jump to navigation

Gerakan Islam perlu menggarap ilmu Fiqh al-Waqi’ Oktober 7, 2006

Posted by ummahonline in Fiqh al-Waqi', Kolum.
trackback

Oleh: Saari Sungib

Gerakan Islam hari ini perlu kepada suatu fiqh baru agar ia layak tergolong dalam apa yang dinyatakan Allah sebagai qaumin yafqahun, iaitu orang-orang yang memahami. Dalam Al-Quran, akar kata fiqh digunakan dengan makna “untuk memahami”.

Menurut Dr. Yusuf Al-Qardawi, perkataan fiqh telah digunakan dalam surah-surah Makkiyyah sebelum peraturan-peraturan terperinci syariah Islam diturunkan. Bahkan perkataan ini telah digunakan sebelum persoalan halal dan haram dikemukakan Al-Quran.

Dalam Al-Quran, perkataan fiqh digunakan dengan makna pemahaman yang mendalam terhadap sunan atau peraturan-peraturan Allah yang tidak berubah terhadap alam, kehidupan dan masyarakat manusia.

Fiqh tidak terbatas kepada hukum-hukum khusus berkenaan taharah, solat, puasa, haji, nikah kahwin dan sebagainya seperti yang lebih difahami oleh umat Islam. Ia juga tidak terbatas kepada maksud “fekah” seperti yang difahami oleh sebahagian besar umat Islam hari ini. Pengertian fiqh juga tidak terbatas kepada maksud jurisprudence.

Sebaliknya, apa yang dikehendaki oleh Al-Quran adalah perkataan fiqh itu memberi pemahaman terhadap metodologi yang lebih luas. Dalam surah-surah Al-Quran pada tahap Makkiyyah, perkataan fiqh digunakan bagi menjelaskan peraturan-peraturan yang mendasari prinsip-prinsip keutamaan atau aulawiyyat dalam manusia mengatur kehidupan sosio-ekonomi dan politik mereka.

Surah-surah Madaniyyah pula lebih menekankan perkataan fiqh dalam pengertian memahami peraturan dan metodologi dalam kemenangan dan kekalahan serta kejayaan dan kegagalan di antara dua kuasa yang bertarung, iaitu kuasa kebenaran dan kuasa kebatilan.

Oleh itu, Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin telah menegaskan bahawa antara konsep dan perkataan yang paling perlu berubah selaras dengan keperluan dan keadaan masa dan zaman adalah fiqh.

Dalam konteks ini perkataan fiqh fid-Din yang digunakan dalam Surah At-Taubah ayat 122 juga tidak membawa maksud peraturan khusus halal dan haram. Sebaliknya, perkataan fiqh di sini melibatkan satu proses dan aktiviti memberi amaran agar mereka yang menerima amaran tersebut akan terselamat daripada bencana kejahatan dan kemungkaran.

Dalam ayat ini, secara spesifik dan objektif perkataan fiqh membawa maksud tuntutan kepada pelaksanaan tugas amar makruf dan nahi munkar atau tuntutan dakwah Islamiyyah.

Dengan pengertian inilah Rasulullah s.a.w maksudkan pengertian fiqh. Dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari baginda bersabda yang maksudnya:”Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang, Allah akan memberikannya fiqh dalam Din”. Hadith ini memberi pengertian bahawa Allah akan meningkatkan keupayaan seseorang untuk memiliki visi yang jelas di mana dengannya ia akan menyelami dan mendalami hakikat kebenaran, rahsia dan segala tujuan yang terkandung dalam tuntutan syariat Islam.

Itulah sebabnya, dalam masyarakat yang tugas amar makruf nahi munkar telah difahami dan dihayati dengan baik, maka fiqh dalam bidang ini tidak menjadi keutamaan bagi dikembangkan. Pada masa itu umat Islam lebih mencari kesempurnaan dalam penghayatan ibadah khusus. Dengan itu ilmu fiqh dalam perkara-perkara haram, halal, makruh, mubah, sunat dan seumpamanya menjadi keutamaan dan telah berkembang maju.

Sebaliknya ketika umat Islam berhadapan dengan kebekuan dalam melaksanaan tuntutan dakwah, maka ilmu dalam bidang ini pula telah dimajukan. Sebagai contoh, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pada zaman umat Islam diperintah oleh kaum Mongol, telah merintis ilmu tentang tuntutan dan pelaksanaan dakwah. Fiqh dalam ilmu dakwah telah dikembangkan sehingga beliau telah menghasilkan lebih seratus kaedah bagi pelaksanaan amar makruf wa nahi munkar.

Demikian jugalah ulamak pada zaman mutaakhir ini telah melahirkan ilmu yang dinamakan usul ad-da’wah dan fiqh ad-da’wah. Ilmu-ilmu ini bertujuan untuk membincang dan menggariskan kaedah, metodologi dan strategi dalam melaksanakan dakwah dalam konteks dan realiti tertentu.

Demikian juga setelah wujudnya ilmu fiqh ad-da’wah maka difahami tidak mungkin dakwah dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa organisasi dan gerakan sistematik yang mendukungnya, maka lahirlah pula ilmu yang dinamakan fiqh al-harakah.

Ilmu fiqh al-harakah melibatkan perbincangan tentang konsep dan bentuk serta ciri-ciri organisasi, perorganisasian serta gerak kerja gerakan Islam. Daripada fiqh ad-da’wah dan fiqh al-harakah, diperlukan pula satu panduan model operasional dakwah dan harakah, maka satu lagi ilmu muncul. Ilmu ini dinamakan fiqh as-sirah.

Jika ilmu sirah menggariskan perjalanan secara kronologi kehidupan dan perjuangan Rasulullah s.a.w, maka fiqh as-sirah pula menyelami kaedah-kaedah dan manhaj haraki dan gerakan harakiyyah daripada sirah nabawiyyah untuk digunapakai dalam konteks dan realiti dakwah dan perjuangan masa kini.

Demikianlah dinamiknya pengertian fiqh yang dimaksudkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah yang dengan perspektif inilah gerakan Islam hari ini mesti menggarap pengertian fiqh al-waqi’.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: