jump to navigation

Azzam Tamimi: Hamas Tidak Akan Tunduk Tekanan Barat Julai 21, 2006

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Haris Zalkapli

Palestin bukan hanya isu wilayah melibatkan dunia Arab semata-mata, tetapi ia juga merupakan isu penting bagi seluruh umat Islam, tegas Dr Azzam Tamimi, tokoh pemikir Muslim berasal dari Palestin yang kini pengarah Institut Pemikiran Politik Islam di London, United Kingdom.

Dr Azzam yang rapat dengan kepimpinan Hamas dalam lawatannya ke Malaysia baru�baru ini menjelaskan tekanan yang dihadapi kerajaan baru Palestin pimpinan Hamas, tekanan Amerika Syarikat dan Eropah terhadap hasil proses demokrasi di Palestin dan harapan terhadap umat Muslim seluruh dunia dalam menghadapi isu Palestin. Ikuti wawancara kolumnis Ummahonline.com, Haris Zalkapli dengan beliau.

Perselisihan antara Fatah dengan Hamas kelihatan tidak ada penghujungnya sehingga kini. Bagaimanakah perkembangan setakat ini?

Pihak Fatah pimpinan Mahmoud Abbas juga telah mewujudkan sebuah lagi kerajaan yang bergerak selari dengan kerajaan Hamas yang memerintah Palestin, seolah�olah ada dua pemerintah, satu diketuai presiden dan satu lagi diketuai kerajaan. Agensi keselamatan yang berada di bawah kementerian luar dikeluarkan dari kementerian itu dan diletakkan di bawah kuasa presiden. Ini mendorong Hamas menubuhkan pasukan keselamatan sendiri untuk menjaga keamanan. Salah satu sebab Hamas menang dalam pilihan raya lalu ialah kerana pasukan keselamatan yang sepatutnya melindungi rakyat Palestin telah merompak rakyat Palestin! Mereka mencuri dan melakukan tindakan ganas. Rakyat yang muak dengan ini semua akhirnya memilih Hamas dalam pilihan raya lalu, untuk mendapatkan kerajaan yang dapat melindungi mereka dan menjaga keselamatan.

Kemudian, selepas kemenangan Hamas, Amerika Syarikat mengarahkan Fatah agar tidak melibatkan diri dengan kerajaan Hamas, yang mahu menubuhkan kerajaan nasional. Kami mendapat tahu ada beberapa ahli Fatah yang mahu menyertai kerajaan pimpinan Hamas bahawa sekiranya mereka menyertainya, nama mereka akan disenaraikan dalam senarai teroris. Jadi Fatah lebih berminat menjatuhkan kerajaan Hamas daripada bersama Hamas menubuhkan kerajaan.

Selepas Hamas berjaya mengumpul sumbangan jutaan dolar dari seluruh dunia, ekoran pemberhentian sumber dari Barat, bank�bank pula diberitahu agar tidak melepaskan wang sumbangan tersebut kepada Hamas, sehingga Hamas terpaksa membawa masuk wang dengan cara lain. Alhamdulillah, kami berjaya menangani kekurangan sumber kewangan setakat ini.

Mahmoud Abbas, dalam satu mesyuarat di Amman, Jordan, memberitahu rakan sejawatnya di Jordan bahawa beliau terdesak selepas mencuba pelbagai cara untuk menjatuhkan kerajaan Hamas. Beliau meminta pertolongan. Katanya, setelah apa yang dilakukan, Hamas tidak semakin lemah tetapi menjadi semakin kuat.

Bagaimanapun, ingin saya tegaskan bahawa kebanyakan ahli Fatah adalah orang baik, sedikit sahaja yang jahat. Fatah ialah sebuah organisasi besar. Tetapi yang jahat berpengaruh, mereka mempunyai wang, berkuasa dan mempunyai hubungan dengan Israel dan AS. Mereka juga tidak sehaluan dalam banyak hal, sehingga terlibat menjatuhkan satu sama lain.

Akhirnya mereka cuba sesuatu yang lain, iaitu referendum. Mereka mengajak berbincang, dan Hamas dengan naif sekali bersetuju untuk berbincang. Mereka terkejut apabila pada 25 Mei lalu, Mahmoud Abbas, membawa satu dokumen yang ditulis oleh tahanan, dan berkata sama ada dokumen itu diterima sepenuhnya atau diletakkan untuk referendum. Tindakan ini tidak mematuhi perlembagaan dan tidak sah, dan hanya merupakan satu rancangan untuk mendapatkan persetujuan Hamas untuk syarat�syarat yang diletakkan, termasuk mengiktiraf Israel. Dokumen tahanan ini agak baik, cuma ia mencadangkan untuk mengurangkan tekanan terhadap Palestin, kerajaan Palestin menerima resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa�Bangsa Bersatu. Hamas mahu berbincang lagi tetapi Abbas bertegas bahawa dokumen itu sama ada diterima sepenuhnya atau diadakan referendum.

Apa reaksi hamas terhadap referendum ini?

Sekiranya Abbas ingin meneruskan rancangan referendum itu, Hamas akan memboikotnya dan menggesa rakyat Palestin turut memboikot.

Sebenarnya, rakyat Palestin mengundi Hamas dengan penuh kesedaran tentang dasar Hamas. Rakyat Palestin meyakini Hamas. Selepas kemenangan Hamas, ada pihak tertentu yang melakukan tindakan seperti menembak ke arah orang awam dan mengaitkannya dengan Hamas, tetapi rakyat Palestin tidak mempercayainya.

Bagaimana keadaan hari ini? Mampukah Hamas bertahan?

Keadaan menang sukar tetapi tidak sampai hampir runtuh. Oleh itu, Hamas memerlukan bantuan dalam semua bentuk daripada seluruh umat Muslim, termasuk politik dan ekonomi. Hamas masih bertahan. AS menjangka kerajaan Hamas akan runtuh pada bulan Mei, tetapi ini tidak berlaku. Saya fikir, ini mungkin salah satu sebab Kesatuan Eropah kembali menyalurkan kewangan kepada Palestin, walaupun mereka berkata wang tersebut bukan untuk Hamas. Jadi, penting untuk umat Muslim menunjukkan sokongan, agar kerajaan mereka akan terdorong untuk membantu, walaupun berdepan tekanan AS. Palestin bukan isu Arab sahaja, tetapi isu seluruh umat.

Apa lagi yang diberitahu oleh AS kepada Fatah dalam menghadapi Hamas?

Mereka memberitahu Fatah satu�satunya jalan ke hadapan ialah menjatuhkan kerajaan Hamas dan tidak bekerjasama dengan mereka.

Jadi apa lagi yang boleh dilakukan Hamas?

Tidak ada cara lain selain meneruskan perjuangan dan bersabar. Mereka yang bersabar akan menang akhirnya. Rakyat Palestin meminta Hamas tidak berundur dan tunduk kepada tekanan. Hamas tidak akan bersetuju dengan syarat�syarat tidak wajar yang diberikan oleh pihak yang menentang Hamas.

Adakah Hamas berunding dengan Fatah untuk menyelesaikan perselisihan?

Mereka memang berunding, secara berterusan. Ada yang berbincang, dan ada juga yang sedang berperang. Memang ramai dalam Fatah yang tidak bersetuju dengan tekanan ke atas Hamas dan rakyat Palestin. Yang khianat dalam hal ini ialah mereka yang telah mengumpul kekayaan dan mempunyai banyak kepentingan, serta telah berhubungan baik dalam perniagaan dan politik dengan Israel. Mereka sangat rapat dengan Israel, dan ada yang bekerja untuk Israel.

Bagaimanakah peranan Mahmoud Abbas, adakah beliau dapat membantu dalam menyelesaikan perselisihan Fatah dengan Hamas dan memelihara kepentingan Palestin?

Beliau tidak membantu langsung. Beliau percaya penyelesaian ialah dengan cara Hamas mengiktiraf Israel. Beliau tidak bersetuju dengan perjuangan Hamas, dan berpendapat rakyat Palestin boleh mendapatkan hak mereka melalui rundingan aman. Tetapi mereka telah berunding dengan Israel sejak 15 tahun lalu, dan mereka tidak mendapat apa�apa.

Sekiranya Israel bersetuju untuk berunding dengan kerajaan Hamas, apa isu pertama yang akan dibincangkan?

Mereka tidak mahu berbincang dengan Hamas. Hamas pernah mengajak mereka berbincang dan bersetuju untuk satu gencatan senjata jangka panjang. Mereka tidak mahu berunding. Gencatan ini dicadangkan oleh Allahyarham Syeikh Ahmad Yasin. Hamas menuntut pengunduran ke sempadan 1967, bebaskan semua tahanan dan berundur dari penempatan haram Yahudi. Mereka tidak mengambil serius tawaran ini dan berkata mereka tidak mahu bercakap dengan Hamas.

Negara mana yang membantu Hamas sekarang ini?

Selain Malaysia, negara Turki, Rusia, sebahagian besar negara�negara Arab selain Jordan, Iran.

Apa yang anda baca daripada tindakan Presiden Rusia Vladimir Putin mengajak Hamas berbincang?

Itu satu tindakan yang bijak, kerana Rusia mahu berperanan di Timur Tengah. Selepas keruntuhan Kesatuan Soviet, pihak Rusia dipaksa keluar dari Timur Tengah dan mereka tidak mempunyai hubungan lagi dengan Timur Tengah, dan AS mengambil peranan ini. Hamas merupakan satu peluang bagi Rusia mendapatkan peranan ini. Bagi Hamas, sekiranya mereka mahu membantu, Hamas bersedia.

Siapakah yang terlibat dalam penulis dokumen itu?

Dokumen ini ditandatangani oleh lima atau enam tahanan yang sebelum ini menjadi pemimpin pelbagai kumpulan rakyat Palestin. Salah seorang, tokoh Fatah, Barghouti, yang kami rasa penulis seluruh dokumen ini, ada dari Hamas, PFLP (Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin). Apa yang ditulis hanya cadangan utnuk rundingan, dan mereka tidak menjangka dokumen itu akan menjadi senjata Fatah. Selepas Abbas membuat kenyataan meminta kandungan dokumen itu diterima, mereka yang menandatangani kecuali Fatah menarik diri. Dokumen ini tidak dibincang secara meluas oleh ramai tahanan sebenarnya. Ia datang dari hanya satu penjara.

Bagaimana dengan seorang wakil Kristian yang meletak jawatan tidak lama dulu?

Beliau diugut dan akhirnya meletak jawatan. Beliau diugut bunuh sekiranya tidak meletak jawatan.

Apa punca birokrasi yang besar di Palestin?

Wang yang selama ini datang dari AS dan EU ialah untuk membayar ramai kakitangan yang wujud disebabkan Perjanjian Oslo. Mereka diwujudkan oleh Barat dan Fatah. Hamas sebenarnya tidak bertanggungjawab terhadap birokrasi yang besar di Palestin. Birokrasi yang diwujudkan kini berjumlah 160,000 orang. 50,000 daripada mereka tidak bekerja, mereka hanya mengambil gaji. Disebabkan korupsi, mereka disenarai sebagai kakitangan kerajaan tetapi tidak bekerja dan ramai yang tidak tinggal di Palestin. Kerana inilah, salah satu matlamat Hamas ialah reformasi birokrasi. Jumlah kakitangan dapat dikurangkan kepada 30,000 hingga 40,000. Birokrasi yang besar ini hanyalah satu kepalsuan.

Bagaimana kerajaan Hamas menangani perjanjian yang telah ditandatangani oleh rejim sebelum ini?

Hamas mahu penilaian semula ke atas perjanjian�perjanjian sebelum ini. Perjanjian yang tidak menganiyai rakyat Palestin akan dihormati.

Berapa lamakah Hamas akan terus beroperasi, dengan kesukaran kewangan dan sebagainya?

Rakyat Palestin telah lama bertahan tanpa bantuan dari luar negara. Hamas akan terus melakukan apa yang perlu selagi perlu.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: