jump to navigation

Labelisasi Demostrasi Ogos 18, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Emaduddin Elahi

“Labbaikaya Nasrallah! Labbaikaya Jundullah!” Begitulah laungan suara yang kedengaran dalam demontrasi yang dianjurkan PAS dan beberapa pertubuhan NGO pada petang selepas solat Jumaat (28 Julai 2006) bagi membantah kekejaman Zionis di Lubnan dan Palestin serta membantah kehadiran Setiausaha Negara Amerika Condoleeza Rice di ibu negara.

Pelbagai laungan dapat didengari, ‘Khaibar! Khaibar! Khaibar ya Yahud!, Wahai Yahudi! Tentera Muhamad pasti datang! Ini diselang-seli dengan ucapan dan laungan takbir.

Sudah banyak kali menyertai demontrasi di ibu kota, tetapi demontrasi kali ini amat unik bagi penulis. Pertama sekali, Presiden Pas Dato Seri Hj Abdul Hadi bin Awang menyertainya, setelah amat jarang mengepalai “demo”.

Keduanya, perjalanan sepanjang 4 km dari Masjid Kampung Baru ke KLCC dan bersambung ke Kedutaan Amerika dengan ditemani hujan yang lebat. Ketiganya, penyebaran gambar pemimpin Hizbullah Syeikh Hassan Nasrallah serta sekelompok anak muda yang mengangkat gambar pemimpin Revolusi Islam Iran, Ayatollah Imam Khomeini dan Ali Khamenei.

Mungkin hari ini Mohamad Sabu boleh tersenyum lebar dan bangga apabila kempennya mengajak ulama’ mengetuai demontrasi sudah menampakkan hasil. Maafkan penulis sekiranya pandangan ini kurang sesuai pada fikiran pembaca, Ini semua berdasarkan kenyataan beliau ketika Muktamar lepas iaitu, “kejayaan Hamas dalam pilihan raya di Palestin hasil dari kesyahidan Mursyidul Amnya”.

Dan, beliau ada juga berkata “kalau boleh biar Tuan Guru syahid di jalan raya ketika mengetuai demontrasi agar rakyat bangkit”. Ini benar, sebab kepimpinan Hamas dan Hizbullah mati syahid seawal dulu sebelum menempuh kejayaan di hari ini. Mungkin ini yang memanggil Haji Hadi untuk menyertainya, tepat pada masa dan sesuai dengan keadaan dalam mewakili suara Islam di Malaysia.

“Hidup! Hidup! Hidup Islam!” kedengaran jelas dari 15,000 penunjuk perasaan. “Ana rasa Hj Hadi berani datang sebab demontrasi kali ini ada permit“, komen seorang kawan saya yang basah lencun dibasahi air hujan. Namun pada saya jawapan itu kurang tepat. Pada waktu yang sama Pemuda UMNO diketuai Khairy Jamaludin (KJ) menganjurkan juga demontrasi dari Masjid as-Syakirin ke KLCC.

Jadi dari segi keuntungan politik, Haji Hadi dan Pas perlu muncul di khalayak ramai, jangan sampai orang kata KJ dan UMNO lebih realistik daripada gerakan Islam. Biasalah semua itu, dan sekarang timbul beberapa persoalan, adakah selama ini demo yang di anjur Pas tidak pernah dapat permit? Kalau tidak kenapa Pak Lah mahu pun BN sekarang memberi permit? Ramainya orang sampai 15,000 sebab orang ramai yang menyertai KJ turut sama dalam perarakan yang Pas anjurkan.

Khairy mungkin dilihat lebih berani dari Haji Hadi sebab beliau berani menceroboh masuk dalam Convention Centre, tidak seperti Haji Hadi yang hanya sekadar memberitahu orang ramai bahawa, pihak kedutaan Amerika tidak membenarkan mereka masuk bagi menyerah memorandum bantahan. Mungkin Dr Hatta, Ezam, Tian Chua, Salahudin dan Mohamad Sabu boleh menjawab persoalan itu kerana mereka ini pernah dilokap berkali-kali berbanding dengan Khairy?

Cerita pasal berani ini, penulis ada persepsi sendiri untuk dikongsi bersama sebagai contoh, isu kenaikan harga minyak. Kebiasaannya semua orang tahu minyak adalah satu benda yang asas dalam kehidupan, namun kenapa boleh terjadi apabila harga minyak naik, yang memprotes terlalu kecil bilangannya. Apakah hanya mereka saja yang menggunakannya?

Banyak peserta tunjuk perasaan telah dikasari FRU, dipukul, ditendang, diseret anak-beranak ke dalam lokap, namun mereka tidak serik-serik menganjurkan sekali lagi. Adakah ini dikatakan berani? Atau pihak berkuasa yang terlampau berani hingga kanak-kanak pun diheret masuk lokap.

Bagaimana pula dengan tentera Israel yang memasuki wilayah orang dan membunuh wanita, kanak-kanak dan orang awam. Bolehkah ini di katakan berani? Pada pendapat penulis, berani yang sebegitu semuanya ada kepentingan dari segi politik, pengaruh dan agenda tertentu.

Keberanian yang tidak disertai keimanan hakiki pasti tidak mencapai matlamat yang sebenar. Reformasi seketika dulu dapat mengumpulkan ratusan ribu orang untuk menuntut satu perubahan namun ternyata ianya kejayaan masa pendek dan sikit demi sedikit ia hilang begitu saja.

Apa yang berlaku ketika itu membuatkan masyarakat kita di hari ini menjadi takut untuk menyertai apa-apa siri tunjuk perasaan dan perarakan. Ini ditambah lagi dengan sikap lemah serta penakut dalam diri pemimpin kita.

Pedulikan jika Khairy mencerobohi masuk dewan konvensyen bagi membantah kehadiran Condoleezza Rice dalam mesyuarat Asean, ini kerana dia menantu Perdana Menteri, takkan Perdana Menteri hendak menahan menantunya bawah ISA.

Bagaimana pula dengan Pas dan Haji Hadi, sebagai pemimpin dalam parti yang memperjuangkan Islam? Kenapakah langkah kaki terhenti apabila pihak kedutaan Amerika tidak membenarkan masuk bagi menyerah memorandum bantahan. Apakah sampai di situ saja perasaan kita, kemarahan kita dan tidak melampau saya katakan keimanan kita terhadap Islam.

Maaf, bukan saya mahu kita di Malaysia ini bertindak seperti teman-teman demontrasi di Indonesia. “Sungguh kurang ajar. Ini perbuatan biadap. Mereka melayan kami di pintu sahaja”. Ucap Nasharudin Mat Isa. Bertanya dalam diri saya ini, setakat itu sajakah keberanian pemimpin Pas, di mana maruah kita?

Semua ini perlu di fikirkan, kejayaan gerakan Islam di Iran, Mesir, Hamas di Palestin dan Hizbullah di Lubnan, bukanlah selepas mereka berdemontrasi, menganjurkan makan malam dan hi tea bersama pemimpin seperti kita buat di Malaysia.

Walaubagaimana pun segala aspek kelemahan dapat ditutup dengan perancangan yang cukup baik dan menarik. Perarakan sepanjang 4 km dari Masjid Kampung Baru hingga ke Kedutaan Amerika dengan dibasahi hujan yang lebat menunjukkan keikhlasan diri para penunjuk perasaan. Itu yang boleh dilihat dengan mata kasar, apa yang tersirat hanya Allah saja yang tahu. Mungkin keadaan sebaliknya berlaku jika cuaca panas terik.

Kesejukan membuatkan suara Haji Hadi tidak berapa jelas dan lantang namun dapat juga didengari orang yang berada sekitar beliau yang diam dalam kesejukan hujan. “Kita Masuk! Kita Masuk!”, jerit beberapa suara apabila Haji Hadi mulakan ucapannya di depan kedutaan.

Hujan hari itu bagai meredakan keadaan namun apa yang saya ingin tekankan di sini orang ramai tetap tidak berganjak dan perhimpunan tidak bubar walau hujan turun mencurah-curah. Mereka bagaikan dalam medan peperangan yang menantikan arahan pemimpin.

Ini menunjukkan hal kepimpinan adalah perkara asas dalam perjuangan dan bukannya perkara cabang. Semua penunjuk perasaan yang mencintai Islam pada hari itu diuji oleh Allah dengan dibasahi air hujan bahkan Haji Hadi dan rakan-rakan pun basah bersama. Insyallah, semoga ia akan menjadi latihan pada kita untuk ke medan perang yang berhujankan peluru, roket dan sebagainya.

Bercakap pasal hal kepimpinan saya teringatkan gelagat beberapa anak muda yang membawa gambar Ayatollah Imam Khomeini dan Ali Khamenei yang begitu bersemangat sekali mereka ini. Waduh! Rakyat Malaysia sudah ada yang bermazhab syiah? Ini sangkaan saya saja tetapi sekiranya benar, kita memang sudah mencapai tahap Hadhari.

Ketika mendengar khutbah jumaat tengahari itu lagi saya sudah kagum dengan mereka apabila laungan salawat “Allahumma Soli Ala Muhamad Wa Ali Muhamad” jelas kedengaran bergema ketika khatib berkata “sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatnya berselawat keatas Nabi, Hai orang beriman hendaklah kamu berselawat dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.

Memang, selama ini kita yang mengikuti aliran sunni tidak pernah diajar sedemikian malah hanya senyap membatu kerana mungkin mengikuti hadis yang diriwayat oleh Abu Hurairah iaitu “hendaklah kamu diam dari berkata-kata apabila khatib membaca khutbah”.

Terlintas di hati saya ingin mendekati dan mengenali mereka (betul-betul ke rakyat kita, manalah tahu Siam ke, Indon ke atau Iran).Tiba – tiba lamunan saya tersentak, dengan suara; “Turunkan gambar! Turunkan gambar!” itulah yang dapat saya saksikan apabila Dr Hatta Ramli cuba merampas gambar Imam Khomeini dari tangan salah seorang dari kumpulan itu.

Pelik sungguh saya tengok gelagat Dr Hatta. Soal saya dalam hati kenapa bertindak sedemikian, apa untungnya? Gaya sudah macam FRU, mungkin sudah selalu sangat kena jerkah dengan polis jadi tingkah laku pun lebih kurang macam polis. Sedangkan polis pun hari itu tiada langsung merampas mana-mana gambar.

Di manakah nilai persaudaraan dalam Islam? Apakah sentimen anti pada mazhab tertentu menebal dalam diri seorang yang ingin berjuang pada bangsa dan agamanya? Apakah kita yang memperjuangkan Islam dalam Malaysia tetapi pada masa yang sama mencemburui antara satu sama lain.

Teringat saya ketika zaman reformasi pada 1998 di mana ramai ahli Pas ketika itu mengangkat gambar Anwar Ibrahim bermata lebam namun tidak ada berita kedengaran malah kesaksian yang Dr Hatta atau mana-mana pemimpin Pas merampas gambar Anwar dari orang ramai.

Semua orang tahu, Anwar Ibrahim banyak menyusahkan Pas ketika beliau berada dalam kabinet, namun terbukti Pas terbuka apabila ahlinya menyokong Anwar. Malah, ada yang sampai ditahan polis hanya kerana mahukan pembebasan Anwar.

Jadi, apa masalahnya dengan gambar pemimpin agung Iran ini? Logikkah jika permit untuk perarakan tidak akan lulus sekiranya ada gambar Ayatollah Imam Khomeini, Ali Khamenei atau Syeikh Hassan Nasrallah pemimpin Hizbullah yang sedang bertempur dengan rejim zionis di negaranya sekarang?

Baiklah, mari kita sambung perbincangan mengenai berani ini. Manusia selalunya berani terhadap perkara atau benda yang ia tidak tahu dan tidak berani pada benda yang dia sudah tahu apa natijahnya.

Setiap perkara yang hendak dilakukan mestilah ada manfaatnya, contohnya jika mati terbunuh atas jalan agama maka balasannya sudah tentu syahid, namun tidak semua orang mampu memilih jalan suci itu walaupun ada keinginan mahu masuk syurga. Pelbagai sebab dan alasan iaitu amal tidak cukup, membantu dari belakang dan macam-macam lagi.

Apa yang boleh yang saya katakan keikhlasan dalam beragama, keikhlasan dalam hidup serta keimanan yang jelas adalah penyumbang satu agenda itu berjaya atau tidak. Mereka yang mengangkat gambar-gambar tokoh yang di puja mungkin mahu menonjolkan keimanan serta keberanian pada umum. Inilah dinamakan tunjuk perasaan dan mesej yang terbuku dalam perasaan dapat diluah atau di kongsi bersama dengan massa.

Mereka tidak mengangkat diri mereka tetapi merendahkan diri dengan sesuatu yang hak. Sesuatu yang hak itu ialah kepimpinan yang memimpin, iaitu kepimpinan dari Ilahi, itulah simboliknya yang cuba hendak ditonjolkan oleh mereka. Marilah kita berpijak pada bumi yang nyata apabila kita mahu memfokuskan sesuatu isu janganlah kita cuba lari dari tajuk dengan sibuk merpertahankan pengaruh masing-masing. Inilah dinamakan berani yang sebenar-benarnya.

Sunni, Syiah, Pas, Umno serta orang-orang yang cintakan keamanan perlulah bersatu. Apa yang berlaku di Lubnan ialah Hizbullah sedang bertempur dengan rejim zionis bagi mempertahankan negara, itulah kisahnya. Relevanlah dalam tunjuk perasaan gambar Syeikh Hassan Nasrallah diangkat dan gambar Imam Khomeini sebagai orang yang mencetuskan penubuhan Hizbullah dibawa berarak.

Hizbullah adalah contoh terbaik yang ingin Allah SWT tonjolkan pada mata manusia di muka bumi hari ini sama ada pada orang awam mahu pun untuk gerakan Islam seluruh dunia.

Mereka yang bermahzab Syiah Imamiyah telah mengambarkan pada masyarakat dunia bahawa Syiah yang digambarkan negatif oleh musuh Islam adalah palsu semata-mata. Bahkan mereka yang kita tahu sering ditindas dengan penguasa tirani, telah bangkit untuk menentang Amerika dan rejim Yahudi bagi membebaskan Al Quds. Mereka ini ialah saudara Islam kita yang terbaik.

Sekiranya jalan dialog adalah terbaik bagi merapatkan hubungan maka usahakanlah kearah itu. Hanya mereka yang Hagelian sahaja yang menolak dialog konstruktif. Tetapi kenapa Malaysia yang kononnya hadhari menolak dialog Israel? Bukankah itu tanda kemunduran tamadun kita? Ah! persoalan itu tidak akan dijawab kerana kita tidak mengiktiraf negara zionis mereka.

Itu jawapan yang boleh di terima pakai. Jadi kepada Pas, bagaimana dengan dialog Sunni dan Syiah? Apakah Pas menolak dengan berkata “kita berbeza dari segi akidah” seperti bermaksud sama tidak mengiktiraf mereka, seperti Israel?

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: