jump to navigation

Belajar dari Lubnan 2006 September 16, 2006

Posted by ummahonline in Intifadha, Kolum.
trackback

Oleh: Maszlee Malik”with the victory of Hizbullah, a terrible beauty is born” – George Galloway, The Guardian, 31/8/2006

Peperangan di Lubnan telah mengajar kita beberapa hakikat. Bagi sesiapa yang melihat peperangan ini sekadar sebuah peperangan seperti peperangan-peperangan di dunia yang lain, mereka tidak akan dapat mempelajari apa-apa.

Namun, bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan isu Palestin dan isu penjajahan Zionis ke atas bumi umat Islam di Asia Barat ini, banyak perkara yang boleh dipelajari. Para pejuang kemerdekaan dan juga para pejuang Islam akan mendapati bayak sekali yang dapat mereka pelajari daripada peperangan yang memakan masa sebulan lebih ini. Artikel ini akan cuba mengupasnya….

1) Zionis tidak sekuat yang dipropagandakan

Zionis yang dikatakan sebagai mempunyai tentera keempat terkuat di dunia telah kalah dengan sekumpulan pejuang yang berpuluh kali ganda lebih lemah daripada mereka. Jika tidak kerana resolusi 1701 PBB, nescaya tentera-tentera Zionis akan dimalukan lebih teruk lagi. Bukan hanya mereka tidak mencapai matlamat utama peperangan yang mereka sendiri lancarkan, malah mereka terpaksa menghadapi kemusnahan yang amat hebat.

Bukan sekadar kemusnahan di pihak ketenteraan, malah yang lebih dahsyat lagi ialah kemusnahan di dalam sempadan mereka sendiri. Wilayah-wilayah utara jajahan Zionis buat pertama kalinya dihujani dengan roket-roket Hizbullah. Sistem pertahanan yang mereka banggakan itu ternyata amat rapuh bila berhadapan dengan roket-roket Hizbullah. 500,000 rakyat Zionis yang terpaksa meninggalkan rumah-rumah mereka tidak akan dapat melupakan mimpi ngeri ini.

Kesimpulannya, rejim Zionis tidaklah sehebat yang disangkakan. Jika Hizbullah yang merupakan para pejuang gerila dapat mengalahkan mereka di dalam peperangan selama sebulan lebih ini, maka bayangkanlah jika negara-negara umat Islam bersatu. Kemenangan Hizbullah dan kekalahan Zionis di dalam peperangan kali ini jelas membuktikan umat Islam mampu untuk mengalahkan rejim Zionis jika mereka seirus dan bersatu. Apakah negara-negara umat Islam telah mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ini?

2) Persiapan jangkamasa panjang penting di dalam perjuangan

Seperkara yang perlu diambil iktibar oleh semua pejuang kemerdekaan ialah kecekalan Hizbullah di dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi Zionis. Hizbullah tidak leka dengan kemenangan mereka menghalau Zionis dari selatan Lubnan pada Mei 2000 yang lalu. Semenjak detik tersebut, Hizbullah yang telah mahir bertempur dengan Zionis semenjak tahun 1982 lagi telah mempelajari segala strategi ketenteraan Zionis.

Hal ini telah diperakui oleh jurucakap Hizbullah yang telah diwawancara oleh wartawan al-Jazeera. Peluang untuk menghadapi tentera Zionis merupakan sesuatu yang amat mereka nanti-nantikan semenjak tahun 2000. Rejim Zionis yang angkuh dan merasakan mereka mempunyai segala kekuatan, ternyata terpaksa mengahadapi tentangan yang tidak pernah mereka jangkakan. Kebanyakan tentera Zionis, malah anggota komando Golani mereka pun terpaksa mengakui bahawa mereka terkejut. Sumber perisikan mereka bagaikan tidak boleh dipercayai lagi. Hizbullah jauh lebih bersedia dan jauh lebih hebat daripada para pejuang Palestin di Gaza. Mereka terlupa bahawa bahawa sumber persenjataan para pejuang Palestin amat terhad berbanding dengan Hizbullah.

Kesimpulannya, perancangan yang berstrategi dan persiapan jangkamasa panjang adalah penting di dalam mana-mana perjuangan menuntut kemerdekaan. Kesabaran di dalam bertindak dan juga proses pengkajian yang tidak jemu-jemu telah memberikan natijah yang amat bernilai kepada Hizbullah.

3) Kesatuan rakyat membantu kelicinan perjuangan

Seperkara yang tidak pernah diduga oleh Zionis ialah kesatuan rakyat Lubnan. Walaupun masyarakat Lubnan pernah dirobek-robekkan oleh peperangan saudara 1975-1990, namun kesatuan yang mereka tunjukkan pada hari ini amat tidak diduga. Seperti yang sentiasa diulang-ulang oleh Perdana Menteri mereka, Fouad Saniyora dan juga wakil Hizbullah di parlimen Lubnan, Nabih Berri, mereka tidak akan mengulangi kesilapan di masa lalu. Peperangan ke atas Lubnan 2006 ini telah membuktikannya.

Walaupun bukan semua rakyat Lubnan yang turun padang untuk bersama Hizbullah, namun keputusan mereka bersama untuk menentang Zionis amat bermakna. Bukan setakat mereka tidak mengutuk tindakan Hizbullah, malah mereka bersama-sama menolak propaganda Zionis yang cuba untuk menghasut kerajaan Lubnan agar menikam Hizbullah dari belakang. Apa yang lebih memeranjatkan lagi, Presiden Lubnan yang Kristian, Emil Lahoud juga turut mempertahankan kesatuan rakyat dan bersama rakyatnya di dalam mengutuk dan menentang penjajahan Zionis kali ini. Jikalau lewat peperangan saudara dahulu, golongan Kristian Maronites telah digunakan oleh rejim Zionis untuk membantai umat Islam di Lubnan, kini tidak lagi.

Sokongan kaum Sunni melalui persepakatan kumpulan-kumpulan Islam Sunni untuk membantu Hizbullah juga jelas menunjukkan kesatuan ini. Melalui gerakan Islam Sunni terbesar, iaitu Jamaah Islamiyyah Lubnan, pelbagai kumpulan sunni telah bersatu. Ibrahim Masri, naib ketua gerakan tersebut telah membuat kenyataan terbuka menyokong Hizbullah di dalam peperangan ini. Mereka juga telah mengerahkan sukarelawan mereka untuk bersiap sedia membantu Hizbullah jika diperlukan.

Syed Hassan Nasrullah juga cerdik dan bijak di dalam membuat kenyataan-kenyataan beliau di dalam peperangan ini. Beliau tidak merujuk kepada Hizbullah ketika berucap, tetapi sering menggunakan perkataan “rakyat Lubnan”. Beliau bertindak menjadi jurucakap rakyat Lubnan. Beliau juga akan muncul dengan bendera Lubnan di belakangnya. Penampilan ini banyak mempengaruhi semangat patriotik dan kesatuan rakyat Lubnan. Beliau berjaya mengajak rakyat Lubnan untuk merasakan bahawa peperangan yang berlaku adalah di antara rakyat Lubnan dengan penjajah Zionis dan bukannya di antara Hizbullah dengan rejim Zionis.

Kesimpulannya, kesatuan rakyat sesebuah negara di dalam menghadapi penjajahan asing. Kewujudan pengkhianat dan tali barut penjajah di dalam negara yang diserang akan membantutkan usaha penentangan. Perpecahan yang berlaku di Palestin adalah contoh yang paling baik. Kita telah lihat bagaimana rakyat Palestin telah menghadapi kesukaran untuk menumpukan seluruh usaha untuk menentang Zionis kerana kewujudan agen-agen Zionis dan juga tali barut mereka di kalangan rakyat Palestin.

4) Sikap AS dan Kristian Zionis

Peperangan kali ini telah membuktikan kepada dunia betapa golongan Kristian Zionis adalah golongan yang paling inginkan peperangan. Berdasarkan impian mereka untuk mewujudkan peperangan besar “Armagedon”, mereka telah cuba untuk menjadikan peperangan Lubnan ini merebak di seluruh Timur Tengah. Kumpulan ini juga secara terang-terangan telah menyokong rejim Zionis dan menyalurkan sumbangan kepada rejim tersebut. Bayangkan, di dalam tempoh dua jam sahaja mereka telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak USD 2 juta untuk dihantarkan kepada rejim Zionis.

AS yang dikuasai oleh golongan Kristian Zionis juga tidak segan silu menunjukkan belang mereka lewat peperangan ini. Melalui Bush dan juga Rice, AS yang dikuasai oleh lobi Zionis telah melindungi dan juga mempertahankan rejim tersebut. Bayangkan, di kala rakyat Zionis pun menyalahkan Olmert kerana kekalah di dalam peperangan kali ini, Bush dengan tidak segan silu menyatakan bahawa Hizbullah telah kalah perang dan rejim Zionis telah menang.

Pelajaran paling utama dapat kita pelajari lewat peperangan ini, AS adalah pelindung “Israel”. Selagi kongres mereka dikuasai oleh lobi Zionis, sama ada golongan Kristian mahupu Yahudi Zionis, selagi itulah mereka akan memainkan peranan sebagai pelindung kepada rejim Zionis Israel. Hal ini perlu diambil perhatian oleh mana-mana negara yang masih lagi ingin berbaik sangka kepada AS dan ingin membina jambatan dengan mereka. Mengharapkan AS untuk memberikan kedamaian di rantau Asia Barat adalah umpama mengharapkan Iblis bertaubat. Mengharapkan AS memberikan kemerdekaan kepada rakyat Palestin adalah seumpama mengharapkan Iblis menyuruh pelaku maksiat bertaubat.

5) Kelemahan PBB

PBB sememangnya lemah. Mereka terpaksa menantikan isyarat dan lampu hijau daripada AS untuk mengeluarkan sebarang resolusi. Bukan sekadar mereka tidak mampu untuk meluluskan “kutukan” terhadap keganasan Zionis yang telah membunuh lebih 60 orang rakyat awam termasuk 15 kanak-kanak cacat di Qana lewat peperangan baru-baru ini, malah mereka juga tidak mampu untuk m,enghentikan peperangan tersebut. Jika tidak kerana rejim Zionis telah menerima kekalahan teruk dan terpaksa meminta AS memaksa PBB untuk meluluskan 1701, nescaya mereka tidak mampu melakukan apa-apa berhubung peperangan berkenaan. Mereka juga tidak dapat mengambil apa-apa tindakan berhubung dengan kebiadaban Zionis yang masih lagi melancarkan serangan walaupun resolusi 1701 telah diluluskan. Mereka juga tidak dapat memaksa tentera Zionis untuk terus meninggalkan selatan Lubnan walaupun resolusi telah diluluskan. Sehingga artikel ini ditulis, masih lagi terdapat saki baki tentera Zionis di dalam kawasan selatan Lubnan.

Lihatlah juga kelemahan mereka untuk memaksa Zionis mematuhi resolusi-resolusi berhubung dengan mereka. Samda resolusi 194, 242, 425 dan lain-lain resolusi. PBB bukanlah badan yang boleh diharapkan. Jika ada sesiapa yang masih mengharapkan PBB untuk melakukan sesuatu ke atas rejim Zionis, mereka hanya bermimpi. Jika ada sesiapa yang masih mengharapkan PBB untuk menyelesaikan isu Palestin, mereka juga hanya berangan-angan kosong. Mengharapkan PBB untuk berlaku adil dan mengambil tindakan ke atas Zionis adalah umpama mengharapkan raksasa “Nessie” muncul di tasik Lock Ness, Scotland.

6) Kelemahan OIC

Jika ada sesiapa yang meletakkan harapan kepada OIC untu menyelesaikan masalah umat Islam, mereka ini adalah ibarat mengharapkan Superman akan muncul untuk menyelamatkan dunia. Ibarat Superman yang menjadi hero di alam khayalan, OIC bukan hanya sekadar tidak menjadi hero di alam nyata dan di alam khayalan, mereka langsung tidak boleh diharapkan.

OIC hanyalah “coffee house” bagi para diktator-diktator untuk menghabiskan percutian mereka. Apakah yang OIC telah lakukan dan boleh lakukan berhubung isu-isu umat Islam?, Masjid al-Aqsa yang kini di dalam bahaya pun tidak mendapat pembelaan OIC. Di dalam isu peperangan ke atas Lubnan, hanya isu pembaik pulihan Lubnan selepas dihancurkan sahaja yang mampu mereka bincangkan. OIC juga beriya-iya hendak menhantarkan tentera untuk menyertai UNIFIL, entah apa tujuannya. Tidakkah mereka sedar, kewujudan UNIFIL pada kali ini hanyalah untuk membersihkan selatan Lubnan dari kewujudan Hizbullah? . Tidakkah mereka lihat itu hanyalah sebagai khidmat kepada rejim Zionis?

Daripada Malaysia dan negara-negara OIC yang lain menghabiskan duit rakyat mereka untuk menghantar tentera menyertai UNIFIL, adalah lebih bermakna jika mereka menghantarkan tentera-tentera untuk mengawal Masjid al-Aqsa. Al-Aqsa bukan hanya sekaar dipandang sepi, malah terus dilupakan apabila isu peperangan di Lubnan ini muncul.

7) Agen-agen Zionis di dalam negara-negara umat Islam

Ketika persidangan tergempar PBB diadakan di Putrajaya berhubung isu Lubnan, hanya 17 buah negara sahaja yang telah hadir daripada 57 negara-negara anggota. Bagi sesiapa yang pernah menonton filem “Syriana”, apa yang berlaku akan dapat mereka fahami. Kebanyakan rejim-rejim Arab dan juga rejim-rejim yang menguasai negara-negara umat Islam adalah agen Zionis dan agen AS. Mereka tidak berani membuat apa-apa keputusan kecuali mereka terlebih dahulu mendapat keizinan daripada AS. Jika mereka membuat apa-apa keputusan yang berani, AS akan segera menggertak mereka.

Olmert, di dalam salah sebuah kenyataan medianya sewaktu peperangan berlangsung dengan bangga telah menunjukkan faks yang beliau terima daripada salah seorang pemimpin Arab yang menyatakan sokongan kepada rejim Zionis. Beliau telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa peperangan yang beliau lancarkan itu mendapat restu hatta dari orang Islam sendiri. Beliau juga mendakwa, Zionis hanya ingin menghapuskan Hizbullah dan bukannya rakyat Lubnan. Malangnya fakta menunjukkan “peperangan yang dilancarkan terhadap Hizbullah” ini telah mengorbankan lebih seribu nyawa rakyat awam Lubnan yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan warga tua.

Selagi golongan talibarut AS dan Zionis masih lagi wujud di negara-negara umat Islam, selagi itulah umat Islam tidak akan dapat mengalahkan penjajah Zionis. Selagimana golongan pengkhianat ini wujud di tampuk pemerintahan negara-negara umat Islam, selagi itulah umat Islam akan kekal mundur dan ditindas. Selagimana golongan ini wujud, selagi itulah Masjid al-Aqsa akan sentiasa berada di dalam bahaya.

Seperti yang pernah dikatakan oleh George Galloway, “Don’t blame the Arabs, they are lions, but they are being led by the donkeys”.

8) Islam akan kembali menang

Rejim Zionis telah kalah perang! Itulah hakikat yang tidak dapat ditolak oleh mana-mana manusia yang berakal. Sepertimana yang Allah SWT telah janjikan di dalam ayat ke-7 surah al-Isra, umat Islam pasti akan memperoleh kemenangan. Sepertimana hadis-hadis Rasulullah SAW juga menjanjikan kemenangan bagi umat Islam di dalam pertempuran mereka dengan Yahudi di akhir zaman, dan juga kemakmuran Baitul Maqdis di bawah pemerintahan umat Islam, ianya semakin hampir.

Kekalahan Zionis di dalam peperangan di Lubnan ini menunjukkan umat Islam pasti akan mengecapi kemenangan memerdekakan bumi Palestin dan juga Masjid al-Aqsa. Hanya waktunya, dan juga para pejuang yang sesuai sahaja sedang dinantikan. Salahudin al-Ayubi telah membuktikannya. Qutz telah membuktikannya. Tentera Jordan pernah membuktikannya lewat peperangan Karamah. Tentera Mesir juag telah membuktikannya lewat peperangan Ramadan 1973. Hizbullah telah membuktikannya sebanyak dua kali, pada Mei 2000 dan juga pada eperangan 2006 baru-bari ini. HAMAS dan para pejuang Palestin juga telah membuktikannya lewat pengunduran Zionis dari bumi Gaza pada Ogos 2005. Kini giliran umat Islam seluruh dunia pula untuk menempa sejarah. Walau bagaimanapun, kualiti para pejuang untuk mengalahkan Zionis juga perlu dititik beratkan. Bukan semua orang mampu mengalahkan Zionis. Hanya mereka yang cekal dan mempunyai motivasi yang tinggi bersumberkan keimanan sahaja yang akan dapat meneruskan perjuangan ini. Jangan toleh ke kiri dan ke kanan, lihat kepada diri kita sendiri. Adakah kita telah bersedia untuk mengukir sejarah tersebut?

9) Zionis akan hancur

Ketika empayar Rom hancur, ramai yang tidak dapat menerimanya. 100 tahun, ataupun 200 tahun sebelum itu, Rom adalah gergasi dan empayar yang menguasai Eropah. Di zaman kegemilangan tersebut, tidak ada sesiapapun yang akan percaya bahawa empayar gagah tersebut itu akan jatuh. Jika ada sesiapa yang bercakap mengenainya, pasti ramai yang akan mengatakan orang tersebut gila atau hilang akal. Hakikatnya, selepas kejatuhan empayar itu, tiada sesiapa yang dapat menafikannya.

Hal yang sama berlaku kepada Empayar Parsi di zaman silam. Perkara yang sama juga berlaku kepada Empayar Islam. Hal yang serupa juga berlaku kepada Empayar British yang pada satu waktu dahulu menguasai timur dan barat. Realiti yang serupa juga berlaku kepada Empayar Uni Soviet pada tahun 1989. Apa yang berada di atas pasti akan turun ke bawah. Itulah sunnah alam.

Kekalahan Zionis di dalam peperangan yang mereka sendiri lancarkan ke atas Lubnan baru-baru ini sedang membawa satu hakikat untuk difahami oleh semua. Rejim Zionis semakin lemah. Rejim Zionis boleh dikalahkan. Rejim Zionis tidaklah sehebat yang disangka. Mereka hanya nampak hebat kerana negara-negara umat Islam lemah. Rejim Zionis tidak akan menjadi hebat jika umat Islam mengenali potensi masing-masing. Sinai 1973, Selatan Lubnan 2000, Gaza 2005, dan kini Lubnan 2006 telah menyaksikannya. Penjajahan Zionis, sepertimana siri-siri penjajahan kolonialis lain sebelum ini pasti akan berakhir. Millennium baru ini sedang menantikannya. Segalanya terletak di tangan umat Islam. Jika mereka tidak mulakan sekarang, bila lagi?

Jika anda tidak mulakan sekarang, bila lagi?”

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: