jump to navigation

Gerakan Islam perlu kuasai lima ilmu fiqh Oktober 1, 2006

Posted by ummahonline in Fiqh al-Waqi', Kolum.
trackback

Oleh: Saari Sungib

Kemantapan gerakan Islam menguasai ilmu fiqh al-waqi’ akan membolehkannya melakar strategi dakwah berkesan. Pemikir Islam, Anuar Abu Taha menjelaskan bahawa fiqh al-waqi’ adalah ilmu yang berteraskan kepada pemahaman tentang apa yang benar-benar berlaku.

Ilmu ini melibatkan satu proses untuk mengenalpasti, menganalisis dan mentafsir isu, trend, anjakan paradigma, sentimen dan fenomena yang wujud dalam masyarakat. Ilmu fiqh al-waqi’ adalah ilmu yang membincangkan bagaimana gerakan Islam dapat memahami keadaan semasa, faktor-faktor yang mengesani serta kuasa-kuasa yang sedang mendominasi perjalanan masyarakat.

Fiqh al-waqi’ menuntut aktivis dakwah untuk turun ke medan, melihat realiti, bergelumang sendiri dengan kemelut masalah dan menyelami rintihan hati rakyat.

Ulamak terkemuka, Syeikh Nasiruddin Al-Albani menegaskan bahawa gerakan Islam perlu kepada ilmu fiqh al-waqi’ bagi tujuan berwaspada daripada tipu helah musuh.

Dalam konteks kompleksiti masyarakat kini, Dr. Yusuf Al-Qardawi menyatakan bahawa tuntutan kontemporari fiqh asy-syariah hanya dapat dipenuhi dengan kefahaman yang baik terhadap fiqh al-waqi’.

Walau bagaimanapun, menurut Al-Qardawi, bagi membolehkan gerakan Islam memenuhi tuntutan syariah dalam waqi’ semasa, lima lagi ilmu fiqh diperlukan. Ilmu-ilmu ini adalah fiqh al-maqasid, fiqh al-aulawiyyat, fiqh as-sunan, fiqh al-muwazanah dan fiqh al-ikhtilaf.

Penguasaan gerakan Islam terhadap lima ilmu fiqh ini akan membolehkannya memenuhi tuntutan perjuangan dalam waqi’ yang dihadapi.

Fiqh al-maqasid adalah ilmu bagi mengenali tujuan-tujuan yang digariskan oleh syariat Islam. Ia memberi satu perspektif menyeluruh dan terbuka terhadap objektif-objektif yang hendak dicapai oleh syariat Islam dalam pelbagai sudut dan aspek kehidupan. Ilmu ini berteraskan kepada prinsip untuk melindungi, mempertahan serta mengukuhkan kemaslahatan sosio-ekonomi dan politik dalam aktivisme serta dinamisme kehidupan manusia. Mempertahankan karamah al-insan atau hak asasi manusia, antara lain, adalah tunjang bagi fiqh al-maqasid.

Fiqh al-aulawiyyat adalah ilmu untuk membolehkan gerakan Islam memahami keutamaan atau priorities terhadap tindakan yang akan diambil dalam konteks memenuhi tuntutan perjuangannya. Ilmu ini juga secara objektif menggariskan tingkatan amal sama ada berupa strategik, taktikal ataupun operasional.

Kegagalan gerakan Islam membezakan di antara tiga tingkatan amal ini pasti akan menjadikan gerakan Islam tidak berkesan dalam pencapaian misi dan visi perjuangannya. Pengenalan terhadap aulawiyyat yang tepat juga dapat mengelakkan gerakan Islam daripada bertindak secara subjektif dan arbitrary.

Fiqh as-sunan adalah ilmu dalam memahami peraturan Allah dalam kejadian-Nya khususnya dalam peraturan politik dan kemasyarakatan. Peraturan ini merupakan hukum alam atau sunnatullah. Terdapat underlying principles dalam hukum-hukum alam. Oleh itu ia wajib dikaji dan difahami seperti sunnah perubahan, sunnah kemenangan, sunnah kegagalan, sunnah kekalahan dan seumpamanya.

Fiqh al-muwazanah adalah ilmu bagi membolehkan gerakan Islam menimbangkan antara maslahah dan mafsadah atau antara manfaat dan mudarat. Sesuatu itu dikira maslahah atau mafsadah biasanya berpandukan kepada ketetapan syara’ yang qatie, namun adakalanya ketetapan itu pula bersandarkan kepada suatu konteks tertentu. Di sinilah maklumat terkini yang menepati konteks realiti semasa amat diperlukan. Tujuannya agar dengan maklumat terkini ini ianya dapat memberi pencerahan dan kesegaran baru terhadap maslahah semasa yang dimaksudkan oleh syariat Islam.

Gerakan Islam wajib mewujudkan prasarana dan jentera bagi membolehkannya berterusan membuat kajian terhadap realiti sama ada di peringkat nasional mahupun global. Dengan itu ia akan sentiasa mampu bertindak berlandaskan maklumat yang terkemaskini.

Fiqh al-ikhtilaf adalah ilmu berkaitan dengan kaedah-kaedah dan adab-adab perselisihan pandangan. Dalam konteks tradisional ia melibatkan aspek-aspek furu’ fiqhiyyah. Dalam konteks gerakan Islam, ia melibatkan perbezaan pandangan di segi strategi, taktik, metodologi, pendekatan, uslub, polisi dan seumpamanya.

Walaupun kelima-lima ilmu fiqh ini disebut dalam bahasa Arab, ia tidak sepatutnya menakutkan aktivis gerakan Islam yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan syariah. Sebenarnya ilmu-ilmu ini bersifat praktikal dan hands-on. Dengan itu, ilmu-ilmu ini dapat digarap melalui penglibatan terjun terus ke medan, bersikap terbuka serta menghayati tarbiyyah yang berterusan.

Pemerkasaan fiqh al-waqi’ akan dicapai dengan mewujudkan lebih ramai amilin atau practitioners dalam gerakan Islam.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: