jump to navigation

Betapa indahnya Islam Oktober 8, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: AbongAntara faktor yang menyumbang kepada kemurtadan dan faham liberalisme ekoran umat Islam dihidangkan dengan salah faham terhadap sesuatu syariat yang termaktub di dalam Islam. Pihak orientalis barat atau yang seangkatan dengannya, memutarbelitkan syariat serta membentangkan dengan trademark cara yang amat negatif sekali.

Di antara salah fahamnya ialah adalah syariat talak. Mereka yang membenci Islam mengatakan Islam tidak meraikan institusi perkahwinan kerana Islam telah memperuntukkan talak di dalam syariat. Perlu diingatkan disini, segala syariat Islam adalah sentiasa positif dan ia mengandungi hikmah kerana ia adalah agama yang terbaik. Bukankah, sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam? 

Syariat Islam meraikan fitrah manusia. Talak tidak perlu dipandang sebagai sesuatu yang negatif. Sehingga ada pepatah yang berkata “Apabila talak dijatuhkan, maka bergegarlah arasy Allah”. Apa kaitan antara hubungan manusia dan kekuasaan Allah? Sesungguhnya Allah tidah berkehendak kepada kita. Allah tidak akan terjejas sedikit pun walaupun semua umat Islam tidak bersyukur padaNya.

Islam menyarankan umatnya agar menggauli isteri dengan baik ataupun menceraikannya dengan baik. Betapa indahnya Islam. Semuanya dikehendaki dalam keadaan baik. Adakah perkahwinan perlu dipertahankan apabila si suami selalu memukul si isteri? Lantas menceraikan isteri dengan cara yang baik adalah penyelesaian yang paling bijak.

Indahnya Islam, ia telah menyediakan langkah-langkah awal untuk menghindarkan gejala keruntuhan institusi perkahwinan. Ini menjadikan bukti bahawa Islam benar-benar meraikan dan menjaga perkahwinan, bukannya ingin meruntuhkan institusi tersebut. Antara langkah-langkah itu salah satunya adalah cara atau petunjuk dalam pemilihan calon isteri.

Mafhum hadith: “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana kecantikan, harta, nasab (keturunan) dan agama. Pilihlah yang agama kerana itu lebih memberi keuntungan”.

Berkaitan hadith ini ada yang salah dalam menafsirkannya. Mereka mengatakan adalah suruhan agama untuk memilih isteri kerana kecantikan, harta, nasab dan agama. Sebenarnya hadith ini merujuk kepada fitrah atau kebiasaan wanita itu dikahwini kerana empat perkara tersbut. Dan, Nabi meyarankan kita agar mementingkan faktor agama.

Betapa indahnya Islam. Ia meraikan fitrah manusia dan ia tahu apa yang terbaik untuk manusia. Umum tahu bahawa manusia sukakan sesuatu yang cantik. Tetapi kecantikan adalah sesuatu yang nisbi (subjektif). Contohnya, perempuan yang berkulit putih tak semestinya cantik. Cantik bergantung kepada kesesuaian mata individu dalam menafsirkannya.

Agama pula adalah sesuatu yang tetap. Kita boleh membezakan antara wanita yang solehah dengan yang tidak solehah. Dalam konteks ini, walaupun ayah kita lebih tahu mengenai agama, tetapi jangan kita minta dia mencari jodoh untuk kita. Berbeza mata kita dengan mata ayah. Mungkin pada mata ayah janda pun boleh. Ayah mungkin mencari calon berdasarkan faktor agama, tetapi Islam juga meraikan fitrah manusia yang sukakan kepada yang cantik. Lebih elok biar kita yang mencari sendiri. Sesuai dengan kita.

Beberapa perkara yang perlu diberi perhatian ialah penakrifan agama itu. Agama adalah cara hidup. Maka ia diukur secara syumul. Kita jangan menyempitkan takrifan agama itu. Contohnya ramai remaja atau pelajar-pelajar universiti yang memberi takrifan agama yang sempit dalam pemilihan calon isteri. Rata-ratanya bersepakat bahawa calon isteri yang mempunyai pegangan agama yang elok adalah calon yang bertudung bulat. Sebenarnya apakah beza di antara tudung bulat dan tudung tiga segi jika kedua-duanya menutup aurat?

Di sini penting untuk sesuatu penilaian itu dibuat berdasarkan ilmu (agama) dan bukannya kepada tangkapan atau penafsiran semata-mata. Perlu diingatkan bahawa ilmu mengatasi fikrah!

Contohnya ramai yang menganggap cuti pada hari Jumaat adalah tanda Islamik. Padahal tidak ada nas pun yang menyatakan demikian. Bahkan kita diseru bertebaran di atas muka bumi setelah selesai solat Jumaat. Yang salah pada hari Jumaat adalah apabila tidak menunaikan solat Jumaat untuk kaum lelaki. Jual beli sebelum dan selepas solat, kedua-duanya tidak salah.

Fikrah ataupun tafsiran semata-mata adalah hanya menumpu kapada sesuatu yang idealistik. Walhal, syariat Islam itu adalah sesuatu yang realistik. Sebab itu dikatakan Islam memang meraikan fitrah manusia.

Mafhum hadith: “Lihat kepada wanita itu kerana itu boleh membuatkan kamu rasa lebih mesra (kasih).”

Di dalam Islam lelaki itu perlu melihat kepada wanita yang ingin dikahwininya. Fenomena salah faham yang berlaku di Malaysia ialah si ibu akan menyuruh anak perempuannya menghantar minuman atau hidangan kemudian disuruhnya anak perempuan itu cepat-cepat masuk semula. Kesian kepada si teruna, dia belum sempat untuk memandang kepada bakal isterinya itu.

Sebenarnya dibolehkan kepada lelaki itu untuk meminta izin untuk berborak-borak dengan bakal isterinya itu. Ia dikatakan proses untuk memahami. Namun janganlah dibawa keluar dari rumah, cukuplah sekadar di rumah wanita itu.

Mafhum hadith: “Apabila datang kepada kamu orang yang kamu redha akhlak dan agamanya, maka kahwinkan dia dengan anak kamu.”

Jika diteliti hadith di atas, kemudian dibandingkan dengan fenomena yang berlaku di dalam masyarakat kita, adakah ada persamaan atau perbezaan? Yang jelasnya apabila ada lelaki hendak datang masuk meminang, kedua ibubapa perempuan akan bertanya beberapa soalan cepumas, antaranya: Kamu ni kerja apa?, Berapa gaji kamu?, dan lain-lain lagi yang seumpamanya.

Mungkin bentuk soalan yang ditanya berlainan, tetapi maksudnya jelas sama seperti soalan di atas. Tan Sri P. Ramlee telah menyedari hal ini dari dulu lagi, maka wujudnya karakter Tok Wan Ahmad Albab.

Apa yang ingin disampaikan di sini ialah redha kedua ibu bapa di dalam pemilihan calon itu perlu. Dan, Islam telah menyediakan cara-cara kepada kedua ibubapa mengenai pemilihan calon itu yakni baik akhlak dan elok agamanya. Di samping itu, disyaratkan persetujuan perempuan sebelum perkahwinan itu boleh dijalankan.

Apabila isu ini diutarakan kita akan teringat kepada cerita tradisi orang Pakistan. Tradisi jumud mereka ialah si bapa boleh menentukan siapa jodoh untuk anaknya. Mereka ini mungkin salah memahami konsep Wali Mujbir di dalam Islam. Lantas pihak-pihak yang membenci Islam akan mengambil peluang ini untuk mengutuk dengan mengatakan tidak ada keadilan di dalam Islam.

Di dalam mazhab Syafiee ada mengenai wali Mujbir. Ia memang ada. Tetapi ia adalah untuk bapa yang soleh yang bimbangkan anak perempuannya (mungkin teruk dari segi akhlak), dan bapa ini tidak mempunyai apa-apa kepentingan pun dalam perkahwinan anaknya itu. Maka bapa itu boleh menjadi Wali Mujbir kerana dia ingin menyelamatkan anak perempuannya itu.

Fenomena yang tidak sihat yang berlaku ialah si bapa mengatakan bahwa dia telah berjanji untuk menikahkan anak perempuannya itu dengan si folan bin si folan. Persoalannya di sini ialah, apa kuasa si bapa untuk membuat janji itu? Tidak ada! Islam tidak meraikan fenomena ini. Ia jelas tidak adil.

Mafhum hadith: “Redha perempuan adalah dengan diam.”

Indahnya syariat. Ia begitu menjaga keadilan. Sehingga para fuqaha membuat perbincangan jika si perempuan itu menangis apabila diajukan tentang persoalan menerima pinangan. Di ikutkan di dalam mazhab Syafiee sehingga dikatakan jika air mata itu sejuk, itu tanda setuju. Jika panas adalah sebaliknya.

Kesimpulannya, agama meraikan fitrah. Salah satu fitrah itu adalah hubungan lelaki dan perempuan. Maka diturunkan syariat perkahwinan. Dalam Islam, perkahwinan itu turut disertaikan dengan syariat talak. Talak tidak berfungsi sebagai pemusnah institusi perkahwinan itu, tetapi talak adalah salah satu penyelesaian yang disediakan. Suami disuruh sama ada menggauli isterinya dengan baik ataupun menceraikannya dengan baik. Islam menjaga institusi perkahwinan. Lantaran itu ia telah menggariskan beberapa panduan sebelum perkahwinan, yakni pemilihan calon.

Kriteria yang pertama adalah agama. Yang kedua ialah kecantikan pada mata masing-masing, di sini terserlah keindahan Islam dalam meraikan fitrah manusia yang sukakan kepada sesuatu yang cantik. Ketiga, mendapat redha dari orang-orang tua. Perlu diingatkan, perkahwinan itu mencantumkan dua buah keluarga maka redha orang-orang tua adalah perlu! Manakala yang keempat dan yang terakhir ialah persetujuan daripada wanita itu. Di sini pula terserlah keadilan di dalam Islam.

SubhanalLah, begitu sempurna syariat yang diturunkan oleh Allah kepada kita!

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: