jump to navigation

Berakhirnya mitos si Jalut September 28, 2006

Posted by ummahonline in Intifadha, Kolum.
trackback

Oleh: Maszlee MalikRakyat Zionis sentiasa menggambarkan diri mereka seumpama Daud yang berhadapan dengan Jalut ketika zaman pra-peperangan Jun 1967. Mereka menganggap dirinya adalah Daud kerana mereka sebuah entiti yang kecil yang mana telah dikelilingi oleh Jalut-Jalut yang ramai, iaitu negara-negara Arab.

Selepas peperangan Jun 1967 mereka merasakan bahawa mereka tidak akan dapat dikalahkan lagi oleh Jalut-Jalut tersebut. Walaupun mereka pernah dikalahkan oleh Mesir dan Syria lewat peperangan Yom Kippur 1973, namun selepas itu mereka terus bangkit. Keupayaan mereka mengikat pemimpin-pemimpin Arab untuk tunduk dan mengikut arahan mereka di atas nama “perjanjian damai” telah memberikan mereka ruang untuk bernafas. Bermula dengan Anwar Sadat, dan diikuti oleh para pemimpin-pemimpin lain yang akhirnya terpaksa memperakui “tatbi'” (neutralisasi), akhirnya rejim Zionis berupaya membentuk ruang keselesaaan untuk entiti haram “Israel” meneruskan survivalnya. Selepas berjaya menundukkan PLO yang merupakan “pengacau” utama mereka dahulu, rejim Zionis pasca Oslo telah berubah menjadi “Jalut” pula di rantau Asia Barat.

Bersenjatakan “Hasbara”, “Israeli Security System” dan juga perjanjian damai, Jalut-Jalut yang dianggap ancaman berjaya mereka kembirikan. Kini, Mesir, Syria, Jordan, Arab Saudi, Turki, Iraq dan lain-lain negara Arab bukanlah ancaman kepada rejim Zionis lagi. Rejim Zionis menjadi semakin takabbur apabila mereka mempunyai kelengkapan persenjataan yang tercanggih di dunia. AS menjadi pembekal utama persenjataan kepada rejim tersebut. Rejim Zionis menjadi semakin angkuh apabila tentera mereka (Israeli Defence Force – IDF) diwar-warkan sebagai tentera keempat terkuat di dunia. Selepas kekalahan Iraq pada peperangan teluk yang pertama dan kedua, rejim Zionis merasakan diri mereka menjadi kuasa terulung di rantau tersebut. Sayang sekali “Jalut” ini telah dimalukan lewat peperangan Zionis-Lubnan 2006. Kekalahan yang mereka terima sehinggakan terpaksa menerima resolusi 1701 PBB untuk mengundurkan tentera mereka dari bumi Lubnan terpaksa mereka patuhi.

Kemusnahan di pihak Zionis di dalam peperangan yang berlangsung selama sebulan di selatan Lubnan amat memalukan. Menurut sumber rasmi IDF, seramai 117 tentera mereka telah terkorban (menurut laporan media 123 orang), 400 tercedera, empat helikopter Apache telah dibedil (dan sebuah F-16 menurut Hizbullah), sebuah kapal laut telah karam dibom (tiga menurut Hizbullah), manakala lebih 100 buah kereta kebal (menurut Hizbullah, 180 buah) telah musnah atau rosak kerana menjadi sasaran roket Hizbullah. Di pihak Hizbullah pula, hanya 85 kematian sahaja yang dilaporkan, dan kecederaan lebih 400 pejuang mereka. IDF menafikan dakwaan media dan memberikan angka 530 kematian di pihak Hizbullah tanpa apa-apa bukti untuk menunjukkan kekuatan mereka. Walau bagaimanapun mereka tidak dapat menyembunyikan kenyataan bahawa mereka telah kalah di dalam eperangan tersebut dan terpaksa berundur.

Hal ini jelas dapat dilihat di dalam ucapan mantan PM Zionis, Benjamin Netanyahu di knesset Zionis sejurus kenyataan Olmert menyokong resolusi 1701 PBB. Beliau mengecam dan menempelak pentadbiran Olmert dan Emir Perez di dalam peperangan tersebut yang dianggap lemah. Keputusan mengundurkan tentera mereka juga dianggap oleh Netanyahu sebagai tindakan orang lemah dan kalah. Jeneral Dan Halutz, pemimpin tertinggi IDF sendiri sekarang ini akan disiasat mengenai kegagalan misi Lubnan tersebut di atas desakan rakyat Zionis. Bukankah ini menunjukkan kekalahan rejim Zionis?

Pertempuran sengit para komando rejim Zionis dengan mujahidin Hizbullah di Bint al-Jbeil menjadi bukti yang amat kuat di atas kegagalan mereka. Komando Golani, pasukan komando terbaik Zionis bagaikan kaku dan tidak mampu untuk berhadapan mujahidin Hizbullah yang dilaporkan berjumlah hanya 50 orang sahaja di Bint al-Jbeil. Bukan sekadar kematian, malah kemusnahan persenjataan Zionis juga amat memalukan di Bint al-Jbeil. Seorang jurnalis Yahudi, Reuven Pedatzur ketika memberikan komentarnya mengenai kekalahan tentera Zionis di Bint al-Jbeil menyebutkan, tidak mustahil Bint Jbeil akan menjadi lambang kebanggaan Hizbullah lewat peperangan 2006 ini. Tempat tersebut akan sentiasa menjadi “Stalingrad” bagi para pejuang Hizbullah dan akan sentiasa menjadi “mimpi buruk” bagi IDF. Ze’ev Schiff di dalam Ha arezt pula menyifatkan IDF telah menerima “tamparan hebat” lewat kekalahan di Bint Jbeil dan juga pengunduran dari selatan Lubnan. Natijah daripada serangan dan pertempuran hebat tersebut, para komando terbaik Zionis semuanya terpaksa berundur meninggalkan Bint al-Jbeil dengan penuh malu dan hina.

Di waktu ini, hanya Presiden AS, George W Bush sahaja yang mengiktiraf kejayaan Zionis dan mengumumkan kekalahan Hizbullah. Hakikatnya, apakah misi utama serangan Zionis ke atas Lubnan?, Bukankah mereka hendak membebaskan dua orang tentera mereka yang ditawan?, ke manakah dua orang tentera tersebut? Bukankah itu bermakna kegagalan rejim Zionis untuk menjayakan misi mereka. Sudahlah gagal untuk membebaskan dua orang tentera mereka yang ditawan, kekelahan mereka pula amat memalukan. Jelas sudah Jalut Yahudi ini sudah patah taringnya. Ternyata tanggapan rendah mereka terhadap para pejuang Hizbullah meleset. Bak kata Jeneral Uri Adam, komandan IDF di utara “Israel” di dalam “The Observer”: “Peperangan in bukanlah semudah memerangi pejuang Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Ini adalah peperangan yang sebenar!”. Kebanyakan komando Golan IDF yang pulang terselamat dan pulang dari Bint Jbeil menyifatkan, mereka bagaikan berada di dalam neraka sewaktu pertempuran tersebut.

Fakta yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa sehingga kini ialah, IDF yang dilengkapi dengan persenjataan yang canggih serta para komando yang terlatih gagal d selatan Lubnan. Realitinya ialah mereka gagal untuk melawan sekumpulan pejuang yang menggunakan taktik peperangan gerila. Realitinya juga ialah jumlah lebih 20,000 orang tentera IDF telah gagal mengalahkan sejumlah 1,500 (sesetengah sumber mengatakan 2000) sahaja pejuang Hizbullah. Bukan sekadar mereka tidak mampu untuk mengalahkan pejuang yang hanya berjumlah 1,500 itu sahaja, malah kemusnahan di pihak mereka amat besar dan memalukan. Benarlah tindakan Olmert untuk menubuhkan sebuah tribunal untuk menyiasat kegagalan dan kekalahan IDF. Walau apapun yang diperkatakan, hakikatnya, dogeng yang mengatakan IDF merupakan tentera ke-empat terkuat dunia, komando Golani milik IDF merupakan yang kedua terbaik di dunia, dan juga sistem keselamatan Zionis merupakan yang tercanggih di dunia kini hanya tinggal dongeng semata-mata. Mungkinkah ini merupakan petanda awal berakhirnya siri penjajahan Zionis di timur tengah?, Mungkinkah peperangan Lubnan 2006 ini juga merupakan petanda awal kepada bermulanya tamadun baru manusia di milenium ini?, atau mungkinkah juga apa berlaku ini menandakan bermulanya “Timur Tengah” yang baru, iaitu “Timur Tengah” tanpa “Israel”?

Kitalah sebenarnya yang akan menentukannya!!!

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: