jump to navigation

Sampai bila Abdullah, Khairy dapat bertahan Julai 25, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Malaysia Baru.
trackback

Oleh: Ahmad Lutfi OthmanPertelagahan Dr Mahathir Mohamad dengan Abdullah Ahmad Badawi nampaknya tidak mudah untuk dileraikan walaupun Perdana Menteri masih membisu sambil membiarkan (mengarahkan?) para menterinya (termasuk Presiden Petronas dan juaknya di NST) menjawab isu-isu yang ditimbulkan.

Suasana agak sedikit reda apabila Abdullah bercuti hampir 20 hari ke Australia dan Mahathir pula berlepas ke Turki, namun di peringkat akar umbi, cakap-cakap mengenainya sambung menyambung dan spekulasi makin marak sehingga menenggelamkan peranan “orang tengah” yang diusahakan Zainudin Maidin.

Siapalah Zam untuk mempengaruhi Mahathir yang cukup “keras kepala” dan begitu tinggi keyakinan terhadap dirinya itu? Inisiatif Zam itu pula dikecam pimpinan Umno sendiri apabila beliau mencari publisiti dengannya. Berdepan Khalil Yaakob yang disebut orang tengah itu – walaupun dinafikan kemudiannya – Mahathir mengulangi pendiriannya terhadap isu-isu yang dibangkitkan dan menegaskan beliau tidak bercadang untuk mengubah pendiriannya.

Tegas Mahathir, selagi Abdullah tidak menjawab, beliau akan terus berpegang kepada pendiriannya. Dalam satu wawancara dengan media Australia, ABC, Mahathir berkata, “apabila saya merasakan ada perkara yang perlu diperbetulkan, saya tidak peduli apa akan berlaku kepada saya.”

Malah dalam sidang media selepas syarahannya di Taman Melewati, 24 Jun lalu, Mahathir mengungkapkan bahawa beliau akan mencari jawapan terhadap isu-isu itu sehingga ke lubang cacing! Seterusnya, beliau bertekad untuk tidak berhenti setakat itu kerana mahu membetulkan keadaan.

Pihak ketiga

Yang pasti, Zam, dan seorang lagi bekas orang kuat Mahathir, Abd Aziz Shamsuddin, yang mula menimbulkan isu “pihak ketiga”, tentu tidak senang dengan andaian bahawa Anwar Ibrahim mungkin akan menjadi faktor penting dalam krisis terbaru Umno ini. Sejak berzaman, sebelum Anwar menyertai Umno 1982, mereka berdua dikatakan musuh ketat Anwar.

Tidak berbangkit soal sama ada Anwar mengintai peluang atau tidak, yang penting namanya sudah dikaitkan dengan “pemain gantian” yang akan dibawa masuk jika timbalan Abdullah, Najib Razak “cedera”. Gosip bertiup kencang mengatakan Anwar ada hubungan baik dengan Khairy Jamaluddin, tokoh muda yang dilihat seteru no. 1 Mahathir kerana didakwa beliau lebih berkuasa daripada Perdana Menteri.

Namun, sepatah kata Tengku Razaleigh Hamzah, jika benar Mahathir mahu mengumpan Najib bersamanya berdepan Abdullah, maka ia sia-sia saja kerana perwatakan TPM itu tidak menampakkan kesediaannya untuk menanggung risiko. Dan istilah yang paling tidak digemari Najib ialah kesetiaan! Tapi Najib tentu saja tidak mahu mengulangi “tragedi orang no. 2”, Musa dan Anwar, serta menginsafi tiada siapa mampu menewaskan penyandang jawatan presiden Umno.

Soalnya, sampai bila Abdullah akan mengunci bibirnya dan mampukah orang-orangnya, terutama yang disifatkan “pihak ketiga” di Tingkat 4, Jabatan Perdana Menteri, bersabar menerima kecaman Mahathir? Bagi Naib Presiden PAS, Husam Musa, sebenarnya bukan Abdullah menahan diri daripada menjawab, tetapi Perdana Menteri tidak tahu bagaimana untuk menyanggah kritikan Mahathir itu.

Semua maklum kemampuan Abdullah berdepan kontroversi; ia berada di tahap cukup mengecewakan. Secara peribadi, semasa mengikuti pertembungan Abdullah dengan Team Wawasan yang diketuai Anwar dalam pemilihan Umno 1993, saya bersimpati dengannya.

Saya yang mendengar ucapannya di PWTC, selepas kalah mempertahankan jawatan naib presiden, tidak senang duduk dan rimas sekali kerana beliau tidak mampu menutur kata-kata dengan baik, berbeda sama sekali dengan Sanusi Junid, yang menerima nasib sama.

(Kini Sanusi dilaporkan penyokong kuat Mahathir dan dalam satu majlis di Universiti Islam Antarabangsa, selaku Presiden UIA, beliau membelasah teruk Abdullah dan menantunya Khairy, selari dengan kecaman Mahathir terhadap Perdana Menteri.)

“Pak Lah hanya boleh berucap selama lima minit, lepas itu berterabur,” kata seorang menteri kepada saya semasa beliau berada di barisan pembangkang satu ketika dulu. Beliau pernah menjadi regu Abdullah, dalam Team B, semasa pertandingan naib presiden 1987.

Wartawan malu dengar ucapan Abdullah

Kegelisahan sama turut dikongsi ramai wartawan Malaysia ketika mengikuti rombongan Abdullah keluar negara. “Bila PM berucap, kami turut berasa malu. Baik lagi Rafidah atau Muhyiddin yang ikut sama,” kata seorang wartawan kanan sebuah akhbar harian.

Ketika membuat analisis pilihan raya 2004, saya sempat bertemu Prof Dr Jomo KS dan bertanya, mungkinkah faktor Abdullah yang tidak banyak menyerang pembangkang menyumbang sokongan besar kepadanya. “Pak Lah bukan sekadar tidak kata kepada PAS, malah dia tidak kata kat sapa-sapa pun!” pintas Jomo sambil menceritakan kenangan rakan sebilik Abdullah semasa belajar di Universiti Malaya dulu. Bagi rakannya itu, Abdullah langsung tidak menunjukkan ketrampilannya sebagai bakal pemimpin besar.

Teringat saya lakaran Asiaweek, 27 April 1984 terhadapnya: “Abdullah doesn’t have a strong personality.” Justeru, dari awal saya beranggapan apa pun jawapan Abdullah kepada Mahathir, episod ini tidak mudah berakhir. Ini kerana yang dipersoalkan bukan berlegar sekitar projek jambatan bengkok, permit import (AP), Agusta, Tengku Mahalel dan Proton, namun yang dipertikai Mahathir ialah kepemimpinan Abdullah sendiri, yang nampak lemah, lembik dan mudah diperalatkan, sehingga boleh dikaitkan dengan isu-isu lebih sensitif, misalnya mempertaruhkan kedaulatan negara.

Dari sudut ini, Abdullah tidak ada banyak pilihan. Beliau begitu bergantung dengan “semangat berpasukan” kabinetnya, yang dikecam Mahathir kerana mengamalkan “budaya sokong apa saja”, sambil mengimpikan isu ini akan berlalu begitu saja, walaupun nampaknya ia tidak kesampaian. Juga mengharapkan Najib terus setia …

Apakah Mahathir hanya akan mengalah selepas Abdullah memecat menantunya, Khairy dan membuang jauh-jauh Kalimullah Hassan, bersama “kumpulan Oxford dan Cambridge” yang dikatakan penentu perjalanan politik dan kewangan negara? Jika dituruti kehendak Mahathir itu, bukankah imej indecisive Abdullah bertambah teruk lagi? Dan, sanggupkah orang dan kumpulan di singgahsana kuasa itu, dengan mudah, melepaskan posisi strategik mereka?

Jika Abdullah masih mengharapkan simpati – sesuatu yang selama ini menjadi asetnya – rasanya rakyat juga tidak mampu menahan sabar walaupun menyedari orang yang bertanya, Mahathir, mempunyai rekod buruk selama 22 tahun. Isunya tidak semudah, “memilih antara dua, menyebelahi Abdullah atau memihak Mahathir”, ataupun “jangan terpengaruh dengan masalah peribadi Dr M dan Pak Lah”.

Sebab itu saya tidak pelik PAS menghantar wakilnya, termasuk timbalan dan naib presiden serta ketua pemuda, ke majlis syarahan dan dialog dengan Mahathir tempoh hari walaupun ia jelas tidak disenangi sekutunya, KeADILan dan Anwar Ibrahim sendiri.

Walaupun banyak pihak curiga sikap Parti Islam itu boleh mengundang padah kerana selama ini Mahathir cukup melukakan hati pengundi Melayu, namun PAS yang sudah berakar kukuh dalam politik Malaysia, sentiasa membuktikan ia tidak boleh menunggu lama sebelum merumuskan langkah politiknya. Ia dibuktikan melalui pengalaman bersama Ku Li dan Team B pada akhir 90-an dan keterbukaannya menangani isu Anwar pada 1998.

Bukan mahu meremehkan parti-parti yang baru muncul seperti Semangat 46 dan KeADILan, namun gerak langkah PAS yang berbeda itu mudah diduga. Benar, ia sentiasa mengintai peluang dan ruang terbaik, namun PAS, di bawah kepimpinan siapa saja, lebih mudah untuk mendekati pihak yang berada di luar kepompong kuasa, tanpa menafikan kesediaannya untuk bekerjasama dengan penguasa seperti terbukti melalui Kerajaan Campuran Perikatan-PAS dan kemudiannya BN.

Selari tuntutan pembangkang

Sekurang-kurangnya di takuk sekarang, suara Mahathir yang lantang menegur kerajaan, selari dengan tuntutan pembangkang, yang dilihat kerdil selepas pilihan raya Mac 2004. Apa saja usaha mengingatkan pemerintah, walau dari siapa saja, saya kira menguntungkan rakyat, apabila peranan “semak dan imbang” diperkukuhkan.

Apatah lagi teguran Mahathir terhadap budaya angguk “mana titah patek junjung” cukup relevan sekali.

“Anwar tidak boleh salahkan PAS kerana menghadiri syarahan Mahathir, bukankah selama ini beliau sendiri seperti teragak-agak untuk berdepan langsung dengan pemerintahan Abdullah, sedangkan beliau sudah diangkat menjadi ketua pembangkang,” kata seorang penganalisis. “Dan Anwar juga tidak wajar untuk menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan PAS kerana segalanya dilakukan secara terbuka, dan saya tidak rasa PAS ada hubungan sulit dengan Mahathir.”

Meneliti surat-surat dan emel yang dihantar kepada Harakah, saya dapat merasai kerisauan amat sangat penyokong pembangkang sekiranya langkah PAS dan sikap KeADILan yang agak bertentangan itu boleh menggugat keutuhan BA. “Saya amat harapkan kematangan Anwar dan Ustaz Hadi menangani isu ini, jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” demikian ingatan seorang pembaca yang mengaku Ahli Seumur Hidup PAS.

Bagi saya, sekurang-kurangnya, kini politik tidak sunyi sepi dimonopoli elit berkuasa saja. Suara Mahathir diangkat kerana ia didengari penguasa. Beberapa soalan pendek Mahathir mampu merubah suasana ketika mana rakyat sejak sekian lama menimbulkan seribu satu persoalan yang jauh lebih mendasar. Apa pun, Mahathir sudah meninggalkan legasi, tapi yang merencana di puncak sana ialah Abdullah dan suku-sakatnya.

Benar, 22 tahun peninggalannya menyimpan jutaan soalan tidak berjawab, namun, tidak salah kiranya kita menumpang untuk bersama-sama menagih jawapan di atas empat soalan Mahathir itu. Saya kira banyak lagi kotak rahsia yang dapat kita bongkar bersama-sama Mahathir, termasuk hasil usaha tangannya sendiri!

Nota: Ahmad Lutfi Othman, mantan aktivis kampus, telah memulakan kariernya kewartawanannya di Harakah di samping pernah menerbitkan buku-buku politik dan akhbar-akhbar tidak berkala. Dalam era reformasi 1998, beliau mengendalikan Detik dan Wasilah, sebelum majalah terbitannya tersebut diharamkan. Kini, beliau kembali menyertai Harakah sebagai ketua pengarang, selain turut memimpin akhbar maya, DetikDaily.net. Manakala artikel ini pertama kali disiarkan dalam Siasah, keluaran 7-20 Julai 2006, di bawah kolum Simpul Mati.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: