jump to navigation

Perintis Gerakan Islam Mendalami Fiqh Al-Waqi' Disember 12, 2006

Posted by ummahonline in Fiqh al-Waqi', Kolum.
trackback

Oleh: Saari Sungib

PAS menang besar dalam pilihanraya 1959. Kemenangan tersebut membolehkan PAS memerintah dua buah negeri, iaitu Kelantan dan Terengganu. Kemenangan tersebut juga menjadikan PAS parti politik pertama di Asia berjaya membentuk kerajaan melalui proses demokrasi pilihanraya.

Bahkan kemenangan tersebut mengungguli usaha tokoh-tokoh besar lain di dunia Islam termasuk Sayyid Abul A’la Al-Mawdudi di Pakistan dan Muhammad Natsir di Indonesia. Apakah rahsianya?

Kemenangan PAS pada 1959 ada persamaan dengan kemenangan yang diraih PAS 40 tahun kemudiaan, iaitu pada tahun 1999. Kedua-dua kemenangan ini memiliki ciri yang sama walaupun disebabkan fenomena yang berbeza.

Ciri persamaannya adalah pada tahun 1959, PAS merupakan sebuah parti politik arus perdana dalam waqi’ politik zamannya. Sedangkan pada tahun 1999, PAS berjaya menempatkan diri sebagai sebuah pakatan politik arus perdana, iaitu BA.

Apa yang dimaksudkan parti arus perdana adalah parti yang membawa dan dilihat rakyat membawa agenda yang memperjuangkan kepentingan rakyat segenap lapisan. Agenda perubahan adalah berorientasikan “nation-building” dan tidak dilihat sempit dengan semata-mata bertujuan untuk memajukan kepentingan suatu lapisan atau kelompok tertentu.

Parti arus perdana adalah sebuah parti yang diterajui oleh tokoh-tokoh pemimpin yang dianggap setanding dengan pemimpin-pemimpin kerajaan. Bahkan lebih unggul daripada pemimpin-pemimpin kerajaan itu sendiri.

Parti arus perdana juga bererti ia berjalan seiring serta memenuhi gelombang kebangkitan rakyat semasa. Ia menjadi parti arus perdana kerana sokongan rakyat yang padu diberikan kepadanya.

PAS pada tahun 1959 menepati ciri-ciri di atas dalam konteks dan realiti politik pada masanya. PAS membawa agenda kemerdekaan tulen yang mahu membebaskan negara yang baru ‘dianugerahkan’ Merdeka oleh penjajah British pada tahun 1957.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang menerajui PAS pada masa itu memberi amaran kepada rakyat bahawa ancaman koncu-koncu penjajah masih kuat bertapak dalam prasarana sosio-ekonomi Malaya. Ini katanya berlaku melalui kuasa kapitalis tempatan di kalangan elit-elit Melayu, Cina dan India yang menjadi proksi British pada masa itu.

Menurut Dr. Burhanuddin, elit kapitalis inilah yang bakal mengukuhkan cengkaman penjajah ke atas rakyat dengan meneruskan dasar penindasan. Agenda “nation-building” PAS adalah untuk memastikan Malaya ditadbir sepenuhnya menurut dasar dan sistem tempatan yang bebas daripada sebarang pengaruh dan kawalan British. PAS memperjuangkan negara bebas daripada segala bentuk penjajahan, sama ada dari Barat mahupun dari Timur.

Di segi tokoh-tokohnya pula, PAS menampilkan gandingan Dr. Burhanuddin dan Prof Zulkifli Muhammad. Dr. Burhanuddin melalui penglibatannya dalam PKMM, KMM, PRM, Putera-AMCJA dan banyak lagi front yang memperjuangkan kemerdekaan seiring dengan Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, Ahmad Boestamam, Pak Sako dan lain-lain dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang lebih unggul berbanding Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.

Tunku pernah berkhidmat lama sebagai pegawai kanan menjaga kepentingan British di Malaya. Tun Abdul Razak bersama Ghazali Shafie adalah ejen British dalam Force 136 yang ditugaskan untuk menimbulkan ketegangan kaum bagi membolehkan British kembali berkuasa selepas Jepun menyerah diri.

Prof Zulkifli Muhammad yang hebat berpidato dianggap lebih popular daripada Tunku dan Tun Abdul Razak. Puluhan ribu rakyat berhimpun untuk menyaksikan Prof Zulkifli berpidato di pentas-pentas politik. Ramai pula yang sanggup berjalan berbatu-batu jauhnya semata-mata untuk mendengar ucapannya.

Dengan itu PAS adalah parti politik arus perdana kerana pemimpin-pemimpin utamanya dianggap tokoh-tokoh bertaraf dunia yang setanding, bahkan lebih unggul daripada dua orang pemimpin utama negara ketika itu.

PAS sebagai parti politik arus perdana juga pada masa itu berjalan seiring dengan gelombang kebangkitan rakyat. Dr. Burhanuddin yang pernah menerajui PUTERA-AMCJA dan berjaya menggerakkan “hartal” dengan jaringan 450,000 penyokong dianggap sebagai pejuang tulen kemerdekaan. PUTERA-AMCJA punyai agenda “Merdeka” dengan gagasan Perlembagaan Rakyatnya yang tersendiri.

UMNO pula hanya melaungkan slogan “Hidup Melayu” dengan Perikatan dilihat tunduk kepada perlembagaan yang diatur oleh Suruhanjaya Reid yang dilantik British. PAS di bawah kepimpinan tokoh-tokoh besar pejuang kemerdekaan tulen lebih dilihat sebagai memenuhi aspirasi dan hasrat perjuangan rakyat.

Malangnya pilihanraya 1959 dijalankan dalam keadaan Malaya berada di bawah undang-undang Darurat. PAS dihalang daripada menganjurkan rapat-rapat umum dan perhimpunan-perhimpunan besar.

Sedangkan penjajah British membuka ruang seluas-luasnya untuk UMNO, MCA dan MIC menganjurkan mesyuarat dan pertemuan di seluruh negara. Hasrat rakyat untuk menggerakkan gelombang agenda perubahan besar disekat dengan kuatkuasa undang-undang Darurat yang terpilih.

Ciri-ciri politik arus perdana ini berulang kembali pada tahun 1999 bagi PAS. Melalui pakatan BA, PAS merintis satu tahaluf siyasi yang menempatkannya sebagai sebuah parti politik yang amat relevan dan signifikan. PAS terlibat secara langsung dalam penggubalan agenda Ke Arah Malaysia Baru.

PAS juga melonjakkan imej pemimpin utamanya bila berganding dengan tokoh-tokoh alternatif besar negara. Seterusnya PAS komited dan berjalan seiring dengan gelombang perubahan yang menjadi aspirasi rakyat, iaitu Reformasi!

Dua waqi’ siyasah yang terpisah empat dekad ini memiliki ciri-ciri arus perdana yang sama. Apa yang membezakan keduanya hanyalah fenomena bagaimana ianya tercetus.

Pada tahun 1959, fenomena PAS menjadi parti arus perdana bersumber daripada kekuatan dalaman PAS sendiri. Gandingan Dr. Burhanuddin dan Prof Zulkifli serta barisan pemimpin-pemimpin muda yang dinamik dalam PAS dilihat rakyat sebagai fenomena baru yang memangkin dan memungkinkan perubahan besar.

Pada tahun 1999, Anwar Ibrahim dilihat sebagai satu fenomena. Anwar Ibrahim dianggap sebagai putera terbaik negara ini. Anwar lebih baik dan lebih layak daripada Dr. Mahathir untuk menerajui Malaysia. Gelombang Reformasi yang diledakkan oleh Anwar Ibrahim menatijahkan pakatan politik BA dengan gandingan pemimpin-pemimpin alternatif, iaitu Fadzil Noor dari PAS, Dr. Wan Azizah dari keADILan, Lim Kit Siang dari DAP dan Dr. Syed Husin Ali dari PRM.

Wan Azizah bagi rakyat adalah sebuah ikon yang melambangkan kesetiaan seorang isteri dan ibu gigih yang membela maruah keluarga, memperjuangkan pembebasan suami serta memikul agenda besar Reformasi dengan menerajui sebuah parti alaf baru.

Lim Kit Siang sudah tersohor sebagai pemimpin pembangkang yang lantang dan diterima sebagai pemimpin masyarakat Cina di luar kerajaan. Dr. Syed Husin Ali pula adalah pembela rakyat marhaen yang gigih, tabah dan terbukti tahan diuji.

Memahami waqi’ siyasi semasa, Fadzil Noor merintis ranjau mendukung pakatan politik BA. Lantas usaha itu meledak menjadi satu fenomena besar. Bahkan boleh duduknya Fadzil Noor bersama Lim Kit Siang serta PAS bersama DAP sendiri merupakan satu fenomena. Fenomena ini telah berjaya mencetuskan imaginasi rakyat bahawa negara ini sedang menuju ke era sosio-politik baru.

Sebagaimana Dr Burhanuddin, Prof Zulkifli dan pemimpin-pemimpin PAS pada tahun 1959, demikian jugalah Fadzil Noor, Abdul Hadi Awang, Nik Abdul Aziz dan pemimpin-pemimpin PAS tahun 1999, kedua-dua angkatan pemimpin ini memahami secara mendalam tuntutan fiqh al-waqi dalam mengarusperdanakan perjuangan Islam.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: