jump to navigation

Kebebasan akademik tergugat? Oktober 16, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Ali Bukhari Amir2 Oktober lalu, Prof Madya Dr Azmi Sharom dari Fakulti Undang-Undang, UM telah menulis sebuah rencana akhbar mengenai penyelewengan pilihan raya kampus (PRK) yang baru berlangsung bulan lalu.

Tulisan beliau itu, dalam pandangan saya, tidaklah berbeza daripada kebanyakan tulisan mahasiswa yang banyak mengirim pandangan mereka melalui akhbar Harakah termasuk lain-lain laman sesawang yang tumbuh bagaikan cendawan kini. 

Memetik salah satu perenggan yang diterjemah secara bebas: “Kumpulan Aspirasi adalah kelompok yang ditaja parti pemerintah.” Hal ini telah diketahui umum walaupun beberapa orang para pegawai khas Kementerian Pengajian Tinggi berkeras menafikan hal Aspirasi memihak kepada Umno, malah menafikan kewujudan Aspirasi itu sendiri.

Di USM, saya dan rakan-rakan telah pun memikirkan kesan buruk jikalau laporan kemenangan Idealisme (Gagasan di USM) menewaskan Aspirasi, dengan keputusan 19 – 18 tersiar. Kami tahu dolak dalih HEP menafikan kewujudan Aspirasi dan lain-lain lagi.

“Jika Aspirasi tak wujud, bagaimana akhbar luar boleh melaporkan kemenangan Aspirasi di beberapa buah universiti?” – “Kenapa kami tak boleh laporkan keputusan itu? Iaitu Idealisme menang satu kerusi berbanding Aspirasi, 19 – 18.”

Demikian antara soalan yang mungkin akan menerjah ke cuping telinga pensyarah kewartawanan termasuk dekan pusat pengajian jika kami dapat berbuat demikian.

Jawapan Ketua Penolong Pendaftar Nazru Ismail: “Pedulikan laporan akhbar di luar itu!” Kenyataan ini saya petik daripada YDP PMI USM Salihin yang dipanggil untuk memberi kenyataan bertulis di HEP di hadapan Nazru ekoran laporan saya dalam Berita Kampus (BK) mengenai kemenangan Idealisme (Gagasan) menewaskan Aspirasi.

Nazru menyoal Salihin: “Kenapa awak beri kenyataan kepada BK. Awak tahu kan awak tak boleh beri kenyataan kepada media? — Mana awak tahu label-label semua ini?” Salihin menjawab, akhbar luar telah pun melaporkan kewujudan Aspirasi.

Nazru juga manyatakan hal yang sama apabila bertanya saya dalam jawatankuasa siasatan HEP dahulu: “Mana kamu tahu kewujudan Aspirasi? Kenapa awak tulis Aspirasi dan kenapa awak tak ambil kenyataan TNC HEP? …”

Seperti Salihin, saya berkata: “Bagaimana media luar dapat guna istilah Aspirasi ini jika istilah ini bukan datang daripada HEP sendiri?” Akhirnya Nazru berkata: “Jangan peduli laporan di luar! Saya nak tanya tentang laporan berita awak, bukan laporan berita di luar.”

Punca semua petaka itu bermula, apabila saya memetik kenyataan Salihin bahawa pihaknya telah menang 19 kerusi. 18 kerusi lainnya dimenangi oleh Aspirasi. Saya tidak dapat mengambil kenyataan Aspirasi kerana saya keliru – siapakah sepatutnya yang boleh memberi kenyataan samada Aspirasi menang atau kalah?

Adakah Fakhrul Razi Sunip yang dilihat sebagai pimpinan Aspirasi? Atau seorang aktivis GPMS yang menginap di Indah Kembara atau TNC HEP sendiri, Datuk Profesor Madya Dr Jamaluddin Mohaiadin yang didakwa Deep Throat dan kebanyakan warga USM sebagai penaja utama Aspirasi di USM?

Pada saya, Aspirasi tidaklah perlu malu membuat pengakuan seikhlas rela, bahawa mereka menyintai Umno sejak dulu, kini dan selama-lamanya. Bukankah Umno itu parti pemerintah? Jika mencintai Umno itu satu jenayah, maka Auku itu wajar dipersalahkan!

Mana boleh Umno membuat perundangan yang menyebabkan pelajar itu didapati bersalah kerana mencintai Umno? Jika tidak, generasi cerdik pandai universiti akan berkiblat kepada parti lain pula. Beban Putera Umno makin bertambah kerana terpaksa mengheret Mat Rempit yang kurang berpendidikan agar belajar mencintai Umno dan para pemimpinnya.

Azmi Sharom hanya menyatakan sesuatu yang difikirkannya sebagai benar. Kalau beliau salah, siapa pemimpin Aspirasi Malaysia yang dapat membetulkan tulisan Azmi? Jawapannya tiada. Seorang pegawai khas KPT memberitahu saya – Aspirasi itu bukanlah organisasi tersusun dan memiliki struktur seperti sebuah badan organisasi yang lengkap.

Sebaik-baiknya, Aspirasi itu perlulah dibentuk secara tersusun dan berstruktur. Jadi, kalau ada tohmahan liar ke atas Aspirasi, maka Presiden, Setiausaha Agung perlulah bingkas bangun menyelar kenyataan liar itu. Sertakan dengan sokongan hujah bukti yang kuat.

Kalau tidak, Azmi akan diserang secara tidak bertanggungjawab oleh kebanyakan pegawai tinggi HEP dan mungkin pegawai tinggi KPT melalui laman-laman sesawang tertentu. Mereka mengguna nama samaran seperti Kencana Dewi dan lain-lain yang tidak boleh disukat nilai dan kualiti ilmiahnya. Jika tidak percaya, lawatilah Idealis Mahasiswa.

Sebagai contoh, jika Kencana Dewi memakai nama lengkap seperti Nazru Ismail atau Dr Jamaluddin Mohaiadin, maka barulah Azmi Sharom dapat mengulas dengan baik pula. Kini, Azmi cuma terpaksa menulis surat beri sebab; kenapa beliau mengulas isu itu di akhbar.

Apabila Azmi menulis mengenai penyelewengan. Ia bukan hal baru. Laporan itu pernah dihantar oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) ke Suhakam tahun lalu. Dan, dalam kejadian terbaru, pihak Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMI UM) pernah menghantar laporan penyelewengan PRK di UM kepada Naib Canselornya.

Laporan setebal 100 halaman itu, menurut sumber PMI UM, tidak sampai kepada NC. Adakah ia tidak sampai atau tidak disampaikan? Wallahu Alam. Sebab itu, ada baik juga apabila Azmi merakamkan saranannya dalam akhbar bahawa penyelewengan PRK baru-baru ini perlu disiasat lanjut.

Saya rasa kasihan kepada pensyarah itu lantaran nasib kami lebih kurang sama. Nota kecil yang hanya mengisarkan pandangan bodoh saya mengenai demokrasi kampus itu pun mahu dibedah siasat.

Adakah perkara ini agenda ‘bonsaisisasi’ atau serpihan silibus pentarbiyahan HEP untuk mentadikakan siswa dan pensyarah universiti? Kepada Azmi, selamat berjuang!

Catatan: 9.27 pagi, 22 Ramadhan, 15 Oktober, Sekolah Pemikiran Kg Baru.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: