jump to navigation

Kemenangan Hamas Kukuhkan Likud? November 24, 2006

Posted by ummahonline in Vox Pop.
trackback

Oleh: Haris Zalkapli Kemenangan besar gerakan Islam Hamas sedang disambut baik gerakan Islam di seluruh dunia. Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk kemenangan ini dirayakan kerana pelbagai rintangan akan diletakan di laluan Hamas.

Sejarah FIS di Algeria yang dinafikan kemenangannya dan kemudian dikaitkan dengan keganasan terhadap orang awam menjadi satu peristiwa terpenting yang menunjukkan masalah penyertaan gerakan Islam dalam proses demokrasi. Kini, retorik demokrasi yang dilaungkan Barat sekali lagi diuji, selepas kemenangan besar Ikhwan Muslimin di Mesir tidak lama dulu.

Bagi Israel, ia kini berpeluang melaksanakan tindakan unilateral dan preemtif dengan alasan ancaman keselamatan yang didakwa wujud berikutan kemenangan Hamas yang dilabel teroris dan dasar Israel tidak berunding dengan teroris. Bagi Israel, demokrasi tidak penting lagi dalam hal ini, kerana telah timbil isu yang lebih besar; ancaman keselamatan daripada Hamas.

Peluang ini sukar untuk dilepaskan oleh Israel, terutama ketika pendapat dunia kini kurang menyebelahi Hamas yang dikaitkan dengan terorisme.

Penyokong kuat Israel, pentadbiran George Bush tetap enggan menghormati kejayaan besar Hamas mengaut 76 kerusi parlimen, apabila mengugut untuk membatalkan bantuan sebanyak AS$400 juta setahun kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA), manakala Kesatuan Eropah walaupun meneruskan bantuan tahunan sebanyak AS$606 juta, terus mendesak Hamas menghentikan perjuangan bersenjata dan mengiktiraf Israel.

PA kini berdepan krisis kewangan yang parah. Ratusan ribu kakitangan di bawah PA bakal terhukum sekiranya Barat menghentikan bantuan kewangan tersebut.

Tekanan Barat

Tekanan kuat sedang dikenakan ke atas PA pimpinan Hamas, dengan hanya Hamas didesak melakukan perubahan dan bukan Israel.

Washington sejurus selepas kemenangan besar Hamas diumumkan menegaskan tidak akan berunding dengan gerakan Islam popular itu selagi ia masih mengekalkan hasrat memusnahkan Israel. Rakyat Palestin kini dihukum kerana memenangkan Hamas, yang akan didesak melakukan pelbagai perubahan yang dikehendaki Barat.

Pendirian Hamas mengenai banyak hal lain tidak mendapat perhatian. Perhatian Barat hanya tertumpu pada tindakan bersenjata sayap tentera Hamas. Sekiranya Hamas langsung tidak berkompromi dengan matlamat memerangi Israel, sudah pasti isu sempadan 1967 tidak akan ditimbulkan.

Hamas sebelum pilihan raya ini telah menunjukkan satu perubahan apabila menghentikan serangan bersenjata 10 bulan sebelum pilihan raya ini.

Akibat kemenangan besar Hamas ini, pentadbiran Bush kini dikecam pengkritik kerana usahanya menyebarkan demokrasi di Timur Tengah membawa kepada kemenangan gerakan Islam yang tidak disenangi Barat.

Hujah seperti ini mengukuhkan pandangan bahawa wujud had demokrasi yang tidak boleh dibiarkan dilanggar, iaitu kemenangan gerakan Islam yang didakwa hanya mempergunakan demokrasi untuk akhirnya memusnahkannya. Mitos ancaman Islam diperkukuhkan melalui reaksi terhadap kemenangan besar Hamas.

Sebelum ini, “projek penyebaran demokrasi” Bush di Timur Tengah telah mendorong Ikhwan Muslimin memperolehi kemenangan besar di Mesir, Hizbullah di Lubnan menunjukkan prestasi cemerlang manakala Iraq terus dikuasai parti-parti Syiah.

Halang Hamas

Israel dan Amerika telah melaksanakan pelbagai tindakan untuk menghalang kemenangan Hamas, dan kemenangan ini jauh lebih besar daripada apa yang cuba dihalang sebelum ini.

Sebelum pilihan raya, Marwan Barghouti, pemimpin Fatah yang dipenjarakan telah dibenarkan oleh Israel untuk diwawancara stesen satelit Al-Jazeera dan Al-Arabiya, yang popular di kalangan rakyat Palestin, menunjukkan Israel membenarkan kempen Fatah demi untuk menewaskan Hamas.

Baru-baru ini, dilaporkan Washington, melalui United States Agency for International Development (USAID) membelanjakan AS$2 juta untuk projek meningkatkan imej positif Fatah sebelum pilihan raya berlangsung. Wang itu ialah sebahagian bantuan tahunan sebanyak AS$400 juta yang ingin disekat berikutan kemenangan Hamas.

Bagaimanapun, projek itu gagal kerana populariti Hamas dan kegagalan Fatah yang dibelenggu korupsi. Jelas sekali, Washington berusaha menafikan suara rakyat Palestin.

Penduduk Baitulmaqdis Timur pula cuba dihalang daripada mengundi. Walaupun Israel akhirnya membenarkan mereka mengundi, hanya 6% pengundi – berjumlah 6,300 pengundi berdaftar Palestin – di Baitulmaqdis Timur yang berpenduduk hampir suku juta, dibenarkan mengundi.

Bagaimanapun, mereka terpaksa berdepan pelbagai halangan daripada pihak Israel.

94% lagi yang dihalang mengundi di Baitulmaqdis Timur terpaksa merentasi tembok keselamatan Israel untuk mengundi dan terpaksa berdepan ancaman keselamatan di pusat-pusat pemeriksaan Israel.

Sempadan 1967

Bagaimanapun, semua itu sekadar alasan kerana tidak dapat dijamin Israel dan Amerika akan serius berunding dengan Hamas sekiranya sayap tenteranya melucutkan senjata. Israel sendiri tidak mungkin bersetuju berundur ke sempadan 1967. Tembok yang dibina dengan alasan menghalang serangan pihak Palestin itu sendiri telah jauh melepasi sempadan 1967 dan setakat ini telah merampas satu jumlah yang besar tanah Palestin di Tebing Barat.

Mustahil Israel akan bersedia meruntuhkan tembok tersebut dan berundur, kerana tindakan itu bertentangan dengan usaha merampas tanah di Tebing Barat dan memperluaskan penempatan baru dan menolak keluar lebih ramai penduduk Palestin.

Isu tembok di Tebing Barat itu sama tarafnya dengan isu sikap Hamas terhadap Israel. Dan tembok itu telah pun dibina sedangkan penghapusan Israel oleh Hamas setakat ini hanya sekadar retorik. Posisi ini masih boleh dirundingkan kerana realitinya, negara Israel tidak boleh dihapuskan. Hamas pasti menyedari realiti ini.

Tindakan Ariel Sharon berundur dari Gaza yang jauh lebih kecil daripada Tebing Barat sendiri telah mengundang reaksi negatif daripada ramai tokoh Zionis dan dituduh pengkhianat.

Hakikatnya, Hamas hampir pasti akan mengubah pendekatan apabila menubuhkan kerajaan nanti, kerana sebagai kerajaan, dasarnya pasti berbeza dengan kedudukannya sebelum memegang kuasa.

Peluang menguasai PA ini kemungkinan besar akan mendorong perubahan dramatik di pihak Hamas, yang sehingga kini sangat dikenali dengan sikap tidak bertolak ansur dengan Israel. Ada yang berpandangan penglibatan Hamas dalam politik akan melembutkan pendekatan gerakan itu. Dan penyertaannya ke dalam sistem yang sedia ada juga dari satu sudut memudahkannya dikawal dan mendorongnya bertindak melalui sistem.

Hamas yang bertanding pertama kali dalam pilihan raya PA berkata ia bersedia menimbangkan untuk berunding dengan Israel berdasarkan sempadan 1967, tetapi menolak perjanjian Oslo 1993 dan penyelesaian dua negara, walaupun PA sendiri yang kini dikuasai Hamas wujud dan diberi sedikit kuasa – sehingga membolehkan berlaku pilihan raya ini – ialah hasil rundingan Oslo yang menafikan suara rakyat Palestin.

Parti haluan kanan

Sejarah telah menunjukkan Israel sering memulakan serangan bersenjata terhadap Palestin, terutama terhadap pemimpin politik dan kawasan yang dikatakan menempatkan teroris. Dua pemimpin Hamas, Syeikh Ahmad Yassin dan Abdul Aziz al-Rantissi dibunuh pihak Israel.

Israel boleh melakukannya lagi, terutama dalam suasana “perang menentang terorisme” hari ini. Israel juga sering melakukan tindakan provokasi seperti yang dilakukan melalui lawatan ke Haram al-Sharif oleh Sharon pada September tahun 2000 yang mendorong kebangkitan rakyat Palestin.

Kenyataan kebimbangan terhadap Hamas ini mungkin akan dijadikan alasan oleh Israel untuk tidak lagi berunding dengan pihak Palestin dan bertindak bersendirian dalam banyak hal, dan akhirnya meminggirkan PA sendiri.

Keputusan ini juga dijangka akan mengundang kemenangan kelompok berhaluan kanan di Israel dalam pilihan raya Israel tidak lama lagi.

Sejak apa yang dilihat sebagai perubahan haluan Sharon ke arah sederhana, sokongan kepada pihak berhaluan tengah semakin kuat, terutama kepada parti Sharon, Kadima, yang dianggotai ramai tokoh berhaluan kiri daripada Parti Buruh yang lebih bersedia berunding dengan Palestin dan membuka peluang kepada penubuhan negara Palestin pada masa depan.

Ancaman Hamas yang diuar-uarkan akan menimbulkan ketakutan penduduk Israel dan kemungkinan besar akan mendorong mereka mengundi parti berhaluan kanan Likud. Tidak sukar untuk elit politik Israel berhaluan kanan untuk memperbesarkan ancaman Hamas ini.

Bertindak sendiri

Sejak awal lagi, amaran terhadap kemenangan Hamas dan tindakan unilateral Israel telah dibincangkan pemimpin Israel.

Menteri pertahanan Israel, Shaul Mofaz sebelum pilihan raya berlangsung berkata Israel mungkin perlu bertindak sendiri sekiranya pilihan raya Palestin membawa kepada pemerintah Palestin yang tidak membantu proses rundingan damai.

Kemenangan Hamas disebut pihak Barat sebagai menggugat proses damai Timur Tengah. Tetapi, yang lebih penting kepada proses damai itu ialah sikap Israel dan Amerika – serta masyarakat antarabangsa – selepas ini, bukan hanya Hamas.

Sikap Israel, terutamanya jika Likud menguasai kerajaan selepas pilihan raya akan datang akan menentukan masa depan proses damai.

Sebelum ini, rundingan damai lebih mudah untuk menyebelahi Israel disebabkan kelemahan pihak yang mewakili rakyat Palestin. Sekiranya rundingan diteruskan melibatkan Hamas – yang jauh lebih popular dan mewakili suara Palestin berbanding Fatah – keadaan akan jauh lebih sukar bagi Israel.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: