jump to navigation

Membuktikan Abdullah lebih demokratik September 9, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Malaysia Baru.
trackback

Oleh: Ahmad Lutfi OthmanPemimpin yang mendakwa bersikap terbuka dan bersedia menerima teguran hanya akan teruji apabila kedudukannya terancam. Dalam keadaan biasa, siapa saja boleh mengaku berkepala dingin diasak kritikan, namun jiwa besar itu hanya disahkan selepas melalui situasi getir.

Memang benar Mahathir Mohamad melepaskan ramai tahanan ISA di hari-hari awal pemerintahannya. Tetapi Mahathir lebih diingati dengan rekod buruknya dalam Operasi Lalang 1987 selepas menahan tanpa bicara lebih 100 aktivis masyarakat.

Ia bermula selepas Mahathir hampir tewas kepada Tengku Razaleigh Hamzah dalam pemilihan sengit jawatan presiden Umno, 24 April tahun yang sama, apabila hanya dibezakan 43 undi. Sesuatu yang tidak kena berlaku dalam proses pertandingan itu.

Cara singkirkan Ku Li

Sejumlah perwakilan tidak sah turut mengundi dan selepas tidak berjaya diselesaikan di luar mahkamah, Hakim Harun Hashim memutuskan Umno sebuah parti haram. Dan ini pun yang dikehendaki Mahathir bagi mengekalkan kedudukannya dan sekali gus menyingkirkan Ku Li.

Apabila kumpulan Umno 11 membuat rayuan, Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas mengarahkan sidang sembilan hakim Mahkamah Agung mendengarnya. Persidangan sembilan hakim itu satu rekod, dan ia begitu menggusarkan Mahathir kerana Perdana Menteri tahu komposisi hakim ketika itu menunjukkan majoriti daripadanya berani untuk membuat keputusan yang tidak memihak kepadanya.

Ramai pesalah bersedia untuk menunggu hidup mati mereka “ditentukan” para hakim, namun tidak bagi Mahathir. Malah beliau bertindak “membunuh” tiga orang hakim, Tun Salleh Abas dan dua hakim Mahkamah Agung lainnya.

Krisis politik 1987 juga menyebabkan beberapa akta drakonian dipinda untuk menyempurnakan lagi “kediktatoran Mahathir”, antaranya ISA, Akta Polis serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Negara diserahkan ke pangkuan rakyat

Ketika Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih kuasa, saya mengalu-alukannya sambil menyifatkan negara kini diserahkan kembali kepada rakyat. Sudah begitu lama Malaysia ditadbir oleh sekelompok kecil elit penguasa, malah saya kira, anggota kabinet sendiri jarang dirujuk, apatah lagi Parlimen dan majoriti rakyat.

Abdullah mengambil langkah awal yang tepat apabila membuat ucapan sulung di Parlimen selepas menerajui kuasa. Ia dianggap satu mesej untuk menunjukkan suara rakyat akan dirujuk oleh pemerintahan baru, terutama apabila menggubal dasar, rancangan atau undang-undang yang memberi impak besar kepada warga Malaysia.

Namun, seperti dijangka, kita tidak perlu menunggu lama untuk melihat kesan di sebaliknya. Pelbagai perubahan kosmetik seperti usaha memerangi rasuah dan mendakwa beberapa VVIP ke mahkamah hanya dibuat untuk mendapat mandat besar dalam pilihan raya Mac 2004.

Institusi Badan Pencegah Rasuah (BPR) kekal dimonopoli mutlak Perdana Menteri, manakala barah korupsi menjalar ke peringkat lebih kronik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula tidak lebih seperti perkakas buat Umno-BN mengambil jalan mudah mengalahkan parti-parti pembangkang sebelum pilihan raya diadakan.

Pilihan raya terburuk petanda ibu segala rasuah bermaharajalela

Lebih tragis, pilihan raya pertama yang dikendalikan Abdullah itu merakam sejarah sebagai pilihan raya terburuk pernah diadakan, dicemari pelbagai taktik hodoh dan jijik, selain penyalahgunaan kuasa paling ketara.

Tanpa menghadapi sebarang gugatan besar, Abdullah tetap bersikap kuku besi tetapi dengan penampilan senyum cerianya. Benar, BN mencapai kejayaan gemilang dan memecah rekod apabila 91 peratus jumlah kerusi Parlimen dikuasainya.

Sepatutnya Abdullah boleh melonggarkan begitu banyak sekatan yang diperkenalkan di zaman Mahathir, apatah lagi memandangkan tekanan daripada pembangkang dan pihak dalaman parti tidak begitu menonjol.

Era bulan madu Abdullah tidak dapat bertahan lama. Kenaikan mengejutkan di tengah malam harga bahan api mengundang kemarahan rakyat. Sikap brutal polis menangani tunjuk perasaan mengenainya menjelaskan lagi hipokrasi Abdullah untuk mereformasikan pasukan keselamatan.

Islam Hadhari menjadi bahan gurauan; tuntutan baru anti-Islam pula semakin lantang dikemukakan, terutama membabitkan isu kebebasan agama, gejala murtad, IFC, “Islam Liberal”, Kumpulan Artikel 11. Tiba-tiba saja umat Islam merasakan Malaysia bukan lagi negara yang mampu mempertahankan akidah anak-anak mereka.

Tertakluk di bawah pengaruh menantu Mahathir yang bersara hampir tiga tahun lalu muncul dengan serangan lebih memedihkan walaupun isu-isu yang ditimbulkannya sudah lama disuarakan pembangkang. Cakap-cakap tentang kelemahan (ramai melihatnya sebagai “kelembikan”) Abdullah, khususnya pengaruh menantu beliau, Khairy Jamaluddin, sudah menjadi rahsia umum.

Mahathir hanya mengesahkannya lagi dan menjadikan bahan-bahan gosip kedai kopi itu sebagai perbincangan yang ada nilai berita yang penting.

Isu-isu berkaitan jambatan bengkok, permit import kereta dan masalah pengurusan Proton makin memperkukuhkan sangkaan umum bahawa Abdullah, walaupun diakui mempunyai personaliti baik, namun tidak mampu mendepani cabaran semasa.

Di satu pihak, kegusaran umat Islam makin bergejolak dan sukar diredakan dengan sikap Abdullah yang dilihat seperti mengambil mudah apa saja isu yang melanda, dan di pihak dalaman Umno, kritikan Mahathir makin membekas walaupun bekas Presiden Umno itu dihalang berjumpa ahli-ahli partinya sendiri.

Tidak mahu melayan suara iblis

Beberapa kali Abdullah memberi respons “tegas” bagi menunjukkan beliau seorang Perdana Menteri yang tidak akan melayan sebarang teguran dan kritikan Mahathir, malah menyifatkan ia bagaikan suara-suara iblis yang merasakan hanya dirinya (pengkritik) saja yang betul.

Sanggahan Abdullah terhadap dakwaan Mahathir berkaitan Khairy dan penasihat rapatnya, Kalimullah Hassan, mudah diperlekehkan. Jelas emosi Abdullah terganggu dengan serangan itu sehingga jawapan terbukanya di TV3 nampak tersasar.

Saya cuma mahu mencari petunjuk bagaimana seterusnya episod ini jika kedudukan Abdullah menjadi terancam, sepertimana Mahathir tergugat pada April 1987, diikuti Operasi Lalang Oktober 1987 dan pengharaman Umno tahun berikutnya.

Apakah jika serangan pembangkang ditingkatkan, dan keresahan umat makin menjalar serta tekanan Mahathir berlanjutan ke seluruh pelosok, maka Abdullah akan mengambil langkah tradisi “bagi menjamin keselamatan negara” atau beliau mampu mengambil langkah lebih demokratik untuk membuktikan sememangnya “saya berbeza dengan Mahathir!”.

Ceramah Mahathir, Alor Star, 23 Ogos

Ketika mahu menutup tulisan ini, Mahfuz Omar menelefon memaklumkan sesuatu yang ditunggu-tunggu anak Kedah: “Mahathir akan turun ke Alor Star, 23 Ogos ini, menyampaikan ceramah Cabaran Pembangunan Ummah, di Star City Hotel, Jalan Pintu Sepuluh, jam 2 petang. Mahathir akan sampai di airport Kepala Batas, 8.30 pagi hari yang sama.”

Note: Ahmad Lutfi Othman, mantan aktivis kampus, telah memulakan kariernya kewartawanannya di Harakah di samping pernah menerbitkan buku-buku politik dan akhbar-akhbar tidak berkala. Dalam era reformasi 1998, beliau mengendalikan Detik dan Wasilah, sebelum majalah terbitannya tersebut diharamkan. Kini, beliau kembali menyertai Harakah sebagai ketua pengarang, selain turut memimpin akhbar maya, DetikDaily.net.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: