jump to navigation

Mengenali Hizbullah Julai 27, 2006

Posted by ummahonline in Intifadha, Kolum.
trackback

Oleh: Maszlee MalikJika umat Islam sedunia hanya mampu bersedih semenjak rakyat Palestin sekeluarga dibunuh dengan kejam oleh tentera rejim Zionis di Pantai Gaza, kini mereka boleh berasa bersemangat kembali. Serangan-serangan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat pasca kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya Majlis Legislatif yang lalu kini agak terubat.

Pertamanya, operasi “al-Wahm al-Mubaddad” (prasangka yang dihapuskan) yang dilancarkan bersama oleh Briged al-Qassam (HAMAS), Alwiyat al-Nasir (Mantan Fatah) dan al-Jaysh al-Islami ke atas pos tentera Zionis di Kufr Abu Salim di dalam Palestin 1948.

Operasi yang telah menyaksikan bagaimana pos kawalan tentera itu telah berjaya ditembusi dari bawah tanah dan menyebabkan tiga orang tentera mereka terkorban, tawanan seorang tentera mereka, kecedaraan ramai yang lain serta kemusnahan dua kereta kebal tercanggih rejim Zionis. Operasi tersebut benar-benar telah mengejutkan rejim Zionis yang selama ini menyangkakan bahawa rakyat Palestin lemah dan tidak berupaya menyerang balas.

Malangnya dengan alasan untuk membebaskan tenteranya yang ditawan itu, rejim Zionis telah mengorbankan (sehingga 18 Julai 2006) lebih 85 nyawa warga awam Palestin, mencederakan ratusan yang lain, merobohkan puluhan rumah dengan bedilan roket dan kereta kebal, menyerang universiti Islam Gaza, membedil pejabat-pejabat kerajaan, menculik 24 ahli parlimen HAMAS, menangkap 40 pegawai-pegawai kerajaan dan Dato’ Bandar serta memenjarakan lima orang menteri kabinet kerajaan Palestin.

Setiap hari semenjak 25 Jun 2006 (hari operasi tersebut dilaksanakan), bandar-bandar di Gaza dan Tebing Barat menjadi mangsa serangan tentera rejim Zionis. Malang sekali lagi, seperti yang diungkapkan oleh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyyeh, kemanakah dunia?, kemanakah masyarakat antarabangsa? Mengapakah sepi dan sunyi tanpa mengutuk kekejaman rejim Zionis tersebut.

Akhirnya kesunyian masyarakat antarabangsa ini telah dipecahkan oleh tindakan berani Hizbullah yang berpusat di selatan Lubnan. Kejayaan mereka menyerang konvoi tentera Zionis serta membunuh lapan orang tentera dan menawan dua yang lain adalah tindakan yang paling nekad dilakukan oleh Hizbullah. Sekali lagi rejim Zionis ditekan apabila Hizbullah memberikan syarat pemulangan dua tentera tersebut dengan pertukaran tahanan warga Lubnan, Syria dan Arab yang lain di penjara Zionis.

Tindakan mereka juga seolah-olah menunjukkan kepada para pemimpin Arab yang bacul bagaimanakah caranya untuk mengajar rejim Zionis. Persoalan yang berlegar di dalam masyarakat masa kini adalah, “Siapakah Hizbullah?”. Artikel ini akan cuba menjawabnya…

Syiah di Lubnan

Di dalam membicarakan tentang Hizbullah kita tidak dapat lari daripada membincangkan perihal komuniti Syiah di Lubnan. Lubnan merupakan sebuah negara Arab yang unik. Lubnan merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat dari pelbagai latar belakag agama dan mazhab. Kristian dari pelbagai gerejanya, seperti Maronites (yang dominan), Ortodoks, Katolik, Muslim Sunni dan Muslim Syiah, Druze dan lain-lain lagi merupakan di antara pluralisme masyarakat Lubnan.

Keunikan ini telah menyebabkan mereka terpaksa bersatu di bawah sistem demokrasi versi kepuakan (taifiyyah). Sistem ini juga telah menjadi sebahagian daripada perlembagaan mereka. Kononnya sistem tersebut bertujuan untuk menjaga keharmonian. Pada hakikatnya bukanlah keharmonian yang ingin dijaga, tetapi kepentingan kaum Kristian Maronites yang merasakan ketuanan mereka di bumi tersebut. Bayangkan bilangan mereka yang kurang dari 30% dan dikelilingi oleh majoriti umat Islam, tetapi mereka mempunyai kuasa yang lebih dan berpengaruh di negara tersebut

Di kalangan kesemua kelompok itu, Syiah merupakan golongan yang paling minoriti dan lemah pada asalnya. Awal kurun ke-20 sehingga tahun 60’an telah menyaksikan bagaimana kelompok Syiah merupakan golongan yang terkebelakang dalam bidang ekonomi, pelajaran dan juga sosial. Mereka lebih dikenali sebagai kelompok yang mengasingkan diri dan sering dilayan sebagai warga kelas kedua di Lubnan.

Walau bagaimanapun hal ini telah mula berubah pada tahun-tahun 70’an. AMAL, sebuah pertubuhan yang menjadi payung kepada masyarakat Syiah, terutamanya di kawasan selatan Lubnan telah berusaha memperjuangkan nasib dan hak mereka sebagai rakyat Lubnan. AMAL adalah singkatan kepada “Afwaj al-Muqawimah al-Lubnaniyah” (Batalion Penentangan Lubnan) dan AMAL di dalam bahasa Arab membawa maksud “Harapan”. .

Perubahan ini disebabkan oleh kehadiran Musa Sadr, seorang ulama berketurunan Syiah Najaf yang tinggal di Iran telah berhijrah ke selatan Lubnan. Sebagai anak murid kepada Khomeini dan seorang ulama Syiah yang disegani beliau telah berjaya menyatukan kelompok Syiah di Lubnan yang sebelum itu bepecah belah. Beliau seorang pemimpin yang amat karismatik.

Ucapan-ucapan beliau telah dapat menarik ramai pemuda-pemuda Syiah untuk bangkit dan memperbaiki kehidupan mereka. AMAL yang diasaskan oleh beliau telah berjaya menyatukan para pemuda Syiah untuk melakukan perubahan terhadap kehidupan masyarakat syiah di sana. Anak-anak muda yang sebelum itu kebanyakannya terpengaruh dengan fahaman kiri dan sosialis kini telah kembali ke jalan agama dan ke jalan Syiah yang dibawa oleh Sadr.

Beliau telah berjaya meniupkan semangat revolusi di dalam hati para pemuda Syiah dengan membawa ideologi “Jihad Karbala” yang berinspirasikan kematian Hussein, cucu Rasualullah SAW yang telah dibunuh oleh Yazid bin Muawiyah. Pada thaun 1975, ketika meletusnya peperangan saudara di Lubnan, Sadr telah menubuhkan sayap ketenteraan AMAL.

Keadaan sosio ekonomi golongan Syiah yang teruk itu telah mendorong ramai pemuda Syiah untuk menyertai sayap ketenteraan tersebut. Sikap tidak puas hati terhadap golongan Kristian Maronites yang berkuasa di Lubnan dan juga ahli Sunnah yang dominan juga telah mendorong AMAL untuk bersikap radikal.

Pada tahun 1978, ketika berkunjung ke Tripoli, Libya, Musa Sadr telah diculik dan hilang sehingga hari ini. Kehilangan beliau telah menimbulkan rasa marah para pengikutnya yang telah diterjemahkan kepada sikap radikalisme dan kesungguhan untuk berjuang demi Syiah.

Walaupun beliau telah hilang, namun semangat revolusi beliau dan juga karismatik beliau sentiasa berada di dalam hati-hati para penganut mazhab Syiah di Lubnan sehingga ke hari ini. Setiausaha Agung Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah sehingga kini sentiasa menyebut nama Sadr di dalam ucapan-ucapannya. Bagi Nasrallah, Sadr merupakan ikon kepada perjuangan Syiah di Lubnan.

AMAL dan AMAL Islamiyyah

Kehilangan Sadr telah membawa perubahan di dalam AMAL. Perkembangan AMAL yang drastik dan juga kemajuan mereka telah membawa pertubuhan tersebut menceburkan diri ke dalam bidang politik. AMAL, pasca Sadr telah dipimpin oleh golongan professional Syiah dari kalangan pemuda mereka. Nabih Berri, seorang peguam dan wakil golongan profesional Syiah telah diberikan amanah untuk memimpin AMAL.

Di bawah pimpinan Berri, AMAL telah bertukar menjadi sebuah pertubuhan nasionalis Syiah. Beliau lebih memperjuangkan nasib Syiah sebagai rakyat Lubnan dan memastikan golongan Syiah mendapat peranan yang lebih di dalam sistem politik Lubnan. Hal ini telah membuatkan golongan agama dan pemuda-pemuda pro-Iran tidak puas hati dengan Berri. Bagi mereka, tujuan asal penubuhan AMAL menurut inspirasi Sadr adalah untuk menubuhkan sebuah negara Islam seperti Iran.

Pada tahun 1982, satu peristiwa besar telah berlaku dan telah menyebabkan AMAL terus berpecah. Penjajahan rejim Zionis ke atas Lubnan dan juga operasi “Peace in Galilee” yang dilancarkan oleh Sharon pada ketika itu telah merubah lanskap AMAL. Rejim Zionis yang telah menerima kekalahan besar pada awalnya. Ini dapat dilihat pada angka kematian 500 tentera mereka akibat operasi tersebut, sepertimana yang telah disebutkan oleh Robert Fisk di dalam bukunya Pity the Poor Nation. (Lihat: Fisk (1992), Pity, London: Oxford Univ. Press, hal. 270).

Kerugian yang amat besar di pihak Zionis ini telah memaksa pati Likud yang memerintah pada waktu itu untuk menerima usul AS demi menyelesaikan isu penjajahan tersebut. Likud terpaksa akur dengan keputusan tersebut kerana bimbang kehilangan sokongan rakyat terhadap mereka akibat kerugian besar di alami oleh pihak tentera rejim lewat peperangan itu.

Ronald Reagan, Presiden AS pada waktu tersebut telah menghantar Philip Habib sebagai wakil mereka untuk menyelesaikan peperangan tersebut. Philip telah menjadi orang tengah di antara rejim Zionis dengan kumpulan-kumpulan di Lubnan. Presiden Lubnan pada waktu itu, Ilyas Sikis telah membentuk Jawatankuasa Penyelamat Nasional yang terdiri daripada lima orang wakil kelompok-kelompok di Lubnan. Berri merupakan salah seorang daripada mereka. Melalui perbincangan dengan Philip, beberapa keputusan telah dicapai. Antaranya, Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk gencatan senjata dan juga mengahalau para pejuang PLO yang berpusat di Lubnan keluar daripada negara tersebut.

Perkara ini telah mendapat bantahan umat Islam secara majoriti di Lubnan. Presiden Lubnan yang baru naik menggantikan Sirkis, Rached Karami sendiri telah membantah keputusan tersebut. Menurutnya, ia adalah pengkhianatan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan perjuangan menentang penjajahan Zionis. Keputusan tersebut juga dianggap bertentangan dengan inspirasi rakyat Lubnan yang ingin menghalau tentera Zionis keluar daripada negara mereka.

Walaupun sepanjang tempoh penjajahan Zionis, sayap ketenteraan AMAL telah mendapatkan momentum mereka. Malangnya, apabila Nabih Berri menyertai Jawatankuasa Penyelamat Nasional tersebut, pendokong AMAL, terutamanya golongan agama, para pemuda dan mujahidin telah menentang beliau. Perkara tersebut telah memaksa Hussain Musawi, orang nombor dua di dalam AMAL untuk membuat bantahan terbuka. Krisis tersebut telah cuba diselesaikan oleh Iran yang ingin menjadi orang tengah.

Malangnya Berri enggan tunduk kepada keputusan Iran yang dilihat menyebelahi Musawi. Natijahnya, Musawi dan ramai dari kalangan anggota AMAL meninggalkan AMAL secara beramai-ramai dan berpusat di Baalbak, di Lembah Bika. Di sana, pada 12 Julai 1982, dia telah menubuhkan AMAL al-Islamiyyah. AMAL al-Islamiyyah ini menurut beliau adalah usaha untuk mengekalkan keaslian ajaran Khomeini dan juga Sadr di kalangan pengikut Syiah Lubnan. Kemunculan AMAL al-Islamiyyah ini merupakan titik awal tertubuhnya Hizbullah.

Pengawal Revolusi

Peperangan di antara Zionis dan rakyat Lubnan telah mengundang campurtangan Iran. Pada waktu yang sama penubuhan AMAL al-Islamiyyah, Iran telah menghantarkan lebih 1500 pengawal revolusi mereka ke sana melalui Syria. Pada asalnya, tujuan para pengawal yang merupakan para komando revolusi Iran itu adalah untuk menyertai peperangan membantu rakyat Lubnan melawan rejim Zionis.

Keadaan pejuang Syiah Lubnan yang serba kekurangan dan juga tidak terlatih telah menukar haluan para pengawal tersebut. Mereka telah mengambil peranan sebagai pelatih kepada para pejuang Syiah AMAL al-Islamiyyah dengan pelbagai latihan peperangan. Mereka juga telah mendidik para pemuda Syiah dengan ajaran Syiah yang sebenarnya dan juga doktrin-doktrin Khomeini. Akhlak, kesungguhan dan juga semangat para pengawal revolusi telah berjaya menawan hati penganut Syiah Lubnan.

Di samping melatih para komando AMAL al-Islamiyyah dan mendidik mereka dengan ajaran agama, para pengawal tersebut juga tidak ketinggalan melakukan usaha-usaha kebajikan kepada masyarakat Syiah yang serba dhaif di Lubnan. Bermula dari saat inilah Syiah di Lubnan mula menjadi salinan karbon kepada kerajaan Syiah Iran.

Para pengawal ini pada akhirnya telah berjaya menukarkan kawasan Bika kepada kawasan yang dikuasai sepenuhnya oleh Syiah berteraskan ideologi revolusi Iran. Rakyat Syiah Lubnan yang paa asalnya telah putus asa untuk berjuang telah berjaya dipulih semangat untuk berjuang.

Di bawah panji “Kehancuran bagi negara Zionis” yang dilaungkan oleh Khomeini, para pemuda Syiah Lubnan telah bangkit untuk memperjuangkan kemerdekaan Lubnan dan berusaha untuk membebaskan al-Aqsa. Antara para pemuda Syiah Lubnan yang telah dilatih oleh para pengawal tersebut ialah Abbas Musawi, pemimpin tertinggi pertama Hizbullah.

Antara fenomena baru yang berlaku pasca kedatangan pengawal revolusi juga ialah budaya cadur dan bertudung. Wanita-wanita Syiah Lubnan pra-kedatangan para pengawal tersebut adalah seperti wanita-wanita Lubnan yang lain. Budaya bertudung bukanlah sesuatu yang popular di kalangan mereka. Namun enam bulan selepas kedatangan para pengawal segalanya telah berubah selaras dengan kesedaran beragama di kalangan masyarakat Syiah Lubnan, terutamanya di kawasan Bika.

Pengaruh revolusi ini akhirnya merebak ke selatan Lubnan yang didominasi oleh masyarakat Syiah. Suasana penjajahan Zionis dan juga peperangan yang berlaku di selatan telah mempercepatkan lagi pengaruh revolusi untuk tersebar. Para pejuang Syiah telah menunjukkan kehandalan mereka bertempur dengan tentera Zionis secara militia. Perkara ini telah menyebabkan tentera Zionis menghadapi tentangan yang hebat dan juga kerugian nyawa yang banyak. Pencapaian yang mengkagumkan ini telah berjaya menarik ramai lagi para pemuda Syiah untuk menyertai jihad menentang Zionis.

Hizbullah

Projek jihad Syiah ini semakin berkembang. Pelbagai arus dan individu yang berpengaruh telah menyertainya, namun setipa kumpulan dan setiap individu mempunyai agenda yang tersendiri. Iran telah mengambil peluang untuk menyatukan mereka di bawah dua doktrin utama, “Bersatu di bawah Wilayah al-Faqih (Khomeini)” dan “Bersatu menentang Zionis”. Khomeini yang telah diziarahi oleh para pemimpin kumpulan-kumpulan Syiah Lubnan tersebut telah merestui penyatuan mereka dan menyeru mereka agar meneruskan perjuangan.

Di bawah dua slogan dan doktrin tersebut, akhirnya pada tahun 1983, penyatuan kumpulan-kumpulan Syiah tersebut telah menubuhkan Majlis Syura Lubnan. Mereka dipimpin oleh kepimpinan kolektif yang dianggotai oleh para ulama, iaitu Said Abbas Musawi, Syeikh Subhi Tafeili, Syeikh Hassan Korani, Said Hassan Nasrallah, Syeikh Muhammad Yezbek, Syeikh Afif al-Nablusi, Said Ibrahim Amin dan beberapa anggota profesional seperti Hussain Musawi, Muhammad Fineish dan Muhammad Ra’ad.

Penyatuan ini telah berjaya menarik minat Syiah di selatan Lubnan untuk menyertai mereka. Kebanyakan Syiah di Selatan Lubnan, samada bersama AMAL ataupun merupakan mantan komando PLO. Mereka telah menjadi komando PLO sewaktu zaman kegemilangan PLO di zaman 70’an menentang Zionis.

Di bawah restu Khomeini dan juga Iran, para komando-komando tersebut akhirnya menyertai penyatuan Syiah yang baru ini. Mereka akhirnya telah dilantik menjadi para komando Majlis Syura Lubnan dan berjuang untuk tujuan revolusi Syiah. Usai penubuhan Majlis Syura Lubnan, pertempuran dengan tentera penjajah Zionis menjadi semakin intensif. Majlis Syura Lubnan akhirnya telah menggunakan syiar “Kami adalah Hizbullah (kumpulan Allah)” bersumberkan Surah al-Maidah (5): ayat 55-56. Syiar atau moto ini akhirnya ditukarkan menjadi nama rasmi kepada kumpulan Syiah tersebut pada awal tahun 1984 menggantikan nama “Majlis Syura Lubnan”.

“Hizbullah – Revolusi Islam Lubnan” telah dipilih oleh Majlis Syura Lubnan menjadi nama baru mereka. Walau bagaimanapun nama ini tidak dihebahkan kepada umum. Nama tersebut hanya popular di kalangan kepimpinan dan pejuang Hizbullah sahaja. Mereka lebih menonjolkan nama “Perjuangan Penentangan Lubnan” sahaja di dalam media dan di khalayak ramai. Mereka juga telah cuba menonjolkan diri mereka sebagai gerakan politik dan cuba menempatkan diri di dalam lanskap politik Lubnan.

Antara jasa Hizbullah kepada masyarakat Lubnan adalah keupayaan mereka untuk menghalau tentera rejim Zionis daripada Bairut dan selatan Beirut. Mereka juga telah berjaya membuatkan tentera-tentera Zionis berundur sehingga ke selatan Saida. Di Saida mereka telah membina pejabat rasmi Hizbullah.

Di sana jugalah para pemuda Syiah yang lebih radikal telah mengambil keputusan meneruskan jihad melawan tentera Zionis tanpa memperdulikan strategi pertahapan Hizbullah di dalam peperangan. Kumpulan ini kemudiannya diketuai oleh Syeikh Ragheb Harb yang telah berjaya memimpin beberapa operasi melawan tentera Zionis. Di atas usaha para pemuda inilah akhirnya pengaruh Hizbullah telah merebak ke Selatan Lubnan.

Hizbullah dan kemerdekaan Selatan Lubnan 2000

Berdasarkan keputusan perundingan Philip Habib, para pejuang PLO terpaksa meninggalkan Lubnan secara beransur-ansur. Vakum perjuangan ini telah berjaya diisikan oleh Hizbullah. Di waktu kemunculan mereka, para pejuang ideologi lain seperti para pejuang Sosialis dan AMAL di bawah pimpinan Berri sudah lemah dan tidak berpengaruh lagi. Peluang ini telah diambil oleh Iran untuk memperhebatkan bantuan kepada Hizbullah untuk meluaskan pengaruh mereka dan memperhebatkan perjuangan menentang penjajahan rejim Zionis.

Selain daripada bantuan latihan ketenteraan, Iran juga telah menyalurkan bantuan kewangan kepada Hizbullah. Sehingga 1987, dianggarkan jumlah bantuan Iran kepada Hizbullah mencapai 10 juta dollar sebulan. Bantuan kewangan ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Hizbullah untuk khidmat-khidmat sosial mereka.

Pelbagai sumber dari Iran telah dimanfaatkan oleh Hizbullah untuk melatih dan menerapkan fahaman jihad dan revolusi kepada generasi baru. Pada masa yang sama Hizbullah telah berjaya memenangi hati dan minda pengikut baru dan mengekalkan kesetiaan mereka melalui program bantuan sosial, hospital, klinik, pasaraya, restoran, koperasi, bantuan kewangan serta biasiswa kepada anak-anak mangsa perang.

Kebajikan mangsa perang juga sentiasa diambil berat oleh Hizbullah. J.L. esposito di dalam bukunya “The Islamic Threat: Myth or Reality” telah memetik laporan yang mengatakan bahawa Hizbullah telah menyediakan biasiswa kepada lebih kurang 40,000 orang pelajar pada tempoh tersebut. Majoriti daripada pelajar-pelajar tersebut kini telah menjadi aktivis mereka dan juga para mujahidin.

Oleh kerana kerajaan Lubnan tidak mempunyai kekuatan ketenteraan yang hebat, maka kekuatan ketenteraan Hizbullah telah menjadi pelengkapnya. Rejim Zionis, walaupun telah berundur daripada Beirut, tetapi tetap menjajah selatan Lubnan. Kawasan yang didominasi oleh puak Syiah itu telah menjadi sebahagian daripada wilayah “Israel”. Pada waktu inilah Hizbullah mula menunjukkan kehebatan mereka.

Sepanjang tempoh penjajahan, Hizbullah telah melancarkan peperangan gerila terhadap tentera-tentera Zionis yang menduduki wilayah selatan tersebut. Bukan sekadar serangan di dalam Lubnan, Hizbullah juga telah melancarkan serangan ke atas kedutaan-kedutaan rejim Zionis di luar. Akhirnya, disebabkan kekelahan demi kekalahan dan juga kerugian nyawa yang semakin meningkat setiap hari, rejim Zionis terpaksa berundur dari Selatan Lubnan pada Mei tahun 2000.

Pengunduran tentera rejim setelah menjajah Selatan Lubnan lebih 22 tahun tersebut telah mengharumkan nama Hizbullah dan telah meningkatkan lagi populariti mereka di mata rakyat Lubnan, terutamanya di kalangan pendudukan kawasan Selatan. Maka, tidak hairanlah sehingga kini, kawasan selatan Lubnan masih lagi menjadi kubu kuat para penyokong Hizbullah.

Hizbullah dan 1559

Kematian Rafiq Hariri, mantan Perdana Menteri Lubnan pada tahun 2005 telah merubah lanskap politik Lubnan. Syria telah dituduh terlibat di dalam komplot pembunuhan tersebut. PBB akhirnya telah mengeluarkan ketetapan 1559 yang menggesa Syria mengeluarkan tentera mereka yang berada di seluruh Lubnan demi mengawal Lubnan dari serangan Zionis.

Ketetapan itu juga memaksa Hizbullah agar melucutkan senjata mereka demi keamanan di Lubnan. Syria terpaksa akur dengan tuntutan tersebut walaupun mereka tahu ianya akan membahayakan rakyat Lubnan sendiri. Malangnya agenda yang dipaksakan ke atas mereka ini telah berjaya mendapat sokongan rakyat Lubnan yang pro-AS sendiri.

Hizbullah pula, semenjak awal lagi telah menentang ketetapan tersebut. Mereka tahu bahaya yang bakal diundang jika mereka melucutkan senjata. Tindakan tersebut hanya akan menjadikan Lubnan berada di dalam keadaan yang sangat lemah dan amat terdedah kepada serangan Zionis. Inilah yang telah berlaku pada hari ini!

Kini, rejim Zionis menggunakan sepenuh kuasa lobinya dan juga media untuk memaksa UN membuatkan Hizbullah mematuhi ketetapan 1559.

Hizbullah dan HAMAS

Hizbullah mempunyai hubungan yang amat istimewa dengan HAMAS. Walaupun dari segi aqidah dan juga prinsip mereka berbeza, namun mereka sedang menghadapi situasi dan musuh yang sama. Kedua-dua pertubuhan tersebut mempunyai objektif yang sama, iaitu untuk memerdekakan al-Aqsa dan juga Palestin. Mereka sedang menghadapi musuh yang sama, iaitu penjajah Zionis.

Di dalam keadaan seperti ini, kedua-dua kumpulan ini terpaksa melupakan perselisihan aqidah di antara mereka. Berbeza dengan hubungan Syiah-Sunnah di Iraq, hubungan di antara Hizbullah -HAMAS agak berbeza. Mereka bersetuju di antara satu sama lain di dalam banyak perkara, terutamanya yang berkaitan dengan isu penentangan terhadap rejim Zionis. Hubungan ini semakin dikuatkan dengan kunjungan-kunjungan dan juga perbincangan yang berterusan di antara kedua-dua buah pertubuhan pembebasan tersebut.

Di kala HAMAS dan rakyat Palestin dihukum oleh rejim Zionis, AS dan EU, Hizbullah telah bersikap pro-aktif. Usaha jahat rejim Zionis membunuh orang awam Palestin di Gaza, menculik para pemimpin kerajaan HAMAS, menangkap rakyat yang tidak berdosa pasca operasi “al-Wahm al-Mubaddad” tidak langsung mengundang reaksi daripada kebanyakan pemimpin-pemimpin umat Islam.

Bukan sekadar tidak membantu, malah mereka juga bagaikan bisu dan tuli dengan tidak membuat apa-apa usaha mengutuk ataupun menggesa rejim Zionis agar menghentikan keganasan tersebut. Di kala rakyat Palestin bagaikan yatim piatu yang terbiar disiksa dan disembelih oleh rejim Zionis, pada waktu itulah Hizbullah terpakasa menunaikan janji persahabatan mereka.

Tindakan mereka menyerang tentera Zionis di sempadan Lubnan merupakan usaha suci Hizbullah untuk melarikan tumpuan Zionis daripada terus menerus menyiksa rakyat Palestin. Walaupun Hizbullah tahu harga yang terpaksa dibayar, namun demi mengajar puak Zionis dan menyelamatkan nyawa lebih ramai rakyat Palestin di Gaza, mereka terpaksa melakukannya.

Ke mana seterusnya?

Persoalan yang timbul, kemanakah seterusnya? Apakah kesudahan Hizbullah? Adakah mereka akan dapat bertahan dan menggempur tentera-tentera Zionis dan mengulangi kegemilangan mereka menghalau mereka seperti pada tahun 2000 yang lalu? Berjayakah mereka menuntut supaya para tahanan mereka di dalam penjara-penjara Zionis sebagai pertukaran dengan dua orang tentera Zionis yang telah ditawan? Apakah mereka akan kalah dan berjaya dihapuskan terus dari bumi Lubnan seperti yang diimpikan oleh rejim Zionis?

Jikalau soalan itu yang sedang kita fikirkan, maka ada soalan yang lebih besar lagi…kemanakah OIC? Ke manakah perginya para pemimpin umat Islam? Ke mana juakah perginya semangat ukhuwwah di kalangan umat Islam? Apakah pemimpin-pemimpin umat Islam dan kerajaan mereka semuanya buta, tuli, pekak, pondan, pengecut, bengap, bahalol dan tiada “bola”? Hanya diktator-diktator yang korup di coffee house yang bernama OIC sahaja yang mampu menjawabnya!”

Nota: Artikel ini pertama kali disiarkan www.palestinkini.info, sebuah portal berbahasa Melayu yang memuatkan berita-berita terkini tentang perkembangan perjuangan gerakan Islam di Palestin.

Advertisements

Komen-komen»

1. benadda amina - April 20, 2009

salam alaykom.kan you help you


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: