jump to navigation

Kerajaan tewas dalam 'perang siber'? Ogos 9, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Pub.
trackback

Oleh: Fathi Aris OmarAmaran demi amaran kerajaan kepada penulis blog dan laman web sepanjang seminggu lalu ditafsir oleh pengendali media dalam talian hari ini sebagai “kesan pengaruh besar” dunia siber dalam penyebaran maklumat politik, khususnya yang mempertikaikan kerajaan.

Jeff Ooi, pemilik blog terkenal Screenshots, hairan dengan kenyataan-kenyataan terbaru kerajaan untuk bertindak dan mengawal penyebaran maklumat yang dianggap menimbulkan rasa kurang senang dan tidak bertanggungjawab di dunia maya.

“Apakah mereka tahu sesuatu yang kita tidak tahu,” katanya kepada mStar Online hari ini apabila diminta mengulas perkembangan beberapa blog dan laman web baru sejak beberapa bulan mutakhir yang memanjangkan kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan.

Blog yang dibangunkan sejak awal tahun ini termasuklah Machai.net, Generasi M, Rocky’s Bru dan The Scribe A Kadir Jasin, selain penggiat aktif sedia ada seperti Kelab Menyokong Umno (KMU) dan laman-laman web propembangkang.

Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberikan amaran lebih tegas untuk mendakwa sesiapa yang menyebar fitnah di Internet selepas kenyataan dengan nada serupa disampaikan oleh Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin dan juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow minggu lepas.

Abdullah berkata jika maklumat yang disebarkan dalam blog dan laman web berbau fitnah, menimbulkan rasa kurang senang masyarakat dan boleh menyebabkan mereka hilang kepercayaan pada dasar ekonomi negara, penulisnya akan ditahan untuk siasatan.

“Mereka menulis pelbagai benda, membuat dakwaan yang bukan-bukan. Kita tidak boleh benarkan mereka menyalahgunakan kebebasan media,” katanya, sambil menambah mereka yang berbuat demikian melalui sistem pesanan ringkas (SMS) juga boleh menghadapi tindakan serupa.

Zainuddin berkata media Internet dan laman web perlu dikawal oleh kerajaan bagi mengelak penyebaran khabar angin dan berita yang boleh menjejaskan perpaduan kaum.

Kawalan itu bukan bertujuan menyekat kebebasan akhbar tetapi untuk menghalang penyebaran berita yang berasaskan khabar angin dan juga artikel serta rencana bersifat perkauman, tambahnya.

“Dari satu segi, kawalan terhadap kandungan media akan meningkatkan kredibiliti sesuatu laman web kerana masyarakat akan tahu berita-berita yang disiarkan adalah tepat dan bukan lagi hanya berasaskan khabar angin,” katanya, sambil menambah beliau bersetuju dengan pendapat Fu supaya amaran dan tindakan dikenakan terhadap mereka yang menyebarkan khabar angin sehingga menjejaskan ketenteraman awam.

Raja Petra Kamarudin, editor Malaysia-Today.net, juga mempertikaikan kenyataan pemimpin-pemimpin kerajaan. “Kalau tidak ada kesan, kenapa mereka (kerajaan) bising?” katanya.

Menurutnya, blog beritanya menerima kunjungan sehingga 2.4 juta hit pada penghujung Jun lalu apabila melaporkan program penerangan Dr Mahathir di Hulu Kelang berbanding kira-kira 500,000 hit pada hari-hari biasa sebelumnya.

Liputannya sewaktu lawatan bekas perdana menteri ini di Kelantan pada Jumaat lepas meraih lebih 2 juta hit dan hari-hari berikutnya 1.2 juta hit, peningkatan kira-kira setengah juta hit berbanding sebelum pembabitan langsung portal berita ini dengan isu Dr Mahathir.

Blog Jeff Ooi juga menerima kenaikan mendadak pada Jumaat lepas, susulan insiden semburan bahan pemedih mata terhadap Dr Mahathir di lapangan terbang sebaik sahaja tiba di Kota Bharu. Menurutnya, pengunjung ke blognya mencecah 36,000 pageview dan 26,000 pengunjung unik, pencapaian tertinggi sejak lebih tiga tahun lalu.

Secara purata, blog ini menerima 22,000 pengunjung unik sehari, katanya.

Bagaimanapun kedua-dua pengendali laman web terkenal itu menyedari kualiti perbahasan orang ramai, termasuk pembaca blog-blog, menurun ketara sejak perselisihan dua pihak berpengaruh ini kira-kira 10 bulan lalu.

“Mutu perdebatan jatuh di kalangan rakyat Malaysia,” kata Jeff, dengan menyifatkan perasaan serba-salah dan kekeliruan yang berpanjangan dalam konflik politik antara Dr Mahathir dengan Perdana Menteri sekarang sebagai faktor utama kemerosotan itu.

Raja Petra juga mengesan gejala yang sama. Rasa geram terhadap pemimpin politik dan kerajaan, menurutnya, mendorong majoriti pembaca di blognya meluahkan ulasan-ulasan yang penuh emosi, retorik politik dan tanpa isi bernas.

Rasa tidak senang ini bukan terkhusus kepada menteri-menteri kabinet tetapi juga pada Dr Mahathir, bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga pemimpin-pemimpin pembangkang.

“Tidak sampai 10 peratus pembaca mengulas dengan bernas,” kata pengendali laman web berpengalaman ini. Beliau dulu penggerak utama laman web Free Anwar Campaign (FAC) sewaktu bekas pemimpin nombor dua ini menghadapi hukuman penjara sehingga penghujung 2004.

“Internet atau blog menjadi tempat lepas geram,” tambahnya.

Sebagai pendukung semangat kebebasan bersuara dan perbahasan rasional, kedua-dua pengendali blog ini bagaimanapun tidak bersetuju dengan langkah mengawal media web.

“Mereka (kerajaan) tidak faham (perkembangan terkini media web),” kata Jeff, yang menegaskan beliau sendiri pendukung prinsip kebebasan dengan tanggungjawab.

“Mereka (pengunjung) yang membaca (bahan di Internet) tidak semestinya menyokong atau mempercayai. Mereka datang (baca) untuk mengetahui.”

“Tanpa tanggungjawab (pengendali dan pembaca), tidak ada kredibiliti,” katanya, sambil menambah beliau hanya membaca laman-laman web berita media arus perdana dan beberapa blog yang bertanggungjawab sahaja seperti Rocky’s Bru dan The Scribe A Kadir Jasin sebagai rujukan hariannya.

Ditanya sama ada media Internet boleh mengatasi atau menggantikan pengaruh besar media arus perdana, Jeff berkata blog tidak mungkin berbuat demikian, sebaliknya sentiasa bergantung pada sumber-sumber maklumat rasmi dan profesional media tradisional.

“Blog tidak mungkin bernafas tanpa media arus perdana. Media (arus perdana) sentiasa menjadi sebahagian utama blogosphere,” katanya.

Pengendali blog tidak mungkin dapat menyediakan berita asal seumpama akhbar dan televisyen kerana kos penyediaan berita terlalu tinggi dan perlukan latihan rasmi, katanya.

“Sekali sekala, mungkinlah kita (penulis blog) ada maklumat eksklusif.”

Kekuatan media tradisional ini menjadikan kumpulan prokerajaan tidak bersaing di ruang siber.

“Mereka lebih bergantung pada akhbar dan televisyen (untuk menyampaikan pandangan rasmi),” katanya, sambil mengutip satu tinjauan Merdeka Center, sebuah badan bebas kajian pendapat di Kuala Lumpur, yang menunjukkan hampir 70 peratus pengguna Melayu bergantung pada media elektronik dan cetak.

Blog hanya menjadi perhatian pembaca apabila media arus perdana gagal memberitakan perkembangan politik tertentu dengan tepat atau tidak melaporkan kenyataan Dr Mahathir dengan terperinci, kata Jeff lagi. “Bagi saya, ia (sikap media perdana) satu kesilapan.”

Raja Petra juga sependapat dengan Jeff. “Malaysia Today hanya memberikan ruang buat Dr Mahathir apabila suaranya tidak diberikan perhatian meluas di media rasmi,” katanya.

Mereka berdua percaya pengaruh media Internet sekarang jauh lebih baik daripada perkembangan era ketegangan politik pada 1998-2000, susulan pemecatan dan pemenjaraan Anwar. Blog gejala baru teknologi maklumat yang muncul sekitar tahun 2001 dan 2002.

Berbeza dengan laman-laman web pro-Reformasi yang tidak dikenali, blog sekarang ditulis oleh beberapa penulis yang dikenali ramai, kalaupun tidak berpengaruh. Teknologi untuk membangunkan blog kini jauh lebih mudah berbanding laman-laman web Reformasi.

“Dulu, anda harus tahu HTML,” kata Jeff.

Penggunaan Internet, termasuk jalur lebar, juga semakin meluas berbanding lapan tahun lepas.

“Akan datang, mungkin 20 tahun lagi, kempen utama politik di Malaysia berpusat di Internet,” kata Raja Petra, dengan menyebut perkembangan di Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Nota: Fathi Aris Omar, penulis kolum, juga seorang aktivis pro-kebebasan bersuara dan menerbitkan buku Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi (Feb 2005) selain baru sahaja menyiapkan kajian tentang ‘Post-Soeharto Indonesia Public Sphere’ di Jakarta, Indonesia. Penulis pernah bergiat cergas dalam gerakan pelajar dakwah 1983-1991. Manakala, artikel ini pertama kali diterbitkan di MstarOnline (kolum Pojok) pada 03 Ogos 2006.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: