jump to navigation

Maqasid Al-Qur’an memaparkan waqi’ perjuangan Gerakan Islam Oktober 16, 2006

Posted by ummahonline in Fiqh al-Waqi', Kolum.
trackback

Oleh: Saari Sungib

Persoalan fiqh seperti mana yang dinyatakan Al-Quran adalah berkaitan dengan tuntutan dakwah. Hubungan di antara fiqh al-waqi’ dengan dakwah adalah bersandarkan kepada apa yang sebut sebagai maqasid Al-Quran.

Al-Quran, Surah Yunus ayat 57 menyatakan bahawa maqasid Al-Quran dalam konteks realiti kehidupan manusia terdiri daripada empat perkara, iaitu mau’izah, syifa’, huda dan rahmah. Empat maqasid Al-Quran ini dipenuhi dengan melihat waqi’ yang dihadapi oleh manusia.

Para anbiya’ yang diutus Allah kepada pelbagai kaum di seluruh zaman berdepan dengan waqi’ yang berbeza-beza.

Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, generasi demi generasi disaksikannya dengan penuh tekun. Al-Quran memaparkan pelbagai pendekatan dakwah telah digunakan oleh Nabi Nuh terhadap kaumnya dalam pelbagai waqi’ selama hampir 10 abad.

Kesudahannya Nabi Nuh berdoa agar Allah mewujudkan satu waqi’ yang betul-betul baru baginya dengan menghapuskan sama sekali kaumnya yang ingkar. Tidak ada seorang nabi di kalangan para anbiya’ yang memohon kepada Allah sebagaimana yang dipohon oleh Nabi Nuh. Baginda memohon agar Allah melenyapkan waqi’ yang sedang dihadapinya dan menggantikannya dengan satu waqi’ baru.

Nabi Hud diutus kepada Aad. Kaum Aad mempunyai pemerintahan yang besar dengan bangunan-bangunan yang tinggi. Dengan kekuasaan, mereka telah mencipta sistem dan peraturan bagi menindas kaum-kaum lain.

Nabi Saleh diutuskan kepada kaum Thamud, iaitu kaum termaju pada zaman mereka. Mereka adalah kaum ultra mewah, suka bermegah-megah, membazir dan menindas golongan mustad’afin. Mereka dikenakan catuan sumber paling utama dan lambang kemewahan, iaitu air!. Mereka terpaksa bergilir-gilir menggunakan air dengan unta mukjizat.

Inilah waqi’ dakwah yang dihadapi Nabi Saleh ketika berdepan dengan kaum yang menjadikan materialisme obor kehidupan. Mereka tidak tahan dengan catuan kerana tidak sanggup mengorbankan kehidupan mewah mereka. Lantas mereka membunuh unta mukjizat. Maka berlakulah azab Allah ke atas mereka.

Nabi Syuaib pula telah diutus kepada dua kaum. Pertama kaum Madyan, iaitu penduduk kota yang mempunyai pemerintahan dan kekuatan ekonomi. Dengan kuasa ekonomi mereka menindas golongan lemah. Inilah waqi’ Nabi Syuaib berdakwah.

Selepas itu Nabi Syuaib diutus pula kepada kaum Aikah atau kaum Tubba’. Mereka adalah penduduk desa yang tinggal di kawasan hutan tebal. Tidak seperti terhadap kaum Madyan, Nabi Syuaib melaksanakan dakwahnya sesuai dengan waqi’ kaum Aikah.

Keupayaan Nabi Syuaib menangani kerenah golongan mustakbirin Madyan dan mustad’afin Tubba’ inilah yang menjadi asas kepada pentarbiyyahan bakal nabi besar, iaitu Nabi Musa. Nabi Musa menjalani tarbiyyah selama sepuluh tahun di bawah bimbingan Nabi Syuaib.

Nabi Musa diutus untuk mencabar golongan mustakbirin yang kepalai oleh Firaun, Haman dan Qarun dan selepas itu menangani kerenah dan kemelut golongan mustad’afin di kalangan Bani Israel.

Allah memberi tongkat mukjizat kepada Nabi Musa. Kemukjizatan tongkat Musa mengambilkira waqi’ yang sedang dihadapi oleh Musa dalam pelbagai fasa dakwahnya.

Tatkala berdialog dengan Allah di Lembah Tuwa, tongkat yang sekian lama dimilikinya itu diperintahkan Allah agar dicampakkannya. Tatkala tongkat bertukar menjadi ular, Musa ketakutan. Maka Allah perintah Musa memegang ular dan bila ular kembali bertukar menjadi tongkat, lantaran itu tenanglah semula hati Musa.

Ketika berdepan dengan Firaun dan ahli-ahli sihirnya, tongkat yang sama dicampak menjadi ular untuk menelan ular-ular sulapan mata ahli-ahli sihir Firaun. Rebah ke bumi ahli-ahli sihir tersebut mengakui kebesaran Allah dan bertempiaran lari Firaun ketakutan. Nah, mukjizat tongkat yang memberi kenangan kepada Musa membawa ketakutan pula kepada Firaun!

Ketika diburu oleh bala tentera Firaun sehingga ke pesisir lautan, tongkat yang sama itulah yang diperintah Allah dipukulnya ke permukaan laut. Terbelah laut dengan kudrat dan iradat Allah.

Selepas selamat daripada Firaun, Musa dan dua belas suku kaum Bani Israel sesat di padang Pasir yang luas. Allah perintahkan Musa memukul batu dengan tongkatnya. Maka terpancarlah dua belas mata air yang memberi secukupnya bekalan minuman kepada kesemua suku Bani Israel dan seterusnya menyusun jalan kehidupan sosio-politik mereka.

Demikiannya hebatnya mukjizat tongkat Musa yang digunakan bagi memenuhi keperluan waqi’ yang berbeza-beza. Di sebalik kemukjizatan tongkat Musa, terdapat asas-asas fiqh al-waqi’ yang cukup mendalam.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: