jump to navigation

Insan, janganlah berputus asa Ogos 8, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Ibnu AbdullahSemua yang bergelar insan pastinya telah, pernah, dan akan berhadapan dengan pelbagai bentuk ujian, cabaran, masalah, kesulitan, atau kegagalan. Itulah hakikat insan yang hidupnya pasti berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran. Bahkan Allah SWT sendiri menjelaskan hal ini melalui firmanNya dalam AlQuran:

“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Dan dalam ayat yang lain Allah menerangkan: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan; Kami telah beriman sedang mereka tidak diuji lagi?”

Ujian yang dihadapi berbeza antara seorang insan dengan insan yang lain. Ada yang diuji dengan kegagalan dalam sesuatu perkara, ada yang diuji dengan penindasan dan masalah, ada yang diuji dengan kebaikan, kekayaan, kemiskinan dan bahkan ada juga yang diuji dengan kesalahan, dosa-dosa, dan sebagainya. Pendek kata, semua orang pernah dan akan diuji. Persoalan yang penting yang ingin disampaikan bukanlah sekadar untuk membezakan bentuk ujian tersebut namun apa yang lebih penting bagaimana kita menghadapi ujian dan cabaran tersebut.

Jadi apakah tindakan kita dalam berhadapan dengan ujian tersebut. Adakah kita perlu kecewa dan marah atau berputus asa apabila berhadapan dengan pelbagai bentuk ujian tersebut? Bukankah sepatutnya sebagai seorang Muslim kita sepatutnya menjadikan ujian tersebut sebagai batu loncatan yang mengubah kita menjadi seorang yang lebih baik dan mengubah keadaan tersebut menjadi lebih baik.

Bukankah Allah telah menyatakan: “Allah tidak akan sekali-kali mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum tersebut sendiri yang mengubahnya”

Inilah hebatnya orang Islam, kerana prinsip hidupnya yang jelas dan bermatlamat telah digariskan dengan jelas dalam Islam.Benarlah kata – kata Umar yang sangat terkenal akan hal ini.

“Kita adalah satu bangsa yang dimuliakan dengan Islam dan sekiranya kita mencari kemuliaan selainnya pastinya kemuliaan yang kita kecapi akan hilang”.

Pendek kata, janganlah kita berputus asa dalam berhadapan dengan ujian tersebut. Allah menyatakan dengan jelas dalam AlQuran bahawa sifat putus asa bukanlah sifat seorang Muslim. Seorang Muslim adalah seorang yang tidak mengenal erti putus asa dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara. Bukankah Allah swt telah menjelaskan hal ini dalam menceritakan kisah Nabi Yaakub dan anak-anaknya:

” Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusof dan saudaranya, Dan janganlah kamu putus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari Rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.

Bahkan sehingga pelaku-pelaku dosa sekalipun tidak dibenarkan berputus asa sama sekali kerana sememangnya sifat ini adalah sifat yang terlarang bahkan keampunan Allah SWT itu sangat luas. Allah menjelaskan hal ini dalam sebuah ayat yang sugguh indah maknanya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya dialah jua yang Maha Pengampun; lagi Maha Mengasihani”.

Kalau dalam hal inipun dilarang berputus asa apatah lagi hal – hal yang lain. Tapi alangkah berbezanya realiti Muslim hari ini yang mudah sahaja berputus asa apabila gagal dalam sesuatu perkara atau mudah saja menyerah kalah apabila menghadapi cabaran yang sukar. Ikutilah teladan Rasulullah SAW dan sahabat – sahabat serta generasi Islam yang awal yang sentiasa bersemangat dan bersungguh- sungguh dalam apa jua bidang sekalipun. Ayuh wahai pemuda untuk kita bangkit kembali dan pastikan kita sentiasa cekal dan jauhilah sikap berputus asa.

Penulis teringat kisah seorang pendaki gunung yang pernah mencatat masa yang terpantas yang mana telah menjadi Qadar Allah untuk pemuda tersebut mangalami kemalangan sehingga tidak memungkin lagi dia untuk mendaki. Namun alangkah positifnya pemuda ini dengan menjelaskan:

“jika sebelum ini aku boleh melakukan 100000 perkara tapi kini aku masih boleh melakukan 1000 perkara lagi”.

Lihatlah pemuda ini yang sentiasa pro aktif dan berfikiran positif. Dan secara logikalnya, hari ini kita melihat kebanjiran pelbagai jenis buku yang sebenarnya tidak mahu membiarkan manusia dalam keadaan berputus asa. Ada sahaja buku yang ditulis untuk membantu kita memperbaiki keadaan kita. Kalau tidak pandai berbahasa ada sahaja buku yang menjelaskan bagaimana untuk menguasai bahasa tersebut, jika dalam keadaan stress juga ada sahaja buku yang menjelaskan bagaimana menghadapinya pendek kata semuanya Ada jalan dan ianya terletak kepada kita sama ada kita mahu atau tidak atau kesimpulan yang mudah ianya tidak mahu kita berputus asa kerana Sesutu maslah atau cabaran yang timbul pasti ada jalan keluarnya.

Jika kita pernah gagal, ini tidak bermakna kita akan gagal selama-lamanya. Persoalan yang penting bukanlah bagaimana kita akan gagal tetapi persoalannya adalah bagaimana kita akan mengendalikan dan berhadapan dengan kegagalan tersebut.

Allah SWT tidak pernah bersikap zalim terhadap hamba Nya. Bahkan Dia Maha Adil dalam segala sesuatu. Sebaliknya manusialah yang mempunyai sifat gopoh. Mereka selalu menghadapi Qadha’ Allah dengan rasa kesal dan tidak reda, lebih-lebih lagi kalau yang menimpanya itu sesuatu yang pahit. Dia mengira kalau dia mendapat kesenangan itu membuktikan bahawa Allah reda kepadanya. Sebagaimana dia mengira bahawa Allah benci kepadanya jika ia mendapat bencana.Inilah gambaran akal manusia yang sangat terbatas. Sedangkan Allah menafikan sekeras kerasnya anggapan yang salah dan keliru tersebut di dalam firman-Nya: “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberikan-Nya kesenangan, maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku. Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: Tuhanku menghinakanku. Sekali-kali tidak (demikian).

Anggapan manusia pada kedua-dua keadaan diatas adalah keliru. Sebenarnya kelapangan atau kesempitan rezeki adalah ujian Allah terhadap hamba-Nya. Apakah mereka akan bersyukur atau kufur nikmat, apakah boleh sabar menghadapi cubaan atau panik. Balasan untuk seseorang yang kelak akan diterimanya adalah sesuai dengan sikapnya menghadapi ujian-ujian diatas. Balasan bukan terletak pada apa yang diperolehi seseorang di dunia ini samada senang atau susah. Kesimpulannya, janganlah kita berputus asa. Jadi bagaimanakah kita menghadapinya?:

• Sentiasa ingat bahawa setiap ujian yang menimpa adalah untuk menuntut kita untuk menjadi yang lebih baik. Rasulullah SAW menjelaskan:

“Sungguh mengkagumkan keadaan seorang mukmin, keadaan mereka sentiasa dalam kebaikan. Tidak terjadi hal yang demikian itu melainkan bagi seorang mukmin. Jika mendapat kesenangan ia bersyukur dan hal itu merupakan kebaikan. Dan jika ia tertimpa kesusahania bersabar dan itu juga merupakan kebaikan baginya”.

• Sentiasa memohon pertolongan Allah dalam segenap hal dan bertawakal kepada Allah. Dari Abdullah Bin Mas”ud RA, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yanny selalu ditimpa kesedihan/kegundahan maka hendaklah dia membaca: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-mu, dan anak abdi-Mu, dan anak-anak-Mu, dan (berada) didalam genggaman-mu, ubun-ubunku ditangan-Mu, dan berlaku keatas (diri) ku hukum-Mu, dan adil padaku ketentuan-Mu, aku memohon kepadaMu dengan semua nama milik-Mu, (samada) yang Engkau namakan diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan dia di dalam kitab-Mu, atau yang Engkau simpan tersembunyi di alam ghaib disisi-Mu; kiranya Engkau jadikanlah Al Quran sebagai penghibur hatiku, dan sebagai penawar kesedihanku dan kedukaanku”. Tidak seorang hambapun yang membaca doa tersebut melainkan Allah hilangkan kedukaannya dan diganti-Nya (kesedihan itu) dengan kegembiraan.

Dan dalam firman Allah menjelaskan: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya engkau (Wahai Muhammmad) tentangKu, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiapa yang berdo`a kepadaKu apabila dia berdo`a. Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintahKu) dan beriman kepadaKu mudah-mudah mereka selalu berada di atas petunjuk”.
• Bersabar dan Bersikap pro aktif serta tidak reaktif apabila menghadapi cabaran dan ujian. Sentiasa memikirkan peluang dan apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan tersebut dan bukannya dengan bereaksi dengan emosi dan hawa nafsu. Ingatlah setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Akhir kata marilah bersama- sama kita menghayati sebuah Hadith Rasulullah SAW,Sabda Nabi s.a.w kepada Ibnu `Abbas ketika itu dia masih kecil: Maksudnya: Wahai anak kecil! Sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimat, iaitu, jagalah Allah (jagalah perintahNya) nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah (jaga perintahNya) nescaya engkau dapati Dia berada di hadapanmu (menunaikan keperluanmu). Apabila engkau memohon pohonlah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan minta tolonglah daripada Allah.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: