jump to navigation

Tahanan Palestin: Agenda yang dilupakan Disember 15, 2006

Posted by ummahonline in Intifadha, Kolum.
trackback

Oleh: Maszlee MalikTiada sesiapa pun yang tergamak untuk menafikan kekejaman Rejim Zionis Israel di bumi Gaza dan Tebing Barat sepanjang tahun 2006. Sama ada yang dinamakan kekejaman itu adalah “sekatan” ekonomi dan politik yang dikenakan semenjak kemenangan gerakan HAMAS, ataupun ianya dalam bentuk keganasan ketenteraan.

Operasi “Summer Rains” yang telah dilancarkan oleh tentera Rejim Zionis ke atas rakyat Palestin sudah cukup menjadi bukti. Rakyat Palestin di Gaza menjadi seumpama papan sasar untuk para tentera Rejim Zionis melepaskan peluru, roket, serangan dan juga segala kekuatan mereka. Demi melepaskan tentera mereka yang telah ditawan (Koperal Gilad Shalit), mereka telah mengorbankan ratusan nyawa rakyat Palestin. Demi menjayakan operasi tersebut juga, puluhan rumah telah dirobohkan, manakala ratusan lelaki dan wanita telah ditangkap dan ditahan tanpa bicara. Termasuk yang ditahan tersebut ialah Speaker Majlis Legaslatif Pihak Berkuasa Palestin, Dr Abdul Aziz Dweik, empat orang menteri kabinet mereka, dan juga 36 ahli Majlis Legaslatif sehingga bulan November 2006 yang lalu. (Wael, Ahmad Saad, al-Hisaar, Beirut: Markaz al-Zaytouna li al-Dirasaat wa al-Istisyaraat, hal. 70-73) 

Laporan Kementerian Hal-Ehwal Tahanan Palestin

Menurut laporan Abdul Naser Awni Ferwana, Ketua Jabatan Statistik di Kementerian Hal Ehwal Tahanan Palestin di Gaza, sehingga November 2006, seramai 10,500 rakyat Palestin masih di tahan di penjara-penjara Rejim Zionis (sila lihat: http://www.miftah.org). Bilangan tersebut termasuk di dalamnya wanita, warga tua dan kanak-kanak yang juga tidak terlepas daripada penahanan kejam Rejim Zionis. Kesemua tahanan tersebut ditempatkan di 30 penjara-penjara di dalam wilayah takluk Rejim Zionis. Antara penjara-penjara tersebut ialah penjara Nafha, Asqalan (Shikma), Birsheva, Ramleh, Shatta, Gilboa, Megiddo, Ofer, Negev, Telmond, Nitzan, Damun, al-Maskubieh, al-Jalameh (Kishon), dan lain-lain lagi. Menurut laporan beberapa pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, tahanan-tahanan tersebut telah didera, disiksa dan dikenakan seribu satu macam tekanan fizikal dan mental. Kebanyakan gambar-gambar yang berjaya diperolehi menunjukkan penyiksaan ke atas tahanan Palestin di penjara-penjara tersebut tiada bezanya dengan penyiksaan yang dilakukan oleh tentera AS ke atas tahanan Iraq di penjara Abu Ghreib. Malangnya isu ini tidak mendapat liputan media seumpama isu penjara Abu Ghreib yang kini semakin dilupakan oleh masyarakat dunia.(Lihat laporan “Disguised Humanity”, oleh: Friends Of Humanity, International Human Rights Organization (MENSCHENFREUNDE INTERNATIONAL GESELLSCHAFT FÜR MENSCHENRECHTE), Vienna, Austria, 2006).

Kebanyakan para tahanan mengalami kecacatan yang kekal, penyakit yang kronik, dan tidak kurang juga yang meninggal dunia akibat deraan dan penyiksaan yang berterusan. Kebanyakan laporan yang diterima melaporkan bahawa para tahanan diberikan sel yang kotor, sempit, sejuk dan tidak dilengkapi dengan kemudahan asas, dan tidak diberikan kelengkapan untuk memenaskan badan di musim sejuk. Terdapat ramai tahanan yang mati kerana kesejukan, dan tidak kurang juga yang mengalami kecacatan kerana kesejukan yang melampau. Para tahanan juga telah dilarang tidur, diganggu selama berhari-hari, diberikan makanan yang kotor dan kadangkala diseksa secara fizikal dan mental selama berhari-hari tanpa henti. Seperkara yang paling ketara sekali ialah para tahanan telah dilarang daripada bertemu dengan ahli keluarga mereka. Pelbagai syarat dan kepayahan sengaja dikenakan ke atas keluarga tahanan yang menjadikan mereka sukar untuk bertemu dengan para tahanan. Hal ini telah dikecam hebat oleh sebuah pertubuhan hak asasi manusia di dalam wilayah “Israel”, B Tselem. (Lihat laporan: Barred From Contact oleh B Tselem, September 2006)

Daripada keseluruhan 10,500 tahanan Palestin yang berada di penjara Rejim, 4,517 (43%) telah ditahan tanpa bicara dan sedang menantikan hukuman oleh mahkamah Rejim. Seramai 850 (8.1%) tahanan pula merupakan tahanan politik yang telah dijatuhkan hukuman kebanyakannya oleh mahkamah tentera. Selebihnya (5,133 atau 48.9%) pula telah dijatuhkan hukuman di atas pelbagai tuduhan, yang kebanyakannya adalah kerana keterlibatan mereka di dalam usaha perjuangan kemerdekaan. Daripada 5133 tahanan pula, seramai 632 tahanan (12.3%) dijatuhkan hukuman penjara melebihi 50 tahun. Seramai 1,205 tahanan (23.5%) pula dikenakan hukuman di antara 10 sehingga 50 tahun. (Lihat laporan oleh: Abdul Nasir Farwana, The Palestinian Prisoners and Detainees in the Israeli Jails (October 2006), Beirut: al-Zaytouna Centre, hal. 9).

Wanita di dalam penjara Rejim

Menurut laporan Kementerian Hal Ehwal Tahanan Palestin, dari seramai 10,500 tahanan berkenaan, 115 dari kalangan mereka adalah wanita. Walau bagaimanapun, Womens’ Organisation for Political Prisoners (WOFPP) yang bergiat aktif memperjuangkan nasib tahanan wanita Palestin mengatakan jumlah sebenarnya ialah 120 orang ( Lihat: http://www.wofpp.org/). Daripada jumlah tersebut, tiga orang tahanan telah melahirkan anak di dalam penjara sepanjang tempoh tahanan mereka sehingga tahun 2006. Mereka adalah Mirvat Taha (telah dibebaskan), Manal Ghanem yang masih lagi ditahan, di mana anakanya telah dipisahkan darinya, dan juga Samar Sobeih, yang juga masih ditahan. Di samping mereka bertiga, seorang tahanan wanita Palestin, ‘Itaf al-‘Ulayyan pula telah ditahan bersama anaknya yang berumur dua tahun, Aisha al-Houdaly. Beliau telah ditahan sebagai tahanan politik dan kini masih berada di penjara Talmond. Keadaan tahanan wanita juga tidak kurang teruknya berbanding para tahanan lelaki. Mereka telah dilayan dengan kasar, serta diberikan fasiliti yang serba kekurangan. Para tahanan tersebut telah beberapa kali mengadakan mogok lapar demi menuntut hak mereka, dan demi mempertahankan maruah mereka yang cuba dicabuli oleh para pengawal penjara (Farwana, hal. 11).

Kanak-kanak di penjara Rejim Zionis

Semenjak terletusnya Intifadah al-Aqsa (September 2000), seramai 5,000 kanak-kanak telah ditahan di dalam penjara-penjara pihak Rejim. Sehingga kini, terdapat seramai 400 kanak-kanak di bawah 18 tahun yang masih ditahan. Kebanyakan kanak-kanak tersebut telah didera dengan pelbagai macam jenis siksaan. Antara siksaaan yang paling kerap dikenakan ke atas tahanan kanak-kanak adalah “Shabah” (Mereka dipaksa diri atau duduk di dalam keadaan yang menyakitkan, sambil mata mereka ditutup dan tangan serta kaki mereka digari). Kebanyakan mereka juga dipukul setiap hari dan didera dari segi mental. Ramai dari kalangan kanak-kanak tersebut yang mengalami kecederaan tulang belakang yang berkekalan (Farwana, hal. 11).

Pihak rejim bukan sekadar melanggar segala undang-undang antarabangsa berkaitan dengan kanak-kanak, malah mereka juga melanggar segala ketatapan PBB dan konvensyen Geneva berhubung isu tahanan kanak-kanak. Kemudahan asasi bagi mereka telah dinafikan. Kemudahan pembelajaran juga tidak langsung disediakan oleh pihak Rejim Zionis. Para tahanan tersebut juga dihalang daripada ditemui oleh pihak keluarga mereka. Bukan sekadar mereka dinafikan daripada menikmati hak mereka sebagai tahanan perang, malah kanak-kanak tersebut juga dihalang daripada menikmati hak mereka sebagai kanak-kanak oleh pihak Rejim. Hal ini dengan jelas bertentangan dengan artikel 9(3), Konvensyen berkaitan Hak Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Child) 20 November 1989 dan mula berkuatkuasa pada 2 September 1990 yang juga telah ditanda tangani oleh pihak Rejim Zionis (pada tahun 1991) (Lihat: http://www.addameer.org/detention/children.html).

Artikel berkenaan dengan jelas mengatakan bahawa:

“State Parties shall respect the right of the child who is separated from one or both parents to maintain personal relations and direct contact with both parents on regular basis, except if it is contrary to the child’s best interests”.

Terdapat banyak juga laporan yang menunjukkan para tahanan tersebut tidak diberikan rawatan jika mengalami kesakitan dan ramai di antara mereka yang terpaksa menanggung kesakitan secara bersendirian dan menghidap penyakit berkekalan. Terdapat juga para tahanan yang telah meninggal dunia akibat layanan buruk tersebut.

Rawatan perubatan di dalam penjara

Sepertimana halnya para tahanan kanak-kanak, para tahanan yang lain juga menerima nasib yang sama berhubung persoalan kesihatan. Pihak penjara Rejim tidak menyediakan para doktor terlatih, mereka juga tidak menyediakan rawatan yang rapi untuk para tahanan. Kebanyakan para tahanan dibiarkan menderita menanggung kesakitan, ataupun hanya diberikan dadah untuk menghilangkan kesakitan mereka. Hal ini dengan jelas menyalahi artikel 91 (bahagian ke-4) di dalam Konvensyen Geneva ke-empat yang mewajibkan agar setiap penjara menyediakan kemudahan kesihatan, doktor terlatih, dan juga makanan yang berkhasiat untuk para tahanan. Ianya juga bertentangan dengan artikel 20 Peraturan standard minimum berkaitan layanan kepada para tahanan (UN Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners) yang mengatakan:

“Every prisoner shall be provided by the administration at the usual hours with food of nutritional value adequate for health and strength, of wholesome quality and well prepared and served”

Fenomena tersebut tidak lebih kejam daripada sikap para doktor warga Israel yang bertugas di penjara-penjara berkenaan. Mereka telah menyalahi etika kedoktoran apabila melayan para pesakit sebagai musuh dan juga orang jahat. Kebanyakan laporan menunjukkan para doktor warga Israel telah terlibat di dalam mendera para tahanan dan enggan memberikan rawatan yang sepatutnya. Terdapat juga para doktor yang telah menggugut para pesakit untuk memberikan maklumat demi untuk mendapatkan rawatan, walaupun mereka berada di tahap kesakitan yang kritikal. Keadaaan seperti ini benar-benara telah melanggar etika dan juga sikap profesionalisme pengamal-pengamal perubatan (Ferwana, hal. 15).

Kezaliman berterusan

Natijah daripada segala jenis kezaliman, penderaan dan penyiksaan ke atas para tahanan, seramai 183 tahanan telah meninggal dunia. Seramai 59 orang yang telah meninggal dunia adalah dari kalangan penduduk Gaza, manakala 124 pula dari Tebing Barat dan kawasan-kawasan lain. Menurut statsitik yang lebih terperinci oleh Abdul Naser Ferwana, daripada 183 tahanan yang telah meninggal dunia itu, 69 orang (37.7%) tahanan telah mati akibat penyiksaan, 42 orang (23%) pula telah mati akibat tidak diberikan rawatan, manakala 72 orang (39.3%) pula telah dibunuh. Beliau juga menegaskan, ratusan yang lain pula telah meninggal dunia sejurus dibebaskan, malangnya pihaknya tidak berjaya mendapatkan angka sebenar mengenai kes yang sedemikian. Teknik penyiksaan ke atas tahanan yang diamalkan oleh pihak Rejim Zionis dengan jelas bertentangan dengan Konvensyen Geneva ke-empat (artikel 31-32, 146-147).

Pihak kementerian hal ehwal tahanan juga menjangkakan ribuan yang lain di dalam penjara-penjara tersebut juga sedang menantikan nasib yang sama. Jangkaan ini adalah berdasarkan statistik yang mengambil kira laporan rekod kesihatan para tahanan dan juga laporan berterusan yang mereka terima daripada para tahanan (Ferwana, hal. 19). Persatuan para tahanan Palestin di bandar al-Khalil pula mengeluarkan laporan bahawa 1000 orang tahanan sedang menghidapi penyakit kronik dan tidak diberikan rawatan yang sepatutnya. (Maklumat dari : Markaz al-I’laam al-Filistini, http://www.palestine-info.info)

Malangnya laporan-laporan tersebut tidak sedikit pun dapat mengubah jolokan “negara paling demokratik” di rantau Asia Barat oleh media dan juga lobi AS di peringkat antarabangsa kepada Rejim Zionis Israel. Apa yang lebih menarik, pencabulan hak asasi tahanan yang diamalkan oleh Rejim Zionis ini dilindungi oleh undang-undang negara mereka. Ordinan penjara “Israel” ((Israeli Prison Ordinance) (Disemak pada tahun 1971) yang mengandungi 114 kalus, tidak sedikit meyentuh tentang hak para tahanan di penjara-penjara “Israel” (Lihat laporan oleh pertubuhan addameer (Prisoners Support and Human Rights Association) di: http://www.addameer.org/detention/background.html). Hal ini menjadikan mereka bebas melakukan apa sahaja bentuk kezaliman ke atas para tahanan, kerana hak para tahanan tersebut tidak dijamin oleh undang-undang Rejim Zionis Israel. Di mana agaknya letaknya demokratik rejim yang zalim ini?

Dimensi baru isu Palestin

Kementerian hal ehwal tahanan merupakan kementerian yang baru ditubuhkan oleh pihak berkuasa Palestin pimpinan HAMAS. Penubuhannya merupakan manifestasi kepada kesungguhan HAMAS di dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin. Penubuhannya juga membuktikan bahawa HAMAS membawa harapan rakyat di dalam perjuangan mereka melalui pentas politik. Penubuhannya juga telah menjadi bukti perbezaan jelas di antara kerajaan pimpinan HAMAS dengan kerajaan sebelumnya. Penubuhannya juga merupakan sebahagian daripada perlaksanaan manifesto HAMAS kepada rakyat Palestin. Kesan yang paling nyata di sebalik penubuhan kementerian berkenaan ialah kejayaannya di dalam membawa dimensi baru di kalangan masyarakat antarabangsa dalam menyikapi isu Palestin. Isu tahanan Palestin dan juga kekejaman rejim Zionis telah berjaya menarik minat pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia dan juga negara-negara tertentu untuk bertindak balas.

Dimensi baru ini juga sepatutnya disikapi oleh kerajaan Malaysia dan juga pertubuhan-pertubuhan yang menjalankan aktiviti berkaitan isu Palestin di Malaysia. Kuala Lumpur selaku pengerusi OIC dan juga NAM sepatutnya tidak ketinggalan di dalam memperjuangkan isu ini. Penahanan zalim dan penyiksaan yang dilakukan oleh rejim Zionis bukan sekadar menyalahi undang-undang antarabangsa, bahkan ianya juga menyalahi nilai-nilai kemanusiaan. Sudah sampai waktunya untuk OIC dan NAM membincangkan perkara tersebut. Sudah sampai waktunya juga isu tersebut dibawa ke PBB untuk diperbincangkan. Jikalau isu Abu Ghreib telah berjaya mendedahkan pekong di dada penjajahan AS di Iraq dan membuatkan mereka berhati-hati selepas itu, maka isu tahanan Palestin juga sepatutnya mendapat tempat yang sama.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: