jump to navigation

Menanti politik baru Malaysia September 28, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Malaysia Baru.
trackback

Oleh: Ahmad Lutfi OthmanSepatutnya Umno Bahagian Kubang Pasu semalam membuat ketetapan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad dikecualikan daripada terpaksa merebut kerusi perwakilan bahagian itu ke perhimpunan agung Umno nanti, sebaliknya mendapat “pelepasan” dengan memberinya laluan mudah tanpa perlu bertanding.

Rasanya, Mahathir boleh saja dilantik secara automatik untuk menempatkan diri sebagai salah seorang perwakilan Umno Kubang Pasu jika mesyuarat bersetuju supaya beliau tidak perlu diundi bersama 16 calon lagi bagi mengisi kuota G7 itu. Ketetapan boleh diambil bagi mengundi 6 kerusi berbaki, manakala satu lagi kerusi dikhususkan untuk Mahathir. Namun, yang berlaku adalah sebaliknya apabila Umno Kubang Pasu semalam membuat rayuan terakhir kepada Mahathir supaya menarik diri daripada bertanding merebut satu daripada kerusi perwakilan bahagian itu, Sabtu ini.

Umno rayu Mahathir tidak bertanding

Ketuanya, Mohd Johari Baharum berkata, sepucuk surat juga telah diutuskan kepada bekas Presiden Umno itu memohon agar beliau memikirkan semula keputusan untuk bertanding.

“Ini rayuan terakhir sebelum persidangan perwakilan Sabtu ini. Dengan rendah hati saya merayu kepada Tun,” katanya yang sesekali kelihatan sebak pada sidang akhbar di pejabat Umno Bahagian Kubang Pasu, di Jitra, semalam, demikian Bernama melaporkan.

Johari, yang juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, Mahathir hanya memperoleh 15 pencalonan dan akan bersaing bersama 16 calon lain untuk merebut tempat sebagai anggota perwakilan.

“Adalah tidak sesuai Tun, seorang negarawan yang amat dikagumi dan dihormati, bertanding untuk merebut tempat sebagai perwakilan Umno bahagian,” katanya.

Beberapa laporan menyebut Kubang Pasu kini seolah-olah sedang menghadapi pilihan raya kecil apabila usaha dipertingkatkan di saat-saat akhir untuk menggagalkan usaha Mahathir itu.

Tidak ramai percaya Mahathir dengan begitu mudah mengalah dengan pujukan (pastinya tiada siapa berani untuk mengugutnya!) supaya beliau menarik diri.

Mahathir tak mahu sejarah Mukhriz berulang

Semasa menjawab soalan selepas berceramah di depan lebih 1,500 orang di Alor Star dua minggu lalu, beliau menegaskan akan tetap bertanding walaupun diberi peringatan oleh seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai ahli Umno Kubang Pasu bahawa nasib malang yang menimpa anaknya, Mukhriz, yang pernah bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno bahagian itu akan berulang kepadanya.

Ahli Umno berkenaan mengingatkan Mahathir bahawa akhirnya Mukhriz kalah apabila ada pihak tertentu daripada Kuala Lumpur, yang diketuai Khairy Jamaluddin melobi dengan “tawaran menarik” kepada perwakilan Pemuda Kubang Pasu supaya menolak Mukhriz yang dilihat Khairy boleh memberi ancaman kepada masa depan politiknya.

Menurut sumber, Mahathir mungkin tidak terpilih bukan sangat disebabkan pencalonannya begitu kecil, kerana dalam suasana tegang menjelang pengundian, tidak ramai yang mahu mengambil risiko, namun ia berpunca daripada hubungan Mahathir yang dilihat tidak begitu rapat dengan akar umbi Umno Kubang Pasu sejak sekian lama.

Berbeza dengan pemimpin-pemimpin utama kerajaan daripada Umno lainnya, Mahathir jarang meluangkan masa di kawasannya sendiri, walaupun pada hari-hari minggu. “Semasa berkuasa dulu, kalaupun balik Kedah, Mahathir lebih selesa ke Langkawi, malah ada kampung-kampung di Kubang Pasu, yang diwakilinya selama 30 tahun, tidak pernah dijenguknya,” dakwa seorang anak tempatan.

Namun soal lebih utama, mengapa perlu dihebohkan sangat minat Mahathir untuk menjadi perwakilan Umno di bahagian yang pernah diterajuinya sejak sekian lama itu? Bukankah selama ini bekas para pimpinan Umno sering diingatkan supaya terus menabur bakti kepada parti yang pernah memberikan mereka kedudukan dan pelbagai habuan ketika berkuasa dulu?

Mahathir undang bala pada Umno?

Mungkin bagi Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juak-juaknya, kehadiran Mahathir di perhimpunan November nanti bakal “mengundang bala” dan mencetuskan suasana di luar kawalan.

Mengikuti kandungan ceramah Mahathir, bermula di Taman Melewati, kemudiannya ke Kota Bharu, Petaling Jaya Utara, Alor Star dan Kuala Pilah, tidak sukar untuk Abdullah menjangkakan apa yang boleh dilakukan bekas Presiden Umno itu di PWTC, meskipun Mahathir tidak terpilih sebagai jurucakap Umno Kedah.

Kehadiran batang tubuh Mahathir bersama para perwakilan lainnya sudah cukup untuk merimaskan Abdullah.

Setiausaha Agung Umno, Radzi Sheikh Ahmad, yang juga orang kepercayaan Abdullah, cuba memberi reaksi berbeza. Beliau mengakui merasai kekok jika Dr Mahathir dipilih kerana “saya risau di mana hendak kita letak beliau di perhimpunan nanti?”

“Selama lebih 20 tahun beliau di atas pentas, apabila menjadi perwakilan, entah di mana dia akan ditempatkan kerana tempat duduk perwakilan ditentukan berdasarkan undi. Alangkah tidak elok jika undi meletakkan bekas pemimpin setaraf Dr Mahathir di hujung Dewan Merdeka,” katanya.

Kecuali kebimbangan mengenai soal protokol, Radzi berkata, penawaran Dr Mahathir sebagai perwakilan bukan isu besar dalam Umno dan tidak akan menimbulkan sebarang kontroversi di peringkat perhimpunan agung kelak.

Untuk membandingkan Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah tentu tidak begitu tepat, namun Ku Li yang hanya dibezakan 43 undi dalam pertandingan jawatan Presiden Umno, 24 April 1987 dengan Mahathir, masih tetap setia di kerusi perwakilan Gua Musang sejak beberapa lama.

Menanti bencana lebih besar buat Umno

“Biar saja Mahathir sebagai perwakilan Kubang Pasu, dan berikan kesempatan untuknya berucap, hatta mengecam Pak Lah, saya kira jika Mahathir mengulangi kritikan tajamnya selama ini, di Dewan Merdeka, PWTC, para perwakilan Umno sendiri akan menempelaknya balik,” kata seorang penganalisis.

“Banyak kecamannya itu akan menikam dirinya balik. Soal korupsi, pilih kasih, bisnes anak-anaknya, ruang demokrasi, semuanya membarah di zaman Mahathir. Tidak sesusah mana untuk Pak Lah membalas bidasan itu.

Tapi yang pasti, Pak Lah belum teruji berdepan konfrontasi, tidak sepertimana Mahathir, yang bukan saja licik menanganinya tapi gemar untuk berkonrontasi,” ujarnya lagi.

Hujah beberapa pemimpin Umno, misalnya Abd Ghani Othman dan Annuar Musa, yang menasihatkan ahli-ahli Umno Kubang Pasu supaya tidak mengundi Mahathir bagi “memastikan Dr Mahathir terus dipandang tinggi” begitu mengelirukan.

Mahathir sebelum ini bersedia dicalonkan, serta berikrar di depan publik untuk tidak menarik diri walaupun ada pujukan, dan tentunya apabila tidak terpilih, ia hanya menunjukkan secara jelas bahawa ahli-ahli Umno Kubang Pasu tidak menghormatinya lagi, malah memalukan bekas Presiden Umno selama 22 tahun itu.

Jika ada hasrat untuk melihat Mahathir kecewa dan patah hati sehingga menyebabkan beliau berdiam diri daripada terus mengkritik pemerintahan Abdullah, selepas tidak dipilih sebagai perwakilan Kubang Pasu, bagi saya, ia andaian yang tersasar.

Bukan seorang Mahathir untuk bersikap berusaha separuh jalan; beliau akan berhenti hanya selepas melihat “penyudahnya”! A Kadir Jasin seperti mahu memberi peringatan apabila menegaskan: “Saya yakin setiap pemimpin kanan Umno yang ada kemampuan berfikir, mengakui bahawa Dr Mahathir bukan orang yang berprinsip “kalah jadi abu, menang jadi arang” atau boleh diperalatkan oleh sesiapa.”

Ya, segalanya tidak mudah buat Abdullah. Jika Mahathir benar-benar tertiarap di Jitra esok, “bencana” yang menyusulnya tidak juga lebih kecil berbanding kehadirannya sebagai perwakilan biasa nanti.

Apa pun satu lagi babak penting dalam sejarah politik Melayu moden bakal tercipta esok. Saya hanya berdoa agar dikurniakan kesihatan berkekalan setelah 10 hari bercuti sakit sehingga dapat kembali menulis hari ini, bimbang tertinggal lagi kesempatan untuk terus mencoret!

Nota: Ahmad Lutfi Othman, mantan aktivis kampus, telah memulakan kariernya kewartawanannya di Harakah di samping pernah menerbitkan buku-buku politik dan akhbar-akhbar tidak berkala. Dalam era reformasi 1998, beliau mengendalikan Detik dan Wasilah, sebelum majalah terbitannya tersebut diharamkan. Kini, beliau kembali menyertai Harakah sebagai ketua pengarang, selain turut memimpin akhbar maya, DetikDaily.net.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: