jump to navigation

Nasib Pelarian Palestin di Iraq: Menantikan Pembelaan Januari 26, 2007

Posted by ummahonline in Intifadha\', Kolum.
trackback

Oleh: Maszlee MalikJika di Gaza dan Tebing Barat, keharmonian dan perpaduan rakyat Palestin telah digugat oleh kumpulan pemberontak yang diketuai oleh Muhammad Dahlan dari Fatah, di Iraq lain pula ceritanya. Pelarian Palestin yang telah mendiami Iraq semenjak taun 1948 lagi kini berada di dalam ancaman dan bahaya.

Walaupun kehidupan mereka tidak sepayah kehidupan pelarian Palestin di Lubnan sebelum ini, namun penjajahan AS ke atas Iraq telah merubah segalanya. Jika dahulunya mereka boleh hidup dan tinggal dengan aman, kini tidak lagi. Jika ada sesiapa yang didapati berbual dengan menggunakan dialek Palestin di Baghdad, dia akan terdedah kepada ancaman. Penjajahan AS dan juga kegilaan kumpulan militan Syiah telah merubah segalanya.

Cerita yang terpinggir

Majalah Filistin Muslimah bulan Januari telah memaparkan kesengsaraan nasib pelarian Palestin di Iraq. Selepas penjajahan AS ke atas Iraq pada tahun 2003, nasib pelarian Palestin menjadi tidak menentu. Walaupun Saddam seorang diktator, namun beliau tidak pernah menzalimi pelarian-pelarian tersebut. Kehidupan mereka agak stabil meskipun tidak seperti rakyat Iraq yang lain. Malangnya selepas penjajahan, pelarian Palestin menjadi sasaran tentera AS. Keadaan yang buruk ini telah memaksa mereka untuk berhijrah meninggalkan tempat tinggal mereka untuk ke Jordan mahupun ke Syria. Malangnya, negara-negara tersebut tidak mahu menerima mereka. Sehingga kini, lebih kurang 300 orang para pelarian Palestin terpaksa mendiami sempadan Iraq-Jordan dan juga Iraq-Syria kerana rumah mereka telah dirobohkan. Ramai juga yang terpaksa pulang ke rumah masing-masing dan terdedah kepada keganasan tentera penjajah.

Dianggarkan terdapat lebih 20,000 pelarian Palestin di bumi Iraq, khususnya di Baghdad. Dianggarkan dari tahun 2004 sehingga kini, seramai 520 orang pelarian Palestin telah dibunuh oleh tentera penjajah dan juga militan Syiah. Perkara ini telah dilaporkan oleh Zakaria al-Agha, ketua jabatan hal ehwal pelarian milik PLO. Menurut pengarah hal ehwal pelarian Human Rights Watch di New York, Bill Frelick, sebab utama pembunuhan tersebut ialah kerana para pelarian Palestin sering dikaitkan dengan mantan presiden Iraq yang telah dihukum gantung, Saddam Hussein.

Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyya telah meminta daripada pihak yang terlibat agar tidak terus menerus membunuh pelarian Palestin di Iraq. Beliau juga menggesa agar masyarakat antarabangsa mengambil peduli terhadap nasib pelarian Palestin di Iraq yang dizalimi. Malang sekali, ketika media antarabangsa hanya menghidangkan laporan-laporan mengenai situasi penggantungan Saddam dan juga peperangan di antara Sunni dan Syiah di sana. Nasib pelarian Palestin yang diibaratkan seperti pelanduk yang terhimpit oleh dua gajah yang bergaduh terus dibiarkan sepi.

Ancaman dari militan Syiah

Selain daripada menjadi sasaran oleh tentera AS, pelarian Palestin juga menjadi mangsa keganasan kumpulan militan al-Mahdi pimpinan Moqtada Sadr. Aktiviti membunuh dan menculik pelarian Palestin di Iraq oleh kumpulan militan Sadr bukan lagi rahsia. Sudah jatuh ditimpa tangga. Rakyat Palestin yang merupakan kaum Sunni yang totok kini menjadi sasaran baru kumpulan militan al-Mahdi. Mereka dijadikan sasaran al-Mahdi semata-mata kerana rakyat Palestin berpegang kepada ajaran ahli Sunnah wal Jamaah. Rakyat Palestin memang terkenal dengan pegangan tersebut, malah di Palestin pun tidak terdapat kelompok Syiah seperti di Iraq dan Lubnan. Kerajaan Syiah Iraq hanya mendiamkan diri sahaja berhubung perkara ini. Sepertimana mereka mendiamkan diri terhadap kegiatan penyembelihan kaum Sunni di hospital-hospital dan juga di masjid-masjid mereka oleh kumpulan militan al-Mahdi, mereka juga mendiamkan diri di dalam persoalan pelarian Palestin ini.

Hal ini telah menarik minat Menteri Hal-Ehwal pelarian di dalam kerajaan tempatan Palestin, Dr Atef ‘Udwan. Beliau telah membuat kenyataan akhbar kepada al-Markaz al-Filistini li al-I’laam pada 23 Januari 2007 berhubung perkara tersebut. Di dalam kenyataan tersebut beliau menggesa pihak yang telah menculik rakyat Palestin agar membebaskan para tahanan. Pada hari yang sama juga, seramai 27 orang warga tua dan kanak-kanak dari kalangan pelarian Palestin telah sekali lagi diculik oleh kumpulan tersebut. Rumah mereka telah dirobohkan sebelum mereka diculik. Hal ini telah memaksa Dr Atef sebagai pihak yang bertanggung jawab ke atas pelarian Palestin telah menghubungi para pemimpin Arab agar masuk campur di dalam persoalan tersebut. Beliau meminta agar mereka berusaha menghentikan kumpulan suasana keganasan tersebut dan menerima para pelarian Palestin di atas dasar kemanusiaan.

Ke manakah Abbas dan Fatah?

Berhubung isu ini, keikhlasan Abbas dan juga fraksi Fatah diragui. Di kala rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat dicengkam oleh sekatan ekonomi mereka pula sibuk untuk menjatuhkan kerajaan HAMAS. Di kala saudara mara mereka dibunuh, diancam dan diculik setiap hari di Iraq, mereka sibuk untuk mengadakan suasana kacau bilau di Gaza dan Tebing Barat. Di kala Masjid al-Aqsa digali dan dikorek demi untuk dirobohkan oleh pihak rejim Zionis, mereka sibuk untuk bekerjasama dengan rejim tersebut. Mengapakah tidak kedengaran suara Abbas dan juga pemimpin Fatah yang lain berhubung isu pelarian Palestin di Iraq?, mengapakah Muhammad Dahlan tidak menggunakan peluang memperjuangkan nasib pelarian Palestin di Iraq demi menjadi hero rakyat Palestin?

Lewat isu ini, rakyat Palestin dan juga pelarian Palestin di luar negara mula menyedari siapakah yang ikhlas di dalam memperjuangkan nasib rakyat. Maka pilihan yang telah mereka berikan pada Januari 2006 yang lepas merupakan pilihan yang tepat. Jika ditakdirkan sekali lagi pilihanraya dijalankan, maka kita semua telah pun mengetahui apakah jawapannya nanti.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: