jump to navigation

Memahami Kezaliman ISA (10) Januari 16, 2007

Posted by ummahonline in ISA.
trackback

Oleh: Saari SungibKolum ini memuatkan himpunan tulisan yang mengungkapkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sebagai bekas tahanan ISA, kolumnis tentunya memahami hakikat sebenar di sebalik kelangsungan akta tersebut. Begitupun, para pembaca masih dialu-alukan mengirim ulasan terhadap tulisan ini menerusi abuurwah@gmail.com.

TAKUT KERANA TIDAK DAPAT PEMBELAAN JIKA KES DIBAWA KE MAHKAMAH

Sejak bermulanya ISA, pihak pemerintah telah mempertahankan bahawa satu-satunya hakim dan penentu dalam hal-ehwal keselamatan negara adalah pihak pemerintah sendiri.

Pihak pemerintah yang membuat keputusan untuk menangkap seseorang dan menahannya untuk beberapa tahun di Kem Kamunting jika pihak pemerintah berpuas hati bahawa dengan menahan orang tersebut boleh mengelakkan ia daripada terus mengancam keselamatan negara.

Keputusan menahan orang tersebut adalah hak mutlak pemerintah di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri, bukan hak mahkamah. Hakim dalam urusan keselamatan negara adalah Menteri Dalam Negeri, bukan hakim dalam mahkamah terbuka.

Realiti ini diketahui dengan jelas oleh aktivis rakyat. Mahkamah bukan tempat untuk mengadu nasib kalau anda ditahan di bawah ISA. Ramai para TAPOL telah mengemukakan writ habeas corpus di mahkamah dengan pelbagai hujah-hujah baru, namun tahap kejayaannya boleh dikatakan sifar!

Permohonan habeas corpus bukanlah perkara baru di negeri-negeri Melayu. Sejak tahun 1920an lagi menjadi kebiasaan bagi rakyat untuk mengemukakan permohonan habeas corpus apabila penahanan dilakukan oleh pihak pemerintah.

Menjelang tahun 1930, penahanan seseorang itu tidak boleh dianggap tidak betul atau tidak sah sekiranya penahanan tersebut tidak dapat dicabar melalui permohonan habeas corpus.

Peraturan ini terus diamalkan termasuk apabila satu-satu bekas tanah jajahan British, iaitu India, di mana hakim-hakim di tujuh buah negeri di India meluluskan permohonan habeas corpus 43 orang yang ditahan di bawah kuasa undang-undang darurat semasa pemerintahan Indira Gandhi di antara tahun 1975 dan 1977.

Dalam rayuan kerajaan di atas ketulusan hakim-hakim ini, ketua hakim negara India pada masa itu enggan mengubah apa yang telah diputuskan oleh hakim-hakim mahkamah di tujuh negeri tersebut.

Di negara ini, selepas sembilan tahun ISA dikuatkuasakan, mahkamah telah membuat ketetapan dalam kes Karam Singh v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bahawa keputusan dan tindakan Menteri dan polis dalam menguatkuasakan peruntukan-peruntukan dalam ISA adalah bersifat subjektif.

Oleh itu mahkamah tidak boleh menilainya serta mengemukakan bukti-bukti yang objektif dikemukakan oleh pihak berkuasa di atas penangkapan dan penahanan yang dibuat.

Setelah keputusan dibuat dalam kes Karam Singh ini, sebarang usaha oleh mana-mana hakim untuk membuat keputusan selain daripada apa yang ditetapkan pasti akan diketepikan di mahkamah rayuan.

Kes Karam Singh adalah satu penghalang terbesar kepada mana-mana tahanan ISA untuk mendapatkan kebebasannya melalui permohonan habeas corpus di mahkamah.

Antara kes yang cuba beralih daripada ketetapan dalam kes Karam Singh adalah kes Karpal Singh v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Dalam kes Karpal Singh, Mahkamah Tinggi telah meluluskan permohonan habeas corpus dan membebaskannya.

Namun kerajaan telah bertindak pantas. Dalam perjalanannya pulang ke rumahnya Karpal Singh telah ditangkap semula dan telah ditahan dengan perintah tahanan yang baru selama dua tahun.

Kes Lim Kit Siang & Ors v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pula melalui proses yang lebih dramatik. Permohonan habeas corpus kes Lim Kit Siang sepatutnya di bawa ke mahkamah pada 13 Julai 1988.

Pindaan ISA diluluskan oleh sesi khas Dewan Negara pada 10 Julai 1988. Pindaan ini dipersetujui oleh Yang Di Pertuan Agong pada 14 Julai 1988 dan digazetkan sebagai undang-undang pada 15 Julai 1988 tepat jam 12.01 tengahari!

Sementara itu mahkamah meluluskan permohonan Pejabat Peguam Negara agar perbicaraan habeas corpus yang dijadualkan pada 13 Julai 1988 ditangguhkan ke 14 Julai 1988.

Lim Kit Siang dan rakan-rakannya yang lain yang ditahan dalam Operasi Lalang ISA itu gagal dalam permohonan habeas corpus mereka.

Selepas pindaan 1988, satu lagi pindaan dibuat terhadap ISA pada tahun 1989. Seksyen baru dimuatkan bagi menghalang sebarang penilaian mahkamah dilakukan terhadap penangkapan dan penahanan ISA.

Selepas pindaan ISA pada 1989, hanya perkara-perkara yang berkaitan dengan peraturan dan prosedur sahaja yang boleh dicabar di mahkamah. Dengan dua pindaan tersebut, hampir semua ruang ditutup untuk mencabar ISA di mahkamah.

Walau bagaimanapun, kes tahanan reformasi dalam kes Abdul Ghani Haroon & Anor v. Ketua Polis Negara dan kes Mohd Ezam & Ors v. Ketua Polis Negara sesuatu yang menarik boleh dikatakan berlaku dalam kes kuasa subjektif penangkapan di bawah ISA.

Namun dalam kes Nasharuddin Nasir v. Ketua Polis Negara, pihak kerajaan mengulang semula apa yang biasa dilakukan sebelum ini dengan menahan semula mereka yang telah dibebaskan oleh mahkamah kerana memenangi kes habeas corpus mereka.

Namun setelah keputusan kes Mohd Ezam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan hakim dalam urusan keselamatan negara adalah pihak eksekutif (pemerintah) dan bukannya mahkamah.

Hujahnya: “This is because the court is not able, in all fairness, to decide on matters pertaining to national security. The security of this country is the absolute right of the Executive. This must be stated clearly in the law”. Untuk itu peruntukan-peruntukan ISA akan dipinda bagi memberi kuasa mutlak ini kepada pemerintah.

Selepas keputusan habeas corpus Nasharuddin Nasir, Kerajaan turut akan memperketatkan lagi ISA. Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri bahawa jika mahkamah bebaskan tahanan, polis boleh tangkap mereka semula apabila ditanya oleh isteri-isteri tahanan ISA adalah satu kenyataan yang menunjukkan keangkuhan pemerintah.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: