jump to navigation

Manhaj gerakan Islam bersifat Waqi'i September 28, 2006

Posted by ummahonline in Fiqh al-Waqi', Kolum.
trackback

Oleh: Saari Sungib

Gerakan Islam seperti mana-mana organisasi lain, wujud dalam satu realiti dan persekitaran yang dinamik. Sesebuah organisasi berfungsi dan berinterakasi dengan persekitarannya. Dengan itu, bagi mencapai visi dan misinya, sesebuah organisasi mencari kaedah dan cara-cara untuk mengukuh dan memantapkan survival atau kelangsungannya.

Organisasi yang pintar adalah organisasi yang sentiasa mencari, mewujud dan mencipta kesepadanan di antara persekitaran dalamannya dengan persekitaran luar di mana ia berfungsi dan beroperasi. Organisasi yang berjaya ialah organisasi yang prihatin dan sensitif terhadap realiti di sekitarnya. Dalam bahasa gerakan Islam realiti disebut sebagai al-waqi’.

Pada hari ini organisasi mewujudkan pelbagai kaedah dalam memahami dan menangani realiti masing-masing. Wujudlah ilmu perancangan strategik yang menggunakan pelbagai kaedah. Antara teknik yang digunakan adalah analisis SWOT dan analisis CATWOE. Di mana kedua-dua ini bertujuan memberi fokus kepada organisasi bagi memahami persekitaran dan realiti secara berkesan.

Selain itu, organisasi hari ini juga menggunakan kaedah VSD, iaitu viable system diagnosis di mana ia sekali gus merupakan kaedah pembaikpulihan organisasi dengan realiti luarannya.

Lebih menarik lagi, ada organisasi yang berjaya membuat unjuran realiti yang bakal dihadapinya pada masa hadapan dengan melaksanakan satu proses yang dinamakan sebagai perancangan senario atau scenario planning.

Kesemua ini dijalankan bagi membolehkan organisasi sentiasa berjalan sepadan dengan realiti di sekelilingnya tanpa mengorbankan prinsip, nilai, misi dan visi asasnya. Gerakan Islam pula bagaimana?

Penulis-penulis haraki menggariskan di antara lain manhaj atau metodologi gerakan Islam mestilah bersifat waqi’i, iaitu mengambilkira waqi’ atau realiti sekeliling. Pemikir gerakan Islam masa kini, Dr. Yusof Al-Qardawi menegaskan bahawa dewasa ini perlu dua peringkat ilmu fiqh. Peringkat pertama ialah fiqh asy-syari’ah dan peringkat kedua adalah fiqh al-waqi’.

Fiqh asy-syari’ah adalah ilmu yang didasarkan kepada tuntutan nas dan dalil Al-Quran dan As-Sunnah serta segala ruh yang berkaitan dengan tuntutan syari’at. Ilmu fiqh di peringkat ini memberi tumpuan dalam menepati maqasid syari’ah atau maksud syari’at Islam itu diturunkan oleh Allah.

Dasar utama yang bersifat universal kepada fiqh asy-syari’ah adalah ia ditegakkan demi mencapai maslahah kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Di segi pelaksanaannya pula, ia ditumpukan bagi melindungi pelbagai kepentingan manusia, organisasi dan masyarakat menurut keutamaan ad-daruriyyah, al-hajjiyyah dan at-tahsiniyyah.

Dr. Yusuf Al-Qardawi menegaskan lagi bahawa fiqh al-waqi’ pula adalah ilmu yang didasarkan kepada kajian dan tuntutan realiti semasa. Ia merangkumi semua aspek semasa berdasarkan maklumat terkini yang tepat.

Dalam konteks ini, gabungan antara kedua-dua peringkat fiqh asy-syari’ah dan fiqh al-waqi’ amat diperlukan bagi membolehkan gerakan Islam mewujudkan kemantapan di segi strategi dakwahnya.

Namun, dalam konteks fiqh asy-syari’ah bukanlah ia bidang untuk ditangani oleh orang awam. Ia memerlukan penguasaan ilmu-ilmu Al-Quran dan As-Sunnah di samping pemahaman fiqh dan usul al-fiqh yang mendalam. Kebiasaannya bidang ini hanya dimiliki oleh ulamak dan fakih.

Bagi mana-mana organisasi yang berdaya maju hari ini, perancangan strategik adalah satu proses yang bersifat bottom-up dan top-down. Ini bermakna semua lapisan aktivis dalam organisasi terlibat sama dalam melakar dan menjayakan strategi organisasi. Sekiranya, ilmu-ilmu teras, fiqh dan usul al-fiqh pula merupakan bidang ulamak dan faqih, apakah pula peranan ahli-ahli biasa pada hari ini dalam menggariskan strategi gerakan Islam dalam konteks waqi’ dan realitinya?

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: