jump to navigation

AS menjadikan Saddam 'Hero'! Januari 15, 2007

Posted by ummahonline in Intifadha\', Kolum.
trackback

Oleh: Maszlee Malik

Lewat upacara “menggantung” Saddam Hussein mantan diktator Iraq, pelbagai analisis telah muncul. Namun, apa yang pasti terdapat dua tanggapan utama yang telah mendominasi pandangan umum di kalangan masyarakat Islam ekoran peristiwa tersebut.

Pertamanya, Saddam dianggap sebagai hero kelompok Sunni Iraq yang telah dizalimi oleh AS. Keadaan beliau yang begitu berani, teguh dan telah mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum digantung telah menjadikan beliau seorang wira. Tanggapan kedua pula ialah kaum Syiah merupakan golongan yang paling teruk teraniaya di zaman Saddam. Penggantungan Saddam diumpamakan sebagai korban kaum Syiah di hari raya Aidil Adha 1427 mereka. Laungan berbau Syiah dari mereka yang hadir sewaktu penggantungan Saddam telah dianggap sebagai upacara balas dendam di atas pembunuhan kaum Syiah Iraq di zaman pemerintahan Saddam Hussein.

Adakah kedua-dua tanggapan ini benar? Di dalam menyikapi kedua-dua tanggapan ini, fakta, rasional dan juga analisis perlulah dijadikan ukuran. Emosional dan juga prasangka bukanlah jawapan yang tepat.

Fakta yang perlu diketahui ialah Saddam bukanlah wira Ahli Sunnah di Iraq. Beliau tidak pernah, dan mungkin juga tidak terlintas untuk mengaku bahawa beliau adalah wira kaum Sunni Iraq. Perjalanan politik beliau menyaksikan manusia bernama Saddam ini merupakan seorang diktator yang tidak mewakili mana-mana kumpulan di dalam kelompok taburan kaum di Iraq. Seawal kemunculannya di alam politik melalui Parti Baath, beliau telah memulakannya dengan siri-siri pembunuhan tanpa memilih kaum. Percubaan membunuh Jeneral Abdul Karim Qassim, pemimpin tentera Iraq yang telah menggulingkan Raja Faisal ke-2, merupakan medan awal Saddam membina karier politiknya. Komplot yang berlaku pada tahun 1959 itu seperti yang diketahui oleh ramai pihak, merupakan onar AS di rantau berkenaan. Kegagalan komplot tersebut telah membuatkan Saddam telah melarikan diri ke luar negara. Hanya selepas tahun 1964 beliau telah pulang semula ke Iraq, dan telah dipenjarakan sehingga tahun 1967.

Sebagai seorang penganut fahaman Baath, beliau tidak mewakili mana-mana pihak. Di dalam parti Baath, semua pihak turut terlibat. Ideologi Baath tidak mengenal Sunni, Syiah, Kristian, mahupun Atheist. Mereka disatukan di atas semangat Sosialis kebangsaan Arab. Pada tahun 1968, beliau telah dilantik menjadi Timbalan Presiden Iraq selepas kejayaan Parti Baath menggulingkan Presiden Iraq pada ketika itu, Abdul Rahman Arif. Karismatik beliau menyerlah pada waktu tersebut lantas menenggelamkan kilauan bintang Presiden Iraq pada waktu itu, Ahmad Hassan al-Bakr. Walaupun al-Bakr telah bertanggung jawab membawa Saddam ke kedudukannya di dalam parti dan di dalam negara, namun akhirnya beliau digulingkan oleh Saddam sendiri. Kedudukan beliau sebagai timbalan presiden Iraq dan juga Jeneral tentera telah memberikan peluang besar kepada Saddam untuk meluaskan pengaruhnya. Di sebalik krisis minyak pada tahun 1973, Irqa telah berjaya menjadi negara pengeluar minyak utama dunia. Dana yang melimpah ruah itu telah digunakan oleh Saddam untuk pembangunan negara Iraq yang moden. Pada 16 Julai 1979, al-Bakr akhirnya terpaksa melepaskan jawatannya kepada Saddam selepas dipaksa dan dikenakan tekanan yang kuat.

Presiden Saddam

Perkara pertama yang dilakukan oleh Saddam di awal hari-harinya menjadi presiden ialah menghapuskan segala ancaman dalaman. Beliau memulakan operasi pemutihan tersebut melalui dalam parti Ba’ath sendiri. Seramai 68 anggota tertinggi Ba’ath telah ditangkap dan dipenjarakan, manakala 22 daripada mereka telah dijatuhkan hukuman bunuh. Beliau juga telah menghapuskan undang-undang Syariah di Iraq yang telah diamalkan semenjak zaman Raja Faisal lagi. Beliau berjaya menjadikan Iraq satu-satunya negara teluk yang menganut fahaman sekular ekstrim.

Beliau juga telah menubuhkan “Tentera Rakyat” yang bertanggungjawab menjadi pelindung kepada rejimnya. Jabatan perisikan dalaman atau Mukhabarat pula menjadi jentera utama Saddam di dalam menjamin keutuhan rejim tersebut. Barzan Ibrahim, adik tiri Saddam merupakan individu yang dipercayai oleh Saddam untuk mengetuainya. Jabatan tersebut dikenali dengan kekejaman dan juga keganasan yang dilakukan ke atas mana-mana pihak yang disyaki boleh menjadi ancaman kepada rejim. Rakyat Iraq secara keseluruhannya, samada Sunni, Syiah, Kristian, Yahudi, Sosialis, Ba’ath dan kesemuanya menjadi saksi kepada keganasan Mukhabarat era Saddam. Kesemuanya tidak terlepas menjadi prospek untuk disiksa, diazab, disiat-siat, dipotong, dihancurkan, diletupkan, dan juga dibunuh oleh jabatan yang paling digeruni di Iraq era Saddam ini.

Jika kaum Syiah mendakwa mereka merupakan mangsa utama keganasan Saddam, itu perlu diteliti semula. Kaum Kurdi merupakan pihak yang paling banyak menanggung derita sebenarnya di bawah keganasan rejim Saddam. Perjuangan kemerdekaan kaum Kurdi yang cuba memisahkan diri mereka daripada Iraq untuk membentuk negara merdeka kaum Kurdi telah menjadi sasaran utama Saddam. Bukan hanya sekadar perkampungan Kurdi diserang dan para pejuang mereka telah dibunuh dengan kejam, seramai 200,000 rakyat Kurdi juga telah dibuang negara pada tahun 1975. Perjanjian di antara Saddam dengan pemerintah Iran pada waktu itu, Shah Reza Pahlavi telah menjadi sebab utama pengusiran beramai-ramai tersebut.

Peristiwa Halabja juga tidak sepatutnya dilupakan oleh masyarakat dunia. Pada 16 Mac 1988, rejim Saddam telah membunuh lebih 5000 rakyat Kurdi dan mencederakan 10,000 yang lain melalui serangan menggunakan gas beracun. Serangan tersebut merupakan sebahagian daripada kempen “operasi Anfal” yang sekarang ini dibicarakan di Iraq walaupun selepas kematian Saddam. Jerman dikenali sebagai pembekal gas beracun tersebut, manakala AS dan Iran juga turut terlibat di dalam serangan berkenaan.

Jika kaum Syiah merasakan diri mereka teraniaya melalui pembunuhan 148 kaum Syiah di perkampungan Djeil, maka kaum Sunni juga berhak merasakan yang sama. Kaum ulama Sunni, golongan cerdik pandai, dan yang paling ramai adalah aktivis gerakan Islam merupakan mangsa kekejaman rejim Saddam. Ribuan dari kalangan aktivis dan ulama gerakan Ikhwan al-Muslimin juga tidak terlepas daripada menjadi habuan pembunuhan dan komplot penyembelihan rejim Saddam. Ribuan dari kalangan mereka juga telah meninggalkan Iraq dan berhijrah ke negara-negara lain. Adalah tidak adil mengatakan bahawa Saddam merupakan wira ahli Sunnah. Tidak adil juga jika kaum Syiah ingin memonopoli gelaran “magsa kekejaman Saddam”. Walau bagaimanapun perlu diingat, kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan oleh penjajah AS sekarang ini adalah jauh lebih dahsyat dari kekejaman Saddam! , perlu diingat juga, keganasan tentera al-Mahdi milik Muqtada Sadr ke atas kaum Sunni juga tidak kurang hebatnya dengan apa yang dilakukan oleh pihak penjajah!

Hubungan luar Saddam

Semenjak tahun 1972, Iraq mempunyai hubungan yang amat rapat dengan Soviet Union melalui Saddam. Kebanyakan persenjataan Iraq pada waktu tersebut dibekalkan oleh Soviet Union. Keadaan ini akhirnya berubah di akhir tahun-tahun 70’an. Penjajahan Afghanistan, hubungan intim Soviet dengan Iran dan juga polisi keras kerajaan Iraq terhadap parti komunis Iraq telah mengeruhkan hubungan tersebut. Era Saddam menyaksikan Iraq mula menjadi rakan barat, terutamanya AS yang menjadi seteru utama Soviet Union pada zaman perang dingin Barat-Timur.

AS bukan hanya menjadi pembekal senjata kepada Saddam, malah juga turut menjadi rakan ekonomi dan juga penasihat kepada rejim Saddam. Peperangan di antara Iraq dengan Iran telah menjadi saksi bagaimana AS telah menjadi penyokong kuat Iraq dan pembekal senjata utama mereka. Perancis, Britain dan Jerman juga turut menjadi rakan pembekal senjata kepada Saddam. Peperangan Iraq-Iran merupakan peluang bagi kuasa-kuasa barat menjual senjata-senjata mereka kepada Saddam. Segala usaha Saddam untuk “menghentikan pemberontakan dalam negara”, samada dengan membunuh kaum Kurdi, Syiah, Sunni dan komunis sentiasa mendapat sokongan negara-negara tersebut.

Setiap tindakan Saddam yang melibatkan penggunaan senjata merupakan ruang bisnes bagi negara-negara tersebut, terutamanya AS. Serangan Saddam ke atas wilayah Khuzestan Iran yang telah mencetuskan peperangan Iraq-Iran, menurut sesetengah penganalisis politik telah mendapat restu dari AS. AS yang tidak mahu pengaruh Iran menguasai rantau tersebut telah berusaha membekalkan senjata kepada Iraq. Malah, menurut laporan pembicaraan ke atas syarikat Matrix Churcill (pembekal senjata dari Britain kepada Saddam) pada tahun 1996 oleh Lord Justice Scott, AS dan Britian tetap membekalkan senjata kimia kepada Saddam selepas peristiwa Halabja pada tahun 1988.

Ketika Saddam terpaksa menanggung hutang sebanyak USD 75 billion pasca peperangan Iraq-Iran, negara-negara tersebut membiarkannya. Saddam merasakan kemenangan beliau ke atas Iran merupakan khidmatnya kepada negara-negara Teluk lain yang turut merasakan Iran sebagai ancaman mereka, terutamanya Kuwait. Berdasarkan persepsi tersebut, Saddam telah memaksa Kuwait untuk menghapuskan hutangnya dengan Kuwait sebanyak USD 30 billion. Kuwait, walau bagaimanapun tidak tunduk kepada paksaan tersebut. Hubungan di antara Iraq dan Kuwait menjadi tegang selepas itu, dan ditambahkan dengan beberapa insiden lain. Akhirnya, selepas mendapat restu daripada AS melalui mesyuarat sulit Saddam dengan duta AS di Iraq, April Glaspie pada 25 Julai 1990, Saddam telah menyerang dan menawan Kuwait. Malangnya, Saddam tidak menyedari bahawa komplot tersebut hanyalah sebahagian daripada tipu helah AS untuk menguasai lebih banyak kawasan di rantau tersebut.

Pelajaran bagi para pemimpin Arab

Peperangan Teluk yang pertama telah menyaksikan AS yang dahulunya menjadi sekutu dan pembekal utama senjata kepada Saddam telah bertukar menjadi musuh Saddam dan Iraq. Beralasankan untuk melindungi Kuwait dan Arab Saudi, akhirnya AS berjaya bertapak di bumi Teluk. Kini, Saddam pula menjadi mangsa. AS tetap mendapat keuntungan dari pelanggan-pelanggan baru mereka. Kuwait dan Arab Saudi akhirnya menjadi pembeli utama senjata-senjata lapuk dan lama milik tentera AS. Negara-negara Teluk yang lain juga akhirnya turut terheret ke dalam kancah peperangan tersebut dan terpaksa menjadi sekutu dan pembeli utama senjata-senjata AS. Saddam yang dahulunya menjadi rakan rapat AS kini telah menjadi seteru dan terpaksa membawa rakyatnya ke dalam kancah peperangan dan penderitaan. Peperangan Teluk 1991 dan juga pasca peperangan tersebut telah menyaksikan rakyat Iraq menderita dan sengsara. Tidak kira, samada Sunni,Syiah, Kurdi, Kristian dan sesiapa sahaja, kesemuanya menderita akibat sekatan ekonomi dan juga tekanan yang dihadapi oleh Iraq. Kesengsaraan tersebut terus berlanjutan sehingga kini akibat penjajahan AS ke atas bumi Iraq semenjak tahun 2003.

Pelajaran utama yang perlu diambil oleh para diktator Arab, mereka tidak boleh sekali-kali mempercayai AS sepenuhnya. AS dan kuasa-kuasa barat yang lain hanyalah sekumpulan penyamun yang tidak jujur di dalam persahabatan mereka. Mereka hanya faham bahasa Dollar dan peluru sahaja. Samada hubungan dengan AS adalah untuk menjadi sekutu, agen, mahupun rakan, ianya akan berakhir dengan pengkhianatan dari pihak AS sendiri. Walaupun mungkin ada yang akan mengatakan, penggantungan Saddam merupakan pengajaran kepada para pemimpin Arab agar tidak melawan AS, namun pada hakikatnya ia merupakan pengajaran kepada mereka agar tidak menjadi sekutu AS sebelum melawan mereka.

Tidak hairanlah jika Anas al-Tikriti, penganalisis politik dari Britain ketika diwawancara mengenai penggantungan Saddam telah mengeluarkan satu pertanyaan yang menarik. Beliau bertanyakan, ke manakah mereka yang telah bertanggung jawab membekalkan Saddam dengan persenjataan?, mengapa tidak diheret sekali mereka ke perbicaraan? dan mengapakah mereka tidak biwa ke tali gantung bersama Saddam?

Tidak salah juga jika kita bertanyakan, bagaimana pulakah dengan jenayah penjajah AS di Falujah, Samura, al-Qaim, Ramadi dan di seluruh Iraq semenjak tahun 2003. Jika Saddam seorang diktator dan berhak menerima hukuman gantung, Bush juga berhak diadili sedemikian rupa di atas kematian ratusan ribu rakyat Iraq sehingga hari ini. Beliau juga berhak menerima hukuman gantung seperti Saddam!

Walaupun Saddam seorang diktator dan juga seorang yang kejam, namun sikap beliau terhadap Israel berhak menerima pujian. Sebagai seorang pemimpin Arab yang tegas dan berprinsip di dalam menyikapi isu Palestin-Israel, beliau sepatutnya menjadi contoh. Sekurang-kurangnya sikap beliau ini lebih mulia daripada sikap Iran yang pernah membeli senjata dan mempunyai hubungan dengan Israel lewat peperangan Iraq-Iran. Skandal pembelian senjata “kontra-Iran” dengan Israel bukanlah satu rahsia di kalangan pengamat politik Timur Tengah.

Saddam dan Syiah

Video rakaman perlaksanaan hukuman gantung ke atas Saddam telah menaikkan kemarahan majoriti Ahli Sunnah. Jika sewaktu peperangan Israel-Hizbullah ramai yang mula bersimpati dan menghulurkan tangan persahabatan kepada Syiah, kini segalanya berubah. Syiah dilihat oleh majoriti Sunni di seluruh dunia sebagai musuh dalam selimut dan juga sebagai kelompok yang membenci Ahli Sunnah dengan kebencian yang melampau. Keadaan lebih keruh lagi apabila latar belakang hukuman ke atas Saddam itu telah didominasi oleh kelompok Syiah. Kerajaan Syiah yang wujud sekarang merupakan kerajaan majoriti Syiah. Hakim bicara kes Djeil Saddam merupakan seorang Syiah yang sudah tentunya berpihak kepada kaum Syiah Djeil. Pendakwaraya juga seorang Syiah. Sehinggakan mereka yang terlibat dengan perlaksanaan hukuman gantung Saddam juga merupakan seorang Syiah.

Bagi rakyat Iraq, pertumpahan darah kaum Sunni akibat perbuatan kaum Syiah adalah sama seperti perilaku tentera penjajah AS. Agak tidak keterlaluan jika dikatakan keganasan puak Syiah adalah lebih dahsyat lagi. Tentera al-Mahdi milik Muqtada Sadr dikenali seluruh Iraq sebagai “kumpulan maut” yang menjadikan kaum Sunni sebagai mangsa mereka. Kementerian Kesihatan yang dikuasai oleh menteri Syiah dan juga para pegawai Syiah telah menyediakan kubur terbuka bagi kaum Sunni di hospital-hospital di Iraq. Persoalan yang timbul, apakah sememangnya Syiah semuanya bersikap ganas sebegini?

Terdapat beberapa persoalan yang mengundang analisis mendalam mengenai hubungan kelompok Syiah di dalam perlaksanaan hukuman gantung Saddam. Persoalan ini dapat dilihat berdasarkan beberapa keadaan yang mendahului hukuman ke atas Saddam.

Pertamanya, 30 ahli parlimen dan enam menteri dari kumpulan Muqtada Sadr pernah memboikot parlimen Iraq. Boikot tersebut merupakan protes mereka ke atas pertemuan PM Iraq, Nuri al-Maliki dengan Presiden Bush di Amman, Jordan pada bulan November 2006.

Kedua, Boikot berkenaan diikuti dengan tindakan boikot secara keseluruhan dari kumpulan Sadr ke atas politik Iraq. Hal ini menyebabkan kelompok Syiah yang membentuk kuasa majoriti merasa bimbang. Ketiadaan kumpulan Sadr akan mengurangkan kuasa mereka, sekaligus menafikan penguasaan mereka ke atas suasana politik Iraq. Demi menyelamatkan keadaan, beberapa pertemuan di antara pemimpin-pemimpin Syiah Iraq telah berlangsung. Sadr sendiri telah dikunjungi oleh kebanyakan pimpinan Syiah demi memujuknya agar membawa kumpulan beliau kembali ke parlimen.

Ketiga, Perlaksanaan hukuman gantung Sadr yang telah dilakukan secara tergesa-gesa itu telah dihadiri oleh beberapa “orang” dari kumpulan Sadr. Kebanyakan daripada mereka adalah di antara individu yang telah memboikot parlimen Iraq. Seluruh alam telah menjadi saksi kepada peristiwa tersebut. Sorakan nama Muqtada dan juga laungan nama bapanya Muhammad Baqir Sadr yang telah dibunuh oleh rejim Saddam pada tahun 1984 bergema di dalam bilik di mana hukuman tersebut dilaksanakan.

Adakah ini semua secara kebetulan?, ataupun ianya mempunyai kaitan? Mengapakah penjajah AS sanggup menyerahkan Saddam untuk diperlakukan sedemikain rupa oleh kerajaan “Syiah” Iraq?

Adakah ianya sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan sokongan daripada kumpulan Sadr ?, bukankah Kementerian Pertahanan AS di dalam laporan mereka pada bulan Disember 2006 yang lalu pernah menyifatkan tentera al-Mahdi milik Sadr merupakan “Ancaman utama kepada keamanan di Iraq”, maka mereka perlu dijinakkan.

AS dan Sadr

AS tahu walaupun Sadr dan kumpulannya merupakan ancaman kepada AS dari kalangan Syiah di Iraq, namun kumpulan tersebut juga amat memusuhi golongan Sunni. Kebanyakan serangan ke atas ulama sunni, tempat-tempat ibadat dan juga golongan awam Sunni telah dilakukan oleh tentera al-Mahdi milik Sadr. Tentera militan yang terdiri daripada para samseng, penagih dadah dan juga penyamun tersebut telah dilatih oleh Hizbullah di Lubnan. Harapan Sadr, mereka inilah bakal menjadi tentera Imam al-Mahdi Syiah yang akan melawan Israel dan juga melenyapkan Ahli Sunnah dari peta Asia Barat.

Kewujudan mereka diperlukan oleh AS demi menjamin keadaan tidak stabil di Iraq. Keadaan tidak stabil di Iraq akan terus memberikan justifikasi kepada AS untuk terus menguatkan pengaruh mereka di negara pengeluar minyak tersebut. Berbillion Dollar yang telah mereka laburkan sebagai modal di Iraq tidak akan dibiarkan tanpa hasil yang berlipat ganda. Bagi golongan Kristian Zionis pula, kekuatan kelompok Syiah yang diharapkan akan menguasai Asia Barat adalah mukadimah untuk peperangan Armagedon yang mereka harapkan. Golongan Sunni terlalu lemah menurut perkiraan golongan Kristian Zionis untuk melancarkan peperangan ke atas Israel. Peperangan besar tersebut menurut perkiraan golongan Kristian Zionis akan membawa kepada kemenangan Israel. Kemenangan tersebut juga akan membawa kepada kedatangan Jesus yang mereka impikan.

Di atas sebab-sebab inilah, skrip penggantungan Saddam ini telah berlangsung dengan licin. Penggantungan Saddam hanya akan mengundang keadaan yang lebih buruk di Iraq. Peperangan saudara di antara kaum Sunni dan Syiah di Iraq akan bertambah buruk. Keamanan di seluruh Iraq bagaikan utopia di waktu ini. Maka berjayalah AS mengukuhkan lagi kedudukan mereka. Mungkin juga tidak salah kita mengatakan, bahawa AS telah menjadikan penggantungan Saddam sebagai batu loncatan untuk penguasaan terus AS ke atas rantau Asia Barat.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: