jump to navigation

Kongsi raya: Budaya atau agama? Jun 20, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Pub.
trackback

Oleh: Fathi Aris OmarKongsi raya atau rumah terbuka untuk masyarakat bukan Islam tidaklah secara mutlak dilarang dalam Islam. Tetapi persoalan ini boleh ditafsirkan mengikut sisi pandang kita sendiri.

Walau pada asalnya dilaporkan Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan keputusan melarang sambutannya di kalangan orang Islam tetapi penjelasan Mufti Perak semalam (18 Jun 2006) menunjukkan persoalan ini lebih anjal.

“Ya, (boleh) tetapi bukan dengan niat menyambut perayaan tersebut,” kata Datuk Harussani Zakaria dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar semalam, apabila ditanya sama ada orang Islam diizinkan hadir di majlis perayaan bukan Islam.

“Sebab kita ini masyarakat yang berbilang kaum dan kita tinggal berjiran dalam sesuatu kawasan kejiranan (orang Islam dibenarkan) menghadiri majlis keraian apabila diundang. Kita (ke acara itu) semata-mata memenuhi undangan, bukan menyambut perayaan tersebut.”

Hadir boleh, jelas beliau, tetapi dengan niat memenuhi undangan. Secara tidak langsung, berada di majlis berkenaan tidak secara mutlak dilarang.

Tetapi kenapa majlis fatwa menyarankan kepada kerajaan untuk mengharamkannya? Bukankah lebih wajar pandangan jelas ini awal-awal lagi disampaikan kepada masyarakat Islam, khususnya kerajaan, bagi mengelakkan kontroversi dan bagi merapatkan lagi perhubungan antara kaum?

Memang sulit untuk menyatakan kehadiran di majlis perayaan bukan Islam suatu tindakan keagamaan. Hadir di sebuah rumah ibadat bukan Islam pada hari perayaan lebih kuat nilai keagamaannya — mungkin hujah ini lebih relevan.

Tetapi kehadiran di rumah, seperti restoran atau dewan orang ramai, tidak 100 peratus boleh dikatakan perhimpunan yang mempunyai nilai keagamaan, apatah lagi ruang ini disediakan untuk acara beramah mesra dan makan minum, bukan ritual keagamaan.

Dalam konteks pemimpin politik, sambutan seumpama ini ada hasrat politik yang lebih penting — sesi bertemu penyokong dan orang ramai dalam suasana harmoni dan berbaik-baik sangka.

Perayaan, dalam tradisi manusia, memang dikaitkan dengan kegembiraan dan politik, yang sering pula dikaitkan dengan perseteruan, boleh diturunkan suhu konfliknya jika perayaan (termasuk agama) dijadikan medan beramah mesra.

Dalam masyarakat moden yang kompleks seperti hari ini, berbeza dengan masyarakat tribal, unsur agama dalam sesuatu perayaan bukan sahaja boleh diselimuti unsur politik atau budaya, tetapi juga ekonomi.

Sambutan Krismas atau Aidilfitri sarat dimensi kebudayaan dan ekonominya — seolah-olah ekonomi pasar (market ekonomi) berkembang pesat di pusat-pusat membeli-belah sehingga unsur-unsur ibadat menurun di peringkat yang kurang signifikan.

Misalnya, pasar Ramadan — dimensi ibadatkah yang terpancar di sini atau dimensi ekonomi?

Masyarakat Islam sendiri berdepan dengan sambutan hari raya yang mempunyai dimensi agama di satu sisi dan, dalam konteks yang lain pula, dimensi budaya.

Misalnya, sambutan Aidilfitri. Membayar zakat fitrah, bertakbir, berkhutbah raya dan menunaikan solat hari raya memang mempunyai konotasi dan dimensi agama yang kuat tetapi berkunjung dari rumah ke rumah selepas itu tidak lagi mempunyai dimensi agama; sebaliknya tinggal dimensi budaya.

Aidilfitri, dalam pandangan Islam, hanya disambut pada 1 Syawal sahaja dan ibadat bertakbir terkhusus pada hari ini. Tetapi masyarakat Islam, khususnya di kota besar seperti Kuala Lumpur, menyambut Aidilfitri selama sebulan!

Semuanya ini pastilah bukan perayaan agama tetapi perayaan kebudayaan yang berakar-umbi dalam ibadat berpuasa di bulan Ramadhan. Aidifitri memang dikaitkan dengan ibadat keagamaan umat Islam tetapi sambutannya telah dicernakan dalam wadah kebudayaan.

Pendek kata, tidaklah jelas batas keagamaan atau kebudayaan sesuatu perayaan kecuali bagaimana kita melihat dan menafsirkan persoalan ini.

Pandangan Harussani, dalam wawancara ini, lebih mendekati hasrat merayakan masyarakat berbilang-bilang kaum dan agama, berbanding laporan awal yang menyatakan kongsi raya atau rumah terbuka tidak boleh disambut oleh masyarakat Islam.

Fatwa seumpama ini meletakkan masyarakat Islam terasing daripada masyarakat lain. Dalam keadaan agama mudah dieksploitasi untuk bermacam-macam kepentingan, khususnya politik, dan dalam arus globalisasi yang mendedahkan kita kepada pertembungan nilai, sukar sekali mempertahankan kepentingan dan kekuatan hujah Majlis Fatwa Kebangsaan.

Suara-suara seumpama ini seolah-olah mewakili agama yang sektarian, yang tidak mendukung serta menyuburkan semangat hidup bersama secara aman (peaceful co-existence), satu prinsip yang bukan sahaja dekat dengan Islam tetapi diterima umum sebagai satu nilai moden.

Nota: Fathi Aris Omar, seorang wartawan di akhbar dalam talian (online paper) mStar Online (www.mstar.com.my), boleh dikenali melalui blognya Patah Balek (http://patahbalek.blogspot.com) atau bukunya Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi. E-melnya, faomar@yahoo.com. Pandangan ini bersifat peribadi dan diedarkan secara percuma.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: