jump to navigation

Operasi Lalang II berulang? Ogos 14, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Malaysia Baru.
trackback

Oleh: Ahmad Lutfi OthmanSekatan terhadap kebebasan bersuara di negara kita bukan isu baru – kalaupun tidak dianggap bahan basi – maka gertakan pihak kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap laman-laman web dan blog tidaklah begitu mengejutkan, malah ia menggambarkan ada perkembangan luar biasa yang cuba disembunyikan.

Pengalaman saya berhempas-pulas menerbitkan media independen menceritakan segala-galanya. Bermula dengan kesukaran membuat permohonan permit penerbitan, diikuti sikap “angkuh menunjuk kuasa” dengan tidak perlu memberi sebarang alasan (sebenarnya pihak KDN tidak pun meneliti borang yang saya isi) untuk menolak permohonan tersebut, sehinggalah kekangan dan seribu satu pancaroba apabila saya menerbitkan sendiri makalah tidak berkala, yang sebenarnya tidak memerlukan permit. 

Liku-liku perit dan pedih mengusahakan beberapa majalah seperti Detik dan Wasilah (usianya hanya setahun sebelum diharamkan), juga hampir 50 penerbitan tidak berkala berbentuk tabloid, seperti Haraki, Alternatif, Reformis, Lunas, Strategi, Memo, belum lagi terubat manakala beberapa kes mahkamah mengenainya masih menunggu.

Rampasan bagai mimpi ngeri

Selain pengharaman, yang mengakibatkan syarikat saya, Penerbitan Pemuda, kerugian jutaan ringgit, kes-kes rampasan tabloid tidak berkala itu bagai mimpi ngeri, malah dalam operasi membabitkan akhbar Memo14 yang memuatkan dakwaan salahguna kuasa Menteri Besar Selangor, semua 43,000 naskhah dirampas di kilang percetakan sebelum sempat diedarkan.

Ketika itu saya merasakan, lebih baik saja beralih kepada laman-laman web yang kelihatan seperti tidak diusik penguasa, selain ia tidak memerlukan ehsan pemerintah. Sekiranya ada gangguan pun, saya kira ia tidak melibatkan kerugian wang ringgit yang besar sepertimana apa yang saya alami dalam kes pengharaman Detik, Wasilah serta rampasan demi rampasan tabloid tidak berkala itu. Dan jika perlu, kita boleh berlindung di sebalik nama-nama samaran, memandangkan hampir semua laman reformasi dikendali oleh orang-orang yang tidak dikenali.

Bagaimanapun, bersama petugas majalah Detik yang diharamkan itu, sepanjang mengendalikan Detikdaily kemudiannya, dan mengikuti dari dekat perjalanan laman-laman reformasi, kepuasan mengusahakan penerbitan bercetak tidak dapat ditampung oleh dunia siber. Benar, tiada siapa dapat menghalang kita untuk mempamerkan apa saja yang kita suka, tetapi pelbagai keterbatasan lain menerpa.

Memang di sana tiada unsur komersil, namun ia juga satu kekangan untuk meningkatkan kualiti persembahan dan kandungan laman, khususnya untuk memartabatkan laman-laman tadi setanding media arus perdana. Ia hanya dicari dan dirujuk jika akhbar-akhbar utama memendam sesuatu berita panas yang menarik minat awam. Kes pemecatan Anwar Ibrahim, yang mana sisi-sisi eksklusifnya digelapkan media, merintis jalan peningkatan pengunjung laman.

Stamina mantap berdepan gugatan

Tabik hormat buat teman-teman pengendali laman reformasi yang begitu ghairah, bersemangat dan mempunyai stamina mantap berdepan gugatan dan hentakan. Hampir semua mereka bekerja secara sukarela, tiada upah yang diperolehi, malahan duit poket sendiri dikorbankan bagi mempastikan pengunjung puas dan beroleh info serta pandangan alternatif. Mereka yang tidak dikenali ini, bagi saya, adalah tokoh-tokoh yang berjaya mendefinisikan, juga memberi makna kepada satu era bersejarah dalam proses pembentukan Malaysia moden yang lebih matang.

Saya tertarik dengan komentar, dan seterusnya kesimpulan, A Kadir Jasin mengenai amaran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, terhadap akhbar Internet and weblog. Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST ini merumuskan kenyataan Perdana Menteri itu bahawa:

1. Tindakan keras mungkin akan berlaku dalam masa yang singkat; 2. Mempengaruhi pendapat umum (public opinion) bahawa akhbar Internet dan Blog adalah berbahaya;

3. Memberi amaran kepada yang berani agar jangan berani sangat dan menakut-nakutkan yang lemah semangat agar tutup blog mereka;

4. Dan apabila akhbar arus perdana yang sensasi seperti Harian Metro turut terbabit, maka terbuktilah bahawa akhbar Internet dan blog kini benar-benar menjadi ancaman kepada daya maju – commercial viability – media arus perdana;

5. Satu lagi legasi era Mahathir iaitu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) akan mengalami proses dekonstruksi; dan

6. Secara peribadi saya ‘terhutang budi’ kepada Harian Metro kerana secara sengaja (deliberate) menghebahkan tentang wujudnya blog yang dikendalikan oleh mereka yang bergelaran Datuk. Untuk makluman Harian Metro, ada beberapa blog yang moderatornya Datuk (termasuk A Kadir Jasin sendiri, kadirjasin.blogspot.com).

Sekadar menjalankan kehendak PM?

Sebenarnya sikap keras Abdullah terhadap kebebasan akhbar memang telah dijangkakan. Walaupun pengharaman beberapa penerbitan Melayu, selepas pilihan raya 1999 – termasuk akhbar mingguan Eksklusif, selain majalah Detik dan Wasilah, juga pengurangan kekerapan Harakah, dibuat semasa Mahathir Perdana Menteri – namun Menteri Dalam Negeri ketika itu adalah Abdullah.

Tentu ada pihak menuding semua jari tangan mereka kepada Mahathir, kerana beranggapan para menteri hanya menjalankan kehendak Perdana Menteri, “apa titah patik junjung”, tetapi pengalaman saya menunjukkan bahawa menguruskan permit penerbitan di bawah era Abdullah lebih memedihkan. Berpuluh permohonan dibuat, sejak enam tahun lalu, namun sehingga kini, tiada jawapan pasti yang diberikan.

Semasa mengendalikan akhbar mingguan Cabaran, pada akhir 2001 sehingga pertengahan 2002, yang disewa permitnya daripada seorang wartawan veteran Kelantan, beberapa kali surat amaran KDN menegur kami, supaya dikendurkan laporan beberapa “isu-isu semasa yang kontroversi”.

Begitu juga pengalaman singkat saya semasa mengemudi akhbar Siasah bersama Mohd Sayuti Omar. Amaran dan gertakan untuk memancung usia Siasah dilayangkan Mungkin jika saya tidak berpindah ke Harakah, Februari lalu, maka Siasah sudah berkubur dan tinggal sejarah sahaja.

Dan yang pasti, kita sudah tentu tidak lama bagaimana perjalanan pilihan raya umum pertama di bawah Abdullah, pada Mac 2004, yang mencatat rekod sebagai pilihan raya terburuk dalam sejarah negara. Ketika itu saya sudah dapat membayangkan bahawa ruang dan sisa-sisa kebebasan bersuara selepas era Mahathir semakin sempit dan merimaskan.

Rekod terburuk pilihan raya kampus

Tahun lalu, pilihan raya kampus di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terus merakamkan kerakusan penguasa untuk mencabuli kegiatan anak-anak muda kita untuk bereksperimen di kampus-kampus. Lebih mengaibkan apabila sekumpulan pemimpin berhingus Pemuda dan Puteri Umno boleh mengarahkan segala “dato’-dato’ dan profesor-profesor” yang berjawatan timbalan naib canselor hal ehwal pelajar mengikuti taklimat di ibu pejabat Umno di Malaysia, di PWTC.

Saya terpaksa mengulangi cerita episod luka ini bagi menunjukkan Abdullah tidak pernah berlaku lebih adil dan terbuka terhadap sebarang kritikan atau pandangan berbeza terhadap pemerintahannya. Dan jangan terkejut apabila reaksinya lebih ganas lagi. Sungguh bagai dikata, kuasa bisa merubah segalanya, bisa menukar watak seseorang, apatah lagi apabila kroni dan anak menantu – yang begitu banyak kepentingan mereka – menentukan kata pemutus.

Cakap-cakap bahawa Operasi Lalang 1987 akan berulang usah dipandang remeh. Malah saya gerun untuk membayangkan apa akan berlaku selepas kesabaran Abdullah sampai penghujungnya. Pertembungannya dengan Mahathir mungkin akan memakan korban yang bukan sedikit, dan selalunya kambing-kambing hitam akan menjadi mangsa!

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: