jump to navigation

Hasan al-Banna dan Sayyid Qutb: Antara Dua Waqi’ Yang Berbeza November 28, 2006

Posted by ummahonline in Fiqh al-Waqi', Kolum.
trackback

Oleh: Saari Sungib

Komitmen Asy-Syahid Sayyid Qutb terhadap usaha menegakkan syariat Islam di Mesir amat tinggi. Ia telah dibayar dengan nyawanya. Pada hari mahkamah menjatuhkan hukuman gantung ke atasnya, Sayyid Qutb berkata: “Alhamdulillah, aku telah bekerja keras selama 15 tahun untuk mendapatkan mati syahid seperti ini”.

Sayyid Qutb memulakan penglibatannya dalam gerakan Ikhwan Muslimin pada hari Hasan Al-Banna gugur sebagai syahid pada 1949. Berita kematian Al-Banna diketahuinya ketika beliau berada di San Francisco di atas tugas rasmi kerajaan Mesir. Ketika itu beliau hairan menyaksikan suasana gembira yang menyelubungi Amerika dengan kematian Al-Banna. Media melaporkan masyarakat Amerika dan Barat telah terselamat daripada ancaman seorang pemimpin Islam dari timur. Di Amerika, Sayyid Qutb melihat sendiri bagaimana golongan Zionis dan musuh-musuh Islam begitu membenci Islam dan gerakan Islam.

Hatinya terpanggil untuk menyokong dan menyertai gerakan Ikhwan. Sekembalinya dari Amerika Syarikat pada tahun 1950, beliau terus menjadi anggota Ikhwan. Ketika itu Sayyid Qutb sudah pun menjadi satu nama besar di Mesir. Bukunya yang terkenal dengan judul Al-‘Adalah Al-Ijtima’iyyah fil Islam atau Keadilan Masyarakat dalam Islam yang terbit pada tahun 1948 telah pun disebut oleh Al-Banna sebagai: “Buku sehebat ini sudah pasti penulisnya adalah seorang di kalangan kita”. Memang masin mulut Al-Banna!

Sebaik saja menyertai gerakan Ikhwan, Sayyid Qutb dilantik mengetuai Lajnah Da’wah. Kemudian beliau dipilih menganggotai jawatankuasa kerja dan seterusnya Maktab Al-Irsyad, iaitu institusi kepimpinan tertinggi dalam gerakan Ikhwan. Sejak menyertai gerakan Ikhwan komitmen Sayyid Qutb terhadap usaha tahkim asy-syari’ah atau proses mendaulatkan syariat tidak berbelah bagi.

Kelantangannya menyentak pemerintah telah mengakibatkannya dipenjarakan sebanyak tiga kali di atas dakwaan yang direka-reka. Pada tahun 1954, kali pertama ditahan beliau merengkok selama tiga bulan dalam penjara. Beberapa bulan selepas itu sekali lagi beliau ditangkap di atas tuduhan cuba membunuh Presiden Jamal Abdul Nasir. Beliau dihukum selama 15 tahun. Selepas merengkok selama 10 tahun beliau dibebaskan di atas campur tangan Presiden Iraq, Abdussalam Arif. Namun beliau ditangkap semula di atas arahan dari Moscow bagi kali ketiga beberapa bulan selepas dibebaskan. Setelah sepuluh bulan dipenjarakan bagi kali ketiga, mahkamah menjatuhkan hukuman menghantar beliau ke tali gantung.

Senjata ampuh Sayyid Qutb adalah penanya. Melalui penulisan-penulisannya terutama, Fi Zilal Al-Quran, Sayyid Qutb menganjakkan paradigma dan worldview pendukung-pendukung gerakan Islam. Golongan muda khasnya menjadi peminat dan pendukung setia kepada mesej dan fikrah perjuangan Islam yang dicetuskannya.

Sayyid Qutb menghuraikan Islam sebagai satu ajaran dan perjuangan yang hidup dan dinamik. Islam adalah satu perjuangan yang bergerak dan menggerakkan. Perjuangan Islam adalah haraki. Gerakan Islam adalah haraki. Dengan itu perjuangan mendaulatkan syariat hendaklah bersifat haraki dan dilaksanakan melalui sebuah gerakan yang haraki.

Bukunya Ma’alim fit Tariq dengan terjemahan terkenal dalam Bahasa Inggeris, Milestones memberikan satu kerangka fikir ke arah asas-asas dan rangka kerja yang diperlukan bagi mewujudkan masyarakat yang memenuhi syarat-syarat untuk mendaulatkan syariat. Sayyid Qutb membahagikan masyarakat kepada dua, masyarakat Islam dan masyarakat jahiliyah.

Sebenarnya pemikiran dan pengolahan Sayyid Qutb terhadap dikotomi masyarakat Islam dan masyarakat jahiliyah adalah suatu yang kontekstual. Konteks umumnya bersifat global, namun kerangka fikir dan modus operandinya adalah masyarakat Mesir.

Sayyid Qutb bermula di mana Al-Banna berakhir. Bahkan beliau menerobos era baru kebobrokan masyarakat yang cuba dirubah sepenuhnya oleh Al-Banna.

Al-Banna beraksi dalam waqi’ sosio-politik sistem feudal-monarki dengan demokrasi berparlimen di bawah telunjuk Raja Farouk. Raja dan Kabinet Mesir tunduk kepada dasar luar Britain melalui Kedutaan Besarnya di Kaherah. Wujud sedikit peluang untuk menggerakkan suara rakyat melalui demokrasi dan pilihanraya. Al-Banna mengambil peluang melebarkan usaha menegakkan syariat melalui proses demokrasi. Dua kali Al-Banna sendiri merancang untuk menyertai pilihanraya Mesir sebagai calon parlimen bagi kawasan Ismailia.

Kehandalan Al-Banna dan gerakan Ikhwan di bawah terajunya menjadikan Raja dan pemerintah bertindak lebih opresif terhadap gerakan Islam. Ruang untuk gerakan Ikhwan terlibat dalam proses demokrasi ditutup sama sekali. Segala langkah dan perundangan yang menekan dan menindas diwujudkan bagi menghalang gerakan Islam terlibat dalam proses untuk mendapatkan sokongan suara rakyat.

Faktor kemunculan negara haram Israel pada tahun 1948 dan segala kudrat Britain untuk mempertahankannya adalah faktor utama yang memberi tekanan kepada gerakan Ikhwan di Mesir. Kejayaan pasukan-pasukan mujahidin pimpinan Al-Banna sendiri memerangi kependudukan haram Yahudi di Palestin selepas tamatnya Perang Dunia Kedua begitu menggerunkan Britain dan kuasa-kuasa Barat. Di medan perang, Al-Banna dan tentera jihadnya sudah dinobatkan sebagai musuh nombor wahid kuasa-kuasa Barat. Apakah kekuatan seperti ini mahu dibiarkan terlibat dalam proses demokrasi melalui pilihanraya terbuka?

Keadaan opresif ini mewujudkan keresahan di kalangan unsur-unsur yang mahukan perubahan dalam angkatan tentera Mesir. Mereka adalah golongan yang telah teranjak paradigma mereka dan telah dipengaruhi oleh penulisan-penulisan Sayyid Qutb.

Mereka datang menemui Sayyid Qutb dan meminta sokongannya untuk membuat perubahan. Jamal Abdul Nasir sendiri bersama-sama beberapa orang pegawai tinggi tentera datang ke rumah Sayyid Qutb di Hulwan untuk membincangkan sesuatu. Revolusi 1952!

Sayyid Qutb dan gerakan Ikhwan bersetuju untuk menyokong dan menyertai Revolusi 1952 demi menumbangkan tirani Raja Farouk dan menegakkan keadilan menurut prinsip-prinsip Islam. Pada malam tercetusnya Revolusi 1952, sepasukan tentera beserta beberapa kereta kebal datang ke rumah Sayyid Qutb di Hulwan. Sayyid Qutb telah dibawa ke markaz tentera untuk membincangkan aspek-aspek praktikal dan langkah-langkah terakhir bagi menjayakan Revolusi 1952.

Setelah Revolusi 1952 terhasil, Sayyid Qutb diangkat oleh golongan revolusiner sebagai mursyid dan mentor Revolusi. Pada awal-awal Revolusi, beliau diarak ke seluruh Mesir untuk bercakap tentang pelbagai isu nasional dan pelbagai aspek Islam bagi mengisi Revolusi.

Mengapa Sayyid Qutb dan gerakan Ikhwan terlibat dalam kudeta? Apakah kudeta dibenarkan oleh syara’? Benarkah syariat Islam dapat didaulatkan melalui rampasan kuasa? Bolehkah Islam ditegakkan dalam satu framework kuasa yang diteraju dan dikuasai oleh kuasa tentera?

Pasti semua soalan ini telah dijawab oleh Sayyid Qutb dan tokoh-tokoh ulama’ gerakan Ikhwan sebelum mereka membuat keputusan untuk menyertai Revolusi 1952.

Setelah berkuasa, Jamal Abdul Nasir merubah pendiriannya. Beliau melantik golongan sosialis dan nasionalis dalam kabinetnya. Beliau bertukar kiblat ke Moscow. Janji-janji untuk melaksanakan syariat Islam dan keadilan berpandukan prinsip-prinsip Islam diketepikan oleh Nasir. Sayyid Qutb bersikap telus dan terbuka. Beliau mengecam langkah Nasir.

Nasir menawarkan Sayyid Qutb menyertai kabinetnya sebagai Menteri Pendidikan Mesir. Atas dasar prinsip, Sayyid Qutb menolaknya. Sayyid Qutb mempertahankan pendiriannya terhadap dikonomi masyarakat Islam dan masyarakat jahiliyah. Tidak mungkin beliau bersekongkol dengan satu kabinet yang akan hanya memajukan masyarakat jahiliyah. Bagi Sayyid Qutb tirani Raja Farouk telah berjaya dihapuskan, kini muncul pula tirani rejim Nasir.

Persengketaan Sayyid Qutb dan gerakan Ikhwan dengan rejim Nasir berterusan. Ia berkesudahan dengan syahidnya Sayyid Qutb, Muhammad Yusuf Hawwash dan Abdul Fatah Ismail di samping puluhan ribu anggota Ikhwan Muslimin dihumban merengkok dalam penjara.

Mengapa Sayyid Qutb menolak jawatan strategik sebagai Menteri Pendidikan Mesir? Bukankah jawatan ini membolehkannya membuat perubahan dari dalam? Masuk dulu, ubah dari dalam kemudian.

Sikap Sayyid Qutb ini melahirkan pendirian dan perasan taboo gerakan Islam untuk menyertai dan bekerjasama dengan pemerintah untuk satu jangka masa yang agak lama. Pendekatan ini pernah diungkapkan dalam konteks Malaysia sebagai “Kalau nak bersihkan tong taik, bersihkanlah dari luar. Kalau bersihkan dari dalam, sudah tentu seluruh badan akan kena taik”.

Pemikiran Sayyid Qutb ini telah cuba dianjakkan oleh Hasan Turabi dalam konteks Sudan. Beliau mewujudkan musolahah atau reconciliation dengan Presiden Jaafar Numeiry pada tahun 1970an. Namun langkah itu tidak berlaku tanpa korbannya. Gerakan Islam pimpinan Turabi berpecah. Ironinya, Ikhwan Ad-Dauli yang berpengkalan di Mesir mengendos kumpulan serpihan sebagai gerakan Islam sah di Sudan dan menolak serta mengecam kumpulan Turabi.

Pada awal tahun 1980an Malaysia juga tidak sunyi daripada eksperimen ini. Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno seperti mengendos rejim Mahathir. PAS dan gerakan Islam ditinggalkan terkontang-kanting pada masa itu. Kemenangan Anwar Ibrahim mengalahkan calon PAS, Hj Zabidi di Permatang Pauh pada Pilihanraya 1982 melambangkan pada masa itu bahawa golongan Islamis boleh bertapak dalam wadah politik nasionalis seperti Umno.

Gagasan perdamaian dengan rejim yang memerintah semakin popular pada 1980an. Gagasan International Institute of Islamic Thought, IIIT di Washington DC di bawah pimpinan Ismail Faruqi, melahirkan manual bagi modus operandi perubahan Islamisasi dari dalam pemerintah sendiri. Mereka yang mengasaskan IIIT bukan calang-calang orang. Sebahagian besar daripada mereka berasal dari Iraq. Mereka adalah seangkatan dengan Saddam Hussein semasa masing-masing berusaha menempatkan diri ke tapak kuasa politik Iraq. Kesudahannya Saddam Hussein yang menang. Di mana salah? Anwar Ibrahim juga adalah salah seorang pengasas IIIT. Di mana salahnya?

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: