jump to navigation

Kempen Rahmatan Lil ‘Alamin untuk membela Nabi Muhammad SAW Januari 10, 2007

Posted by ummahonline in Intifadha, Kolum.
trackback

Oleh: Maszlee Malik”Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah menyempurnakan cahayaNya walaupun orang-orang kafir membencinya. Dia (Allah) telah mengutuskan rasulNya dengan hidayah dan juga agama yang benar untuk mengatasi agama-agama kesemuanya, walaupun orang-orang musyrik membencinya” (Surah al-Saff: ayat 8 dan 9)

Semenjak hari awal Islam diisytiharkan oleh Rasulullah SAW, cubaan dan dugaan silih berganti dan tidak kunjung reda. Onar dan juga makar dari pelbagai pihak yang memusuhi Islam juga tidak jemu-jemu menjenguk. Matlamat, objektif dan juga modus operandinya sama, yang berbeza Cuma watak dan juga zaman. Walau bagaimanapun, seperti yang telah dijanjikan oleh Allah SWT, kesemuanya akan digagalkan oleh Allah SWT. Allah SWT akan tetap menjaga agamanya sehinggalah datangnya hari kiamat.

Dewasa ini kita dikejutkan dengan usaha jahat sesetengah pihak yang kurang senang dengan Islam. Kegilaan pihak-pihak yang terdesak di barat amat mengejutkan umat Islam. Pihak-pihak tersebut akhirnya telah mengambil langkah drastik dengan memberikan promosi buruk kepada Islam. Tidak cukup dengan kempen mengaitkan Islam dengan keganasan, malah kini peribadi Rasulullah SAW mereka cuba cemari. Menggunakan media dan juga wasilah propaganda mereka, akhirnya mereka cuba memburuk-burukkan peribadi Rasulullah SAW. Taktik keji ala “Zaman kegelapan Eropah” (Medievel European Period) ini terpancar pada kenyataan biadap tokoh Evangelist AS, Pat Robertson pada tahun 2002, kelancangan akhbar Jyllen Posten Denmark menyiarkan karikatur-karikatur menghina baginda SAW pada 12 September 2005, kenyataan kurang sopan Pope Benedict ke-16 beberapa bulan yang lalu, dan akhir sekali sekali lagi syarikat filem Denmark menayangkan filem menghina baginda SAW baru-baru ini.

Reaksi ini muncul akibat realiti yang tidak dapat mereka terima, iaitu fenomena kebangkitan Islam di bumi AS dan juga di Eropah secara drastik. Ramainya golongan warga AS dan Eropah memeluk Islam telah menjadikan Islam sehingga detik ini masih lagi diiktiraf sebagai “The Fastest Growing Religion” (Agama yang paling pantas berkembang). Walaupun kempen menempelkan slogan keganasan terhadap Islam terus menerus dilakukan, namun ianya gagal menyekat perkembangan Islam. Semakin buruk gambaran diberikan kepada Islam, semakin ianya membuka minat kepada manusia di dunia tersebut untuk mengetahui tentang Islam. Apabila mereka telah mengetahui tentang Islam, maka mereka akan segera tertarik kepada keindahan dan kebenarannya. Apabila mereka telah tertarik, maka mereka tidak akan melepaskannya. Fenomena sebeginilah yang berlaku di sana.

Selain daripada itu, pertambahan saiz demografi golongan minoriti Muslim, terutamanya di Eropah, juga menjadi faktor kekalutan sestengah pihak tersebut. Pope Benedict ke-16 sendiri menyifatkan ianya sebagai mengancam identiti Kristian Eropah. Tatkala masyarakat Eropah memilih untuk hidup dengan gaya liberal dan tidak berkahwin, masyarakat Islam pula semakin produktif melahirkan anak. Tatkala masyarakat Eropah memilih untuk mengurangkan bilangan anak, masyarakat Islam di Eropah pula memilih untuk beranak ramai. Populasi Turki Muslim, Arab Muslim, dan India Muslim di benua Eropah semakin bertambah saban hari. Saiz demografi masyarakat Eropah non-muslim pula semakin mengecil. Keadaan akan menjadi semakin rnacak jika Turki diterima untuk menyertai Kesatuan Eropah. Bilangan rakyat Turki berjumlah lebih 70 juta orang itu sudah cukup untuk meningkatkan populasi Muslim di benua Eropah.

Di atas dasar tersebutlah, Pope benedict ke-16 dan juga pihak-pihak yang bersetuju dengannya menolak penyertaan Turki ke dalam Kesatuan Eropah (EU). Kemasukan negara yang mempunyai lebih 70 juta penduduk Islam itu akan memberkan kesan jangkamasa panjang kepada Eropah. Majalah Economist bulan Jun yang lalu ada membuat liputan mengenai fenomena Islam di Eropah. Di dalam liputan yang tidak berapa komprehensif itu, kebanyakan laporan melihat kepada potensi Islam untuk menjadi agama utama di kota-kota besar Eropah menjelang tahun 2050. Hal ini amat menakutkan golongan seperti Pope Benedict dan juga lain-lain pihak yang seumpama beliau.Akhirnya, mereka terpaksa mengambil jalan kotor dengan menghentam peribadi Rasulullah SAW. Fenomena menghentam peribadi Nabi Muhammad SAW dewasa ini di barat adalah bukti bagaimana sesetengah pihak sudah berada di dalam keadaan gubra. Pihak-pihak tersebut kini menjadi kalut, kelam kabut dan juga terdesak. Taktik kotor yang mereka ambil itu adalah merupakan senjata terakhir yang dapat mereka gunakan untu memadamkan “cahaya Allah”.

Setelah kempen “Islam Phobia” ala zaman kegelapan Eropah diasak bertubi-tubi gagal, kini mereka terpaksa mengambil jalan yang paling kotor. Maka, sekarang ini, peribadi Nabi Muhammad sebagai Nabi umat Islam dijadikan sasaran. Mereka berharap dengan menggambarkan beliau sebagai pengganas, kaki perempuan dan rendah akhlak akan dapat menjauhkan masyarakat Eropah daripada Islam. Malangnya mereka tersilap langkah, semakin mereka bersikap melampau, semakin itulah masyarakat semakin diperkenalkan kepada Islam dan juga Nabi Muhammad. Faktor dunia tanpa sempadan tidak mereka ambil kira, akhirnya masyarakat yang inginkan kebenaran akan cuba mencari maklumat yang sebenar. Apabila mereka mendapat gambaran yang sebenar, akhirnya mereka akan mengikuti kebenaran.

Di dalam menyikapi isu ini, Dr Yusuf al-Qaradawi dan beberapa ulama lain di Qatar telah melancarkan satu kempen. Kempen yang bersifat aman ini timbul dari kesedaran bahawa ramai lagi penduduk dunia yang tidak mengenali peribadi Rasulullah SAW. Akibat kejahilan ini, maka mereka mungkin akan terpengaruh dengan dakyah pihak-pihak yang cuba merosakkan imej Rasulullah SAW. Maka kempen “Rahmatan lil Alamin” bertujuan untuk mengadakan kempen mempromosikan Rasulullah SAW secara besar-besaran di Eropah dan di seluruh dunia dilancarkan. Kempen tersebut telah dirasmikan pelancarannya di ibu kota Qatar, Doha. Al-Qaradawi menggesa umat Islam agar menjadi agen mempromosikan Rasulullah SAW yang dikenali sebagai pecinta kedamaian, pecinta kemanusiaan dan juga individu yang agung ini kepada masyarakat Eropah yang rata-ratanya jahil tentang Islam.

Kempen yang dianjurkan oleh pertubuhan Jam’iyyah al-Balaagh al-Thaqafi itu telah diadakan pada 10 Oktober yang lalu. Program berkenaan dimulakan pada jam 10 malam dan berakhir pada jam 3 pagi. Program malam itu telah dirasmikan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Qarah al-Daghi, kedua-duanya mewakili laman web Islam Online, dan juga beberapa penceramah terkenal dunia Arab seperti Amru Khaled, Muhammad al-Ewadhi dan lain-lain lagi. Pakar motivasi Arab yang terkenal dari Kuwait, Dr Tareq Sweidan juga telah menyertai program tersebut melalui talian konfrens video. Antara yang menyertai program pada malam itu juga adalah para artis yang telah bertaubat dari serata dunia Arab, seperti Shamsul Barudi, Hassan Yusuf, Yasmin al-Hushori, Abir al-Sharqawi dan lain-lain lagi.

Program malam tersebut, selain merupakan pelancaran kempen “Rahmatan Lil ‘Alamin”, ianya juga bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi tujuan kempen. Program itu telah menyaksikan bagaimana sumbangan derma bernilaiaan jutaan ringgit telah berjaya diperolehi di dalam tempoh beberapa jam sahaja. Para artis yang menghadiri turut mendermakan perhiasan emas dan pertama mereka untuk menjayakan kempen berkenaan. Beberapa jutawan dan pemimpin masyarakat di Qatar juga turut serta di dalam menyalurkan sumbangan. Al-Qaradawi telah mengungkitkan bagaimana perkumpulan paderi-paderi Kristian pernah berhimpun di wilayah Colorado, AS untuk mengumpul dana demi menjayakan kempen mengkristiankan umat Islam sedunia. Di dalam perjumpaan tersebut, para paderi berkenaan telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak 100 juta Dollar AS di dalam satu malam sahaja. Al-Qaradawi menggesa umat Islam, terutamanya mereka yang mendiami negara-negara teluk yang kaya raya dari hasil minyak untuk mengorbankan wang ringgit mereka demi menjayakan misi suci berkenaan.

Beliau dan juga Dr Qarah al-Daghi telah mengeluarkan fatwa harusnya mengeluarkan zakat untuk tujuan berkenaan. Al-Qaradawi menamakannya sebagai zakat “al-Asr” ataupun zakat kontemporari. Saluran zakat kepada usaha dakwah ini, menurut beliau lagi, termasuk di dalam asnaf “jihad fi sabilillah”. Beliau juga telah berfatwa harusnya menyalurkan duit riba dan juga wang syubhat untuk dana kempen berkenaan. Beliau menggesa para jutawan teluk yang menyimpan duit di bank-bank Eropah agar mengambil faedah simpanan berkenaan dan menyalurkannya kepada kempen tersebut. Dana tersebut kan digunakan sepenuhnya untuk menjayakan kempen dakwah berkenaan.

Program pada malam itu juga telah menyaksikan perasmian laman web khusus untuk mempromosikan Rasulullah SAW di dalam pelbagai bahasa. Laman web berkenaan akan dipautkan kepada laman web Islam online. Buat sementara ini ianya bakal dikendalikan di dalam dua bahasa utama, iaiaut Arab dan Inggeris. Selepas itu mereka akan mengusahakan ruangan untuk bahasa-bahasa Eropah yang lain seperti bahasa Jerman, bahasa Peranchis dan lain-lain lagi. Logiknya, sebanyak 47% masyarakat Eropah boleh berbahasa Inggeris, maka ianya perlu diberikan keutamaan. Manakala bahasa Jerman pula merupakan bahasa pertuturan bagi 32% masyarakat Kesatuan Eropah, dan 28% pula berbahasa Peranchis. Mereka juga melihat kebarangkalian untuk mengadakan siaran-siaran televisyen khusus untuk tujuan berkenaan. Sudut yang menarik dari kempen ini ialah usaha memberikan latihan intensif mengenai Islam dan juga Rasulullah SAW kepada 40 orang penggiat media dari Eropah telah dimulakan semenjak malam berkenaan lagi. Mereka diharapkan dapat menjadi penghubung di antara kempen berkenaan dengan media arus perdana di negara-negara Eropah.

Kempen tersebut mempunyai tiga tumpuan utama aktivisme. Tumpuan yang pertama ialah ruang internet (online), dengan penumpuan diberikan kepada laman-laman web. Tumpuan yang kedua pula adalah ruangan cetakan dan penyebaran. Usaha menyebar luaskan bahan-bahan melalui ruang visual dan juga fizikal. Buku-buku, liflet-liflet, risalah-risalah dan juga lain-lain wasilah akan diterbitkan di dalam bentuk online, cd dan juga percetakan fizikal. Tumpuan ketiga pula adalah ruang forum terbuka di antara cerdik pandai dari Eropah dengan ulama-ulama Islam terkemuka. Dr Yusuf al-Qaradawi mesasarkan bulan November sebagai tarikh bermulanya kempen secara intensif dan besar-besaran di negara-negara Eropah. Beliau juga menyeru agar kempen tersebut dijayakan secara pro-aktif. Kempen tersebut menyasarkan juga agar setiap individu Eropah yang bukan Islam akan berpeluang mengetahui gambaran sebenar mengenai Rasulullah SAW dan juga Islam itu sendiri.

Kempen “Rahmatan Lil ‘Alamin” ini merupakan satu inisiatif yang kena tepat pada waktunya. Kempen itu juga merupakan satu usaha yang kreatif dan benar-benar relevan. Usaha agresif dan juga responsif yang emosional tidak akan memberikan apa-apa impak jangka masa panjang. Tindakan kempen ini juga menjadi amat bermakna apabila ianya dikepalai oleh Dr Yusuf al-Qaradawi sebagai ulama rujukan kaum Muslimin sedunia, dan juga disokong oleh pendakwah paling terkenal di negara-negara Arab, Amru Khaled.

Di Malaysia, masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia juga memerlukan kempen seumpama ini. Lihatlah berapa ramai di kalangan umat Islam Malaysia yang jahil tentang Rasulullah SAW dan agama Islam. Masyarakat bukan Islam di Malaysia pun sepatutnya diberikan peluang untuk mendapatkan maklumat yang sahih mengenai Rasulullah SAW dan Islam. Tuntutan untuk memberikan dakwah dan memperkenalkan Islam dan Rasulullah SAW kepada masyarakat Malaysia amat-amat mendesak. Umat Islam di Malaysia yang sedar, perlu bersikap pro-aktif. Janganlah mereka menunggu sehingga berlakunya penghinaan terhadap Rasulullah Saw di Malaysia barulah mereka hendak melatah. Mungkin Dr al-Qaradawi menjadikan Eropah sebagai sasaran utama kempen berkenaan memandangkan bilangan non-muslim di sana yang ramai, namun keadaan di Malaysia pun tidak kurang hebatnya. Persoalannya siapakah yang akan mengambil cabaran untuk menjayakan kempen “Rahmatan Lil ‘Alamin” peringkat Malaysia ini?

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: