jump to navigation

Tanggapan Islam terhadap pluralisme Jun 21, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Mohd Hilmi RamliPerbahasan mengenai pluralisme dan liberalisme agama yang dicetuskan oleh Dato’ Seri Ustaz Harussani dalam Muzakarah Ulama di Perak minggu lepas menarik perhatian ramai. Sememangnya isu agama amat sensitif terutamanya melibatkan hubungan sosial dalam kepelbagaian kaum dan agama seperti di Malaysia ini.

Justeru, ia telah membuka ruang yang luas dan mengajak ramai pakar dan ilmuwan untuk berbincang dan memberi pandangan. Sebelum melangkah jauh perlu dijelaskan apakah tujuan dan maksud pluralisme agama yang dimaksudkan oleh Dato’ Seri Ustaz Harussani selaku mufti Perak yang terkenal dengan keberanian dan kelantangannya bercakap tentang kebenaran.

Pluralisme yang dimaksudkan oleh beliau adalah kewujudan satu pemikiran yang mengiktiraf bahawa semua agama adalah sama, menuju kepada kemuncak ‘kebenaran yang sama’. Segala bentuk ibadat, aktiviti agama merupakan ‘bentuk’ yang berbeza- beza.

Sebagai contoh, sekiranya Islam menunaikan ibadat dengan cara solat, menunaikan ruku’, sujud, dan sebagainya, manakala penganut Budhha beribadat dengan hadir ke kuil, penganut Kristian hadir dan bertafakur di gereja setiap hari Ahad, dan pelbagai lagi bentuk ibadat yang wujud di muka bumi ini.

Menurut mereka yang berpegang kepada pemahaman ini, semua bentuk ibadat itu benar dan diiktiraf, kerana menuju kepada satu ‘kebenaran yang hakiki’, iaitu Tuhan. Bagi umat Islam Tuhannya ialah Allah, manakala Kristian Jesus, dan pelbagai lagi yang mempunyai nama Tuhan masing- masing.

Barangkali, ada yang melihat pluralisme dari sudut sosiologi, falsafah mahupun sains sosial, yang mengatakan bahawa pluralisme merujuk kepada kewujudan kepelbagaian jenis manusia yang mempunyai berbagai kepercayaan dan pendapat dalam sesuatu masyarakat.

Dalam konteks yang sebenar seperti di Malaysia, hakikatnya kita sebagai rakyat Malaysia hidup dalam kepelbagaian kaum dan agama, dan secara tidak langsung bagi yang berfikiran waras memahami hakikat pluralisme walaupun tidak secara sistematiknya dan mengikut disiplin pemikirannya.

Rakyat Malaysia yang hidup dalam pluralisme ini, iaitu kewujudan penganut Islam, Hindu, Kristian dan lain-lain dan kewujudan bangsa, fahaman, pemikiran mahupun gaya hidup merupakan satu ketetapan yang perlu disokong dan dipertahankan.

Sekiranya ada usaha untuk memecah-belahkan status quo yang sudah ada ini, seharusnya ia ditentang habis-habisan. Konsep keamanan dan perpaduan merupakan konsep universal yang diperjuangkan oleh semua agama mahupun pemahaman di dunia ini. Mengapa pula pemahaman yang murni ini perlu dipertikaikan?

Dalam konteks pluralisme agama yang dimaksudkan oleh Dato’ Seri Ustaz Harussani, merupakan konteks yang di luar pemahaman pluralisme menurut kaca mata sosial sains. Selaku mufti, mahupun ulama yang sentiasa berpegang kepada kebenaran, beliau wajib bercakap benar dan memperjuangankan kebenaran dan keadilan. Teguran seorang mufti bukan teguran yang berkepentingan, akan tetapi merupakan satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah swt sekiranya tidak menjalankan tugas dengan baik.

Seperti juga mana- mana profesion mahupun bidang, seorang yang pakar itu berhak dan berautoriti mengatakan sesuatu sekiranya ianya berkait-rapat dengan bidang kajiannya. Sebagai contoh jika berlaku tanah runtuh, pandangan pakar geologi dikira berautoriti dan wajar dijadikan panduan. Kita tidak akan merujuk kepada tukang kebun, jurutera mahupun guru, ataupun kita bangkang bulat-bulat apa yang dikatakan oleh pakar geologi tersebut.

Seperti juga peranan seorang mufti yang dilantik oleh pemerintah. Beliau tidak akan dilantik sekiranya tidak pakar dalam bidang tersebut. Malah tugas seorang mufti juga amanah besar yang perlu disempurnakan sekiranya berlaku hal ehwal yang berkaitan dengan umat Islam. Dalam konteks inilah, penghormatan kepada autoriti seorang ulama yang pakar dalam selok-belok fiqh dan hal ehwal umat Islam perlu diberi perhatian.

Sekiranya tidak ada penghormatan kepada autoriti agama seperti mufti ataupun ulama, seseorang itu secara tidak langsung telah dipengaruhi oleh fahaman liberalisme agama, iaitu yang anti kepada autoriti dan berpegang kepada konsep dekonstruksi tradisi. Faham dekonstrusi ini berakar hebat di Barat apabila semua autoriti agama boleh dipertikaikan dan dipermain-mainkan.

Memang, dalam sudut yang berlainan, semua ulama mahupun mufti tidak maksum, hanya Nabi Muhammad (saw) sahaja yang maksum. Mereka berhak ditegur dan diperbetulkan. Akan tetapi bukan terus menolak pandangan mereka itu. Sekurangnya raikan pandangan mereka selaku yang berautoriti dan perbaiki di mana kelemahannya.

Bahaya pluralisme agama yang dicetuskan oleh ustaz Harussani perlu diambil perhatian serius, kerananya melibatkan akidah umat Islam sendiri. Umat Islam tidak perlu bimbang dengan akidah umat lain, kerana bukanlah tanggungjawab wajib yang perlu diberi perhatian.

Walaupun secara adabnya, kita perlu saling hormat-menghormati dan memastikan semua agama sentiasa dipelihara dengan baik. Dalam konteks pluralisme agama ini, sekiranya fenomena ke’pluralisme’an dibiarkan berterusan tanpa kawalan, akhirnya meleburkan identiti Islam itu sendiri dan meleburkan tujuan kehadiran seorang yang bergelar Muslim.

Kesan kritikal yang bakal wujud ialah apabila Islam itu sendiri sudah tidak lagi dianggap sakral mahupun satu agama wahyu yang diturunkan oleh Allah swt melalui malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad (saw), dan Islam merupakan agama terakhir yang menasakhkan agama-agama wahyu sebelum ini seperti yang diturunkan melalui kitab Taurat, Zabur dan Injil. Islam diturunkan melalui kitab Al- Quran Al- Karim, merupakan mukjizat yang kekal sehingga hari kiamat. Dalam satu kisah, saidina Umar sedang membelek-belek cebisan Taurat, akan tetapi ditegur oleh Rasulullah. Menurut Baginda, Al- Quran itulah yang perlu dijadikan panduan, bukan kitab-kitab yang terdahulu lagi.

Justeru, sebagai umat Islam, pemahaman agama Islam yang benar perlu berpandukan autoriti yang sah dalam agama dan perpandukan sumber yang benar. Apabila kita ada keyakinan bahawa ada agama mahupun pemahaman selain Islam yang benar, maka itu tandanya kita lemah Iman dan hampir kepada syirik mahupun murtad.

Kita umat Islam mengaku bahawa Islam itu adalah agama yang benar, mengakui dalam Syahadah bahawa tiada Tuhan selain Alalh dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Dalam masa yang sama, kita mengikitiraf ada agama selain Islam, seperti Yahudi, Kristian, Hindu, Budhha, Bahaei dan sebagainya. Dalam Surah Al Kafirun ayat 6 sudah menjelaskan, “Kamu pada agama kamu, dan kami pada agama kami”. Inilah sempadan mutlak yang memisahkan di antara Islam dengan agama- agama yang lain.

Dalam sifat ’eksklusif’ Islam itu, bukan bermakna umat Islam tidak boleh bergaul dengan mana- mana penganut agama selain Islam. Contoh terbaik ialah ketika Rasulullah memerintah kota Madinah, Baginda mengiktiraf segolongan Yahudi yang tinggal di situ, dan mereka diberi layanan mesra dan hidup dalam aman. Soal diskriminasi, kezaliman, penindasan tidak timbul. Dalam contoh yang lain, Baginda sendiri mengarahkan sebilangan tawanan perang bukan Islam untuk mengajar anak-anak orang Islam, kerana mereka masih dalam buta huruf.

Malah, ada beberapa istilah yang perlu dikekalkan, kerana termaktub dalam kitab Al- Quran itu dan Hadis Baginda, seperti ‘kafir’. Golongan ektrem pluralisme agama akan mempertikaikan istilah kafir, kerana bagi mereka semua penganut agama di dunia ini ‘beriman’.

Oleh itu, sekiranya kita menerima pluralisme agama ini, maka kita tidak mengatakan orang yang bukan Islam itu kafir, akan tetapi sama-sama ‘beriman’ seperti kita. Maka, kita perlu mengubah istilah ‘kafir’ yang banyak dalam Al- Quran dan Hadis Nabi. Ini secara tidak langsung mengubah isi kandungan Al- Quran itu. Bukankah ini dekonstruksi agama Islam?

Oleh itu, fenomena pluralisme agama yang melampau seperti diadakan Rumah Terbuka Kepelbagaian Agama ini perlu dinilai kembali. Ada adegan yang boleh menimbulkan keraguan terhadap kesakralan agama Islam di kalangan umat Islam apabila ada adegan seperti mengikitiraf agama bukan Islam melalui pemakaian pakaian agama lain, menghidupkan api dalam kuil atas nama pelancaran, memasang salib di baju dan sebagainya.

Ini secara tidak jelas menghantar mesej bahawa kita telah meleburkan identiti agama Islam itu sendiri, walhal Islam itu agama yang Allah kekalkan sehingga kiamat.

Pandangan Dato’ mufti bukan untuk menghalang kita ziarah dan mengucap selamat dalam perayaan agama lain, yang ini boleh mengekalkan dan mengeratkan hubungan di antara pelbagai kaum dan agama di Malaysia ini.

Akan tetapi apabila perayaan agama lain itu disamabariskan dengan perayaan agama Islam dan dijadikan syiar besar-besaran dalam negara yang majoritinya umat Islam. Malah apabila umat Islam leka dan hanyut dalam perayaan besar ini tanpa panduan akan menyebabkan identiti Islam mereka lebur dalam kepelbagaian perayaan agama lain.

Dalam sudut yang lain, apabila kita mengiktiraf agama lain benar, maka konsep dakwah yang ada dalam Al- Quran itu sudah tidak perlu. Dakwah boleh jadi kepada umat Islam sendiri, ataupun dakwah kepada non-Muslim.

Dalam Islam, tidak ada paksaan dalam mengajak kepada Islam. Maka pluralisme mengagaskan tidak perlu kita mengajak umat lain untuk masuk kepada Islam. Sememangnya ini merupakan hak peribadi untuk masuk agama Islam ataupun tidak, akan tetapi kita tidak boleh menafikan konsep ‘Hidayah dan Taufik’ yang ada dalam Islam.

Malah, pluralisme juga menafikan peranan Nabi Muhammad yang membawa kebenaran hakiki melalui Al-Quran. Peranan Baginda telah tercatat dalam Al-Quran dan disampaikan turun-menurun melalui Hadis Baginda.

Sekiranya umat Islam mengiktiraf agama lain juga benar, maka setiap agama itu sudah pasti ada pembawa kebenarannya, iaitu ‘Nabi’ atau ‘Utusan wahyu’ mereka. Maka sekaligus, Nabi itu satu ‘pangkat’ dan sebaris dengan mana- mana ‘utusan wahyu’ tersebut. Ini bertentangan dengan keperibadian mulia Baginda itu yang maksum.

Sebagai orang yang beriman, soal Ketuhanan dan Kenabian merupakan perkara asas yang tidak boleh dikompromi. Ini kerana ianya berkait rapat dengan rukun Iman iaitu kepercayaan kepada Tuhan dan Nabi. Seorang yang beriman perlu mempertahankan perkara fundamental ini daripada mana- mana serangan akidah yang ingin meruntuhkannya.

Oleh kerana itulah, kerisauan yang ditunjukkan oleh Dato’ Seri Ustaz Harussani mengenai bahaya pluralisme agama, bukan pluralisme menurut sains sosial perlu diberi perhatian. Selaku yang berautoriti dalam agama, beliau berhak mengatakan tentang kebenaran dan bahaya yang bakal menimpa umat Islam.

Dalam Al-Quran sendiri ada memberi panduan kepada umat Islam supaya merujuk kepada yang ‘arif atau pakar, “Rujuklah Ahl Zikr (pakar) sekiranya kamu tidak tahu.” Inilah juga tandanya seseorang itu beradab.

Isu ini perlu dibahaskan dengan baik dan adab, bukan beremosi dengan menuduh ulama atau mufti telah mengeluarkan fahaman yang sempit. Bahaslah seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Nota: Mohd Hilmi Ramli merupakan Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Beliau dapat dihubungi melalui mhilmi_ramli@yahoo.com.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: