jump to navigation

Khairy lebih berkuasa daripada PM? Julai 9, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Malaysia Baru.
trackback

Oleh: Ahmad Lutfi Othman

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berselindung lagi mengenai pihak ketiga yang yang cuba mengawal kerajaan seperti yang didedahkan sebelum ini oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin.

“Saya dengar kata di tingkat empat (di Jabatan Perdana Menteri). You pi cari tengok ada kerusi meja ke, siapa ada, ada ofis boy ke … dari Oxford, dari Cambridge,” katanya dalam sidang media selepas majlis syarahan dan dialog, di Kelab Century Paradise, Taman Melewati, 24 Jun lalu.

Beliau merujuk sekumpulan kakitangan muda yang dituduh oleh sumber dalaman Umno sebagai berkhidmat kepada menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin.

Dalam ucapannya sebelum itu, dalam nada sindiran beliau berkata: “Tingkat empat ni boleh telefon siapa saja dan nasihat untuk buat benda yang baik. Sebab tu hari ini kita tengok semuanya baik-baik belaka. Tingkat lima Perdana Menteri duduk. (Tingkat empat) lebih berkuasa daripada tingkat lima sebab dia lebih pandai. Tingkat lima tak pi Oxford.”

Ketika ditanya kandungan ucapannya tentang penglibatan menantu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi itu, Dr Mahathir menjawab, “Eh, eh, saya tak sebut. Saya bercakap tentang orang yang dapat kelulusan tinggi.”

Budak berhingus

Bagaimanapun, beliau tidak menolak untuk menjawab apabila ditanya apa yang beliau maksudkan ketika menyebut “berhingus,” yang dipercayai merujuk kepada Khairy.

“Mereka sungguh bijak, anda tak boleh tolak dia punya nasihat.

“Orang bijak pandai … anda boleh nampak terang cerah. Kita boleh tengok dalam surat khabar pun tulisan-tulisan dia tu. Luar biasa. Saya tak pernah tengok tulisan-tulisan macam tu,” katanya lagi kepada wartawan yang begitu ramai mengerumuninya.

Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda Umno setelah menang tanpa bertanding mempunyai kolumnya sendiri dalam akhbar yang diterajui oleh rakan-rakan rapatnya, The New Straits Times.

Dr Mahathir juga mengakui buat kali pertama bahawa Abdullah telah memungkiri janji kepadanya.

“Dia tahu, saya tahu,” kata beliau ketika ditanya apakah janji yang dibuat “sejurus sebelum saya melepaskan jawatan”.

Beliau juga memberitahu, janji itu “dimungkiri dua minggu setelah saya lepas jawatan, sungguh cepat.”

Kes rasuah

Beliau juga mengakui ada kes rasuah tertentu yang diputuskan supaya dijalankan pendakwaan sebelum beliau bersara tidak diambil tindakan oleh kerajaan Abdullah.

“Saya tidak boleh sebut nama, tapi saya yakin BPR tahu ini. Ada kes yang sudah diputus untuk diambil tindakan tapi tak diambil tindakan. Entah kenapa saya tak taulah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Rafidah Aziz yang mendakwa semua penjelasan telah diberikan dan tidak ada apa-apa lagi yang hendak dijelaskan, Dr Mahathir menyangkalnya dengan menyatakan Rafidah belum memberikan apa-apa penjelasan.

“Dia tidak ada bagi apa-apa penjelasan kat saya. Kenapa dia bagi AP kepada bekas pegawainya (MITI) dalam jumlah yang banyak dan AP itu dijual. Sekarang jelaskan itu.

“Apakah itu selaras dengan dasar kerajaan? Dia belum lagi bagi penjelasan. Dia cuma kata, ya betul saya beri, jangan tanya lagi soalan.

“Kata telus, terbuka. Jelaskanlah. Kenapa dua orang ini masih menerima dan masih import kereta. Saya tau model apa mereka import. Sepatutnya pemberian AP kepada mereka harus dibatalkan,” katanya di mana kemudiannya beliau menegaskan akan mencari “sampai lubang cacing” jika penjelasan yang diberikan oleh kerajaan tidak memuaskan hati.

“Ia bukan soal penjelasan saja, juga kena dibetulkan apa yang tidak dibetul,” tegasnya.

Beliau juga menjelaskan mengapa beliau enggan berjumpa dengan Pengerusi Proton, Dato’ Azlan Hashim, yang muncul sebagai orang pertama dan terakhir setakat ini untuk memberikan penjelasan terbuka kepada apa yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir.

“Dia ada minta nak jumpa. Saya fikir nak buat apa jumpa kalau hanya untuk memberitahu saya apa yang dia dah buat. Itu boleh ditulis.

“Saya dah jumpa dia (sebelum itu), dia bagi pengakuan dia bukan dilantik untuk menyingkir CEO tetapi itulah yang dilakukannya. Jadi bagaimana saya nak percaya orang yang macam tu,” katanya.

Mengenai sejauh manakah isu yang dibangkitkannya akan terus panas, beliau berkata: “Bergantung kepada anda ( wartawan) untuk buat ia terus panas. Sekarang ni walaupun dikatakan suratkhabar ni bebas tetapi mereka padam, sebaliknya pi cungkil tentang kekotoran saya. Banyak lagi ada, saya buat projek mega, (bekas Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Tan Sri) Ani Arope marah kat saya …”

Bekas Perdana Menteri jelas sanggup menghadapi apa sahaja akibat tindakannya kini.

Nak pecat, pecatlah!

“Dia nak pecat, pecatlah. Orang yang ada kuasa boleh pecat … pecatlah. Apa salahnya? Saya (pernah) kena pecat dulu.

“Ada juga yang kata masa saya kena pecat dulu, saya naik atas pentas PAS. Sedangkan, orang yang sekarang ni tak pernah masuk parti lawan cuba juga nak bagi saya jatuh. Itupun saya tak marah. Saya ambil balik,” katanya yang dipercayai merujuk kepada Abdullah yang menyertai Team B pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menjatuhkannya dalam tahun 1987 dahulu.

“Berapa orang yang lawan dengan saya dulu, sayalah yang bawa dia orang balik. Bagi pangkat sampai ke puncak. Saya bukan nak ungkit, tak ada terima kasih pun tak apa.”

Ketika ditanya apa matlamat beliau dengan tindakannya kini, Dr Mahathir memberitahu beliau mahu “supaya dibetulkan benda yang tak betul.”

Sambil melahirkan keyakinannya kepada rakyat Malaysia bahawa kritikannya tidak menggugat kestabilan negara, beliau berkata, “Masa saya jadi Perdana Menteri ada orang yang cabar saya, sampai saya hampir kalah. Tapi sekarang ini tak boleh langsung (mengkritik) fasal nak jaga stabiliti. Jangan kata apa langsung.

“Sampai buat yang salah pun, jual maruah negara pun saya tak boleh tegur, pasal nak stabiliti.

“Ini semua tidak akan berlaku begini jika ia dijawab dengan cara betul. Ini asyik bagi tahu orang ramai tak boleh kritik.”

Note: Ahmad Lutfi Othman, mantan aktivis kampus, telah memulakan kariernya kewartawanannya di Harakah di samping pernah menerbitkan buku-buku politik dan akhbar-akhbar tidak berkala. Dalam era reformasi 1998, beliau mengendalikan Detik dan Wasilah, sebelum majalah terbitannya tersebut diharamkan. Kini, beliau kembali menyertai Harakah sebagai ketua pengarang, selain turut memimpin akhbar maya, DetikDaily.net.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: