jump to navigation

Bush dan Ahmadi Nejad: Serupa tapi tak sama! Disember 22, 2006

Posted by ummahonline in Intifadha, Kolum.
trackback

Oleh: Maszlee Malik

Syadi Faqeh, seorang penulis Syiah dari Lubnan telah melontarkan satu fakta yang menarik. Di dalam bukunya Ahmadi Nejad, Wa al-Thawrah al-‘Alamiyyah al-Muqbilah (Ahmadi Nejad, Dan Revolusi Sedunia yang hampir), beliau telah membuat perbandingan di antara Bush dan juga Ahmadi Nejad.

Kedua-dua pemimpin tertinggi negara yang bermusuh itu telah cuba dibandingkan melalui sudut yang amat unik. Melalui perbandingan yang telah beliau lakukan, ternyata terdapat banyak persamaan di antara kedua-duanya berbanding dengan perbezaan. Walaupun “persamaan” merupakan perkataan yang digunakan, namun persamaan-persamaan tersebut bukanlah bererti mereka berdua sama dalam setiap sudut yang diperbincangkan. Bak kata pepatah Melayu, serupa tapi tak sama.

Persamaan Bush dan Ahmadi Nejad

Antara persamaan tersebut ialah:-

S1: Kedua-dua Bush dan Ahmadi Nejad mewakili golongan Konservatif dan golongan ekstrimis kanan aliran masing-masing. Bush mewakili golongan Kristian Avengalist dan golongan neo-konservatif di dalam politik As, manakala Ahmadi Nejad pula mewakili golongan konservatif Syiah (Hujjatiyeh) di dalam politik Iran.

S2: Kedua-duanya juga merupakan idealis di dalam memperjuangankan ideologi masing-masing.

S3: Kedua-dua Bush dan Ahmadi Nejad mempunyai matlamat mengamankan dunia dari musuh-musuh mereka yang dianggap sebagai Syaitan. Bush sentiasa menjadikan segala polisi luar negaranya langkah untuk menjaga keamanan dunia dari ancaman paksi kejahatan (Iran, Korea Utara dan Syria). Ahmadi Nejad pula berjuang untuk menghapuskan kejahatan “Mustakbirin” yang membawa kemusnahan kepada dunia. Mustakbirin tersebut adalah Rejim Zionis Israel dan juga AS.

S4: Kedua-duanya beranggapan bahawa mereka sedang melaksanakan misi Tuhan untuk tujuan tersebut.

S5: Kedua-dua Bush dan Ahmadi Nejad tidak mengenal erti toleransi dan bertolak ansur dengan musuh-musuh mereka. Apabila berhadapan dengan musuh masing-masing, kedua-duanya akan bersifat agresif dan juga tegas. Ucapan-ucapan Bush mengenai Iran, dan juga ucapan-ucapan Ahmadi Nejad mengenai AS cukup menjadi bukti kepada sikap masing-masing terhadap musuh.

S6: Kedua-dua mereka juga begitu mengimani teori pertembungan antara dua tamadun, Islam dan Barat (Kristian).

S7: Bush sentiasa mendapatkan nasihat-nasihatnya daripada para pemimpin Avengalist seperti Pat Robertson, Jerry Farewell dan lain-lain di dalam persoalan politik. Ahmadi Nejad pula sentiasa mendapatkan pandangan daripada para ulama merangkap pemimpin spiritualnya seperti Syeikh Misbah al-Yazdi dan Syeikh Jawad al-Amuli.

S6: Bush merupakan Datuk Bandar Texas, manakala Ahmadi Nejad pula merupakan Datuk Bandar Irdibil.

S7: Kedua-dua mereka telah menggantikan orang yang mereka anggap tidak menepati kehendak Tuhan di dalam karier politik mereka. Bush menggantikan Clinton yang rosak akhlaknya dan dianggap oleh Bush sebagai orang yang engkar kepada perintah Tuhan. Ahmadi Nejad pula menggantikan Khatimi yang dianggap oleh beliau sebagai penyebab kepada keruntuhan akhlak muda-mudi di Iran.

S8: Kedua-dua mereka menjadikan agenda memperbaiki masyarakat dan memerangi keruntuhan moral sebagai polisi dalam negara AS dan Iran.

S9: Ketika Bush menerima perlantikan sebagai Presiden AS, beliau telah mewarnai Rumah Putih dengan acara-acara keagama Kristian. Beliau juga telah memperhebatkan usaha keagamaan Kristian di dalam pentadbirannya. Bush juga telah mengadakan kelas Injil di dalam Rumah Putih sebagai aktiviti hariannya. Ahmadi Nejad juga terkenal dengan usahanya memperhebatkan upacara-upacara keagamaan. Beliau juga amat pro-aktif di dalam usaha memperkembangkan ajaran Syiah, di samping usahanya mengadakan kelas agama sebagai program harian di kediaman Presiden Iran.

Jesus dan al-Mahdi di dalam politik AS-Iran

S10: Bush begitu beriman dengan aqidah kedatangan semula Jesus untuk membawa 1000 tahun kegembiraan. Ahmadi Nejad juga begitu kuat mengimani aqidah kebangkitan semula Imam al-Mahdi Syiah yang akan membawa keamanan kepada dunia.

S11: Bush mempersiapkan polisi-polisi luar AS sebagai persiapan untuk menantikan kebangkitan semula Jesus yang diyakini beliau semakin hampir. Lobi Kristian Zionis di dalam kumpulan Neo-Konservatif di kongres AS telah membantu beliau untuk menjayakan misi tersebut. Ahmadi Nejad pula mempersiapkan segala kekuatan dan memusatkan segala usaha negaranya untuk menyambut kebangkitan al-Mahdi yang dianggap semakin hampir. Kumpulan ulama dan juga pengawal revolusi akan sentiasa bersama beliau untuk memastikan polisi Iran adalah selari dengan persiapan mereka untuk menyambut kebangkitan tersebut.

S12: Bush begitu mengimani peperangan besar (Amagedon atau Apocalypse war) di Palestin di antara Yahudi dan orang Arab. Peperangan tersebut menjadi pra-syarat terakhir sebelum munculnya Jesus. Ahmadi Nejad pula mengimani peperangan besar yang akan berlaku di Palestin di antara Yahudi dan umat Islam di bawah pimpinan Imam al-Mahdi. Kedua-dua mereka sedang menantikan peperangan tersebut. Bush melalui polisi luarnya sentiasa melindungi kaum Yahudi Zionis sebagai persiapan untuk peperangan tersebut. Ahmadi Nejad pula sedang memperhebatkan usaha mengumpulkan kekuatan demi peperangan berkenaan.

S13: Kebanyakan pengikut-pengikut Bush mempercayai bahawa beliau akan menjadi pemimpin tentera di dalam peperangan Armagedon. Para pengikut Ahmadi Nejad juga ramai yang mempercayai bahawa Ahmadi Nejad akan menjadi pemimpin tentera al-Mahdi.

S14: Bush meyakini antara pra-syarat kedatangan semula Jesus adalah perhimpunan orang-orang Yahudi di bumi Palestin. Ahmadi Nejad pula meyakini bahawa al-Mahdi akan muncul semula apabila kaum Yahudi telah berkumpul di Palestin dan juga setelah mereka menawan Masjid al-Aqsa.

S15: Bush membuat pentafsiran kepada suasana politik berdasarkan pentafsiran semula kitab perjanjian lama (Old Testament) di dalam Bible. Ahmadi Nejad pula membuat pentafsiran kepada suasana politik semasa berdasarkan al-Quran dan juga riwayat-riwayat daripada Imam-imam Syiah.

S16: Bush menganggap Iran sebagai tentera Dajjal, Ahmadi Nejad pula menganggap AS sebagai tentera Dajjal.

S17: Bush menganggap penjajahan AS ke atas Iraq sebagai langkah awal kepada kemunculan Jesus. Ahmadi Nejad pula menganggap ianya sebagai petanda awal kedatangan al-Mahdi.

S18: Bush beriman bahawa perlindungan AS kepada “Israel” adalah tanggungjawab aqidah. Ahmadi Nejad pula meyakini bahawa kehancuran “Israel” pula sebagai perkara aqidah.

S19: Bush beriman bahawa Kitab Perjanjian Lamanya ada memberikan petunjuk bahawa usaha untuk menghancurkan “Israel” akan menyeberangi Iraq. Di atas kepercayaan inilah beliau mempersiapkan kekuatannya di kawasan berkenaan sebagai persiapan untuk peperangan Armagedon. Ahmadi Nejad pula meyakini bahawa tentera al-Mahdi yang akan menghancurkan “Israel” untuk membebaskan al-Aqsa akan menyeberangi Iraq. Beliau begitu meyakini kata-kata Khomeini yang mengatakan bahawa “Jalan untuk membebaskan al-Aqsa akan melalui Karbala!”.

S20: Kedua-dua Bush dan Ahmadi Nejad mempercayai bahawa Baitul Maqdis bakal menjadi ibu kota kepada kerajaan Tuhan di muka bumi.

Perbezaan Bush dan Ahmadi Nejad

Mengenai perbezaan pula, walaupun tidak banyak, namun ianya amat ketara. Syadi telah mengumpulkan beberapa perbezaan utama. Ini termasuklah:-

B1: Bush merupakan anak orang kaya, bapanya seorang mantan presiden dan seorang jutawan. Ahmadi Nejad pula merupakan anak seorang tukang besi yang miskin.

B2: Bush dilahirkan dan dibesarkan di dalam istana milik keluarganya di Texas. Ahmadi Nejad dilahirkan dan dibesarkan di dalam rumah buruk milik keluarganya yang miskin di dalam perkampungan di pinggir bandar Tehran.

B3: Bush merupakan seorang pelajar yang pemalas dan nakal di sekolah dan di kolej. Ahmadi Nejad pula merupakan seorang yang cerdik dan rajin di sekolah dan universiti serta memiliki sijil PhD.

B4: Bush melarikan diri daripada khidmat ketenteraan AS. Ahmadi Nejad pula pernah menjadi tentera selama enam tahun dan terlibat di dalam peperangan di barisan hadapan. Beliau juga pernah tercedera beberapa kali di dalam pertempuran.

B5: Bush merupakan ahli aktif di dalam kelab besbol di kolej, manakala Ahmadi Nejad pula merupakan seorang aktivis kelab keagamaan ketika di Universiti.

B6: Bush hidup di dalam kemewahan dan juga di dalam istananya di Texas dan juga di Rumah Putih. Ahmadi Nejad pula hidup secara zuhud dan sederhana di dalam rumah kecilnya di pinggir Tehran.

B7: Bush merupakan seorang jutawan dan telah membelanjakan jutaan dollar AS untuk kempen pilihanraya beliau. Ahmadi Nejad pula merupakan seorang yang sederhana dan tidak menghabiskan walau seriyal Iran pun sewaktu kempen pilihanraya.

Hari ini, Asia barat bagaikan menjadi saksi kepada pergelutan kuasa di antara kedua-dua negara AS dan Iran. Isu nuklear Iran, perang Hizbullah-“Israel” , isu Iraq dan lain-lain lagi. Kedua-dua buah negara diterajui oleh mereka yang mempunyai agenda tersendiri. Kedua-dua negara dipandu oleh pemimpin yang berjuang bermotifkan ideologi. Kedua-duannya juga sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi peperangan yang besar. Apakah mungkin cukup bagi dunia kedua-dua pemimpin seumpama ini ataupun dunia memerlukan lebih dari dua orang pemimpin yang serba kontreversi ini? Atau mungkin juga dunia tidak memerlukan kepada pemimpin-pemimpin seperti kedua-dua pemimpin ini?

Apa yang pasti, peta politik Asia Barat tidak lagi seperti dulu selepas ini akibat dari pentadbiran kedua-dua pemimpin berkenaan!

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: