jump to navigation

'Khairy Chronicles' berkubur September 6, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Pub.
trackback

Oleh: Fathi Aris OmarSiri catatan politik sensasi dan kontroversi mengenai Khairy Jamalluddin, menantu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sebuah laman web berita akhirnya ditutup selepas diterbitkan sebanyak 33 siri dalam tempoh setahun.

Menurut pengendali web Malaysia-Today.net Raja Petra Kamaruddin, Khairy Chronicles itu tidak akan disambung lagi. Coretan terakhir siri itu pada Jun 12.

“Lama-lama orang muak membacanya. Lagipun Dr Mahathir (Mohamad) telah mengkritik Khairy. Kalau kami teruskan juga, orang akan cakap ia overkill,” kata Raja Petra kepada mStar Online.

Kolum yang kerap menjadi rujukan itu memulakan siri pertamanya pada 3 Julai 2005 atas premis paling dasar — menggambarkan Khairy, sebagai menantu Perdana Menteri, seorang pemuda yang cukup berpengaruh.

Raja Petra berkata, beliau mengambil masa lebih enam bulan untuk memantau kekuatan pengaruh anak muda berusia 30 tahun itu sebelum memulakan ‘Khairy Chronicles’.

Katanya, Khairy mula dilihat memiliki kabel besar politik peringkat atasan apabila hadir di kediaman bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan alasan menguruskan pasport beliau ke Jerman untuk menerima rawatan sakit belakang.

“Apa kena-mengena Khairy dengan urusan pasport,” soalnya.

Mulai hari itu, kata Raja Petra lagi, beliau berbincang dengan beberapa individu untuk memantau pergerakan politik Naib Ketua Pemuda Umno.

Seperti diduga beberapa pihak, beliau mengakui, beberapa siri di kolum itu disediakan oleh penulis lain dan beliau hanya bertindak sebagai penyuntingnya.

Dihadapkan dengan isu kredibiliti ‘Khairy Chronicles’, Raja Petra berkata beliau menulis berdasarkan keyakinannya pada sumber-sumber tertentu.

“Jika saya percaya pada anda, saya pakai (tulis) maklumat anda. Saya harus mengambil risikonya (jika maklumat itu salah),” katanya.

Pendapat berbeza-beza mengenai impak sebenar siri yang seolah-olah sudah sebati dengan sebahagian besar pelayar blog politik.

Seorang wartawan berpengalaman di akhbar harian berpendapat, ‘Khairy Chronicles’ hanya satu catatan blog yang tidak mempunyai pengaruh besar kepada arus politik Melayu.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa siri itu boleh jadi lebih berpengaruh bergantung pada siapa yang menjadi “orang tengah” antara intipati ‘Khairy Chronicles’ dengan khalayak ramai.

“Siri itu sekadar undercurrent. Bekas perdana menteri Dr Mahathirlah yang menghidupkan isu tersebut (yang mendorong reaksi rasmi Abdullah dan Khairy),” katanya.

Ruangan ini mencampur-adukkan fakta dengan fiksyen, katanya.

“Pada umumnya ‘Khairy Chronicles’ berdasarkan konsep khabar angin atau sembang di warung. Cuma kali ini gosip mengambil bentuk baru apabila mediumnya berubah kepada Internet dan blog,” katanya yang mengakui beliau hanya percaya “50:50 sahaja.”

Exco Pemuda PAS Abdullah Abdul Karim, sementara itu, meletakkan kepercayaan tinggi, sehingga 80-90 peratus, pada artikel-artikel dalam ruangan tersebut.

Menurut peguam ini, sebagai aktivis muda PAS dan peminat laporan-laporan politik, beliau membaca semua bahagian kecuali beberapa siri yang terakhir kerana tiada kelapangan.

“Tujuh puluh peratus maklumat terperinci dan baru (kepadanya) diperolehi melalui ruangan ini,” katanya, dengan menambah bahan-bahan yang diterbitkan itu juga pernah diperolehinya daripada beberapa sumber lisan.

Abdullah berkata beliau mengesan beberapa kesilapan fakta dalam catatan-catatan tersebut, misalnya masa kematian wakil rakyat PAS bagi Pengkalan Pasir tetapi, berpendapat kesalahan seumpama itu tidak menggugat kredibiliti keseluruhan analisa tersebut.

Prof Dr Mohd Safar Hashim pula berkata seperti laporan media arus perdana, ‘Khairy Chronicles’ juga berdepan dengan masalah kebolehpercayaan orang ramai.

Profesor komunikasi dan media di Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata beliau boleh percaya kira-kira 50 peratus sahaja bahan yang dibaca di kolum “panas” tersebut.

“Kita terima fakta dalam siri itu with a pinch of salt,” katanya. “Saya tertanya-tanya, sama ada sahih atau tidak maklumat itu.”

Seperti juga Abdullah, Mohd Safar berasa ganjil mengapa Khairy tidak mengambil tindakan perundangan jika kolum tersebut mengandungi pembohongan atau penyelewengan fakta yang boleh memudaratkan maruahnya.

Ahli akademik ini bagaimanapun tidak menolak peranan laporan blog dan media web alternatif bagi melengkapkan media arus perdana, misalnya dengan membandingkan laporan beberapa akhbar dan media web berhubung kenyataan Dr Mahathir sewaktu berucap di Universiti Teknologi Petronas di Tronoh, Perak semalam.

Akhbar web yang kini sedang disiasat polis Malaysiakini.com melaporkan Dr Mahathir menggesa Perdana Menteri meletakkan jawatan tetapi kenyataan demikian tidak dilaporkan oleh media arus perdana.

Shamsul Iskandar Mohd Akin, Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat pula percaya 40 peratus sahaja laporan ‘Khairy Chronicles’, khususnya tentang hubungan ketuanya Mohamad Ezam Mohd Nor dengan Khairy.

“Saya lebih percaya pada Ezam. Dia telah jelaskan hal ini dalam satu mesyuarat exco Pemuda PKR dari A sampai Z (tentang pertemuan tertutup dengan Khairy),” katanya.

Beliau tidak membaca siri-siri lain yang tidak berkenaan partinya kerana, menurutnya, laporan seumpama itu banyak berasaskan khabar angin.

‘Khairy Chronicles’ pada Ogos 2005 mendedahkan hubungan sulit Ezam, bagi pihak Anwar, dengan Khairy — suatu perkembangan politik yang ingin sekali disembunyikan oleh Anwar daripada pandangan umum, termasuk pemimpin atasan Umno dan pembangkang.

Akibatnya, Anwar terpaksa bertegas untuk tidak kembali kepada parti lamanya, sementara Khairy akhir-akhir ini mengulangkan kenyataan bahawa bekas timbalan presiden Umno itu tidak ada tempat lagi dalam parti tersebut.

Nota: Fathi Aris Omar, penulis kolum, juga seorang aktivis pro-kebebasan bersuara dan menerbitkan buku Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi (Feb 2005) selain baru sahaja menyiapkan kajian tentang ‘Post-Soeharto Indonesia Public Sphere’ di Jakarta, Indonesia. Penulis pernah bergiat cergas dalam gerakan pelajar dakwah 1983-1991. Manakala, artikel ini pertama kali diterbitkan di MstarOnline (kolum Pojok) pada 11 Ogos 2006.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: