jump to navigation

Integrasi Fiqh Asy-Syari'ah dan Fiqh Al-Waqi' dalam Gerakan Islam November 6, 2006

Posted by ummahonline in Fiqh al-Waqi', Kolum.
trackback

Oleh: Saari Sungib

Dalam perspektif perubahan, fiqh asy-syari’ah dan fiqh al-waqi’ hendaklah diintegrasikan sehingga ia mencapai satu proses yang seimbang bagi membolehkan gerakan Islam bebas daripada pendekatan ekstrim, jumud dan sikap penolakan.

Gerakan Islam wujud dalam realiti masyarakat yang serba rencam dan dinamik. Agenda utamanya adalah tajdid atau pembaharuan. Tumpuannya adalah berusaha memenuhi tuntutan pelaksanaan syariah. Dalam bahasa yang lebih mudah misi gerakan Islam adalah untuk menegakkan sebuah negara Islam. Di mana dengan terbentuknya sebuah negara Islam maka syariah akan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Apakah ini benar? Adakah syariah hanya dapat dilaksanakan apabila wujud sebuah negara dengan pemerintahan yang menguatkuasakannya. Di manakah peranan masyarakat madani, atau dalam bahasa moden civil society? Bukankah civil society merujuk kepada penyusunan sosial dan institusi yang ditegakkan di atas dasar persefahaman, permuafakatan dan bersifat voluntary?

Bukankah banyak tuntutan dalam syariat Islam demikian sifatnya? Lihat ahwal syakhsiyyah atau sistem kekeluargaan Islam, ambil hukum tentang nikah dan talaq contohnya. Pada dasar dan asalnya, kedua-dua hukum ini tidak memerlukan kuasa perundangan dan kuatkuasa pemerintah. Sistem ini boleh berdiri sendiri. Asas syariah sistem ini adalah bersifat civil.

Demikian juga tentang hukum faraid. Al-Quran telah memperincikan hukum ini sehingga mana-mana layman yang menghayati Islam dan mendukung civil society dalam kehidupan berkeluarga dapat memahami dan melaksanakannya dengan baik.

Sebenarnya, sistem faraid boleh berdiri sendiri tanpa kuatkuasa sistem bernegara. Bahkan itu tujuannya. Sistem ini bertujuan untuk memperkasa seseorang individu dalam masyarakat bagi membolehkannya membangunkan masyarakat tanpa sebarang paksaan dari mana-mana kuasa.

Demikian juga jika ditinjau dengan lebih mendalam, ambil sistem jenayah dalam Islam contohnya. Asas dan kerangka sistem hudud, takzir dan qisas sebenarnya adalah penegasan terhadap ciri-ciri civil society. Pada zaman Rasulullah s.a.w, kerelaan mereka yang melakukan kesalahan untuk diadili di bawah sistem inilah yang menjadikannya sistem hukuman jenayah Islam berjaya.

Bahkan dalam sistem qisas itu sendiri terdapat asas civility yang cukup mendalam. Dalam kes darah, pemerintah tidak mengambilalih hak mereka yang teraniaya. Hak tersebut hanya dilindungi oleh pemerintah. Pemerintah menjadi orang tengah dalam pertikaian yang melibatkan pertumpahan darah. Hak menuntut diyat atau memberi maaf berada sepenuhnya di tangan pihak yang teraniaya.

Konsep al-‘umran atau civility inilah yang ditegaskan oleh Ibn Khaldun kira-kira lapan abad dahulu sebagai tunjang kegemilangan umat Islam bermasyarakat dan bernegara! Jika demikian, apa itu negara Islam? Apa pula negara yang melaksanakan syariah?

Ambil PAS sebagai contoh. Termaktub dalam Perlembagaan PAS Fasal 5 tentang tujuan PAS adalah:

“memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”.

Tujuan di atas menggambarkan strategi serampang dua mata dalam perjuangan PAS. Pertama mewujudkan masyarakat dan kedua mewujudkan sebuah pemerintahan. Kedua-dua tujuan ini berpaksikan kepada usaha untuk melaksanakan nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukum menuju keredhaan Allah.

Apakah maksud nilai-nilai hidup Islam dan apakah pula maksud hukum-hukum menuju keredhaan Allah?. Apakah tujuan pertama menjadi pra-syarat bagi terlaksananya tujuan kedua? Atau tujuan kedua menjadi syarat terlaksana dengan sempurnanya tujuan yang pertama?

Dalam perkataan lain, adakah masyarakat Islam yang menghayati nilai-nilai hidup Islam menjadi syarat bagi tertegaknya sebuah pemerintahan yang hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah? Atau, hanya dengan tertegaknya sebuah pemerintahan yang melaksanakan hukum-hukum Islam barulah masyarakat yang menghayati nilai-nilai Islam dapat diwujudkan?

Yang mana satu? Yang mana dulu? Mungkin ramai pemikir-pemikir fiqhus sirah mengatakan sudah pasti perlu diwujudkan terlebih dahulu masyarakat teras sebelum boleh ditegakkan sebuah daulah.

Bagaimana pula paparan kisah Talut, Nabi Daud dan Nabi Yusuf dalam Al-Quran. Bukankah mereka memiliki kuasa dahulu dan setelah itu baru mewujudkan masyarakat yang tunduk kepada cara hidup pengabdian penuh kepada Allah?

Mungkin ada yang mengatakan itu adalah syariah man qablana, atau syariah orang-orang sebelum kita. Bagi kita, kita perlu hanya mengikut jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Tetapi bukankah terdapat ulamak yang memasukkan syariah man qablana sebagai salah satu sumber instinbat hukum dalam usul al-fiqh.

Bahkan pada hari ini, di segi manhaj dan uslub, Dr Yusuf Al-Qardawi sering menggunakan dalil-dalil Al-Quran daripada kisah Nabi Sulaiman, Nabi Daud, Nabi Yusuf dan seumpamanya untuk meleraikan permasalahan yang bersifat waqi’i.

Apatah lagi PAS yang sejak kemunculannya hingga ke hari ini terlibat untuk merealisasi visinya menegakkan pemerintahan melalui proses demokrasi pilihanraya, maka sudah pasti penilaian yang kritikal tentang metodologi dan strategi pilihanraya amat perlu diutamakan.

Dalam realiti hari ini, PAS mungkin mampu membangun masyarakat dalam konteks yag terbatas dengan menggunakan peraturan gelanggang sendiri. Tetapi bila bercakap tentang penglibatan dalam proses demokrasi pilihanraya, kita tahu bahawa kita tidak berentap di gelanggang yang sama rata. Kita bersaing dengan peraturan yang dibuat dan dikuasai oleh orang lain.

Penglibatan dalam proses demokrasi pilihanraya perlu diteruskan. Tetapi dengan menggunakan kaedah-kaedah fiqh al-waqi seperti yang telah digariskan sebelum ini. Kaedah-kaedah ini hendaklah digunapakai sehingga demokrasi yang merupakan ciptaan orang lain itu mampu dimanipulasikan sehingga kita pula yang menguasainya.

Lihat apa yang dilakukan oleh HAMAS dengan memenangi pilihanraya di Palestin. HAMAS telah berjaya kerana ia hanya melihat pilihanraya sebagai satu alat dan bukan sebagai satu proses.

Sebelum menghalusi falsafah dan mekanik proses demokrasi pilihanraya, kita perlu merenung terlebih dahulu persoalan-persoalan yang telah menjadi bagasi historis atau historical baggage PAS. Perkara-perkara ini termasuklah negara Islam dan hukum hudud sebagai agenda kempen pilihanraya.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: