jump to navigation

Keadilan sosial Julai 2, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: ChoadaiSetelah pelbagai kepincangan Kapitalisme terbongkar, maka negara-negara Kapitalis, khususnya kuasa dunia menyedari betapa pentingnya untuk menjaga hegemoninya. Kesepakatan untuk menjadikan penyusunan dan pembangunan ekonomi berasaskan kepada peningkatan KDNK yang ditampal dengan konsep “keadilan sosial” atau dibalut dengan Sosialisme.

Bahkan negara-negara yang telah berjaya ditundukkan oleh Amerika seperti Mesir, yang dalam konsep pembangunannya berasaskan kepada peningkatan KDNK, atau dibina dengan sistem Kapitalis, telah mempopularkan seruan Sosialisme Arab pada tahun 1950an, yang dipopularkan oleh Gamal Abdel Nasser (1918-1970).

Ini membuktikan, bahawa isu “keadilan sosial” yang dilaungkan oleh negara Kapitalis tersebut merupakan pengembangan cara-cara untuk menerapkan semula sistem Kapitalis agar boleh diterapkan dengan teknik baru dan dengan menyembunyikan wajah Kapitalisme yang sebenarnya seperti kejayaannya menyembunyikan wajah imperialisme melalui pakej “bantuan kemanusiaan” atau “pinjaman pembangunan” atau “pelaburan” dan sebagainya.

Negara-negara yang dikuasai oleh kaum imperialis Barat telah melihat dengan jelas kerosakan dan kepincangan sistem Kapitalis ini. Pada masa yang sama, kaum Sosialis telah menyerang amalan imperialisme, seperti yang digambarkan dalam buku Lenin, Imperialism (1917), yang telah berjaya menubuhkan negara Sosialis melalui revolusi Bolsheviks, kemudian pada tahun 1948, Yugoslavia juga telah berjaya dikuasai oleh kaum Sosialis.

Pada tahun 1949, kaum Komunis menang di China, diikuti oleh Fidel Castro pada tahun 1959 yang berjaya menubuhkan pemerintahan Komunis di Cuba. Semuanya ini menyebabkan negara-negara kapitalis tidak ada pilihan lain, selain daripada melakukan solekan-solekan untuk menyembunyikan wajah Kapitalisme yang telah dimusuhi di merata dunia itu.

Oleh kerana itu, konsep-konsep dan istilah seperti “keadilan sosial”, “penyusunan ekonomi”, “pembangunan ekonomi” atau “welfare state” (negara makmur) mula diperkenalkan dan digunakan oleh negara-negara Kapitalis untuk mempertahankan sistem Kapitalis dan menyelamatknya daripada ancaman Sosialisme.

Dengan cara inilah, sejak abad ke-19 hingga abad ke-21 ini, sistem tersebut berjaya dikekalkan dan dipertahankan oleh negara-negara Barat, termasuk Amerika Syarikat. Cara yang sama juga digunakan di negara-negara yang pernah dikuasai oleh negara Eropah dan Amerika untuk mengekalkan sistem Kapitalis setelah la terdedah kepada kehancuran.

Di Indonesia misalnya, konsep “keadilan sosial” telah dijadikan sebagai salah satu daripada rukun negara atau yang dikenali sebagai Pancasila, yang dirumuskan pada tahun 1945 oleh Soekarno dan yang lainnya. Begitu juga dengan gagasan Gamal Abdul Nasser untuk menerapkan Sosialisme Negara pada dekad 1950 an, abad ke-20, adalah cetusan untuk membendung pengaruh Sosialisme Marxisme yang dikhuatirkan oleh Amerika Syarikat.

Inilah asas yang dijadikan sebagai dasar seruan “penyusunan ekonomi”, “pembangunan ekonomi” di samping “Sosialisme Negara” dan “keadilan sosial”, iaitu usaha untuk melanjutkan penguasaan imperialisme Barat dan mengekalkan sistem Kapitalis di negeri Islam.

Mengenai kerosakan konsep “peningkatan KDNK” yang dijadikan sebagai asas sistem Kapitalis, termasuk konsep “Sosialisme Negara” dan “keadilan sosial” sememangnya perlu didedahkan.

Akan tetapi, oleh kerana skop tajuk tulisan ini yang terhad menyoroti masalah “keadilan sosial”, maka kritik dan ulasan hanya difokuskan kepada konsep yang terakhir ini. Sebelum itu, dihuraikan juga di sini Kapitalisme sebagai ideologi dan konsep ekonomi Kapitalis yang menjadi pencetus kepada konsep “keadilan sosial” ini.

Kapitalisme sebagai ideologi

Istilah Capitalism sekalipun diambil kerana dominasi pembahasannya yang lebih menghala kepada ekonomi politik (political economy), tetapi istilah tersebut tidak dapat ditakrifkan dengan kata dasar mengikut perkataan bahasa, iaitu capital (kekayaan).

Ini kerana perkataan Capitalism mempunyai makna istilah yang khas, iaitu sebuah ideologi yang diasaskan kepada “akidah” Sekularisme, atau keyakinan tentang pemisahan agama daripada kehidupan. Akibat dari agama yang dipisahkan daripada kehidupan, maka standard berfikirnya menggunakan akal semata-mata, sehingga melihat segala sesuatu dengan pandangan manfaat atau mudarat.

Manfaat atau mudarat pula, menurut mereka, ditentukan berdasarkan utilities value (nilai kegunaan) sesuatu benda atau perkhidmatan. Dengan demikian, sesebuah benda atau perbuatan manusia diperkatakan baik dan berdaya guna, sekiranya mempunyai utilities value.

Sebaliknya, diperkatakan buruk dan tidak berdaya guna, sekiranya tidak mempunyai utilities value. Inilah yang melahirkan pandangan mereka tentang kebahagiaan. Kebahagiaan, menurut mereka, berjaya diperoleh apabila seluruh keperluan jasmani manusia dipenuhi. Akhirnya, kebahagiaan dalam pandangan mereka hanya bersifat kebendaan.

Dan, inilah yang kemudian melahirkan pandangan mereka tentang masalah ekonomi, iaitu ketika tuntutan kebahagiaan semua manusia hanya dapat dipenuhi secara material, dimana keperluan manusia tidak terhad sementara alat pengeluarannya terhad. Realiti ini juga yang menyebabkan lahirnya The Malthau-ian Law, setelah dicetuskan oleh Thomas Robert Malthus (1766-1834) bersamaan dengan keluarnya buku Essay on the Principle of Population yang ditulis olehnya pada tahun 1798.

Pada masa yang sama, keterhadan alat pemuasan dan tidak terhadnya keperluan manusia itu akan menyebabkan setiap individu tidak dapat memenuhi keperluannya, dan dengan begitu menyebabkannya tidak bahagia, maka untuk merealisasikan kebahagiaan semua individu tersebut mesti ada kebebasan.

Kebebasan inilah yang akan menjamin setiap individu untuk memperoleh manfaat yang sebanyak-banyaknya demi merealisasikan kebahagiaannya. kerana itu, hubungan antara kebebasan (liberalism) dengan kapitalisme adalah seperti dua sisi mata wang yang tidak boleh dipisahkan.

Dari sini, tercetus pelbagai idea kebebasan, seperti kebebasan bersuara yang kemudian melahirkan Demokrasi; kebebasan memiliki harta benda yang kemudian melahirkan Privatization kebebasan bergaul yang kemudian melahirkan Free Love, Free Sex dan sebagainya. Pada masa yang sama, kebebasan tidak akan pernah terwujud tanpa wujudnya prinsip Individualism.

Kapitalisme sebagai fahaman ekonomi politik

Dalam pembahasan ekonomi, ekonomi politik (political economy) tidak pernah diasingkan atau dibezakan dengan sains ekonomi (economic science), padahal keduanya mempunyai perbezaan yang signifikan. Ekonomi politik (political economy) merupakan natijah berfikir yang diasaskan kepada pandangan hidup atau ideologi tertentu; sama ada Kapitalisme, Sosialisme mahupun Islam.

Sementara sains ekonomi (economic science) adalah natijah berfikir yang tidak diasaskan kepada pandangan hidup tertentu. Dalam konteks yang pertama, kajian yang diperbincangkan adalah pemilikan harta, termasuk cara memperoleh dan mengembangkannya, perbelanjaan dan pengagihan, sedangkan konteks yang kedua membincangkan cara mengeluarkan barangan, meningkatkan kualiti barangan dan lain-lain.

Dalam konteks ekonomi politik, Kapitalisme telah merumuskan masalah ekonomi, iaitu terhadnya alat pemuasan keperluan sedangkan keperluannya tidak terhad. Para pendokong Kapitalisme juga berpandangan, bahawa masalah kemiskinan berpunca kerana tidak cukup alat pemuasan keperluan dalam suatu negara untuk memenuhi keperluan individu.

Oleh itu, untuk menyelesaikannya, negara wajib meningkatkan keluaran negara kasar (KNK) dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam kuantiti yang boleh menjamin keperluan seluruh individu. Dengan lain perkataan, Kapitalisme memandang masalah kemiskinan tersebut merupakan kemiskinan negara, bukan individu. Negara hanya menjamin kuantiti alat pemuasan keperluan secara umum, bukan secara individu per-individu.

Akibatnya, setiap individu dengan kebebasan mutlak bersaing untuk memiliki seluruh alat pengeluaran yang diperlukan olehnya, sehingga memungkinkan individu memiliki harta benda awam dan negara.

Natijahnya, kekayaan berpindah ke tangan individu-individu, sehingga negara benar-benar dikuasai oleh individu. Inilah realiti negara-negara Kapitalis. Gambaran di atas menunjukkan, bahawa dalam Kapitalisme, pemilikan harta yang paling menonjol adalah private ownership (pemilikan individu), sedangkan public ownership (pemilikan awam) dan state ownership (pemilikan negara) kebiasaannya tidak ada, dan jika ada kebiasaannya telah dikongsi oleh individu-individu tertentu, dan bukan secara tulen menjadi milik awam mahupun negara.

Ini dari segi pemilikan. Dari segi cara memperoleh dan mengembangkan pemilikan, Kapitalisme telah menghalalkan segala cara, yang merupakan prinsip kebebasan (liberalism).

Sedangkan dari aspek perbelanjaan, dengan prinsip kebebasannya, Kapitalisme tidak pernah mengatur arah perbelanjaan, sama ada untuk perkara yang dihalalkan mahupun diharamkan. Bagi mereka, hanya ada satu kaedah, iaitu apa sahaja yang diinginkan adalah harus, sehingga keinginan tersebut menjadi ukuran untuk menentukan sama ada sesebuah barang atau perkhidmatan mempunyai nilai utiliti juga, Kapitalisme tidak pernah mengatur itu samada dikatakan membazirkan harta ataupun tidak.

Adapun aspek pengagihan harta kepada individu tidak ada jaminan dari negara, sebaliknya diserahkan kepada kebebasan setiap individu untuk memperoleh apa-apa yang boleh mereka dapatkan. Setiap individu akan mendapatkan kuantiti alat pengeluaran tersebut mengikut kemampuannya menguasai alat-alat produksi (production factor).

Inilah yang mencetuskan tesis Economic Determinism oleh Karl Marx, sehingga tercetus class struggle (perjuangan kelas) untuk merebut faktor-faktor pengeluaran yang sebelumnya dikuasai oleh kaum Kapitalis, iaitu para borjuis.

Dengan demikian, secara tabii Kapitalisme akan mencetuskan class struggle (perjuangan kelas). Untuk menghindarkan dari ancaman kaum proletar (buruh) yang berpotensi mencetuskan class struggle (per)uangan kelas) untuk memperebutkan kedudukannya, maka kaum Kapitalis menjaga survivalnya dengan menutup kelemahannya sama ada dengan idea Sosialisme Negara (State Socialism) mahupun Keadilan Sosial (Social Justice).

Keadilan Sosial sebagai Penutup Kepincangan Kapitalisme Keadilan Sosial (Social Justice) pada hakikatnya bukan merupakan sistem ekonomi, seperti Sosialisme atau Kapitalisme, tetapi hanya semata-mata ketentuan-ketentuan tertentu yang digunakan untuk meringankan kesan-kesan yang sangat teruk dalam masyarakat yang ditimbulkan oleh Kapitalisme, iaitu ketentuan untuk menampal aib-aib Kapitalisme. Sekalipun realitinya untuk menampal aib-aib Kapitalisme, tetapi sebenarnya ia merupakan bentuk kezaliman, di samping hanya mengekalkan kewujudan Kapitalisme dan mengekalkannya.

Sebagai misalan, idea Keadilan Sosial telah memberikan pencen kepada bekas para pegawai, memberikan layanan kesihatan dan pendidikan kepada orang miskin secara percuma.

Perkara sebegini sebenarnya bukan merupakan keadilan sosial, tetapi kezaliman sosial. Sebab, mengapa hanya para bekas pegawai mendapat pencen dari negara, jika telah memasuki usia tua, sedangkan buruh biasa, pemandu teksi, tukang kebun dan orang lain juga memerlukannya tetapi tidak mendapatkannya? Mengapa pula perkhidmatan kesihatan dan pendidikan diberikan secara percuma kepada orang miskin, bukan kepada semua orang, sedangkan negara bertanggungjawab terhadap seluruh rakyat?

Ini menunjukkan, bahawa idea Keadilan Sosial tersebut merupakan bentuk kezaliman. Ini kerana negara bertanggungjawab untuk menjamin seluruh umat, individu per individu, dalam perkara yang semestinya wajib dipenuhi, seperti kesihatan, pendidikan, pertahanan dan keamanan. Semuanya ini adalah untuk seluruh warganegara tanpa mengira pangkat, harta, agama, bangsa dan warna kulit diagihkan secara saksama.

Negara bertanggungjawab untuk menjamin seluruh keperluan asas setiap individu dipenuhi secara menyeluruh, dan memberikan peluang kepadanya untuk memenuhi keperluan sekundernya. Ini untuk umum, sama ada orang yang lemah, kuat, pegawai ataupun bukan.

Dengan demikian, jelas, bahawa idea Keadilan Sosial merupakan idea yang zalim, di samping merbahaya kerana menyebabkan orang ramai tidak menyedari kerosakan dan kepincangan sistem Kapitalisme, sehingga ia mampu bertahan dan kekal diterapkan. Dengan begitu, bersubahat menyebarluaskan idea tersebut sangat merbahaya dan semestinya diharamkan.

Kesimpulan

Sejarah membuktikan bahawa sejak Kapitalisme menerajui dunia secara Kolonialisasi bermula pada abad ke-17 sehingga kini, dunia mengalami kemunduran daripada aspek kemanusiaan. Nilai manusia diletakkan di bawah nilai kebendaan. Kemiskinan dan kebuluran di negara-negara dunia ketiga dengan beban hutang yang tidak berkesudahan adalah sinonim dengan ketamakan keuntungan negara-negara kolonial.

Sistem ini semakin jelas tidak sesuai dengan sifat manusia sebagai makhluk tuhan. Perlunya satu sistem sebagai ganti mutlak kepada sistem Kapitalisme adalah sangat dinantikan.

Islam sebagai sebuah sistem kehidupan yang lengkap di dalam semua aspek telah dilaksanakan dengan jayanya selama lebih daripada 1400 tahun seharusnya dijadikan sebagai alternatif yang hakiki. Walaupun perlaksanaannya semula seperti mimpi, tetapi ia tidak mustahil. Perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama yang pasti dan berasaskan kepada hujah dan dalil yang benar.

Senarai Rujukan:

1. Al-Atas, Sved Hussin. The Myth of the Lazy Native, 1977. London: Frank Cass and Company Limited.
2. Al-Maliki, `Abdurrahman. as-Siyasah al-Iqtisadiyyah al-Muthla, 1963. t.p.
3. Al-Khalidi, Mahmud. Susiyulujiyah al-Iqthad fi al-Islam, 1984. Lubnan: Muassasah ar-Kisalah.
4. Al-Khalidi, Mahmud. Al-Islam wa ar-Ra ‘sumaliyyah,1984.Lubnan: Muassasah ar-Risalah.
5. Connolly, W.E. Political Science and Ideology, 1967. New York: Atherton Press.
6. Furnivall, J. S. Colonial Policy and Practice, 1948. London: Cambridge University Press.
7. K. G Myrdal. Beyond the Weljare State: Economic Planning and its International lmplication, 1960. New Haven: Yale University Press.
8. K. G Myrdal. Asian Drama: An Inquiry into the Poverty of Nations, 3 vols, 1968, New York: Twentieth Century Fund.
9. K. G Myrdal,Value in Social Theory: A Selection of Essays on Methodology, edited by Paul Streeten,1958. London: Routledge & Kegan Paul.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: