jump to navigation

Memahami Kezaliman ISA (4) Oktober 13, 2006

Posted by ummahonline in ISA, Kolum.
trackback

Oleh: Saari SungibKolum ini memuatkan himpunan tulisan yang mengungkapkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sebagai bekas tahanan ISA, kolumnis tentunya memahami hakikat sebenar di sebalik kelangsungan akta tersebut. Begitupun, para pembaca masih dialu-alukan mengirim ulasan terhadap tulisan ini menerusi abuurwah@gmail.com.

BERAPA LUAS KUASA ISA?

Undang-undang dengan Peruntukan yang Luas

ISA adalah akta yang diwujudkan bagi melindungi keselamatan dalam negara dengan memperuntukkan penahanan pencegahan, pencegahan aktiviti-aktiviti subversif dan juga bagi tujuan untuk membanteras kegiatan keganasan yang terancang terhadap orang ramai dan harta benda di kawasan-kawasan tertentu di Malaysia.

Terkini, ISA terdiri daripada empat bahagian, dua belas bab dan 85 seksyen. Enam bab terkandung dalam Bahagian II dan enam bab lagi terkandung dalam Bahagian III.

Bahagian II memberi peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan keselamatan dalam negeri, di mana di dalamnya terkandung peruntukan kuasa-kuasa bagi penahanan untuk tujuan-tujuan pencegahan, atau penahanan tanpa bicara.

Bahagian II turut memperuntukkan kuasa-kuasa khas yang berkaitan dengan penerbitan dan penyebaran bahan-bahan subversif.

Bahagian III memberi peruntukan-peruntukan khas yang berkaitan dengan tempat-tempat keselamatan di Malaysia, di mana di dalamnya terkandung kesalahan-kesalahan yang melibatkan senjata api, peluru dan bahan-bahan letupan.

Bahagian IV memberi peruntukan yang amat luas kepada pihak polis untuk membuat tangkapan terhadap mereka yang disyaki dan dipercayai telah atau boleh memudaratkan keselamatan negara.

Terdapat 2 seksyen dalam Bahagian I, 45 seksyen dalam Bahagian II, 25 seksyen dalam Bahagian III dan 14 seksyen dalam Bahagian IV.

Peruntukan-peruntukan Paling Kontroversi

Daripada kesemua seksyen ini, seksyen-seksyen 8, 22, 57 dan 73 adalah yang paling kontroversi.

Ini kerana seksyen-seksyen ini memberikan kuasa yang luas kepada Menteri Dalam Negeri dan pihak polis untuk membuat penangkapan dan penahanan sewenang-wenangnya.

Seksyen-seksyen ini juga membolehkan menteri dan polis bertindak yang mana sebelum ini hanya boleh dilakukan dalam keadaan darurat.

Peruntukan-peruntukan Tambahan bagi Mengukuhkan Kuasa Politik Pemerintah

Untuk mengukuhkan kuasa dan keputusan menteri dalam seksyen 8, seksyen 16 memperuntukkan bahawa menteri dan yang berkaitan dengannya tidak boleh diminta mendedahkan bukti atau maklumat bagi mempertahankan keputusannya membuat sesuatu penahanan.

Seksyen 28 pula kini digunakan untuk menyekat penyebaran maklumat alternatif atas dakwaan menyebar khabar angin atau menyebarkan laporan tidak benar.

Seksyen 30 membolehkan pihak polis menggeledah dan merampas bahan-bahan dan dokumen-dokumen yang disyaki menyalahi peruntukan-peruntukan keselamatan dalam negara.

Mengatasi kuasa dalam peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan, 1966, peruntukan seksyen 41A membolehkan menteri menghalang perlantikan mana-mana individu daripada memegang sebarang jawatan dalam sesuatu pertubuhan.

Seksyen 41B pula memberi kuasa kepada menteri membuat arahan setiap satunya tidak melebihi 6 bulan bagi menutup sekolah atau mana-mana institusi pendidikan yang menjalankan kegiatan yang dianggap sebagai subversif oleh menteri.

Di bawah peruntukan-peruntukan khas berkenaan dengan kawasan-kawasan keselamatan untuk peruntukan seksyen 57, seksyen 53 memberi kuasa kepada menteri untuk mengambil alih dan merampas tanah dan bangunan di kawasan-kawasan tertentu.

Seksyen 54 pula memberi kuasa kepada OCPD polis di kawasan berkenaan untuk menghapuskan ataupun mengeluarkan arahan untuk menghapuskan mana-mana bangunan yang dianggap menyalahi peruntukan-peruntukan bagi kawasan-kawasan keselamatan ini.

Seksyen 56 pula memberi kuasa kepada mana-mana polis atau mana-mana anggota keselamatan berpangkat koperal ke atas untuk merampas beras atau sebarang bahan makanan yang menyalahi mana-mana peruntukan dalam kawasan keselamatan ini.

Terkandung dalam Bahagian IV, seksyen 72 yang memperuntukkan sebarang kesalahan di bawah ISA boleh dikuatkuasakan bagi tujuan penahanan di bawah Kanun Acara Jenayah dan sebarang kesalahan terhadap peruntukan ini yang dikenakan hukuman penjara melebihi tiga tahun menurut Kanun Acara Jenayah adalah tidak boleh diikat jamin.

Jika seksyen 73 memberi kuasa yang luas kepada polis untuk membuat penangkapan terhadap individu yang dipercayai boleh atau telah memudaratkan keselamatan negara, peruntukan seksyen 74 pula membolehkan pihak polis menggunakan senjata yang boleh membawa maut dalam menguatkuasakan penangkapan di bawah seksyen 73(1) dan (2).

Peruntukan yang membolehkan Penahanan Tanpa Perbicaraan

Seksyen 8 membolehkan Menteri Dalam Negeri mengeluarkan satu perintah tahanan selama dua tahun terhadap mana-mana individu yang penahanannya dianggap perlu oleh menteri bagi tujuan mencegahnya daripada bertindak dengan apa-apa cara yang boleh memudaratkan keselamatan negara.

Kuasa menteri dalam membuat keputusan tersebut adalah bersifat subjektif dan sehingga ini mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menilai secara objektif kuasa menteri yang dibuat di bawah peruntukan seksyen 8.

Kuasa menteri untuk mengemukakan bukti atau memberi sebarang keterangan di mahkamah dilindungi oleh seksyen 16.

Namun jika menteri merasakan individu tidak perlu dikenakan perintah tahanan di tempat yang ditetapkan maka menteri boleh mengenakan sekatan-sekatan serta syarat-syarat tertentu bagi mengawal aktiviti dan pergerakannya.

Syarat-syarat serta sekatan seperti ini juga setiap satunya dikeluarkan bagi tempoh dua tahun.

Ketika menjalani tahanan atau sekatan dalam tempoh pertama dua tahun ini, menteri boleh mengeluarkan arahan bagi penggantungan perintah tahanan.

Jika individu tadi sedang menjalani perintah tahanan seperti dalam seksyen 8(1) di tempat yang diperuntukkan dalam seksyen 8(3) dan (4), maka penggantungan tersebut boleh dipindahkan kepada sekatan-sekatan bersyarat seperti dalam seksyen 8(5). Penggantungan ini pula boleh dibatalkan pada bila-bila masa sahaja.

Selepas tamat tempoh perintah tahanan dua tahun yang pertama, menteri boleh di atas sebab-sebab yang sama, atau lain atau sebahagiannya sama dengan sebab-sebab individu tersebut ditahan, mengeluarkan satu lagi perintah tahanan tidak melebihi dari dua tahun.

Menteri juga diberi kuasa oleh peruntukan yang sama untuk menyambung sekatan kawasan kepada individu yang dikenakan sekatan bagi satu tempoh tidak melebihi dari dua tahun.

Di bawah peruntukan ini terdapat ramai tahanan ISA yang diperbaharui perintah tahanannya untuk beberapa kali.

Peruntukan bagi Penahanan 60 Hari di bawah Kuasa Polis

Seksyen 73 memberi kuasa yang amat luas kepada polis untuk membuat penangkapan tanpa waran terhadap sesiapa yang disyaki boleh dikenakan perintah tahanan dua tahun di bawah seksyen 8.

Pihak polis hanya perlu mempunyai sebab untuk percaya bahawa seseorang itu telah bertindak atau mungkin bertindak mengancam keselamatan negara untuk membolehkan tangkapan tersebut dilakukan.

Sehingga keputusan Mahkamah Persekutuan pada 6 September 2002, pihak polis telah menguatkuasakan peruntukan seksyen 73(1) dan (2) berdasarkan kuasa subjektif yang diberikan kepada kuatkuasa seksyen 8.

Kuasa peruntukan seksyen 16 yang menghalang menteri mendedahkan maklumat dan mengemukakan bukti bagi kuatkuasa seksyen 8 turut dianggap merangkumi kuatkuasa seksyen 73(1) dan (2).

Halangan untuk menilai kuatkuasa secara objektif seksyen 8 di bawah kuasa menteri turut digunapakai untuk seksyen 73(1) dan (2) yang berada di bawah kuasa polis.

Sehingga tarikh tersebut, pihak polis telah menggunakan sewenang-wenangnya peruntukan seksyen 73(1) dan (2) secara subjektif.

Namun setelah keputusan dalam kes Mohd. Ezam Mohd. Nor & Ors v. Inspector General of Police pada 6 September 2002, kuasa polis menguatkuasakan peruntukan seksyen 73(1) dan (2) telah dibataskan.

Kini pihak polis perlu memberikan keterangan-keterangan secara objektif sebarang penangkapan dan penahanan yang dilakukan di bawah Seksyen 73(1) dan (2).

Peruntukan bagi Menyekat Bahan Cetakan dan Penerbitan

Seksyen 22(1) memberi kuasa penuh kepada Menteri Dalam Negeri untuk menyekat bahan cetakan dan penerbitan yang dianggap memudaratkan keselamatan negara dan boleh mengganggu keamanan awam.

Sejak dikuatkuasakan pada tahun 1960, di bawah peruntukan ini beribu-ribu bahan penerbitan telah diharamkan.

Untuk mengukuhkan kuatkuasa peruntukan seksyen 22, beberapa lagi seksyen ditetapkan.

Antaranya, sesiapa yang didapati mencetak, menerbit, menjual, mengeluarkan, menyebarkan atau mengeluarkan semula sebuah dokumen atau sesuatu penerbitan yang tertakluk kepada peruntukan seksyen 22, jika didapati thabit kesalahannya, maka boleh dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara bagi satu tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Lanjutan daripada itu, sesiapa yang memiliki sebarang dokumen atau penerbitan yang dilarang seperti dalam peruntukan Seksyen 22, jika thabit kesalahannya untuk kali pertama, maka ia boleh dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dihukum penjara satu tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan berikutnya dikenakan hukuman penjara bagi satu tempoh tidak melebihi dua tahun.

Jika thabit kesalahan, hukum yang sama turut dikenakan ke atas sesiapa yang mengimport atau cuba mengimport atau bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk mengimport sebarang dokumen atau penerbitan yang dilarang menurut peruntukan seksyen 22.

Peruntukan bagi Mensabitkan Hukuman Mati Berhubung dengan Senjata Api, Peluru atau Bahan Letupan

Seksyen 57 memperuntukkan hukuman mati ke atas sesiapa yang didapati thabit kesalahan memiliki senjata api atau peluru atau bahan-bahan letupan secara tidak sah.

Bebanan atau tanggungjawab untuk membuktikan ia tidak bersalah terletak di atas dirinya.

Sepanjang tempoh perbicaraan, orang yang didakwa di bawah seksyen ini tidak dibenarkan ikat jamin.

Beberapa peruntukan lagi diwujudkan untuk mengukuhkan kuatkuasa peruntukan seksyen 57.

Antaranya, sesiapa yang didapati berpakat atau didapati menemani seseorang yang membawa atau memiliki bahan-bahan yang dilarang menurut seksyen 57, jika ianya menimbulkan tanggapan bahawa ia berhasrat, atau akan bertindak atau baru bertindak bersama-sama dengan orang yang ditemaninya itu untuk memudaratkan keselamatan negara, jika thabit kesalahannya, maka ia boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Namun, sekiranya semasa ditangkap bersama-sama dengan seorang yang memiliki bahan-bahan yang dilarang menurut seksyen 57 seperti di atas, walaupun ia tidak bertindak, atau berhasrat untuk bertindak atau baru bertindak untuk memudaratkan keselamatan negara bersama orang yang ditemaninya itu, tetapi ianya menimbulkan tanggapan bahawa ia mengetahui orang yang ditemaninya itu memiliki bahan-bahan yang dilarang oleh seksyen 57, jika thabit kesalahannya, maka ia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari sepuluh tahun.

Peguam Negara diberikan kuasa yang luas sama ada membuat dakwaan di bawah seksyen 57 ISA atau di bawah seksyen 8, Akta Senjata Api 1960, di mana jika thabit kesalahan akan dikenakan hukuman yang lebih ringan, iaitu hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda sebanyak sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.

Berhubung dengan larangan terhadap bahan-bahan dalam seksyen 57, seseorang yang mengambil atau menerima bekalan-bekalan yang boleh menimbulkan tanggapan ia berhasrat, atau akan bertindak atau baru bertindak untuk memudaratkan keselamatan negara, jika thabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati, atau jika tidak secara langsung melibatkan bahan-bahan larangan dalam seksyen 57, boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Demikian juga jika ia didapati memiliki bekalan-bekalan yang ia gagal mengelakkan diri daripada menimbulkan tanggapan ia berhasrat, atau akan bertindak atau baru bertindak untuk memudaratkan negara, jika thabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.

Jika pemilikan bahan-bahan tersebut tidak melibatkan bahan-bahan larangan seperti dalam seksyen 57, boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: