jump to navigation

Kini hanya tinggal faktor ‘Mahathir’ September 28, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Malaysia Baru.
trackback

Oleh: Ahmad Lutfi Othman

Percubaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merebut salah satu tempat daripada tujuh perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung parti itu November nanti sudah menemui noktah akhir, tapi tidak ramai yang akan percaya bahawa ia penamat kepada kerjaya politiknya.

Beliau yang pernah mengetuai Umno bahagian itu selama 30 tahun, berada di tempat kesembilan dengan mendapat sejumlah 227 undi daripada 473 perwakilan, dan menyifatkan faktor rasuah politik sebagai punca utama kekalahannya.

“Yang pastinya, calon di tempat kelapan boleh berbangga, walaupun tetap kalah, tapi undinya mengatasi Mahathir,” usik seorang teman selepas saya mendapat SMS ketika berceramah mengenai penulisan di Bukit Tinggi, petang Sabtu, 9 September itu.

Tikam belakang

Lebih tragis apabila Mahathir mengakui beliau ditikam dari belakang oleh tiga orang teman rapatnya, Osman Aroff (bekas Menteri Besar Kedah, yang juga bekas Timbalan Ketua Umno Kubang Pasu), Saad Man (bekas Setiausaha Politiknya) dan Hanafi Ramli (bekas Naib Ketua Umno bahagian).

“Seteru besarnya”, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang berada di Helsinki, melalui siaran berita televisyen, nampak begitu ceria ketika mengulas kegagalan Mahathir itu, sambil menegaskan bekas Presiden Umno itu masih boleh terus memberi sumbangan kepada parti dan akan dijemput ke perhimpunan agung.

Agak lama juga saya tidak melihat wajah Perdana Menteri seceria itu, terutama selepas Mahathir melancarkan kritikan keras secara terbuka, bukan saja terhadap pemerintahan Abdullah, malah membabitkan anak dan menantunya.

Ramai kawan-kawan wartawan media arus perdana turut menyedari perubahan air muka Abdullah yang selama ini nampak sentiasa tenang menghadapi apa saja situasi, namun kini seperti menanggung azab pedih. Beliau cuba menyanggah serangan Mahathir itu, termasuk melalui slot khas TV3 dan sesi perasmian mesyuarat-mesyuarat Umno bahagian, tetapi tidak juga meredakan keadaan.

Justeru, dengan tiada lagi bayangan Mahathir untuk duduk bersama-sama lebih 2,500 perwakilan dalam perhimpunan agung Umno akan datang, sudah pasti amat melegakannya. Apa pun, “cerita Mahathir” belum berakhir dengan kegagalannya di Dewan Wawasan, Jitra itu.

Renggang dengan akar umbi

Sehari sebelum pemilihan, saya membayangkan bahawa sememangnya Mahathir tidak mustahil akan dikalahkan. Faktor pertama, beliau diakui tidak rapat dengan akar umbi Umno Kubang Pasu, yang memudahkan proses beli undi atau ugutan berlaku, apatah lagi mengenangkan Kubang Pasu seolah-olah sedang berdepan pilihan raya kecil.

Dalam masa sama, saya begitu hairan dan pelik dengan hujah Menteri Besar Kedah bersama Ketua Umno Kubang Pasu dan dua Pengerusi Umno Negeri bahawa cara terbaik menghormati Mahathir ialah dengan tidak memilihnya sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno bagi mengelak beliau duduk di kerusi biasa dalam Dewan Merdeka.

Jika benar jasa Mahathir mahu dikenang, Ketua Umno Kubang Pasu, Johari Baharom misalnya, wajar membuat usul tergempar dalam mesyuarat itu supaya Mahathir dipilih secara automatik sebagai salah seorang perwakilan ke PWTC tanpa perlu berebut.

Ya, Mahathir bukan dipaksa bertanding, malah beliau sendiri beria-ia mahu mendapat tempat itu walaupun dikatakan tidak berkempen dan mengatur lobi. Malah, seperti kata seorang menteri, dengan menolak hasrat Mahathir itu, ia bermakna Umno tidak berterima kasih kepadanya.

Dari satu sudut, apalah sangat yang diharapkan Mahathir kepada majoriti perwakilan Kubang Pasu, kalaupun mereka tidak disogok wang serendah RM200. (Bukankah sampul berisi wang merupakan budaya dan tradisi Umno!)

Bayangkan, mereka tersepit di antara soal mengenang jasa Mahathir dengan kehendak bertentangan Perdana Menteri, Menteri Besar Kedah dan Ketua Umno Bahagian.

Mahathir bukannya mahu bertanding ketua bahagian, apatah lagi untuk kembali sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, yang mana jawatan strategik itu menjanjikan “bulan dan bintang”. Jika Mahathir menang di tampat ketujuh katakan, yang bermakna dia layak bergelar G7, apa yang dapat diraih penyokongnya, selain risiko dilabel engkar kepada arahan bos sedia ada: PM, MB dan ketua bahagian!

Dalam keadaan idealisme perjuangan sudah reput dan tidak lagi dibincangkan ahli-ahli parti, apakah Mahathir harapkan berbondong-bondong penyokongnya di Kubang Pasu sanggup meredah risiko?

Maknanya, dari perspektif ini, apa yang berlaku di Jitra itu bukan lagi perebutan biasa untuk menjadi perwakilan – yang selalunya hanya berlaku “keributan” sewaktu musim pemilihan Majlis Tertinggi – tetapi lebih merupakan pertembungan terbuka antara Mahathir dan Abdullah.

Lebih 48 peratus tolak Abdullah?

Apakah dengan itu boleh dibuat kesimpulan bahawa lebih 48 peratus perwakilan Kubang Pasu sebenarnya sudah menolak Abdullah? Dan jika diunjurkan ke bahagian-bahagian Umno lainnya di seluruh tanahair, perkembangan ini mungkin boleh memudarkan balik wajah cerianya.

“Jelas ada krisis keyakinan terhadap Pak Lah daripada keputusan di Kubang Pasu itu. Walau berdepan pelbagai ugutan dari segenap penjuru hampir separuh perwakilan Kubang Pasu masih tetap menyokong Mahathir,” kata AJK PAS Pusat, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Mahfuz Omar.

Jika Abdullah dan segala juaknya mengharapkan Mahathir kecewa dengan kekalahan itu, A Kadir Jasin mempunyai rumusan yang baik: “Mengharapkan Dr Mahathir berhenti bercakap samalah dengan mengharapkan matahari tidak terbit di waktu pagi kerana kita mahu terus tidur lena atau tidak terbenam pada waktu senja kerana kita mahu terus bermain bola.”

Bekas Perdana Menteri yang belum pernah dikalahkan sepanjang 22 tahun memerintah itu dilihat tidak akan membiarkan segala “kerja” yang dimulakannya terbiar begitu saja. Mahathir mahu melihat penyudahnya, walaupun terpaksa menjadi abu! Sama ada Abdullah akur kehendaknya ataupun berundur.

Namun, untuk mengharap Abdullah menurut telunjuknya ibarat ‘jauh panggang dari api’. Ia soal maruah dan kehormatan. Saya menjangkakan babak getir pertembungan ini tidak lama untuk kita nantikan realitinya.

Sikap baling batu sembunyi tangan Abdullah dengan mengharapkan “budak-budaknya” seperti Nazri Aziz dan Shahidan Kassim berdepan Mahathir dilihat tidak memadai; Abdullah sendiri harus berpencak silat.

Khairy dan Kalimullah pula hanya menunggu masa untuk membuat “pukulan maut”.

Kini tinggal 1M

Dahulu kekuatan Mahathir bergantung faktor 4M, iaitu media, money, machinery, dan “Mahathir”. Kini hanya tinggal 1M, yakni dirinya sendiri apabila yang lainnya terlucut selepas beliau bersara.

Keyakinan melampau terhadap kehebatan diri sendiri yang ada pada Mahathir teruji.Sejarah membuktikan sehebat mana pun tokoh yang menentang Umno dari luar, tidak kira bernama Dato’ Onn Jaafar, Tengku Razaleigh Hamzah ataupun Anwar Ibrahim, parti itu tidak mampu ditewaskan walaupun didokong sepenuhnya barisan pembangkang.

Bagi Shahrir Samad pula, kesempatan paling baik Presiden Umno ditumbangkan melalui pemilihan dalaman ialah pada 1987 ketika Kabinet dan Umno jelas terbahagi dua, namun tetap gagal.

Katanya, penyandang yang juga Perdana Menteri mempunyai banyak kelebihan, yang mampu mengalahkan seterunya meskipun dalam suasana tidak terduga.

Sekarang, keperitan Mahathir sudah bermula di lubuknya sendiri, Kubang Pasu. Beliau mula mengenali “warna” sebenar kawan-kawan lamanya dalam Kabinet yang mengamalkan “apa titah patik junjung”, manakala “orang-orang kampungnya sendiri” pun mudah dibeli.

Segala label mengaibkan telah dituju kepadanya, malah terbaru ada pihak dalam Umno mencadangkan beliau ditahan! Siang-siang Mahathir mengatakan beliau akan terus bersuara walaupun berdepan risiko dipenjarakan.

Belum muncul Pasukan Mahathir

Sehingga kini kita belum melihat munculnya “pasukan Mahathir”, mengulangi Team B Ku Li dan kumpulan reformasi Anwar. Di Taman Melewati, 24 Jun, dalam majlis anjuran NGOs, Mahathir diapit Megat Junid Megat Ayub; di Kota Bharu kemudiannya, beliau diiringi Abdullah Ahmad dan Mohamad Yaakob, bekas Menteri Besar Kelantan; di Alor Star bersama Khalid Abdullah, veteran Umno. Semuanya “kuda” lama Umno.

Di Petaling Jaya Utara, Mahathir mencipta rekod kerana berjaya berucap sebelum mesyuarat agung pemuda dirasmikan, namun tiada momentum selepas itu.

Para penyokongnya di kalangan anak-anak muda tidak begitu menyerlah walaupun ada beberapa laman web dan blog dicipta untuk membuat liputan khusus buat Mahathir. Tentu sekali keghairahan ini jauh ke bawah untuk menandingi kehangatan era Anwar dan musim Ku Li. Tumpuan hanya kepada “seorang Mahathir” selain isu-isu menarik dan provokatif yang dibangkitkannya.

Dipengaruhi anak menantu

Apa pun, keunggulan keperibadian Abdullah yang dipromosi hebat dan menjadi faktor utama kemenangan besar BN pada 2004 terjejas teruk. Umum mula mempersoal kepemimpinan Perdana Menteri yang lemah dan begitu bergantung kepada orang lain, sehingga mudah dipengaruhi anak menantunya.

“Ia bukan lagi soal pendekatan, yang semestinya berbeza antara Mahathir dan Pak Lah, sepertimana Tunku Abdul Rahman pun berbeza jauh dengan Tun Razak. Masalahnya, siapa sebenarnya yang menerajui negara kita ataupun apakah sememangnya ada dan wujud seorang perdana menteri yang mengemudi Malaysia ini?” tanya seorang pensyarah kanan sains politik sebuah universiti tempatan.

“Seorang PM tidak hanya perlu jujur dan nampak baik, tapi memerlukan elemen kebijaksanaan dan daya tahan berdepan rintangan semasa. Secara jujur, saya kira Abdullah begitu lemah dalam hal ini. Lihat saja kenyataannya, banyak benar yang dia mengaku tidak tahu, termasuk hal ehwal bisnes anaknya yang kontroversi itu,” ujar pensyarah itu lagi.

Menunggu serangan baru

Sekiranya kepemimpinan Abdullah dapat diangkat ke tahap lebih meyakinkan, bagi saya, segala kritikan dan kecaman keras Mahathir terhadapnya mudah untuk ditepis. Itu pun jika rekod perkhidmatannya selama ini dapat membantunya menyanggah balik dakwaan Mahathir.

Mahathir kini bercuti di luar negara. Apabila pulang nanti, kekalahannya di Kubang Pasu dirasakan langsung tidak berbekas untuk beliau bingkas melancarkan serangan baru. Ramai menunggu episod itu, tapi tidak dipastikan pula seramai mana “pemain” yang mahu bersama pasukan Mahathir nanti.

Note: Ahmad Lutfi Othman, mantan aktivis kampus, telah memulakan kariernya kewartawanannya di Harakah di samping pernah menerbitkan buku-buku politik dan akhbar-akhbar tidak berkala. Dalam era reformasi 1998, beliau mengendalikan Detik dan Wasilah, sebelum majalah terbitannya tersebut diharamkan. Kini, beliau kembali menyertai Harakah sebagai ketua pengarang, selain turut memimpin akhbar maya, DetikDaily.net.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: