jump to navigation

Hasan Turabi dan Gerakan Islam di Sudan Januari 11, 2007

Posted by ummahonline in Fiqh al-Waqi'.
trackback

Oleh: Saari Sungib

Setelah Revolusi 1952 di Mesir, kerajaan Mesir menandatangani satu perjanjian dengan Britain bagi menamatkan pemerintahan bersama Mesir dan Britain di Sudan. Sudan diberikan hak untuk mewujudkan kerajaan sendiri dalam tempoh tiga tahun. Keadaan tersebut sekali gus telah membuka ruang yang lebih besar bagi perkembangan gerakan Ikhwan di Mesir.

Pengaruh Ikhwan di Sudan telah pun bermula pada pertengahan tahun 1940an lagi. Syeikh Ali Talibullah, yang pernah ditarbiyyah sendiri oleh Hasan Al-Banna telah menerajui penubuhan Ikhwan di Sudan.

Pemimpin-pemimpin lain yang menggerakkan Ikhwan Sudan adalah Al-Rashid At-Tahir Bakr, Dafala Alhaj Yousef, Mohamed Al-Khair Abdel Gadir, Abdel Rahman Rahama dan Babiker Karrar.

Walau bagaimanapun, perkembangan Ikhwan di Mesir dan pembunuhan Hassan Al-Banna pada tahun 1949 secara berasingan telah menyemarakkan lagi semangat pelajar-pelajar universiti tempatan terhadap Ikhwan. Bahkan mereka menggelarkan diri mereka secara terbuka sebagai Ikhwan Muslimun di kampus-kampus universiti Khartoum dan Omdurman.

Dalam masa yang sama, suasana politik di Sudan sudah berubah. Parti-parti politik telah wujud bagi menentukan halatuju masa depan politik Sudan. Demikian juga golongan komunis, sosialis dan haluan kiri semakin bertapak dalam politik Sudan.

Dalam pilihanraya umum pada Disember 1953, parti berhaluan kiri pimpinan Ismail al-Azhari telah menang. Beliau menjadi perdana menteri pertama Sudan pada Januari 1954.

Pada 19 Disember 1955, parlimen menetapkan Sudan sebagai sebuah negara merdeka. Pada 1 Januari 1956, tentera Mesir dan British berundur dari bumi Sudan. Dengan itu pada hari tersebut rasmilah kemerdekaan Sudan.

Dua tahun kemudian, pada 17 November 1958, dalam satu kudeta tidak berdarah Jeneral Ibrahim Abboud telah menggulingkan kerajaan Ismail Al-Azhari.

Abboud memerintah melalui satu junta tentera. Junta telah mengharamkan parti-parti politik, perhimpunan, rapat-rapat umum serta akhbar. Tumpuan junta pimpinan Abboud hanya dalam pembangunan ekonomi Sudan.

Bermula Oktober 1964, pelajar-pelajar universiti tempatan bangkit. Mereka membelakangkan perintah junta tentera. Perhimpunan dan demonstrasi diadakan. Junta tentera semakin terpisah daripada rakyat. Akhirnya pada tahun itu juga Abboud berundur.

Sudan ditadbir oleh kerajaan peralihan di bawah Khatim Al-Khalifah. Pilihanraya diadakan pada Mei 1965 untuk menubuhkan kerajaan perwakilan rakyat. Sebuah kerajaan campuran parti-parti politik yang diketuai oleh Parti Ummah berjaya membentuk kerajaan. Pada tahun 1966, Sadiq Al-Mahdi, presiden Parti Ummah yang berusia 30 tahun ketika itu mengambil alih sebagai Perdana Menteri.

Keadaan politik Sudan tidak menentu. Pakatan kerjasama dengan selatan Sudan mula retak. Pada Mei 1969 Kolonel Jaafar Al-Numeiry memimpin kudeta dan merampas kuasa.

Setelah lapan tahun Numeiry berkuasa, puak komunis Sudan berjaya menjalankan kudeta. Komunis merampas kuasa dari 19 hingga 22 Julai 1971. Namun rampasan kuasa puak komunis itu berjaya dipatahkan. Numeiry kembali ke tampuk kuasa.

Walau bagaimanapun, tentangan terhadap Numeiry terus berlaku dari puak-puak politik kanan, kiri dan Islam. Konfrontasi berdarah kerap berlaku dalam persengketaan politik tersebut.

Sekali lagi pada bulan Julai 1976 kerajaan Numeiry terselamat daripada percubaan kudeta yang dirancang dari luar negara oleh Hussein Al-Hindi dan bekas perdana menteri, Sadiq Al-Mahdi.

Akhirnya pada tahun 1977, Numeiry bersetuju untuk mewujudkan musolahah atau perdamaian dengan Parti Ummah dan Ikhwan. Dari situlah bermulanya penonjolan kepimpinan Hasan At-Turabi.

Turabi dilahirkan pada tahun 1932 daripada keluarga yang mewarisi 400 tahun tradisi keilmuan Islam. Beliau mempelajari Al-Quran sejak kecil lagi dan menguasai ilmu-ilmu yang terkandung di dalamnya. Beliau lulus dalam bidang undang-undang di Universiti Khartoum pada tahun 1955 dan bertugas sebagai pensyarah di universiti tersebut.

Semasa menjadi pelajar beliau dan rakan-rakannya telah memperkenalkan diri mereka sebagai Ikhwan Muslimun di kampus-kampus tempatan.

Beliau seterusnya mendapat ijazah sarjana undang-undang dari University of London pada tahun 1957 dan PhD undang-undang dari Sorbonne pada tahun 1964. Sekembalinya ke Sudan beliau menjawatan jawatan dekan di Universiti Khartoum.

Turabi memainkan peranan penting dalam Revolusi 1964 untuk menjatuhkan rejim junta pimpinan Abboud. Turabi merupakan ideolog dan intelek utama bagi kebangkitan pelajar-pelajar universiti menentang junta tentera itu.

Selepas Revolusi Oktober 1964, Turabi meletakkan jawatan sebagai pensyarah. Beliau bertukar daripada seorang intelek politik Islam untuk menjadi aktivis politik Islam sepenuh masa.

Selepas Revolusi Oktober, gerakan Ikhwan Sudan sudah pun mencecah 20 tahun usianya. Pada masa itu, seolah-olah telah wujud jurang dalam Ikhwan Sudan di antara generasi pengasas yang diwakili oleh Ali Talibullah dan Al-Rashid At-Tahir dengan generasi muda yang dikepalai oleh Turabi.

Pada masa yang sama, Ikhwan di Mesir sedang berdepan dengan mehnah dan tribulasi. Sayyid Qutb dan pemimpin-pemimpin Ikhwan merengkok dalam penjara rejim Jamal Abdul Nasir. Sebagian besar anggota dan aktivis Ikhwan Mesir ditahan dan diseksa dalam penjara. Anggota-anggota di luar bergerak bawah tanah.

Suasana ini jugalah yang mencengkam tanzim Ikhwan di Sudan. Tribulasi di Mesir dirasakan getarannya oleh Ikhwan di Sudan. Ikhwan Sudan juga turut membuat keputusan untuk bergerak bawah tanah. Bahkan, kira-kira ada persamaannmya di antara waqi’ di Sudan dengan waqi’ di Mesir ketika itu. Waqi’ di mana tanzim Ikhwan ditindas oleh rejim tentera. Mesir dan Sudan adalah sama saja!

Keadaan itu menjadikan Ikhwan Sudan dilihat beku. Ikhwan tidak terlibat dalam perkembangan politik arus perdana. Ikhwan tidak dilihat signifikan dan relevan dalam kemelut yang mencabar. Ia tidak terlibat secara aktif dalam waqi’ politik yang memerlukan penjurusan dan pengarahan. Berterusan dalam keadaan begitu akan menjadikan gerakan Islam jumud dan tidak relevan. Potensi pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya tidak boleh dianjakkan untuk menjadi aset ummah.

Ikhwan Sudan mesti muncul! Kemunculannya dinanti-nantikan. Pemimpin-pemimpinnya mesti terjun dalam arus perdana sosio-politik Sudan. Itulah laungan generasi muda gerakan Islam pimpinan Turabi.

Akhirnya satu jalan tengah dicapai. Ikhwan Sudan kekal bawah tanah, tetapi front terbuka diwujudkan untuk terjun menangani isu-isu politik semasa. Front ini diterajui oleh Turabi.

Keputusan tersebut telah melonjakkan peranan gerakan Islam yang bertradisikan fikrah Ikhwan dalam waqi’ politik Sudan. Turabi lebih dikenali daripada pemimpin-pemimpin Ikhwan bawah tanah. Front telah menjadi lebih relevan daripada jamaah induk. Front jadi jamaah, jamaah tidak lagi relevan!

Sebaik sahaja Numeiry merampus kuasa melalui kudeta, Turabi dipenjarakannya. Kemaraan front politik pimpinannya dikekang. Turabi meneruskan peranannya sebagai ideolog dan practitioner bagi gerakan Islam semasa dalam penjara. Beliau menulis pemikiran politiknya ke arah modus operandi perjuangan Islam di Sudan. Turabi merengkok di penjara Numeiry selama lapan tahun.

Penulisan Turabi mempengaruhi pemikiran aktivis pelajar dan front politik yang diterajuinya. Pertembungan antara rejim Numeiry dengan gerakan pelajar dan aktivis Islam berpanjangan. Gelombang politik menimbulkan kesesahan politik pelbagai puak di Sudan. Setelah bertambah lemah, akhirnya pada tahun 1977, Numeiry bersetuju untuk mewujudkan musolahah dengan Parti Ummah dan Ikhwan. Turabi dianggap mewakili Ikhwan. Turabi dibebaskan dari penjara. Beliau dilantik menjadi menteri undang-undang dalam kabinet Numeiry.

Keputusan tersebut mewujudkan keretakan dalam Ikhwan, iaitu di antara jamaah induk dengan front. Turabi hanya mewakili front, bukan jamaah. Kepimpinan jamaah induk tidak seiring dengan keputusan Turabi dan front yang diketuainya. Namun kedua-dua menganggap bahawa masing-masing mewarisi tradisi perjuangan Ikhwan. Turabi dan ahli-ahli front pimpinannya menganggap mereka Ikhwan. Namun anggapan itu ditolak oleh jamaah induk.

Dalam era 1980an, jamaah induk pimpinan Sadiq Abdullah Abdulmajid terus mengukuhkan hubungan dengan Ikhwan di Mesir. Sedangkan Turabi memberi tumpuan dalam membangunkan gerakan Islam dan parti politik bagi mencorakkan waqi’ politik di Sudan. Kedua-duanya merintis haluan yang berbeza!

Proses musolahah di antara Turabi dengan Numeiry ada pro dan kontranya. Pronya pada masa itu adalah ia membolehkan tatbiq syariah dioperasionalkan di bawah satu framework kuasa pemerintahan. Kontranya, gerakan Islam yang mewarisi tradisi perjuangan Ikhwan berpecah dua!

Ketika proses tatbiq syariah berjalan lancar, Sudan dikenakan pelbagai tekanan dan serangan. Konflik di selatan semakin menjadi-jadi. Amerika dan kuasa Barat memberi pelbagai bantuan kepada kesemua sembilan negara yang berjiran dengan Sudan bagi menekan Sudan.

Secara tiba-tiba wujud kumpulan-kumpulan pemisah di sempadan Sudan dengan Mesir, Libya, Chad, Eriteria, Ethiopia, Republik Afrika Tengah, Congo, Uganda dan Kenya. Bantuan Amerika kepada pemimpin puak pemisah di selatan yang diketuai oleh John Garang datang mencurah-curah.

Ketika inilah Numeiri menjadi goyah. Beliau cuba menunjukkan semula kesetiaannya kepada Amerika dan kuasa-kuasa Barat.

Semasa lawatannya ke Amerika Syarikat pada awal 1985, satu kudeta yang diketuai oleh Lt. Jeneral Abdurrahman Swar Al-Dhahab telah diadakan. Numeiry dibuang negeri ke Mesir.

Dalam tempoh setahun, Swar Al-Dhahab mengadakan pilihanraya umum. Beliau menyerahkan semula pemerintahan kepada suara rakyat. Parti Ummah pimpinan Sadiq Al-Mahdi menang tetapi terpaksa mewujudkan pakatan politik dengan parti pimpinan Turabi. Kerajaan akhirnya dibentuk dengan Sadiq Al-Mahdi menjadi perdana menteri dan Turabi menjadi timbalannya.

Walaupun Sadiq Al-Mahdi adalah adik iparnya sendiri, pertikaian politik Turabi dengan Sadiq Al-Mahdi semakin meruncing. Dasar-dasar Sadiq Al-Mahdi sukar diterima oleh parti pimpinan Turabi. Keresahan politik berterusan dalam waqi’ politik Sudan.

Pada awal 1989, satu kudeta tidak berdarah tercetus sekali lagi. Sadiq Al-Mahdi digulingkan dan Brig Jeneral Omar Hassan Ahmed El-Bashir mengambil alih tampuk kuasa. Ramai pemerhati menyifatkan Turabi memainkan peranan penting dalam mengorkestrasikan kudeta tersebut!

Apa pengajarannya kepada gerakan Islam? Banyak! Persoalan-persoalan penting di sekitar politik dan dakwah, gerakan dan wadah, tarbiyyah dan populariti, murabbi dan aktivis dan juga pengaruh massa dan kuasa pemerintahan mesti dihalusi secara mantap.

Bagaimana pula dengan persoalan melaksanakan syariat Islam melalui kudeta?

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: