jump to navigation

Bunga dalam Al-Qur’an Jun 8, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Buddi HekayatSeorang anak Yahudi; seorang lelaki Muslim; sebatang jalan di Paris… Blue Road. Dari sana kita bisa menemukan wajah-wajah humaniti dengan latar atau setting yang seakan-akan sama cocoknya. “Humaniti” menjadi persoalan yang semakin tertinggal tatkala interaksi dan hubungan sering dianggap berpenghujung dengan konflik dan ketegangan.

Interaksi dan hubungan: konflik dan ketengangan—kedua itu tidak hanya berlaku ketika orang mencemoh tentera Amerika di Iraq atau Arien Sharon yang dianggap sebagai “samurai Israel,” tetapi juga dalam kasus Mohammad Abdullah alias M. Moorthy, dan kemudiannya dicuba lagi kepada Nyonya Tahir—dengan Mahkamah Syariah memutuskan seorang itu Muslim, dan seorang lagi tidak. Cuma, tidak seluruhnya dapat dijawab di liang lahad, melainkan ada yang tersisa untuk yang kembali pulang daripada semua upacara talkin. 

Misalnya, bagaimana kita bisa menduga selepas isu selingkar Artikel 121 dipapar mewah di surat-surat khabar; hubungan antara peniaga kecil yang menjaja bunga di Batu Caves yang agamanya Hindu, dengan, pegawai Perbandaran yang Islam. Misalnya lagi, pak haji-pak haji yang duduk tiap petang di kopi tiam di dekat pekan Semerah, yang, roti bakarnya dihadangkan peniaga Tiong Hua dengan berseluar pendek.

Media—ketika dirinya menjadi kecanduan kepada politik kekuasaan— selalu membawakan agama dengan sisi yang menakutkan. Dan Tuhan seolah-olah dengan muka yang legam.

Setahun lalu, saya menonton filem yang diadaptasi daripada novel Eric-Emmanuel Schmitt, Monsieur Ibrahim und die Blumen des Koran (“Monsieur Ibrahim dan bunga mekar di dalam Quran”). Cetakan pertamanya diluncurkan pada Oktober 2002, dalam bahasa Perancis. Kepada filem, tajuknya dipendekkan menjadi Monsieur Ibrahim, dengan disutradarai Francois Dupeyron. p> Paris, awal 1960-an; “Blues” Road, musim panas…

Moise, seorang anak Yahudi yang umurnya baru melewati 16 tahun. Dia dipanggil dengan nama “Momo”, dan mahu sekali mencuba seks buat julung kali. Dia belum punya kekasih—dan sang ayah yang tak tentu hidupnya; yang membenci musik rhythm dan blues. Dengan latar irama rancak sezaman seakan-akan menjadi platform untuk “pemberontakan” yang berlangsung sekira-kira sepuluh tahun kemudian di kalangan anak-anak mahasiswa dalam apa yang dikenali sebagai “new left movement.”

Anak ini murung, pendiam, dan terlupa untuk senyum; dia hadir daripada keluarga yang pecah. Ibunya tidak pernah dia temukan sejak lahir, dan bapanya, yang tiap hari akan keluar rumah dini. Pulang lewat. Mereka punya ruang bercakap-cakap hanya di dekat meja makan, dan Momo, setiap malam, menghidang masakan. Anak ini tidak punya teman, melainkan angan-angan.

Di jalan yang boleh dilihat dari jendela apartmentnya, Blue Road—jalan di mana para pelacur kelas bawah memperaga tubuh sepanjang masa.

Kisah ini berpusat di “kedai Arab”—itu kedai runcit—di seberang jalan. Tuan punya kedai, Monsieur Ibrahim yang tua, yang bukan Arab. Dia asal Turki, tapi, bagi penduduk sekitar Blue Road, lelaki Muslim itu mudah-mudah dianggap berdarah Arab. Momo ke kedai Arab tiap hari, dan setiap kali dia membeli beberapa barang keperluan, terutama untuk bapanya, tidak sah kalau dia tidak mencuri mana yang boleh dikocek. Monsieur tahu. Tapi, dia tidak pernah menghalang.

“Kedai” adalah pasar kecil, dan “pasar” adalah tempat di mana manusia bertemu, berinteraksi, dan berhubungan—sering sahaja pasar memainkan peran ini lebih berjaya daripada mana-mana rumah ibadat, atau mana-mana badan media. Blue Road itu sendiri merupakan “pasar terbuka” dengan di sana manusia bertemu di “kedai Arab,” rumah-rumah pelacuran dan festival yang diadakan di sepanjang jalan saban tahun. Di sana juga pada suatu hari “imaginasi populariti” sempat singgah: sebuah produksi filem yang membuat pengambaran—wanita yang cantik, kereta yang mahal.

Berbanding, misalnya dengan novel Naguib Mahfouz Midaq Alley [yang juga dipindahkan ke medium filem] Blue Road atau “Jalan Biru” itu bukan wilayah di mana manusia bisa berpura-pura. Dalam Midaq Alley hiprokrasi manusia-manusia di Lorong Midaq, di dekat Kairo, dibongkar. Sylvie adalah ‘Salma Hayek’ bagi Momo dalam filem Monsieur Ibrahim; pelacur kulit hitam itu dia langgan untuk membuatkan dia tahu tentang seks yang riil. Momo tidak [perlu rasa] bersalah, lebih-lebih lagi, filem ini ‘terikat’ dengan latar undang-undang Perancis yang mengizinkan anak lelaki punya hubungan seks selepas umurnya enam belas.

Namun, di zaman mana pun, kita tahu manusia tidak bisa hidup dengan undang-undang semata-mata. Kalau pun tidak di desa-desa kecil seperti Pekan Semerah, di Kuala Lumpur, lebih-lebih lagi di Paris, akan tetap ada etos yang “memantau” laku orang muda. Ia seperti “big brother.” Di sinilah tafsir “kebebasan muthlak” memang tidak pernah wujud—tapi ada bedanya dengan kebebasan yang nyaris mati, terutamanya di kota seperti Kuala Lumpur sampai ke Pekan Semerah, hari ini.

Pujukkan pun jauh lebih mustahak—terutama apabila anak-anak itu sedar yang “seks riil” bukan hal yang tertinggi. Bukan matlamat hidup yang paling besar. Monsieur (lakonan Omar Sharif) menyuluhkan kesedaran ini kepada Momo. Dia berbeza dengan semua lelaki (dan “kuasa lebih atas” lainnya) yang selalu tidak punya “diskusi”, melainkan setiap kata adalah pemutus bicara. Yang muda, seperti Momo, harus sahaja menurut. Secebis sifat “utilitarian personality” ada pada bapa Momo—lelaki itu juga akhirnya gagal untuk melangsungkan hidup, sekalipun dia punya “kuasa” kepada anak lelakinya yang terus patuh menyediakan makan malam, atau membelikan tisu jantan. Momo, dia tinggalkan, dengan sepucuk surat, dan sedikit wang.

Persuasion seperti yang ditunjukkan oleh Monsieur adalah tidak, misalnya, menghalang Momo daripada menyewa perempuan lacur; selain, selalu mengajak untuk perkara yang lebih “jauh.” Monsieur menunjukkan karektor yang lebih kuat, sehingga, Momo bertanya-tanya, akan “siapakah” atau barangkali juga “apakah orang tua ini?” Sejak ini, hubungan pun terbangun. Begitulah pada suatu hari Monsieur memberikan secara percuma barang dapur yang banyak kepada Momo, tanpa bayar—jumlah barang-barang itu tidaklah sebanyak daripada apa yang ia curi sebelumnya sekalipun. Berbanding orang dewasa, mencuri bagi kanak-kanak sudah tentu bukan hal yang cela-berdosa.

Suatu hari, jawapan mungkin mula terbuka, apabila, Monsieur mengajak Momo bersiar-siar ke taman di Paris. Sebelum itu, dia membelikan sepasang kasut baru buat Momo—juga di hati Momo, dengan kasut itu, dia lebih bisa memikat mana-mana gadis yang berkenan di hatinya. Monsieur membuka “rahsia” diri, dan leluhur darah keturunannya. Dan, sudah tentu, rahsia kekuatan karektor diri adalah apabila dia berpandu “Quran-nya” sendiri.

Monsieur pun segera membeli sebuah kereta mewah, seperti yang diidam-idamkan Momo; sepertimana kereta yang dilihat Momo ketika pengambaran filem yang pernah dibuat di Jalan Biru tempohari. Dengan kereta ini, mereka berdua akan membelah benua, dan Monsieur hendak pulang ke kampong halaman. Dia mahu bertemu isterinya. Momo yang sebatang kara, harus menemani perjalanan itu; gurun dan pekan-pekan, desa dan perkampungan, biru tasek, padang, dan musim yang berubah…

Selepas melalui perjalanan yang panjang, beberapa kilometer sebelum sampai ke kampong halaman Monsieur, Momo di minta turun daripada kereta, dan menantikan seseorang yang akan datang mengambilnya.

Monsieur segera kemalangan. Kepalanya berdarah, dan seorang orang kampong menjemput Momo, membawa anak itu bertemu di rumah asal Monsieur. Di sana, tidak ada isterinya—Monsieur kemudiannya berkata bahawa isterinya sudah lama mati, dan dia perlu untuk “pulang” kali ini adalah untuk “bertemu” dengan si isteri yang sangat ia cinta, dan rindu. Cuma, ada sebuah pesan yang lewat, iaitu, tentang “Quran-ku.” Di sana segala misteri hubungan dan kekuatan sikap Monsieur, ke dalam “Quran-ku”: kitab, yang baginya, ia tafsir secara peribadi-peribadi. Antara yang Muslim, dengan, anak lelaki itu, yang Yahudi.

Di babak terakhir, kita lihat Momo (lakonan Pierre Boulanger) pulang ke “pasar” dan ke “kedai Arab.”

Saya tidak menemukan “Monsieur Ibrahim” di mana-mana pun di Kuala Lumpur. Hanya tahun lalu, saya memilikinya daripada Taman Ismail Marzuki, Jakarta. Saya tidak menemukan ini ketika masyarakat kita mungkin tidak bermula dengan hipokrasi seperti di “Lorong Midaq,” tapi kita juga tidak sejujur orang-orang di “Jalan Biru.” Momo yang di Paris diserahkan oleh seorang peguam kepadanya akan sebuah Al-Quran lama, dengan di halaman satu terkatup sekuntum bunga yang tidak kering habis, yang warna asal seraya masih kekal.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: