jump to navigation

Syuhada demokrasi Julai 2, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Malaysia Baru.
trackback

Oleh: Ahmad Lutfi OthmanSukar menjangka apa yang paling terkesan oleh setiap ahli parti yang berkunjung ke Kompleks PAS Kedah sempena muktamar lalu. Memang dewan persidangan dan hiasan dalamannya memukau, sementara muktamar kali ini dianggap penting untuk menjana semangat dan kekuatan baru berdepan pilihan raya umum ke-12.

Kehadiran tidak mengecewakan, malah sambutan ceramah Anwar Ibrahim bersama Tok Guru Nik Aziz dan Salahuddin Ayub menandakan Kedah tetap kubu PAS meskipun Ustaz Fadzil Noor tiada bersamanya lagi. Lebih penting penduduk sekitar terasa akan perhimpunan besar itu, tidak sepertimana muktamar di Kelantan selepas pilihan raya 2004 yang kelihatan kurang didekati masyarakat setempat.

Jika faktor Anwar menjadi pertimbangan utama untuk menentukan tarikh pilihan raya, ditambah persengketaan makin memuncak antara Mahathir dan Abdullah Badawi, countdown sudah boleh bermula kerana dijangka pilihan raya ke-12 nanti tidak akan melewati April 2008. Tentunya Umno-BN tidak mahu diasak ke dinding, justeru, perkiraannya lebih awal lagi, mungkin sekitar suku ketiga 2007, yakni tidak lebih 20 bulan lagi, satu tempoh yang relatif singkat.

Beberapa pemimpin PAS menyuarakan bahawa kekuatan parti harus bersandarkan potensi dalaman, bukan mengharapkan limpahan kekacauan dalam parti lawan. Benar dan benar sekali, namun seperti ucapan wakil Perak, Misbahul Munir Masduki, yang memetik The Art of War, bahawa seorang panglima yang bijak mesti memanfaatkan sumber dan tenaga musuh. Pilihan raya 1969, 1990 dan 1999 membuktikan krisis keyakinan kepada Perikatan dan BN menyumbang kemenangan oposisi.

Apa pun rezeki tidak datang menggolek atau hanya menurut giliran masa. Tidak semestinya pilihan raya yang tiada persempadanan semula akan membawa kejayaan. Kita harus mencipta sejarah dan bukannya mengulangi rutin. Misalnya, mampukah PAS Kedah yang jelas “dicincang” SPR khususnya di kawasan Parlimen (sehingga penguasaan lapan kerusi pada 1999 tinggal satu di Pendang) dapat membuat kejutan jika senario kini tidak berubah dan mood pengundi bukan Melayu terus terikat dengan BN?

Saya dapat memahami kemarahan wakil Kedah, yang juga bekas wartawan Harakah, Zulkifli Yahya yang tidak dapat menerima pendekatan lunak wakil Kelantan, Cikgu Wan Abd Rahim Abdullah. Baginya SPR hanyalah salah satu jentera kempen bagi Umno-BN dan tidak pernah bertindak bebas. Apabila saat memerlukan maka SPR tidak lebih perkakas dan alat BN, sedang di waktu berbeza pengerusinya bijak bersilat kata-kata. Dari awal saya kira Pengerusi SPR patut diusulkan untuk dipecat kerana Perlembagaan menggariskan beliau perlu mendapat kepercayaan umum.

Lontaran idea Misbah tentang budaya kagum aktivis dan pimpinan PAS terhadap kejayaan rakan-rakan gerakan Islam luar negara juga patut diberi perhatian. Apabila teman-teman di Turki menang kita berpaling ke sana, selepas PKS mencatat sejarah di Indonesia, pendekatan di sini pun mahu ditukar. Keadaan sama berlaku merujuk kemenangan Ikhwan di Mesir, Hamas di Palestin, juga Ahmadenijad di Iran.

Sambil mengakui keperluan untuk berubah dan belajar daripada orang lain, adalah wajar kita berpegang dengan tradisi dan pengalaman sendiri. PAS sudah cukup lama bergumpal, bergelut dan berperang di wilayah ini; usah mudah terpengaruh dan kaget dengan silauan kecemerlangan orang. Tokoh silam kita juga menyimpan permata untuk digali.

Isu pemerkosaan terhadap demokrasi kerap diulang tayang, namun jalan keluar masih dilingkari kekeliruan dan keserabutan. Apa lagi tiada keazaman politik yang tinggi untuk merubah. Memang segalanya serba sukar. Meragut kebebasan dan hak yang hilang perlu stamina berterusan, di samping arif benar pelbagai kaedah untuk merebutnya kembali.

Mungkin dalam hal ini kedegilan Mahathir menuntut setiap jawapan yang dicarinya boleh dicontohi. Atau apakah kita memerlukan pengorbanan syuhada atas perjuangan memulihkan demokrasi ini sebelum satu lonjakan baru tercapai?

Note: Ahmad Lutfi Othman, mantan aktivis kampus, telah memulakan kariernya kewartawanannya di Harakah di samping pernah menerbitkan buku-buku politik dan akhbar-akhbar tidak berkala. Dalam era reformasi 1998, beliau mengendalikan Detik dan Wasilah, sebelum majalah terbitannya tersebut diharamkan. Kini, beliau kembali menyertai Harakah sebagai ketua pengarang, selain turut memimpin akhbar maya, DetikDaily.net.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: