jump to navigation

Arip Kasmo: Tamadun Islam Terbangun Atas Sumbangan Logik Yunani Disember 9, 2006

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

Wawancara bersama Dr. Mohd Arip Kasmo, akademia dari UKM ini memang dengan niat untuk membariskan tema-tema tentang sejarah falsafah, terutamanya pengalaman dalam dunia muslim.

Meskipun wawancara ini bersifat tingkat mudah, namun di harap sekurang-kurangnya dapat memberi manfaat buat khalayak baru falsafah. Selamat menikmati!

Sebenarnya, apakah falsafah itu?

Bila kita bercakap soal falsafah, ataupun sejarah falsafah, kita tidak dapat lari dari menyentuh tentang Greek (ataupun Yunani). Namun begitu, Yunani ini harus kita ingat, ia berbeda dengan Latin. Saya ingatkan kerana dalam hal ini ramai yang sering salah anggap, walhal Latin itu sebenarnya merujuk kepada Romawi. Berbalik kita pada perbincangan tentang falsafah, ia merupakan hasil dari kombinasi dua akar kata iaitu philo dan sophia, yang akhirnya disebut sebagai philosophia dengan membawa makna “mencintai kebenaran”. Justeru, dari etimologi ini, saya kira sudah cukup mendefinisi dan merungkai pertanyaan, “apakah falsafah itu?”.

Kenapa mesti dihubungkan dengan Yunani?

Ya, di sini kita perlu akur bahawa masyarakat Yunanilah yang pertama sekali dalam sejarah peradaban manusia telah menjadikan falsafah dalam suatu bentuk yang bersistematik. Ini bukanlah bermakna sebelum Yunani itu tiada aktiviti falsafah. Ianya ada, namun bukan serapi seperti yang pernah dicapai oleh orang-orang Yunani.

Barangkali ramai yang mengenali Sokrates sebagai Bapa Falsafah. Namun, jauh sebelum zaman Sokrates, bagaimanakah budaya yang terbentur di Yunani?

Umumnya ketika itu, iaitu ketika zaman pra-Sokrates, masyarakat Yunani amat mempercayai mitos, malah mitos telah dianggap sebagai sumber ilmu pengetahuan mereka. Umpamanya Hesad, Homer dll, mereka bercakap soal-soal yang berkait dengan dewa-dewa, hinggakah dewa-dewa yang masyarakat percayai ketika itu turut mempunyai emosi seperti ketawa, bergaduh sesama mereka dan sebagainya. Bagi kita ia kedengaran seperti lucu, tetapi realiti sejarahnya sememangnya begitu hingga bila berlaku gempa bumi sekalipun mereka menganggap ia akibat dari kelenguhan lembu yang membawa bumi. Di samping itu, kalau kita perasan, perkataan influenza sebenarnya merujuk kepada influence, di mana mereka percaya penyakit selsema yang dihinggapi datang dari pengaruh bintang-bintang di langit.

Langsung, tiadakah tokoh-tokoh besar ketika zaman pra-Sokrates?

Iya, sungguhpun demikian kuatnya kepercayaan mitos pada zaman pra-Sokrates, masih ada tokoh-tokoh yang hebat di Yunani pada waktu tersebut. Kesemuanya ada tujuh termasuklah Thales, Phytagoras, Leucippus, Democritus, Anaximander, Anixemenes dan Xenophenes. Tokoh-tokoh para-Sokrates ini menolak tahyul dengan mengantikan sumber ilmu mereka kepada logik (akal) bagi menerangkan sesuatu tentang alam ini.

Lebih menarik, kebanyakan tokoh-tokoh ini sangat percaya kepada kewujudan Tuhan, terutamanya Xenophanes. Malah, ada di kalangan ahli sejarah menyatakan Xenophanes ini seorang Nabi yang membawa ajaran Tauhid (Tuhan yang satu). Namun begitu, tidak semestinya apa yang dibawa oleh tokoh-tokoh ini semuanya tepat belaka. Thales contohnya mempercayai bahawa alam semesta ini diperbuat daripada air. Sebaliknya, mungkin di sini Democritus agak menghampiri pandangan sains moden bila menganggap bahan alam semesta ini diperbuat daripada atomos (unsur yang tidak boleh dipecahkan lagi).

Namun, kelemahan tersebut tidak menutup sumbangan mereka terhadap pembangunan akal, bukan?

Benar, apapun kelemahan dan kesilapan dalam eksperimen fikiran mereka ini, mereka tetap berjasa dalam mengasaskan penggunaan logik ke dalam masyarakat pemikiran Yunani, juga pemikiran manusia seluruhnya. Kerana itu, bila lahirnya idea demokrasi di Yunani, ia merupakan buah dari aktiviti-aktiviti mereka ini.

Mengapakah Sokrates kerap dijadikan sempadan antara dua zaman falsafah; zaman pra-Sokrates dan zaman pasca-Sokrates?

Mudahnya, Sokrates dianggap sebagai Bapa Falsafah, di mana tokoh-tokoh besar Yunani selepas itu seperti Plato, dan seterusnya Aristotles, masing-masing menikmati sumbangan dari Sokrates sama ada secara langsung atau sebaliknya. Kaedah logik, khususnya logik Aristotles yang sangat tersohor itu, belum tentu berjaya dirumuskan tanpa adanya Sokrates yang menjadi guru kepada guru Aristoles iaitu Plato.

Umum barangkali maklum, Sokrates akhirnya mati (dihukum minum racun!) kerana mempertahankan prinsipnya? Apakah yang kita boleh pelajari dari tindakan nekad Sokrates ini?

Ya, kita perlu tahu, semasa zaman Sokrates tersebut, ada satu golongan yang disebut sebagai Sophis, iaitu golongan yang menjadi rujukan masyarakat Yunani apabila timbulnya pemasalahan di kalangan mereka. Adanya golongan Sophis ini — golongan yang bererti seseorang yang bijaksana dan mempunyai pengetahuan — ia melambangkan sikap hebat masyarakat Yunani, yang lebih awal mengamalkan demokrasi melalui perkongsian idea. Para Sophis umpama wakil rakyat di waktu kini, sejajar dengan slogan mereka, �dari rakyat kepada rakyat�.

Walau bagaimanapun, Sokrates masih tidak senang dengan keadaan ini. Justeru beliau mengelak dari turut sama dipanggil sebagai Sophis. Sebaliknya Sokrates lebih mengemari dikenali sebagai philosophia. Kerana kelainan Sokrates inilah, ditambah lagi dengan ajaran-ajaran radikalnya pada anak muda, iaitu menganjurkan fikiran kritis, sentiasa mempersoalkan segala-galanya, akhirnya mendorong kemarahan golongan Sophis. Kemarahan golongan Sophis ini boleh difahami kerana terdapatnya gugatan (angkara Sokrates) terhadap hagemoninya di dalam masyarakat.

Jadi, golongan Sophis membawa Sokrates ke muka perbicaraan, lalu memutuskan (1) keluar dari wilayah Yunani, atau (2) meminum racun hingga mati. Dan, Sokrates memilih hukuman yang kedua. Apa signifikannya pilihan Sokrates ini, yang boleh kita iktibari? Di kira ia cuba menzahirkan tindakannya tersebut sebagai kemuncak identiti seorang ahli falsafah, dengan mengikatkan perjuangannya pada berberapa perkara. Ini termasuklah, (1) berani dan pandai berhujah, (2) mempunyai visi dan misi, (3) sentiasa melakukan penyelidikan, dan (4) merendah diri. Mari kita renungkan pencirian Sokrates ini dalam diri kita. Adakah kita mempunyai keempat-empat karekter seorang ahli falsafah ini?

Dalam zaman kini, kalau kita soroti Hamka ada mempunyai ciri-ciri seorang ahli falsafah. Beliau pernah menyangkal tindakan Suharto yang melakukan perkongsian sambutan keagamaan. Dan, tidak lama kemudian beliau meninggal dunia dalam keadaan mempertahankan prinsip dan kebenaran yang diyakininya, meskipun dimurkai oleh ketua kerajaan.

Logik, dalam kata yang tersusun menerangkan makna apa?

Logik (atau kuasa cerapan akal) ini boleh kita sifatkan sebagai suatu bentuk hujah bagi kita menentukan jalur-jalur dalam wacana yang dibahaskan. Kita tahu bukan, Aristotles memang sangat akrab dalam penguasaan logik ini. Sebagai contohnya, bagaimana kaedah logik Aristotles yang dibangunkan tersebut ialah, premis (1) semua kucing ada tanduk, premis (2) Tompok adalah kucing saya, (3) Jadi, Tompok bertanduk. Jadi untuk kita mengesahkan sama ada premis-premis serta hasilnya ini benar atau salah, maka di sinilah timbulnya kaedah induktivisme.

Apakah tempias pengunaan logik ini terkena terhadap Tamadun Islam?

Kita tidak boleh menafikan bahawa sebelum terbenturnya zaman keemasan Islam, budaya falsafah dari Yunani banyak memainkan peranan dalam mengukuhkan jalur berfikir kaum muslim, khususnya para ilmuan-ilmuan Islam silam. Sebab itu, kita melihat ilmuan-ilmuan Islam di waktu ini sanggaup untuk mengkaji perabadan dan falsafah Yunani bagi membantu mereka dalam mencorak ketamadunan agama yang baru. Malah, banyak karya-karya Yunani telah diterjemahkan oleh golongan ini.

Kesanggupan dan keseriusan ilmuan-ilmuan ini meneroka, tanpa mengenal batasan geografi ini, sememangnya merupakan anjuran dan penegasan agama Islam. Kita tidak lupa, bagaimana Allah SWT menpertanyakan, “adakah sama antara orang yang berilmu dengan tidak berilmu.” Kemudian, sebuah sabda yang popular sekali, “tuntutlah kamu sampai ke negeri China.”

Bertitik-tolak dari sini, kita seharusnya menyedari, mengapakah Rasulullah SAW memilih China. Bukankah ini menunjukkan Islam tidak menghalang kalau-kalau ada di kalangan umatnya yang mahu menuntut ilmu dari bangsa asing? Jadi, Yunani adalah bangsa asing yang menjadi tumpuan pengkajian pada ketika itu. Jadi, tidaklah salah kalau ilmu-ilmu Yunani, seperti logik, dikembangkan lagi ke dalam bahasa agama.

Di manakah Islam memberi ruang dalam penggunaan logik?

Untuk menjawab persoalan ini, kita harus menoleh kembali ke zaman Rasulullah terlebih dahulu. Ini kerana, ada perbezaan rujukan antara zaman Rasulullah dengan zaman pasca-Rasulullah. Ia juga mengingatkan kita kepada soal legitimasi dalam agama. Kita maklum bukan, ketika zaman Rasulullah, sebarang pemasalahan dalam agama akan di bawa ke pengetahuan Rasulullah untuk mendapat kata putusnya. Bila Rasulullah bersabda, ia final, tidak dibantah-bantah lagi. Dan, sabda-sabda Rasulullah ini, kemudiannya menjadi hukum agama. Iyalah, masakan ada di kalangan umat yang berani membantah keputusan Rasulullah, yang kita tahu segala aspek tentang baginda berorientasikan wahyu.

Begitu juga zaman para sahabat, terutamanya sewaktu Khulafak ar-Rasyiddin, posisi legitimasi agama masih berjalan di bawah payung khalifah. Maksudnya, ada kuasa mutlak dalam keputusan agama. Namun, bermula dari zaman tabi’in dan seterusnya hingga kini, di mana lagi posisi legitimasi agama yang mahu kita sandarkan? Justeru, dari kekosongan legitimasi inilah, timbulnya pintu ijtihad di kalangan ulama-ulama, bagi membantu ummah merungkaikan masalah-masalah dan isu-isu agama yang bersifat kekinian (semasa).

Maka, di sinilah ilmu logik (dari ilmu Yunani) membantu ijtihad. Sebab itu, dalam hierarki sumber Islam, selain Al-Qur’an an As-Sunnah, terdapat juga ijmak ulama’ dan qias. Qias inilah yang dirumuskan hasil kaedah logik Yunani ini. Umpamanya begini, premis (1) semua benda (minuman) yang memabukkan haram, premis (2) air tapai minuman yang memabukkan, maka (3) air tapai itu haram. Bukankah ini budaya logik Yunani yang menyelinap dalam budaya qias dalam Islam? Maka, lantaran kombinasi logik Yunani dan ijtihad inilah, akhirnya era keemasan Islam dapat dikecapi, terutamanya semasa Dinasti Abbasiyyah. Sebab ada ilmuan moden Islam melihat, ekoran penutupan pintu ijtihadlah yang mendorong kepada kemunduran ummah.

Tetapi, adakah Islam bersedia menerima penggunaan logik, meski sampai ke perbincangan tentang aqidah?

Ya, selain dalam Fekah, ilmuan-ilmuan Islam silam ada yang menggunakan logik dalam soal aqidah. Kerana jauhnya penggunaan logik dalam agama inilah, ada yang menganggap Ibn Sina, Al-Farabi dll sebagai sesat dan menyelewang dari garisan ilmu Islam. Sebagai contohnya, kenyataan Ibn Sina yang menyifatkan alam ini kekal abadi. Dalam aliran-aliran dalam Islam klasik, golongan yang dinamakan muktazilah diperhatikan akrab dengan penggunaan logik ini, dalam segala aspek. Mereka bukannya seperti aliran khawarij yang gemar kepada penggunaan kuasa, tetapi menganjurkan kepada pembangunan intelektual ummah dengan mengajak ummah berfikir dll. Antara ilmuan-ilmuan Islam yang dikatakan condong (atau memang!) kepada muktazilah ialah Ibn Sina, Al-Farabi, Ibn Haitham, Ibn Miskawaih dll.

Lazimnya, ramai yang menuduh muktazilah ini sebagai mengagungkan akal. Namun dalam pada masa yang sama, mereka tetap berjasa besar, bukan?

Ya, mungkin? Kalau kita pernah mendengar tentang Fazlur Rahman, beliau turut menganjurkan supaya pemikiran muktazilah ini dihidupkan kembali bagi menguatkan ummah pada masa kini. Namun begitu, penggunaan logik secara keterlaluan, maksudnya tanpa batasan, sukar untuk diterima oleh Islam. Kerana itu, kalau kita soroti, Imam Al-Ghazzali telah bangkitkan menerusi karya kontroversinya, Tahafut al-Falasifat bagi menyerang kumpulan-kumpulan falsafah ini. Semua barangkali maklum, Al-Ghazzali ini dikatakan seorang Isyriyin, atau kadang-kadang diistilahkan sebagai ortodoks, yang mempertahankan zon eksklusif agama itu. Dan, dari pukulan maut Al-Ghazzali inilah, budaya falsafah dalam tamadun Islam mula meniti kegelapan (atau tersungkur).

Kalau zaman silam, bukankah Ibn Rusyd bangkit menjawab karya Al-Ghazzali ini?

Ya, selepas meninggal Al-Ghazzali pada tahun 1111M, muncul Ibn Rusyd menerusi karyanya pula Tahafut al-Tahafut, namun ia masih tidak cukup kuat untuk menangkis persoalan yang dikemukakan dalam Tahafut al-Falasifat. Walau bagaimanapun, melihat kepada sejarah hidup Al-Ghazzali yang akhir kehidupannya dengan sentiasa berkelana, barangkali apa yang disimpulkan olehnya mungkin suatu proses pencariannya, bukannya sesuatu yang muktamad. Ramai (di kalangan ilmuan Islam kini) yang cuba menggambil jalan tengah dengan menyatakan bahawa Al-Ghazzali hanya menentang mereka yang ekstrim dalam penggunaan falsafah, bukan bermakna beliau menolak falsafah itu.

Sayang sekali, kerana apabila tandusnya budaya falsafah di kalangan umat Islam, semangat ini telah beralih ke belahan barat?

Ya, tamadun Andalusia disepakati oleh para sejarahwan sebagai penyumbang utama kepada kebangkitan tamadun barat. Ini dalam pada masa yang sama menunjukkan keterbukaan tamadun Islam terhadap tamadun lain. Di Andalusia, bukan sahaja orang-orang Islam yang dibenarkan menuntut ilmu, malah kalau kita perhatikan ada beberapa nama yang terkenal seperti Ibn Gabriel, Ibn Maimun yang dari kalangan Yahudi datang menuntut ilmu di sini. Mereka ini telah banyak melakukan kerja-kerja peterjemahan (ke dalam bahasa Hebrew atau Latin) sekaligus menjadi transformasi ilmu kepada bangsa eropah. Sebab itu, kalau tidak silap dalam lamanweb Islamicity ada menyatakan bahawa banyak manuskrip pada era kegemilangan Islam yang tersimpan di perpustakaan barat, sampai kini.

Falsafah dan logik, tak boleh dinafikan, adalah dua hal yang berdampingan. Apakah dampak dua hal ini terhadap bangunan pemikiran manusia?

Kekuasaan falsafah dan logik telah memunculkan dua jalur dalam pemikiran manusia. Baiklah, yang pertama dari dampak ini, jika kita soroti perbincangan dalam budaya ilmu barat, ia telah menciptakan sains moden, di mana matematik sebagai bahasanya, manakala inderawi sebagai wahana penyelidikan. Ini selanjutnya telah mendorong kepada pembentukan faham materialisme di kalangan ilmuan barat, khususnya. Kedua ialah, perbahasan falsafah tentang etika, terus-menerus, yang akhirnya mencabangkan ragam faham seperti individualisme, liberalisme, hedonisme, ulitarianisme dll. Ragam faham ini sebenarnya boleh disimpulkan dari kepercayaan terhadap konsep relativisme, atau istilah yang lain nisbisme.

Jadi, inikah weltanschauung masyarakat ilmu barat?

Belum lengkap lagi. Selain dua dampak tadi, kita juga harus mengetengahkan penekanan faham humanisme di dalam pembinaan tamadun barat. Jadi, materialisme, relativisme dan humanisme adalah tiga serangkai yang membentuk paradigma atau weltanschauung masyarakat barat. Waima, humanisme yang dimaksudkan ini bukanlah seerti sepertimana yang digagaskan dalam anjuran Islam. Perkembangan humanisme di barat, mahu atau tidak, harus kita kaitkan dengan pengukuhkan faham sekularisme yang di lihat oleh Islam dalam maksud yang bertentangan.

Lebih lanjut, bagaimana perjuangan humanisme boleh beralih menjadi perjuangan sekularisme di dalam masyarakat barat?

Begini, kita harus renung sejarah balik. Maksudnya, sejarah zaman pertengahan mereka (barat). Di waktu itu, barangkali kita boleh bahagikan zaman pertengahan mereka kepada tiga tahap; awal, tengah dan akhir. Pada peringkat awalnya, masyarakat barat, khususnya dogmatik gereja menganggap ilmu-ilmu yang rancak bercambah di dunia Islam sebagai “ilmu kafir” kerana boleh mengancam aqidah dan kepercayaan azali mereka. Sikap agamawan Kristian (katolik) ketika itu memang sangat negatif terhadap ilmu pengetahuan dari belahan dunia Islam. Manakala, pada tahap tengah, sudah terbit tanda-tanda wujud di kalangan beberapa masyarakat barat untuk memecah tradisi ini. Ada di kalangan mereka mula menganggap pandangan gereja tersebut sebagai kolot lantaran ia telah membataskan kemampuan peranan manusia. Dengan perjuangan humanisme, yang di sebalik itu terlihat arus sekularisasi yang cukup kuat, masyarakat barat, khususnya ahli falsafah mula mengajak pemisahan antara gereja dengan konkongan perkembangan ilmu pengetahuan. Dorangan yang tajam ini berlaku pada tahap akhir zaman pertengahan, atau menjelangnya zaman renaissance (kelahiran semula). Jadi, humanisme yang menjadi akar kepada sekularisme di barat sebenarnya menandai pengalaman sarjana-sarjana mereka bila berdepan dengan autoriti gereja, malah ada di antara mereka (sarjana-sarjana) yang ditindas, dan dihukum mati.

Jika tidak keberatan, siapakah antara pemuka-pemuka yang boleh ditonjolkan dalam penentangan terhadap autoriti gereja ini?

Ya, antaranya Niccolo Machiavelli (1469-1532) dari Florence, Itali. Beliau telah menulis sebuah buku yang berpengaruh, The Prince. Dalam sains politik, kaedah politik yang mengizinkan apa cara untuk mencapai kejayaan sering dikonotasikan dengan gagasan dari buku The Prince ini. Selain itu, Francis Bacon (1561-1625), yang popular dengan kata-kata, power is knowledge, di katakan telah menemui kaedah saintifik dalam ilmu pengetahuan, yang akhirnya kini kita kenali sebagai “sains moden”. Dari perspektif banyak pemikir Islam, kaedah saintifik Bacon ini sebenarnya disifatkan cuba untuk menutup sejarah ijtihad yang sekian lama telah diamalkan dalam tradisi ilmu Islam. Namun begitu, salah satu lagi sumbangan Bacon ialah menerusi bukunya yang masih hangat dibincangkan, The New Atlantis. Dalam buku ini, beliau membayangkan sebuah masyarakat utopia, masyarakat yang sempurna dengan pelbagai institusi penyelidikannya, demi meluaskan pergerakan manusia serta menoktahkan sebuah empayar manusia raya. Bagi Bacon lagi, agenda ini boleh dicapai dengan menundukkan alam ini dengan ilmu sains (moden).

Selain dari Machiavelli dan Bacon? Tentu ada lagi?

Ya! Di samping itu, seorang lagi tokoh yang berpengaruh pada zaman pertengahan ialah Rene Descartes (1596-1650), asal Perancis. Descartes ini, yang dikatakan menolak banyak pandangan Aristotles, boleh kita anggap sebagai penyempurna faham emperisme yang digagasi oleh Bacon sebelum ini. Kaedah emferisme ini membawa makna, “cara-cara untuk mendapatkan kesahihan sesuatu maklumat”. Salah satu ungkapan Descartes yang terkenal ialah, give me the elements, I will construct the universe. Mungkin satu tokoh yang tidak wajar ketinggalan ialah Isaac Newton (1643-1727). Newton, yang ramai pelajar mengenalinya melalui tiga hukum fiziknya, juga merupakan seorang ahli falsafah. Newton ini, telah menyifatkan seluruh alam bertalian dengan hukum-hukum matematik. Sebab itulah beliau menggunakan tajuk Philosphiae Naturalis Principia Mathematica pada salah satu bukunya. Konsep mekanistik Newton inilah yang mencabar autoriti gereja bila beliau beranggapan, “semua kepercayaan agama yang bercanggah dengan pengalaman dan pemerhatian manusia, harus dihapuskan.” Newton juga seringkali dilihat memperlekehkan banyak istilah yang akrab dengan autoriti gereja seperti miracles, prophecy, revelation, dll.

Selepas Newton, atau selepas zaman pertengahan, ada beberapa tokoh lagi yang menjadi simbol pembebasan masyarakat dari kuasa gereja. Voltaire (1694-1778) umpamanya, secara radikal telah menolak agama, dan tanpa berlapik lagi telah melaungkan gagasan mekanistik yang telah dirintis oleh Newton. Waktu ini, ramai dari kalangan masyarakat sains barat menjadi ateis, atau juga sekurang-kurangnya kepercayaan mereka hanya sebatas deis sahaja. David Hume (1711-1776) juga, seperti Voltaire, menolak agama. Hujah Hume mudah sahaja, “agama tidak boleh dibuktikan secara saintifik, iaitu melalui penggunaan akal manusia.” Jadi, umumnya, pada zaman pertengahan, juga zaman renaissance, ramai sarjana-sarjana barat memilih untuk berdepan dengan autoriti gereja.

Komen-komen»

1. nuurain bte abd aziz - Februari 2, 2008

terangkan dengan lebih terperinci tentang sumbangan tamadun islam andalusia kepada peradaban barat

2. ummi mehdi - Februari 16, 2008

dalam temubual di atas, ada disebut pasal sokrates yang dijadikan sempadan antara dua zaman falsafah.

persoalan itu ada benarnya kerana memang ada perbedaan atara dua zaman tersebut. ini kerana sokrates adalah ahli falsafah yang pertama yang menentang cara berhujah ahli falsafah sebelumnya. umpamanya, sokrates mula membawakan pemikiran tentang persoalan bagaimana kita seharusnya menjalani kehidupan, tetapi ahli falsafah sebelumnya hanya berminat untuk menjawab kebenaran-kebenaran dunia yang dalam makluman.

sebab itu ungkapan seperti, apakah itu kebenaran, apakah itu keadilan, apakah itu kebaikan, dll, banyak dimunculkan oleh sokrates berbanding dengan ahli falsafah sebelumnya. nampak tak bagaimana moralistiknya pertanyaan sokrates, berbanding saintifiknya pertanyaan ahli falsafah sebelumnya.

di samping itu juga, selepas zaman sokrates, barulah kegiatan falsafah pertama kali dibuku menerusi Plata. buku-buku Platolah yang menjadi buku falsafah pertama di dunia. jadi, dengan adanya buku-buku ini, falsafah telah menjadi satu kegiatan yang lebih tersusun berbanding sebelumnya.

dan kalau dalam pemikiran pra sokrates, mereka juga kebiasaanya memanifestasikan pandangan kefalsafahnya dalam bentuk syair-syair seperti yang pernah dicoretkan oleh xenophanes:

rakyat habsyah berkata bahawa dewa-dewa mereka berhidung pesek dan berkulit hitam,

sedangkan rakyat thracian berkata bahawa dewa-dewa mereka bermata biru dan berambut merah,

dan andai binatang ternak, atau kuda, atau singa mempunyai tangan dan boleh melukis,
juga membuat patung seperti halnya manusia, maka kuda akan melukis dewa-dewanya,
menyerupai kuda, dan binatang ternakan melukis menyerupai binatang ternakan,

dan setiap haiwan akan melukis dewanya serupa dengan diri mereka.

sehubungan dengan itu, dari sejumlah kelebihan sokrates inilah, maka adalah layak sama sekali jika sokrates telah dijadikan pemisah antara dua zaman, malah juga patut sekali diangkat sokrates sebagai antara tokoh agung dalam pemikiran dunia.

sebab itu, tidak guna kita belajar falsafah, jika kita tidak pernah membaca tentang pemikiran sokrates.

3. atiqah - Mac 18, 2008

sumbangan andalusia terhadap tamadun barat hebat dibincangkan, tetapi tiada kasifikasi yang jelas tentang sumbangan andalusia itu sendiri. tolong wujudkannya…..

4. shiera - Julai 18, 2008

apakah sumbangan tamadun islam andalusia terhadap peradaban dunia???????????? emel saya untuk penerangannya

5. syafikah - Ogos 5, 2008

apakah sumbangan tamadun islam andalusia terhadap peradaban dunia?

6. rizwan bin abd azis - Ogos 11, 2008

tolong jelaskan apakah sumbangan plato kepada teori pendidikan negara kita malaysia

7. fazlan - Ogos 20, 2008

tolong jelaskan perbandingan peradaban Islam zaman Nabi Muhammad s.a.w dengan peradaban Islam pada zaman sekarang.

8. Rausyanfikir - Ogos 21, 2008

Sila rujuk karya Prof. Naquib Al-Attas “Islam and Secularim”. Bahasa Melayu “Risalah untuk Kaum Muslimin”.

9. eyza - September 9, 2008

apakah pengaruh agama pada tamadun islam terhadap kelahiran renaissance???????????email saya utk kterangan

10. norul - September 22, 2008

sy nak kepentingan falsafah greek kepada perkembangan tamadun barat

11. waninurr - Februari 6, 2009

jelaskan mengenai islamisasi ilmu pengetahuan sebagai satu sumbangan ketamadunan islam?..

12. iela - Februari 21, 2010

ap kaitan Nabi Idris ngan Tamadun Yunani

13. iela - Februari 21, 2010

Apa dia beza sains Eropah pada Zaman Pertengahan dengan sains zaman moden…

14. iela - Februari 21, 2010

email sye lw ada jawapan ye…

15. Eleonore Breithaupt - Ogos 26, 2010

rené descartes is definitely the most genius man that ever lived! we think – therefore we are ;-)


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: