jump to navigation

Kembara Sufi Sub Sahara: Pengaruh Ulama Hadramaut di Afrika Timur (Episod 5) Disember 20, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Kaki Bangku

Episod 2-4 sebelum ini menceritakan tentang gerakan tajdid sufi Tijaniyya dan Qadiriyya di sebelah barat sub Sahara. Masih banyak kembara sufi yang boleh diceritakan di kawasan ini, tapi sebelum kita mendalaminya eloklah saya beralih sebentar ke kawasan timur Afrika, terutamanya di negara Somalia, Tanzania, Kenya, Zanzibar dan Kepulauan Comoros.

Aliran pemikiran fiqh dan tasawwuf Islam kawasan tersebut banyak dipengaruhi oleh saudagar dan sayyid Sunni Shafii Ba Alawi dari Hadramaut. Golongan ini amat terkenal sebagai pembawa risalah Islam di kota-kota pesisiran Lautan Hindi, termasuk Kepulauan Melayu sendiri. Saya berpendapat bahawa penguasaan mereka dalam bidang agama mahupun pelayaran dan perniagaan wajar diteladani pemuda-pemuda yang menyimpan hasrat menjadi “Protaz” atau “Uspro”. Rami dari kalangan keturunan dari Hadramaut yang memang terlatih dalam ilmu Islam ini dilantik menjadi qadi. Malah, merekalah yang mengepalai pelaksanaan undang-undang Shariah di bawah Kesultanan Zanzibar. Antara yang tersohor di pulau Zanzibar dan tanah semenanjung Afrika ialah Shaykh Ahmad ibn Sumayt (qadi Zanzibar) dan Shaykh Abdullah BaKathir (pengasas Madrasat BaKathir). Madrasah-madrasah pimpinan ulama Hadramaut ini menyediakan alternatif terbaik kepada sistem pendidikan sekular penjajah British pada zaman tersebut.

Aliran tasawwuf yang disampaikan oleh ulama-ulama ini dikenali sebagai Alawiyya. Ibn Sumayt menggariskan aliran pemikiran ini dalam kitabnya Tuhfat al-Labib. Beliau menukilkan isnadnya melalui, yang pertama, al-Faqih al-Muqaddam Muhammad b. Ali (d. 1255). Isnad kedua pula melalui Shu’ayb Abu Madyan yang juga mempengaruhi aliran Shadhiliyya. Barangkali atas sebab inilah aliran Shadhiliyya dan Alawiyya memiliki banyak persamaan.

Dari segi nasab pula, dua kumpulan terawal di Afrika Timur ialah nasab al-Jamalullail dan Al Shaykh Abi Bakr bin Salim yang berhijrah ke Lamu (Kenya), Mombasa dan Malindi antara kurun ke-16 hingga ke-18. Malangnya, saya tidak temui mana-mana huraian mengenai amalan tariqat golongan-golongan awal ini. Yang tercatat hanyalah generasi baru yang berhijrah setelah kemunculan Kesultanan Oman dan Zanzibar seperti Shaykh Ahmad ibn Sumayt sendiri.

Mereka sungguh berpengaruh walaupun bukan penduduk asal Afrika Timur. Antara faktor penguasaan mereka terhadap institusi-institusi pendidikan dan undang-undang di Afrika Timur ialah penekanan mereka terhadap pendidikan agama dan amalan-amalan bersanad dari Rasulullah s.a.w. yang diwarisi secara turun-temurun dalam ruang lingkup tradisi Sunni Shafii.

Selain itu, mereka menguasai ekonomi melalui jaringan perniagaan yang dipermudahkan dengan adanya ikatan kekeluargaan yang ketat dengan saudara-mara mereka di serata dunia. Hal ini dijayakan melalui usaha mencatat genealogi yang teliti dan dijaga rapi, sama ada nasab keluarga mahupun sanad ilmu.

Dalam mengadapi fitah Wahhabiyya di tanah Arab, ulama Hadramaut di Afrika Timur mengambil pendirian Shaykh Ahmad Zayni Dahlan dan Shaykh Muhammad b. Said Babsayl (guru kepada Ibn Sumayt). Mereka menolak amalan tradisi Waungwana yang mempunyai unsur-unsur khurafat namun sahutan reformis mereka masih kekal dalam ruang lingkup tradisi sufi Alawiyya.

Pendirian ini tidak berbeza dengan gerakan-gerakan tajdid sufi lain yang sudah lama berusaha menjauhkan masyarakat daripada fahaman khurafat sebelum kemunculan Wahhabiyya lagi. Bila mana gerakan Wahhabiyya ini cuba menjatuhkan empayar Uthmaniah, Ibn Sumayt dalam khutbah jumaatnya di Zanzibar pula mendoakan kesejahteraan Sultan Uthmaniah.

Tuntasnya, amalan Islam di Afrika Timur dipimpin oleh ulama sufi Alawiyya dari Hadramaut seperti juga yang terjadi di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Situasi di Afrika Timur sedikit berbeza dengan sebelah barat kerana Islam sudah lama bertapak di sini. Kehadiran ulama Alawiyya memperkukuhkan lagi pegangan Sunni Shafii dan aplikasinya dalam undang-undang negara dan sistem pendidikan madrasah.

Sumber rujukan:

1. Nimtz, August H (1980). Islam and Politics in East Africa. The Sufi Order in Tanzania
2. Bang, Anne K (2003). Sufis and Scholars of the Sea. Family Networks in East Africa, 1860-1925.
3. Ho, Engseng (2006). The Graves of Tarim.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: