jump to navigation

Bila ada Gubra Ogos 21, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Emaduddin ElahiMenyayangi binatang – sekali pun binatang yang najis dan menjijikkan – merupakan satu bentuk perbuatan yang akhlaki. Anjing misalnya, meskipun badan dan air liurnya mengundang virus yang merbahaya, tetapi tetap berhak untuk disayangi.

Mungkin, jika filem Gubra ini tiada adegan seorang muazin menyentuh anjing sebelum melaungkan azan, maka tiadalah kontroversinya. Walaupun banyak lagi adegan-adegan yang jelas hukumnya haram di dalam filem ini.

Tidak tahu apa tujuan sebenarnya mengadakan adegan sebegitu. Tetapi, pengarah filem yang bernama Yasmin Ahmad ini ada berkata, dia ingin memberi mesej dari Gubra bahawa masyarakat hari ini tidak reti menghargai kasih sayang.

Poster wanita Islam peluk lelaki Cina

Gubra yang menelan kos RM1 juta dengan paparan poster seorang perempuan Muslim memeluk erat seorang lelaki Cina telah pun memenangi filem terbaik dalam festival filem Malaysia ke-19 baru-baru ini.

Cuba untuk memaparkan konsep keterbukaan dalam beragama dengan menonjolkan seorang muazin yang seolah-olah meredhai kerjaya jirannya sebagai pelacur.

Teringat saya apabila Dr Mashitah Ibrahim yang pernah menyatakan bahawa menjadi pelacur kerana terpaksa adalah tidak salah. Mungkin pengarah filem wanita yang berpendidikan dari United Kingdom ini mendapat idea dari isu yang diketengahkan oleh Dr Mashitah tidak berapa lama dahulu.

Malah, saya sendiri pun semakin memahami tutur bicara bekas pensyarah UIA itu yang sedang sibuk dengan kempen Islam Hadarinya.

Benar, masyarakat Melayu Muslim di negara ini sebahagian besarnya yang bermahzab Ahlul Sunah Wal Jamaah apabila diamati bersikap berlebih-lebih dalam bab hukum dan kebanyakannya langsung jahil.

Sebagai contoh, bersedekap dalam solat itu bukanlah wajib menurut empat-empat mahzab. Namun, sekiranya seseorang solat dengan hanya meluruskan tangan pasti akan berlaku kecurigaan di mata yang melihat dan menuduh itu ajaran selain Ahlul Sunah Wal Jamaah dan lebih melampau lagi mengatakan solat orang itu terbatal.

Manakala, jika tidak baca qunut dalam solat subuh dituduh wahhabi, sedangkan mungkin orang itu tidak dapat menghafal doa tersebut.

Sekiranya masih ramai berfahaman begitu dan ditambah lagi dengan kejahilan, ianya adalah disebabkan budaya ilmu yang semakin pupus di sekitar kita, maka yang sunat dikatakan wajib dan yang jelas haram dikatakan halal.

Sutradara wajar dihukum?

Filem-filem yang cuba untuk memaparkan kisah kehidupan masyarakat di hari ini seringkali ia gagal dari segi fizik dan juga metafiziknya. Sedikit pun tidak mencapai tahap membanggakan dalam agama, bangsa dan negara. Kenapa perkara ini berlaku? Apakah wajar mereka-mereka yang digelar sutradara ini dihukum bersalah? Jawapannya, ya dan tidak.

Pada pandangan saya, tidak terjadi satu perkara melainkan dengan adanya sebab musababnya. Setelah 49 tahun merdekanya negara dari penjajahan, bagaimana boleh muncul isu-isu seperti ini.

Bukan setakat Gubra yang menjadi kontroversi malah individu yang terbabit dalam filem ini seperti pelakon dan pengarahnya telah membuat kegelabahan pada masyarakat.

Belum pernah ada artis atau pun karyawan filem yang membuat seorang menteri itu menjadi gelabah. Memang, dari segi luarannya menteri itu gubra tetapi hakikatnya tidak, kerana menteri itu hanya gubra untuk menjawab pertanyaan dan persoalan dari masyarakat yang benci dengan suasana kegelabahan dan kegubraan yang dicipta oleh pemerintah.

Kegubraan yang muncul dalam diri masyarakat itu berbeza-beza. Dalam konteks pemikiran ‘yang memerintah negara kita hari ini’ iaitu fenomena sebegitu dibenarkan wujud asal tiada kekecohan dan penentangan.

Sebagai contoh dalam isu bahasa, iaitu dalam hendak memartabatkan bahasa Melayu muncul pula arahan dari pemerintah untuk mewajibkan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik kepada murid-murid sekolah.

Hasil sistem pemerintah

Kegubraan mula muncul apabila seorang pelakon wanita yang baru saja 20 tahun umurnya menyatakan kelihatan bodoh apabila bercakap bahasa Melayu dan merasa yakin menggunakan bahasa Inggeris. Bukankah ini hasil dari dasar pendidikan negara yang dicipta oleh pemerintah atau pun ia salah satu peninggalan dari penjajahan british yang diwarisi pemerintah?

Apa yang dilihat, kegubraan Menteri Kebudayaan dan Warisan Dato’ Seri Rais Yatim dalam isu ini adalah bersifat helah semata-mata. Timbulkan apa saja isu yang boleh menjadi kegusaran pada masyarakat, pasti perkara itu akan dijawab oleh pemerintah dengan reaksi hampa dan kecewa bagi menunjukkan pada rakyat kononnya bukan ini matlamat negara mahukan.

Pada golongan masyarakat yang sukakan keterbukaan dalam pemikiran, munculnya filem-filem seperti Sepet, Gubra, Embun, Remp-it dan yang serupa dengannya adalah satu kejayaan setelah di sekat begitu lama.

Jalan dan ruang yang dibuka oleh pemerintah digunakan sebaik-baik mungkin oleh orang yang berpemikiran seperti Yasmin Ahmad. Kelompok ini amat gembira atas kegubraan sebahagian masyarakat yang amat pentingkan permasalahan akidah dan syariat.

Terbentang jalan menginjak agama

Inilah yang pemerintah tidak mahu dan tidak suka bagi menjawab persoalan-persoalan yang akan dibangkitkan oleh kelompok rakyat berfikiran tidak Barat dan tidak Timur tetapi Islam.

Kemenangan dua tahun berturut-turut dalam festival filem Malaysia membuktikan jalan untuk menginjak-nginjakkan agama, bangsa dan maruah negara telah terbentang luas. Ianya menjadi contoh ikutan pada mereka yang inginkan pengikhtirafan dari pemerintah walaupun nilai akhlak dan moral perlu dikorbankan.

“Ke Arah Penerbitan Cemerlang”, itulah tema yang diberi dalam FFM ke-19 yang amat sesuai sekali di mata pemerintah lebih-lebih lagi filem yang bertajuk Gubra ini boleh menang, bila kononnya menjadikan cinta dan kasih sayang sebagai formula untuk berjaya.

Apakah pemerintah kita ini terlalu bodoh, atau cuba mahu memperbodohkan massa yang nampak bodoh-bodoh saja apabila fenomena kegubraan sudah masuk dalam pemikiran orang-orang yang tenang lagikan waras?

Seni merupakan sesuatu yang dapat dimanfaatkan orang-orang yang punya kepekaan. Bahkan, dapat dikatakan bahawa tidak satu pun orang berakal jahat mahupun baik tidak ingin mengambil manfaat dari seni itu.

Justeru, wajarlah para-para seniman yang cintakan kebenaran memanfaatkan seni filem untuk merealisasikan nilai yang lebih murni dari nilai kegubraan satu kelompok yang ingin mencemarkan budaya dan agama yang suci, yakni Islam.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: