jump to navigation

Rentak Salahuddin Jun 7, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Malaysia Baru.
trackback

Oleh: Ahmad Lutfi OthmanKeberanian Ketua Pemuda PAS mengalu-alukan ‘coming-back’ Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘Ketua Pembangkang Negara’ menimbulkan reaksi berbeda para perwakilan di Muktamar Pemuda PAS pagi 6 Jun 2005.

Memang jawatan ‘Ketua Pembangkang Negara’ tidak wujud. Yang ada secara rasmi ialah Ketua Pembangkang di Parlimen, yang ketika ini disandang oleh Lim Kit Siang. Di pihak parti-parti pembangkang, mereka yang menerajui ketua-ketua parti ialah Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS), Dr Wan Azizah Wan Ismail (KeADILan) dan Lim Guan Eng (DAP). 

Lain-lain pemimpin pembangkang yang menonjol ialah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS dan Anwar Ibrahim, penasihat KeADILan.

Apakah apabila Salahuddin Ayub menimbulkan isu berkaitan Mahathir bermakna beliau tidak melihat kemampuan dan keupayaan pemimpin-pemimpin dalam barisan pembangkang sekarang tiada potensi?

Apakah kehadiran Anwar, yang membuat pengakuan beberapa kali, bahawa beliau akan kembali aktif dalam politik tanahair bersama barisan pembangkang, setelah sekian lama berada di luar negara, khususnya di Amerika Syarikat, tidak begitu diyakini, terutama untuk membuat lonjakan bermakna menjelang pilihan raya akan datang?

Dalam ucaptamanya, Salahuddin menekankan: “Kita menyeru pemimpin tertinggi PAS supaya mengambil inisiatif bagi mewajahkan semula BA dengan penampilan yang lebih ceria. Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam apa keadaan pun pada hari ini adalah ikon pembangkang yang mesti digemblengkan.

“Anwar tidak seharusnya terus menjadi pemimpin elit, sebaliknya beliau memasti menjadi pemimpin rakyat yang mengetuai gelombang kedua reformasi setelah lebih lima tahun rakyat berjuang untuk menegakkan keadilan buat beliau. Kini rakyat sedang menunggu giliran beliau pula memacu keadilan untuk rakyat.”

Dengan pengakuan jujur Salahuddin itu, maka ia secara terbuka menunjukkan bahawa beliau masih yakin potensi yang ada pada Anwar, Ustaz Hadi dan juga pimpinan DAP, untuk bersama-sama menggerakkan kembali kebangkitan rakyat, yang pernah mencatatkan sejarah pada era akhir 1998-1999 dulu.

Keberanian Salahuddin sekali lagi terserlah apabila beliau melontarkan idea yang rasanya tidak mudah untuk diterima khalayak perwakilan Pemuda, iaitu mengenai hubungan dengan DAP, yang pada kaca mata umum, sudah berkerat rotan dengan PAS.

“Pemuda PAS tidak akan berputus asa,” tegas Salahuddin, “untuk terus berjiwa besar menyatukan pandangan dan pendirian semua pihak untuk kepentingan Islam, meningkatkan martabat bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara. Saya juga tidak pernah berputus asa untuk terus bekerjasama dengan DAP dalam isu-isu rakyat dan kemanusiaan walaupun mereka menolak pendirian kita dalam soal negara Islam. “Satu hari esok kita yakin generasi muda dalam DAP hari ini akan dapat memahami dan menerima dasar perjuangan kita, insya-Allah.”

Reaksi sesetengah perwakilan sememangnya sudah diduga; tidak mudah untuk mereka menerima Dr Mahathir mengenangkan segala perilaku bekas Perdana Menteri itu, terutama dalam beberapa kes yang disebutkan, antaranya tragedi Memali, sekatan sekolah agama rakyat (SAR), pemansuhan royalti minyak kepada Terengganu.

Pengalaman pembentukan beberapa eksperimen persefahaman politik PAS dengan parti-parti lain sebenarnya menarik untuk dikaji, khususnya selepas era kepemimpinan ulama. Bermula 1986, PAS mendekati parti-parti yang dilihat “nyamuk”, juga dengan sekumpulan masyarakat Cina dalam CCC. Diikuti pakatan dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang menubuhkan Semangat 46, yang juga tidak mudah, apabila kritikan dan kecaman dilemparkan kepada Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Ustaz Fadzil juga, secara pantas dan tangkas, mengikat Anwar Ibrahim selepas beliau dipecat dan diaibkan pada 2 September 1998. Mungkin jika Ustaz Fadzil merujuk dulu hasratnya untuk mendampingi Anwar kepada pimpinan PAS lainnya, fenomena politik 1998 itu tidak sesegar yang dirakamkan.

Salahuddin dan teman-temannya dalam Pemuda pasti melihat potensi bukan saja terhad kepada barisan pembangkang, malah sebarang anasir yang dilihat boleh bersama-sama memartabatkan suara rakyat yang sekian lama tertindas.

Bercakap soal pilihan raya akan datang, tidak dapat tidak unsur-unsur baru, selain potensi kekuatan sedia ada, mesti dicanai dan dikembangkan. Memang tidak mudah menarik Mahathir ke kem pembangkang, namun dalam politik segala kemungkinan tidak boleh ditolak. Mungkin sifat persefahaman politik dengan Mahathir itu berbeda dengan pengalaman bersama Ku Li dan Anwar.

Masa sama, suara-suara teguran dari dalam pasti akan timbul, dan ia sebenarnya bukan perkara pelik, malah sesuatu yang memantapkan PAS selama ini. Keterbukaan PAS menerima idea dan pendekatan baru terbukti sudah.

Sepertimana Ustaz Fadzil masak dengan segala pengalaman politiknya, membentuk Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif, maka pimpinan sekarang seharusnya bersedia untuk menangani segala asakan jika mahu melakukan eksperimen politik seterusnya.

Apa pun secara peribadi saya menunggu rentak Salahuddin seterusnya, terutama berkaitan faktor Mahathir dan DAP, juga kesediaannya untuk mencabar pemikiran tradisi parti.

Tidak mustahil gerak mula Salahuddin itu akan disambut pelbagai reaksi, yang akhirnya boleh merumuskan suatu fenomena baru dalam percaturan politik tanahair.

Note: Ahmad Lutfi Othman, mantan aktivis kampus, telah memulakan kariernya kewartawanannya di Harakah di samping pernah menerbitkan buku-buku politik dan akhbar-akhbar tidak berkala. Dalam era reformasi 1998, beliau mengendalikan Detik dan Wasilah, sebelum majalah terbitannya tersebut diharamkan. Kini, beliau kembali menyertai Harakah sebagai ketua pengarang, selain turut memimpin akhbar maya, DetikDaily.net.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: