aktivis pro-kebebasan bersuara dan menerbitkan buku Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi (Feb 2005) selain baru sahaja menyiapkan kajian tentang ‘Post-Soeharto Indonesia Public Sphere’ di Jakarta, Indonesia. Penulis pernah bergiat cergas dalam gerakan pelajar dakwah 1983-1991. Manakala, artikel ini pertama kali diterbitkan di MstarOnline (kolum Pojok) pada 25 Mei 2006.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: