jump to navigation

Lemahnya kepimpinan Pak Lah November 8, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Malaysia Baru.
trackback

Oleh: Ahmad Lutfi OthmanDr Mahathir Mohamad memang manusia politik yang luar biasa. Kalau sesiapa mengharapkan dia berasa letih lebih awal, dan kemudian mengunci bibirnya daripada mengkritik Abdullah Ahmad Badawi apabila segala serangan ditujukan tepat ke mukanya, termasuk dari pemimpin Umno Kedah, negeri kelahirannya, maka jangkaan itu ternyata silap.

Selepas tewas dalam pemilihan G7 Umno di Kubang Pasu, di bahagian yang diketuainya lebih 30 tahun, ramai beranggapan Mahathir sudah mendapat iktibar, maka sewajarnya beliau berundur terus daripada politik.

Namun, dia bangkit dengan lebih garang selepas itu, dan senarai “kesalahan” Abdullah menjadi semakin panjang. Seolah-olah baginya, tiada istilah bersara atau tamat perkhidmatan, malah semakin menuju hujung usia, libasannya makin kencang dan berbisa.

Mencorakkan sejarah

Insan politik yang tidak pernah sunyi daripada kejutan ini sememangnya mahu terus mencorakkan sejarah, bukan sekadar merakamkannya, apatah lagi hanya memerhatikan. Dan beliau juga tidak mahu sejarah yang telah dilakarnya dipadamkan.

Ketika mendengar amarahnya terhadap Khairy Jamaluddin, Kalimullah Hassan dan Brendan Preira dalam program anjuran sekumpulan NGO dan portal Malaysia Today, di Taman Melewati, 24 Jun lalu, saya seakan sudah dapat menjangka hal itu, namun amukannya terhadap Abdullah seperti menyedarkan saya bahawa “masih banyak yang belum kukenal orang tua ini”.

Semakin faham saya mengapa Mahathir bertindak begitu nekad membunuh kerjaya politik Anwar Ibrahim pada 1998 dulu. Saya juga mulai mengerti mengapa Mahathir tergamak mengaibkan Anwar sebegitu rupa, khususnya merujuk afidavit Musa Hassan yang cukup memalukan, pengakuan paksa Sukma dan Munawar, tilam dan lendir diangkut ke mahkamah, serta episod lebam mata yang tragik.

Perwatakan Abdullah yang dilihat tidak seagresif musuh-musuh Mahathir sebelum ini – misalnya Tengku Razaleigh Hamzah, Musa Hitam dan Anwar – malah begitu “menjaga tutur kata di depan publik”, rupanya tidak juga dapat mengendurkan kritikan keras bekas Perdana Menteri itu.

Teringat saya cerita bekas anggota Exco Kanan Kerajaan Negeri Kedah, “Biarpun musuh sekecil nyamuk buat Mahathir, tapi akan dihadapnya dengan sehebat-hebat senjata.”

Sehinggalah pertemuan di Seri Perdana menjelang Aidilfitri lalu, ada pihak mengharapkan, berkat akhir Ramadan dan semangat raya, Mahathir sekurang-kurangnya akan mengisytiharkan “gencatan senjata”. Dan sepatutnya pertemuan empat mata itu diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama, sebagai tanda ada “cahaya di hujung terowong”.

Bukan sekadar berjabat salam

Namun, sejak awal lagi Mahathir menegaskan, tiada manfaatnya kalau setakat beliau dan Abdullah bergambar berjabat salam atau berpelukan, jika tiada perubahan di atas segala kritikannya selama ini. Justeru, apabila – tidak sampai 24 jam selepas bertemu Abdullah – Mahathir mengadakan sidang akhbar khas dan terus menyerang dan menyindir penggantinya itu, media utama bingkas melanyaknya dengan nada lebih keras.

Ada pemerhati menyifatkan Abdullah sengaja mahu memerangkap Mahathir melalui pertemuan di “hari masak ketupat” itu, 22 Oktober, dengan mengharapkan suasana kondusif berterusan sehingga perhimpunan Umno tidak lama lagi. Tetapi bukankah Mahathir seorang insan luar biasa yang sukar ditelah langkah politiknya?

Hanya kerana soal tradisi dan kebiasaan, maka Mahathir pastinya tidak semudah itu untuk dijinakkan. Peduli apa hal semangat Aidilfitri jika persoalan pokok yang ditimbulkannya langsung tidak cuba dilangsaikan Abdullah!

Sebenarnya gerak Mahathir tidak sukar untuk dibaca. Bukankah Mahathir mulanya mohon agar beliau dapat menjelaskan isu-isu kepada seluruh anggota Majlis Tertinggi Umno? Jika itu tidak tertunai, beliau berharap dapat bertemu dengan menteri-menteri Kabinet Melayu, tetapi bagi Abdullah, beliau tidak mahu sebarang saksi.

“Apakah ini menunjukkan Abdullah sendiri tidak yakin dengan menteri-menterinya sendiri, bimbang mereka juga akhirnya dipengaruhi Mahathir, yang diketahui kehebatannya mempengaruhi orang lain?” soal seorang pemerhati.

Lalu, Mahathir terpaksa merakamkan perbualan mereka (monolognya sendiri?) agar ia tidak diputarbelitkan kemudiannya, jika sesuatu isu timbul. Pada 30 Oktober, beliau menyerahkan transkrip soal jawabnya dengan Abdullah kepada perwakilan Mubarak (badan yang terbabit merundingkan pertemuan itu) yang menemuinya di Putrajaya, selama hampir dua jam.

Mahathir turut mengulangi tekadnya untuk terus mengkritik kerajaan jika pada hematnya ada perkara yang tidak kena dalam pemerintahan Abdullah.

Setakat mengambil nota

Dalam pertemuan itu, seolah-olah hanya Mahathir berbicara sedangkan Abdullah setakat asyik mengutip nota yang diakui Mahathir “agak tebal”. Perdana Menteri sepatutnya menggunakan peluang itu untuk menjawab isu-isu berbangkit, yang bukan lagi sekitar persoalan jambatan bengkok, Proton, AP dan Rafidah Aziz, penguasaan Khairy dan Kalimullah, gaya pengurusan ekonomi terkini, monopoli Scomi dan Kamaluddin Abdullah terhadap projek kerajaan, juga masalah baru seperti dakwaan Malaysia negara polis, sesuatu yang pernah dilafazkan Almarhum Tunku Abdul Rahman kepada Mahathir pada 1988 dahulu. Ini kerana Mahathir banyak mengulangi bahan-bahan yang sudah diceramahkannya; pastinya Abdullah sudah menghadamnya melalui CD dan kaset yang dibekalkan kepadanya.

Dalam beberapa tulisan terdahulu saya mengingatkan bahawa dalam banyak kes, Mahathir sebenarnya dilihat tidak berwibawa untuk mengkritik dan mengherdik Abdullah kerana rekod buruk perkhidmatannya sendiri, apatah lagi dalam hal-hal seperti kebebasan bersuara, kawalan persuratkhabaran, dan amalan kronisme serta pilih kasih.

“Mahathir kini memetik buah daripada benih yang ditanamnya sejak mula berkuasa pada 1981 dulu,” komen ringkas Syed Shahir, Presiden MTUC dalam satu pertemuan dengannya. “Ya, istilah iktibar adalah yang paling sesuai buat Mahathir, berdasarkan pengalaman mutakhirnya ini.”

Abdullah sememangnya mewarisi kelaziman Mahathir, malah menurut perspektif umum, Malaysia tanpa Mahathir lebih terasa bebas dan kurang kongkongannya. Indeks kebebasan akhbar RSF terbaru seakan-akan menyokong “pembaharuan” Abdullah, ditambah gimik pembanterasan rasuah yang kononnya lebih serius, walaupun realitinya “tambah kelam dan menyesakkan”.

Kepimpinan lemah

Maknanya, ada sesuatu yang “lebih buruk” dalam pemerintahan Abdullah, yang dirasai bersama, melewati isu-isu yang diketahui umum. Mahathir bagai cuba membayangkan apabila beliau menyifatkan Abdullah sebagai “bukan pilihan pertama saya” dan sering mengaitkan dengan “bad leadership”.

Dan ini, bagi saya, bukan kerana undi Najib Razak lebih tinggi daripada Abdullah dalam pemilihan Naib Presiden Umno sebelum 1999, memandangkan kedudukan Mahathir ketika dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri oleh Hussein Onn pun di tempat ketiga, di bawah Ku Li dan Ghafar Baba.

Sememangnya Abdullah telah teruji dari segi populariti dalam parti, misalnya menang naib presiden di tempat kedua pada 1987 walaupun berada dalam Team B dan terus terpilih biarpun tanpa sokongan jawatan menteri selepas itu apabila Umno (Baru) diwujudkan.

Beliau mudah didekati, dilatih di Kementerian Pelajaran (kementerian yang diakui Mahathir sebagai kanan dan sering diisi bakal Perdana Menteri) sehingga 1986, seterusnya menjaga hal ehwal keselamatan negara (juga posisi strategik) sebelum melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan (jawatan yang masih dilihat janggal untuk disandangnya walaupun selepas tiga tahun), namun umum mengakui bahawa sikap “baik dan mudah tersenyum” sahaja tidak menjanjikan seseorang itu menjadi perdana menteri yang berkesan.

Tuai apa yang disemai

Malaysia di bawah pengaruh dan kawalan Mahathir telah kehilangan tiga personaliti besar, yakni Ku Li, Musa dan terakhir Anwar. Daripada segi logiknya, Mahathir sebenarnya menuai apa yang disemainya. “Beliau yang bertanggungjawab ‘membunuh’ bakal-bakal PM Malaysia,” dakwa seorang editor kanan media berpengaruh. Justeru, ramai terkejut apabila dalam satu temuramah dengan agensi berita antabangsa baru-baru ini, Mahathir mengakui Ku Li merupakan calon terbaik sebagai perdana menteri masa depan.

“Itu mamai fikiran, Mahathir mahu Ku Li sedia bersamanya untuk menentang Perdana Menteri. Dulu dia sebut Najib yang paling layak,” ulas seorang bekas menteri.

Merujuk sifat rasul, yakni tabligh, siddiq, amanah dan fatanah, saya terasa ada lompong kosong pada sifat keempat itu, iaitu sikap kebijaksanaan yang sepatutnya sebati dengan Abdullah. Perdana Menteri seperti kehilangan wibawa diri untuk mengemudi negara. Memang kita boleh lupakan soal kesukarannya untuk melafazkan istilah yang tepat atau rangkaian kata yang mantap, tapi ia juga melambangkan kedaifannya untuk mencabar zaman dan menangani cabaran.

Janggal sekali apabila rakyat lebih banyak bersimpati kepada seorang perdana menteri, dan itulah bekalannya untuk terus berdepan Mahathir, sedangkan rakyat amat memerlukan kepemimpinan yang tegas, berwibawa, telus, bijaksana, karismatik, selain tiga sifat rasul tadi.

“Sepatutnya PM yang kasihankan nasib rakyat, bukannya rakyat yang terus-menerus simpati dan kasihan dengan PM yang terus dilanyak Mahathir,” kata editor kanan tadi.

Institusi PM diperolokkan

Tidak pernah sepanjang sejarah negara, institusi perdana menteri boleh dipersenda dan dijadikan bahan lawak jenaka, dengan begitu meluas. Pelbagai istilah negatif yang merendah-rendahkan Perdana Menteri dilemparkan, dan sebahagiannya disebarluaskan melalui SMS, emel, dan blog.

Tiada siapa dapat mengesahkan, tapi semakin ramai yang menyebut soal Abdullah sering tertidur ketika mesyuarat, lambat tiba di majlis-majlis rasmi, membuat keputusan tanpa tahu hujung-pangkal sesuatu isu, menyerahkan bulat-bulat kepada menteri walaupun dalam hal kritikal, jarang membuat home-work sebelum melancarkan program besar kerajaan, termasuk dasar-dasar penting negara.

Sepanjang tiga tahun memerintah, sememangnya gugatan besar datang daripada Mahathir, bukan Anwar, Ustaz Abdul Hadi Awang ataupun Lim Kit Siang. Ini bukan bermakna tiga tokoh pembangkang itu kehilangan sentuhan. Selalunya pada satu-satu ketika, gelanggang utama hanya diserikan oleh dua panglima. Dan menarik juga untuk dibayangkan apabila semua faktor-faktor itu bersatu nanti, sedangkan berdepan seorang Mahathir pun nampak lelah Abdullah dibuatnya.

Manakala usaha untuk mendesak Mahathir meletakkan jawatan sebagai penasihat Petronas, Proton dan Lada tidak berakhir di mesyuarat MT Umno, 2 November lalu. Usul yang dimulakan Menteri Besar Kedah, Mahdzir Khalid tentunya satu perancangan untuk mengasak Mahathir berundur secara sukarela – MT Umno (dibaca Abdullah) sejak awal dijangka tidak berani membuat keputusan sedrastik itu – namun Mahathir tidak mudah untuk dikepung.

Teladan Mahathir buat pembangkang

Bagi saya, sejak beberapa bulan lalu, Mahathir menunjukkan ketegasan dan “istiqamahnya”, dan inilah yang mencirikan sifat luar biasanya. Umpama menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Isu-isu kepincangan pemerintahan Abdullah yang dihuraikannya, melalui siri jelajah seluruh negara yang akhir-akhir ini agak terbantut, tidak pernah kendur, walaupun Umno juga menjalankan kempen menyerang balik.

Tujuh lapan isu itu terus disuarakannya, dengan serangan yang diakui Abdullah, sebagai lebih berbisa.

“Sebenarnya pembangkang hanya perlu menjelaskan dengan lebih terperinci isu-isu yang diutarakan Mahathir itu, tanpa perlu menunjukkan sokongan mereka kepada beliau,” kata Saifuddin Nasution. Ya, minda rakyat lebih mudah menerima isu-isu yang diperkatakan di mana-mana itu, tanpa perlu oposisi mendedahkan hal-hal lain, atau boleh “menyimpannya” dulu.

Kini Abdullah dan Umno-BN dalam keadaan mempertahankan diri, terpaksa menjawab setiap serangan Mahathir, dan ini merupakan situasi yang mengulangi suasana menjelang pilihan raya, yang akhirnya cenderung memihak pembangkang.

Nota: Ahmad Lutfi Othman, mantan aktivis kampus, telah memulakan kariernya kewartawanannya di Harakah di samping pernah menerbitkan buku-buku politik dan akhbar-akhbar tidak berkala. Dalam era reformasi 1998, beliau mengendalikan Detik dan Wasilah, sebelum majalah terbitannya tersebut diharamkan. Kini, beliau kembali menyertai Harakah sebagai ketua pengarang, selain turut memimpin akhbar maya, DetikDaily.net

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: