jump to navigation

Meluruskan Pluralisme Agama Januari 16, 2007

Posted by ummahonline in Telaah Buku.
trackback

Oleh: Zacky Khairul Umam

Buku: Islam dan Pluralisme: Akhlak Quran Menyikapi Perbezaan
Pengarang: Jalaluddin Rakhmat
Terbitan: Serambi, September 2006
Halaman: 292
ISBN: 979-1112-36-3

Apakah hanya Islam agama yang diterima Allah? Dengan kata lain, apakah orang yang beragama selain Islam, seperti Kristian, Hindu, Buddha, akan memperoleh keselamatan di sisi Allah? Apakah bukan-Islam juga menerima pahala amal salehnya? Lantas kenapa Tuhan menciptakan agama yang bermacam-macam? Kenapa Allah tidak menjadikan semua agama itu satu saja? Apa tujuan penciptaan berbagai agama itu? Bagaimana seharusnya kita menyikapi perbezaan ini?

Deretan pertanyaan itu meletupkan kontroversi. Kang Jalal, sapaan akrab cendekiawan muslim Jalaluddin Rakhmat, mencuba menyingkap tabir jawabannya melalui penelusuran doktrin pluralisme dalam Alquran. Melalui buku Islam dan Pluralisme: Akhlak Quran Menyikapi Perbezaan ini, Kang Jalal menelusuri analisis bahasa dan telaah yang tajam atas ragam tafsir yang ada untuk mendedahkan makna sejati Islam dan agama (din), mengungkap semangat firman Allah dalam memandang agama-agama lain, dan merumuskan bagaimana kita beriman secara autentik di tengah pluraliti kebenaran itu.

Kang Jalal ingin memperlihatkan bahawa pluralisme, berdasarkan dasar teologis Alquran, bukan faham penyamarataan yang menjelaskan semua kelompok agama benar, atau semua kelompok agama sama (hlm 23). Tidak! Ada ayat-ayat yang menegaskan bahawa semua golongan agama akan selamat selama mereka beriman kepada Allah, hari akhir, dan beramal saleh (al-Baqarah: 62, al-Maidah: 69, dan al-Hajj: 17).

Bagaimana dengan makna esoterik Islam dan agama (din)? Dalam pembacaan yang eksklusif atas Ali ‘Imran: 85, “Barang siapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”, dan Ali ‘Imran: 19, “Sesungguhnya agama itu di sisi Allah ialah Islam”, keselamatan diperoleh melalui Islam sebagai agama formal.

Namun, menurut telaah berdasarkan makna hakiki dalam tafsir, Kang Jalal berhujah, bahawa makna Islam pada ayat tersebut adalah Islam yang umum, yang meliputi semua risalah langit, bukan Islam dalam erti istilah”.

Makna Islam ialah tunduk, patuh, dan pasrah atau berserah diri . Sedangkan pengertian pokok din ialah kepatuhan atau kepasrahan. Berdasarkan kesamaan makna asalnya, din sama saja dengan Islam, sehingga pengertian Ali ‘Imran: 19 ialah: “Sesungguhnya kepatuhan di sisi Allah adalah kepasrahan”.

Penegasan makna dasar ini ialah bentuk penekanan teologis seperti yang dilakukan Almarhum Nurcholish Madjid untuk mencari akar pluralisme dalam Islam. Sandaran pada Alquran dan juga hadis beserta ragam tafsirnya, seperti yang dilakukan Kang Jalal, membawa pada pengertian Islam secara umum sebagai “agama penyerahan diri kepada Tuhan”.

Tuhan menurunkan bermacam-macam agama sesuai dengan ajarannya masing-masing (syir’at-un wa-minhaj), untuk saling berlumba-lumba mencari kebenaran. Itulah sunnatullah yang menunjukkan bahawa agama-agama merupakan ragam kebenaran secara eksoterik. Adapun secara esoterik agama-agama berporos pada tujuan yang sama, yakni Tuhan itu sendiri yang Maha Benar. Pluralisme ditegaskan melalui iman yang benar kepada Tuhan sebagai kepasrahan total terhadap ajaran-ajarannya. Inilah iman dalam erti fideistik, yang memanifestasikan iman di atas rasionaliti.

Kang Jalal, mengikuti Muthahhari, mendedahkan bahawa Islam yang dianut sebagai agama rasmi lebih banyak pengertiannya sebagai “Islam geografi”, Islam yang diperoleh kerana lingkungan. Sebaliknya, Islam sebagai sebuah ajaran selaku agama yang dijalankan oleh siapa pun untuk memasrahkan diri secara total kepada kebenaran dalam hatinya, ialah Islam aktual (al-Islam al-waqi’iy), keberislaman yang diperoleh melalui pengalaman rohani, “yang memikul ruhiyyah samawiyyah” .

Bila ada orang yang telah berusaha mencari kebenaran, lalu ia menerima kebenaran itu dengan sepenuh hati, tetapi ia tidak memeluk agama Islam, Tuhan tidak akan mengazabnya (hlm 50).

Akar doktrin autentik pluralisme dalam Islam, oleh kerananya, merupakan sebuah etika moral secara teologis. Inilah bagaimana sesungguhnya kitab suci menjawab ragam pluraliti kebenaran.

Lantas, apakah orang yang beragama selain Islam, seperti Kristian, Hindu, Buddha, dan lainnya akan diterima di sisi Allah? Kang Jalal menegaskan, “Sebagai al-Mustanirun (tercerahkan), anda akan berkata bahawa agama adalah jalan menuju Tuhan seperti dikatakan para sufi, jalan menuju Tuhan sebanyak nafas manusia” (hlm 63). Ini menegaskan kasih sayang Tuhan seluas langit dan bumi dan manifestasi-Nya meliputi percik-percik kebenaran yang berbeza.

Dampak logik dari doktrin pluralisme tersebut ialah tampilnya akhlak sebagai cara ungkap kita terhadap realiti the other. Akhlak yang menuntun setiap diri untuk saling menghormati dan menghargai, bukan mencibir dan menghakimi. Akhlak yang tampil dari kesedaran mendalam akan iman, baik secara vertikal terhadap Tuhan mahupun secara horizontal dengan sesama. Bahawa yang absolut hanya Tuhan, sedangkan manusia serba-nisbi. Oleh kerana itu, tidak etis memaksakan kebenaran sebagai sesuatu yang mutlak dan monolitik.

Berkaitan dengan pluraliti dalam agama Islam, Kang Jalal mengajak untuk meminggirkan perbezaan tafsir parsialistik (zhanniy), sembari mengedepankan akhlak silaturahmi untuk menjalin ikatan persaudaraan. Inilah keimanan pluralis Kang Jalal yang mendahulukan moraliti di atas kemajmukan, dan sesungguhnya menyembunyikan spiritualiti yang amat mendalam.

Sebagai cendekiawan sekaligus ustadh, Kang Jalal menemukan epifani yang semakin mencerahkan, justeru dengan perenungan melalui pemikiran kembali terhadap cara keberagamaan selama hidupnya, yang ia akui sendiri sebagai proses reinventing traditions. Lebih tepatnya, penemuan kembali keimanan pluralis yang autentik dan sejati.

Buku ini disajikan dengan gaya bahasa yang menawan, segar, cerdas, dan mengajak kita menelaah berbagai wacana keislaman tentang pluralisme. Lebih dari itu, Kang Jalal ‘mengembara’ dalam fenomena keberagamaan kontemporari: dari cara mengenal Tuhan ( ma’rifatullah) hingga menjadi manusia, dari fundamentalisme hingga atheisme, dan dari penegakan syariat hingga ketelusan sosial.

Kang Jalal mengajak kita berdialog melalui hati dan pengalaman tentang keberagamaan kita, sejauh mana mengenali Tuhan dan menggali kedalaman makna hidup. Lebih dari sekadar ungkapan idiom Islam, buku ini sangat asyik dihayati dalam menemukan kesejatian, termasuk Anda yang bukan-Islam. Selamat berdialog dengan hati.

Komen-komen»

1. Raga - Jun 18, 2008

Matilah dalam keadaan Islam!!


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: