jump to navigation

Belang sebenar 'kemunafikan' Umno Disember 17, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Malaysia Baru.
trackback

Oleh: Ahmad Lutfi Othman

Bekas Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah menggesa kerajaan membenarkan pihak pembangkang muncul di televisyen, untuk menjelaskan dasar-dasar dan program mereka, walaupun hanya dalam masa 15 minit pada jam 3 pagi!

Tengku Razaleigh Hamzah semasa mengetuai Parti Melayu Semangat 46 turut membuat desakan yang sama, namun seperti diduga, ia tidak pernah dilayan pemerintah. Hatta untuk membeli ruang iklan dalam akhbar-akhbar harian semasa kempen pilihan raya umum, bagi mempamerkan manifesto parti-parti pembangkang, sesuatu yang wajib diketahui semua pengundi sebelum mereka memangkah, juga ditolak tanpa sebab.

Sebaliknya Umno dan parti-parti komponen BN menikmati (sebenarnya menyalahgunakan kuasa) sepenuhnya ruang dalam akhbar, radio dan tv, bukan saja untuk mempropagandakan diri masing-masing, malah menampilkan sisi-sisi negatif pembangkang, yang sebahagiannya sengaja direka-reka untuk memburukkan oposisi.

Apabila misalnya PAS, KeADILan mahupun DAP mengadakan muktamar tahunan atau perhimpunan agung, yang mana parti-parti ini sebenarnya mewakili hampir 40 peratus suara rakyat, jarang sekali kita boleh menatap liputan perjalanan peristiwa besar itu melalui siaran tv atau akhbar-akhbar utama. Hanya jika ada hal-hal yang kelihatan negatif berlaku, barulah ia disorot, kadang-kadang secara besar-besaran.

Banyak pihak mengkritik peruntukan masa yang begitu panjang oleh stesen tv kerajaan dan swasta dalam slot berita jam 8 malam untuk laporan perhimpunan agung Umno, sedangkan di siangnya pula ucapan dasar, dan kemudiannya ucapan penggulungan presiden Umno disiarkan secara langsung.

Walhal perbahasan di Parlimen, terutama ketika debat belanjawan dan titah diraja, yang pastinya lebih penting untuk diketahui rakyat, tidak pula mendapat layanan seistimewa Umno.

Wang rakyat ternyata dibazirkan untuk satu kegiatan rutin sebuah parti, yang kebetulan menjadi parti pemerintah, sehingga lagu rasminya seolah-olah satu siaran komersial berbayar walaupun segala publisiti itu percuma.

Dan tentunya segala teguran terhadap liputan gilang-gemilang itu tidak pernah mendapat respons sewajarnya kerana bagi pemimpin Umno, parti dan kerajaan tiada bezanya, mereka boleh memperalatkan jentera dan wang kerajaan semahunya demi mempastikan Umno kekal berkuasa.

Bayangkan, di peringkat paling bawah, dewan orang ramai pun boleh bertukar menjadi pejabat Umno cawangan, apatah lagi dengan RTM dan TV3 yang menjadi bilik gerakan Umno-BN setiap kali pilihan raya umum.

Di bawah kepemimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang mendakwa mengamalkan ketelusan, keterbukaan, memandang tinggi integriti dan mengisytiharkan perang terhadap rasuah, tiba-tiba saja perhimpunan agung Umno 2006 diangkat lebih tinggi lagi martabatnya apabila bukan saja ucapan dasar dan penggulungan presiden disiarkan secara langsung, malah keseluruhan perbahasan, termasuk perhimpunan Pemuda, Puteri dan Wanita, boleh ditonton pelanggan Astro.

Kebetulan ketika itu saya cuti sakit selama 10 hari, maka beristirehat panjanglah saya mengadap tv, walaupun sesungguhnya “tv lebih banyak menonton saya daripada saya menonton tv”.

Rasanya sejak ucapan penggulungan presiden Umno disiar terus-menerus pada petang hari terakhir persidangan, saya tidak pernah ketinggalan terpaku di depan tv ataupun berada di PWTC sendiri, namun ketika Abdullah menutup majlis (beliau tidak pun menggulung perbahasan perwakilan) baru-baru ini, dua tiga kali juga saya terlena sehingga terpaksa merujuk transkrip di akhbar esoknya!

Disebabkan saya agak kerap mengikuti perbahasan perwakilan Umno di PWTC saban tahun, saya tidak dapat mengesan adanya kelainan apatah lagi keistimewaan kali ini. Justeru, terpinga-pinga juga saya dalam kebingungan selepas membaca kenyataan Dato’ Seri Najib Razak bahawa siaran langsung Astro itu tidak menggambarkan suasana sebenar yang berlaku dalam Dewan Merdeka.

Najib memberitahu, kontroversi beberapa ucapan perwakilan Umno yang dikatakan membakar sentimen perkauman telah dibincangkan dalam Kabinet dan Kabinet berpandangan tidak sesuai Astro menyiarkannya.

Saya pasti ramai tergaru-garu kepala yang tidak gatal mendengar ulasan Timbalan Perdana Menteri, yang ketika itu ramai mengaitkannya dengan seorang penganalisis politik yang ditahan atas tuduhan berkaitan pembunuhan seorang warga Mongolia.

Bukankah siaran langsung itu dapat mencerminkan wajah sebenar Umno apabila segenap butiran kata pembahasnya dapat diikuti tanpa saringan? Kalau perbahasan muktamar PAS yang boleh “dikerat-kerat dan kemudiannya dicantumkan secara kreatif” menimbulkan rasa tidak selesa aktivis parti Islam itu, semua boleh memahaminya, tapi sungguh pelik bin ajaib jika perhimpunan Umno yang mendapat layanan lebih istimewa daripada perbahasan Parlimen itu boleh mencetuskan rasa marah pimpinannya pula?

Belang dan tembelang permainan bahaya politik Umno didedahkan oleh “jenteranya” sendiri. Timbul persoalan, selama ini perhimpunan Umno nampak “bergaya dan matang” melalui siaran tv dan liputan akhbar kerana telah disunting dan diperelokkan oleh “tukang-tukang putar” profesional, tetapi apabila ia dipersembahkan secara langsung, nampak sangat kehodohannya.

Walhal sandiwara untuk mempamerkan wajahnya sebagai wira bangsa dan jaguh Melayu bukan perkara baru. Kursus-kursus anjuran Biro Tata Negara (BTN) sejak puluhan tahun, termasuk menghasut anak-anak Melayu di sekolah-sekolah, untuk membenci orang Cina, lebih tajam asobiyahnya.

Tragedi hitam 13 Mei dipergunakan semahunya untuk menanamkan dendam kesumat, meskipun sebahagian besar cerita berkenaan peristiwa berdarah itu tidak lebih daripada satu fiksyen sahaja.

Sekurang-kurangnya empat laporan polis telah dibuat oleh DAP kerana merasakan banyak ucapan wakil-wakil negeri dan juga Pemuda di perhimpunan itu menghiris sentimen perkauman. Malah ketua-ketua parti komponen BN turut kurang senang dengan “sandiwara” Umno itu.

Ada akhbar berbahasa Cina dikatakan mendapat teguran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri kerana membuat ulasan secara keterlaluan mengenainya.

Realitinya, pemimpin Umno (termasuk yang sudah bersara) yang bertempik menjadikan orang Cina sebagai kambing hitam di atas kegagalan parti itu untuk mengangkat martabat bangsa Melayu jelas merupakan individu hipokrit.

Mereka juga menjerit mempertahankan Dasar Ekonomi Baru kerana selama ini DEB melonggokkan kekayaan kepada segelintir kecil Umnoputera, itu pun dengan menjual projek kepada usahawan Cina, yang di persidangan itu dihentam kiri-kanan, depan-belakang.

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana riuhnya gelak tawa hadirin jika Almarhum Ustaz Fadzil masih ada dan berpeluang berceramah ke seluruh negara membidas “lakonan tidak menjadi” pemimpin-pemimpin Umno sepanjang perhimpunan mereka yang disiarkan Astro itu.

Apa pun bagi Tengku Razaleigh yang pernah merana disebabkan berita partinya dulu digelapkan media tetap berpandangan tiada yang perlu ditakutkan Umno jika segala yang dibahaskan itu diasaskan kepada kebenaran.

II. Mengapa KeADILan dinafikan hak bersuara?

Apabila kekerapan Harakah dipancung, pada Februari tahun 2000, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, pihak kerajaan, melalui Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi menyatakan penyelarasan dibuat bahawa kes itu terpakai untuk semua lidah rasmi parti politik.

Namun, daleh itu sebenarnya tidak masuk akal, selain untuk menutup peluang rakyat menerima maklumat dan analisis bernas daripada media alternatif. Umno dan komponen BN tidak perlu menerbitkan akhbar masing-masing kerana ia menguasai sepenuhnya seluruh media utama di negara kita dan kalaupun diusahakannya, seperti akhbar Merdeka buat Umno, tiada siapa berminat untuk membaca, apatah lagi membelinya.

Manakala peranan Harakah sebagai sebuah akhbar, yang pernah mencapai jumlah cetakan sebanyak 380,000 naskhah – jauh mengatasi akhbar harian terkemuka sekitar 200,000 sahaja – dihancurkan selumatnya. Kekerapan sekali dalam masa 15 hari hanya sesuai untuk majalah, bukannya akhbar, ditambah jualannya disekat selain untuk ahli.

Lebih buruk lagi, Abdullah yang sudah tiga tahun menjadi Perdana Menteri, tidak bercakap benar apabila bukan semua parti politik berdaftar diberikan permit menerbitkan suara rasmi. Pelik, tapi itulah hakikatnya.

KeADILan dinafikan hak itu meskipun berulang kali turun naik KKDN, dan jaminan Abdullah hampir tujuh tahun lalu, seperti banyak pengakuannya yang lain, terbukti tidak boleh dipegang. Dakwaan bahawa era pemerintahannya lebih terbuka sukar dipercayai apabila hak KeADILan untuk bersuara langsung tidak dihormati.

Tidak mudah untuk rakan-rakan dalam Suara Keadilan bergelut menerbitkan akhbar tanpa permit, apatah lagi memastikannya berkualiti tinggi, dan ia mengingatkan saya pengalaman pahit mengusahakan akhbar dan makalah seumpama itu, sekitar 2000-2003, terutama berdepan risiko dirampas dan diheret ke mahkamah.

Benar operasi rampasan bermusim, namun ia menimbulkan suasana takut, terutama di kalangan pengedar, menyebabkan rangkaian jualannya terbatas. Jarang peniaga akhbar mahu menanggung risiko hanya untuk menjual Suara Keadilan yang keuntungannya cukup kecil.

Satu dua kes mahkamah, dengan denda sekitar RM5,000, selain terpaksa bermalam di lokap, seperti dialami pengedar saya dahulu, sudah cukup menggerunkan. Ini membuatkan asas sokongan utama kepada sesuatu penerbitan lumpuh. Pengedar mungkin meninggalkan beban hutang yang tinggi dan lama kelamaan penerbit boleh gulung tikar.

Saya sendiri tidak pasti apa ukuran sebenar membuatkan kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan akhbar dunia menjadi lebih baik berbanding zaman Mahathir, jika hal-hal yang mudah, seperti memberi permit kepada KeADILan pun belum diluluskan, walhal PAS, DAP dan PRM (sebelum bergabung dalam KeADILan) memperolehinya.

Memang di era Abdullah, tiada lagi akhbar atau makalah diharamkan, seperti Detik, Eksklusif dan Wasilah dulu, selepas Umno menghadapi kemerosotan ketara dalam pilihan raya umum 1999. Kerajaan juga tidak perlu mengetatkan lagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan kerana ia sedia mengongkong, di samping Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan dan ISA yang menyebabkan proses saringan dalaman di meja editorial berjalan lancar.

Apabila permit akhbar tidak lagi dikeluarkan kepada penerbit bebas, maka risiko penggantungan atau pengharaman akhbar tentunya semakin kecil. Harus diingat, KKDN hanya memberikan permit akhbar atau majalah ehwal semasa kepada individu yang diyakininya tidak akan menimbulkan “kekecohan”.

Sebagai contoh, hampir 20 permohonan saya, sejak lima tahun lalu, tidak pernah dilayan, jauh sekali untuk mendapat kelulusan. Ia tergantung begitu saja. KKDN juga tidak menolaknya secara rasmi kerana ia perlu mendapat tandatangan menteri. Mungkin Abdullah tidak mahu “mengotorkan” rekodnya, lalu membiarkan saja permohonan itu tanpa jawapan.

Semua penerbitan yang saya usahakan, dan kemudiannya ditegur, digantung dan diharamkan KKDN, seperti Tamadun, Cabaran, Detik dan Wasilah, “disewa” daripada pihak lain. Pernah pada 1997, penerbit Tamadun dipanggil ke pejabat KDN, ketika itu di Jalan Ipoh, dan di depan saya beliau mendapat amaran keras: “Kalau isu ini berterusan juga (liputan krisis Anwar-Mahathir dan pemecatan Mufti Selangor), yang ditangkap bukan Lutfi, tapi awak sendiri!”

Saya tidak berminat untuk mengemukakan hujah peri pentingnya kebebasan akhbar di negara ini dipulihkan kerana sudah menjadi basi disebabkan begitu kerap diulang kepada pemerintah yang “pekak badak” ini.

BN menguasai 91 peratus kerusi di Parlimen, justeru apa yang dibimbangi Abdullah untuk mendengar suara kebenaran, apatah lagi ketika kempen integriti dan perang terhadap rasuah dilancarkannya. Dan dalam demonstrasi di Suhakam, 24 November lalu, tokoh korporat yang kini Bendahari KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan, menurut kajian dan pengalaman, media bebas lebih mudah untuk mengundang pelaburan luar masuk ke sesebuah negara.

Usaha membanteras rasuah juga bergantung rapat dengan kebebasan media dan kewibawaan badan kehakiman. Jika Abdullah ikhlas mahu mendengar suara dan degup jantung rakyat di bawah, seperti yang sering diulanginya, permit penerbitan bukan hanya perlu diluluskan kepada siapa saja yang memohonnya, malah, seperti cadangan Suhakam, proses memperbaharui permit itu mesti dimansuhkan.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: